Oleh: Aida Abd RahmanKerajaan negeri berhasrat mengadakan penerbangan menunaikan umrah secara terus dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) ke Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz, Jeddah pada setiap bulan bagi memenuhi permintaan ramai umat Islam dari Pantai Timur yang mahu mengerjakan ibadat itu.
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata penerbangan menggunakan Boeing 747 hanya mampu memuatkan 450 jemaah sahaja pada satu-satu masa, sedangkan permintaan di kalangan umat Islam untuk menunaikan ibadat itu semakin meningkat dari masa ke semasa.
“Selepas ini kita akan panggil ejen pelancongan untuk bincang bagaimanapun cara mereka menarik orang ramai terutama penduduk Pantai Timur melibatkan Terengganu, Kelantan dan Pahang menunaikan umrah sama ada menerusi iklan atau sebagainya.
“Kalau kena caranya, pengendali umrah boleh melaksanakannya dengan menggunakan pesawat (Boeing) 747 paling kurang tiga bulan atau dua bulan sekali. Kalau kena gaya sebulan sekali,” katanya ketika sidang akhbar di Majlis Perjumpaan Menteri Besar Bersama-sama Pengetua, Guru Besar dan EIO (Pegawai Eksekutif Maklumat), di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, kelmarin.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran , Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Haji Ahmad Razif Abd Rahman dan Pengarah Pelajaran Terengganu, Encik Razali Daud.
Beliau berkata, kerajaan negeri yang optimis dengan hasrat itu akan memastikan kerja menaik taraf kemudahan di LTSM dilaksanakan termasuk perbincangan dengan syarikat pengendali penerbangan terutama Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) dan ejen bagi memenuhi hasrat itu kelak.
Dato’ Seri Ahmad, berkata perkara yang paling penting adalah menyediakan peralatan asas dan melengkapi persekitaran LTSM dengan bekalan minyak yang mencukupi untuk kegunaan pesawat.
“Sebab mereka (pesawat) datang untuk isi minyak dan kita akan melantik kontraktor minyak Petronas bagi membekalkan minyak kapal terbang di LTSM. Paling utama, kemudahan di `ground equipment’ memerlukan peralatan yang sesuai dengan pesawat (Boeing) 747, memandangkan kemudahan sedia ada sekarang hanya sesuai untuk Boeing 737,” katanya.
Menteri Besar, berkata selain menarik jemaah dari Pantai Timur, kerajaan negeri juga mahu memancing minat kerajaan Thailand menghantar rakyat negara itu menggunakan LTSM sebagai laluan untuk ke Makkah.
Katanya, penerbangan dari LTSM dilihat lebih menjimatkan kerana masyarakat Islam negara itu terutama dari wilayah Narathiwat, Yala, Patani dan Golok terpaksa menempuhi perjalanan sehingga 24 jam dengan menaiki keretapi sebelum tiba di Bangkok, berbanding hanya enam jam menaiki bas ke Kuala Terengganu sebelum bertolak ke Jeddah.
Dalam pada itu, satu penerbangan penerbangan umrah pertama yang membawa 450 jemaah secara terus dari LTSM ke Jeddah dilancarkan pada 18 Mac lalu, dan dijangka akan tiba di LTSM hari ini.
Penerbangan juga dikenali sebagai Umrah Anugerah itu merupakan sumbangan sosial kerajaan selaras dengan konsep Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan yang diperkenalkan oleh Menteri Besar.