Halaman

30 March 2011

E-Book satu kesinambungan

Oleh: Esah Abdullah



Jabatan Pelajaran memberi jaminan setiap murid yang menerima pemberian e-Book ini akan menggunapakai sebaik-baiknya serta mendapat manfaat daripada segala modul pembelajaran yang ada didalamnya.

“E-Book satu kesinambungan, Ibu bapa dan guru harus bersama-sama berganding bahu merialisasikan harsat kerajaan untuk mengangkat generasi pelajar berada dipuncak kejayaan,” kata Pengarah Pelajaran Terengganu, Encik Razali Daud.

Katanya, segala peralatan dan kelengkapan ICT di sediakan kerajaan manakala ibu bapa dan guru merupakan pendorong utama ke arah pelaksanaan program berkenaan.

“Saya sedar ada segelintir masyarakat bersikap negatif dan tidak mengambil serius malah menganggapnya suatu yang membazir apabila kerajaan perkenalkan e-Book kepada pelajar di negeri ini,” katanya di majlis Penyerahan e-Book di Sekolah Kebangsaan (SK) Kubu, Marang.



Tegasnya, selagi kita tidak menggunapakai segala kemudahan yang terdapat didalamnya selagi itulah e-book ini tidak akan memberi makna apa-apa kepada anak kita, kalau guna barulah bertemu kebaikannya.

“Saya bimbang jika penyakit ‘dengki hati’ ini terus menjadi barah sekali gus akan membawa kemusnahan dalam pembangunan pemikiran dan masa depan generasi pelajar,” katanya.

Beliau seterusnya mengingatkan ibu bapa dan guru menjauhi penyakit sedemikian dan menggunakan akal fikiran secara rasional untuk keuntungan jangka panjang serta kepentingan generasi akan datang.




Kerajaan berhasrat adakan penerbangan umrah setiap bulan

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri berhasrat mengadakan penerbangan menunaikan umrah secara terus dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) ke Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz, Jeddah pada setiap bulan bagi memenuhi permintaan ramai umat Islam dari Pantai Timur yang mahu mengerjakan ibadat itu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata penerbangan menggunakan Boeing 747 hanya mampu memuatkan 450 jemaah sahaja pada satu-satu masa, sedangkan permintaan di kalangan umat Islam untuk menunaikan ibadat itu semakin meningkat dari masa ke semasa.

“Selepas ini kita akan panggil ejen pelancongan untuk bincang bagaimanapun cara mereka menarik orang ramai terutama penduduk Pantai Timur melibatkan Terengganu, Kelantan dan Pahang menunaikan umrah sama ada menerusi iklan atau sebagainya.

“Kalau kena caranya, pengendali umrah boleh melaksanakannya dengan menggunakan pesawat (Boeing) 747 paling kurang tiga bulan atau dua bulan sekali. Kalau kena gaya sebulan sekali,” katanya ketika sidang akhbar di Majlis Perjumpaan Menteri Besar Bersama-sama Pengetua, Guru Besar dan EIO (Pegawai Eksekutif Maklumat), di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, kelmarin.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran , Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Haji Ahmad Razif Abd Rahman dan Pengarah Pelajaran Terengganu, Encik Razali Daud.

Beliau berkata, kerajaan negeri yang optimis dengan hasrat itu akan memastikan kerja menaik taraf kemudahan di LTSM dilaksanakan termasuk perbincangan dengan syarikat pengendali penerbangan terutama Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) dan ejen bagi memenuhi hasrat itu kelak.

Dato’ Seri Ahmad, berkata perkara yang paling penting adalah menyediakan peralatan asas dan melengkapi persekitaran LTSM dengan bekalan minyak yang mencukupi untuk kegunaan pesawat.

“Sebab mereka (pesawat) datang untuk isi minyak dan kita akan melantik kontraktor minyak Petronas bagi membekalkan minyak kapal terbang di LTSM. Paling utama, kemudahan di `ground equipment’ memerlukan peralatan yang sesuai dengan pesawat (Boeing) 747, memandangkan kemudahan sedia ada sekarang hanya sesuai untuk Boeing 737,” katanya.

Menteri Besar, berkata selain menarik jemaah dari Pantai Timur, kerajaan negeri juga mahu memancing minat kerajaan Thailand menghantar rakyat negara itu menggunakan LTSM sebagai laluan untuk ke Makkah.

Katanya, penerbangan dari LTSM dilihat lebih menjimatkan kerana masyarakat Islam negara itu terutama dari wilayah Narathiwat, Yala, Patani dan Golok terpaksa menempuhi perjalanan sehingga 24 jam dengan menaiki keretapi sebelum tiba di Bangkok, berbanding hanya enam jam menaiki bas ke Kuala Terengganu sebelum bertolak ke Jeddah.

Dalam pada itu, satu penerbangan penerbangan umrah pertama yang membawa 450 jemaah secara terus dari LTSM ke Jeddah dilancarkan pada 18 Mac lalu, dan dijangka akan tiba di LTSM hari ini.

Penerbangan juga dikenali sebagai Umrah Anugerah itu merupakan sumbangan sosial kerajaan selaras dengan konsep Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan yang diperkenalkan oleh Menteri Besar.



Penghayatan al-Quran untuk golongan muda

Oleh: Esah Abdullah

Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) akan terus mengambil pendekatan untuk meningkatkan kefahaman dan penghayatan al-Quran di kalangan belia dalam usaha memertabatkan kitab suci itu di negeri ini.

Pesuruhjaya JHEAT, Dato’ Sheikh Harun Ismail berkata, usaha jabatan memberi pendedahan al-Quran di peringkat awal secara tidak langsung dapat mendatangkan kesan baik dalam proses pendidikan golongan muda ke arah melahirkan kecemerlangan ummah.

“Kecenderungan ibu bapa sekarang juga begitu terserlah , ingin melihat anak masing-masing menjadi hafaz dan menghayati al-Quran pada peringkat sekolah lagi,” katanya.

Katanya, JHEAT menerusi bidang kuasa kerajaan negeri akan mengadakan program penghayatan al-Quran secara lebih konsisten dan terus menyuburkannya dengan pelbagai kaedah demi kebaikan masyarakat seluruhnya.

“Dengan memahami isi al-Quran golongan belia dapat menjadikannya sebagai pegangan baik dalam proses kehidupan sejagat,” katanya.

Selain itu katanya, jabatan juga sentiasa bersedia menjadi guru terbaik dalam usaha kerajaan membentuk sahsiah remaja agar sentiasa mensyukuri nikmat pembangunan dan keamanan yang dikecapi hari ini.




817 mangsa di 12 pusat pemindahan banjir seluruh Terengganu

Oleh: Aida Abd Rahman

Seramai 817 mangsa banjir di beberapa daerah di negeri ini yang melibatkan 193 keluarga ditempatkan di 12 pusat pemindahan sehingga jam 7 pagi hari ini.

Mangsa melibatkan penduduk di daerah Kemaman, Dungun dan Marang manakala semua 226 mangsa banjir di daerah Kuala Terengganu daripada 52 keluarga yang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Tok Jembal dilaporkan sudah pulang ke rumah masing-masing dan pusat pemindahan ditutup petang tadi.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Terengganu berkata daripada jumlah mangsa yang dipindahkan itu seramai 58 daripada 20 keluarga di dua pusat pemindahan dari daerah Kemaman.

Katanya seramai 41 mangsa daripada 17 keluarga banjir ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Kemasik, manakala 17 mangsa daripada tiga keluarga kini berada di Pusat Belia Kampung Baru Kerteh.

Seramai 207 mangsa daripada 51 keluarga dari daerah Marang ditempatkan di enam pusat pemindahan di daerah itu sehingga ini.

Katanya mereka terdiri daripada 23 keluarga membabitkan 90 mangsa ditempatkan di Dewan Sivik Pekan Bukit Payung, Sekolah Menengah Kebangsaan Seberang Marang (60 mangsa), Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Mengkuang (30 mangsa) melibatkan tujuh keluarga.

Lain-lain ialah di Balai Raya Kampung Binjai Rendah (14 mangsa), Balai Raya Kampung Tok Mat (lapan mangsa) dan Balai Raya Tanah Lot Kampung Kubu (lima mangsa).

Katanya daerah Dungun pula mencatatkan 522 mangsa daripada 122 keluarga yang ditempatkan di empat pusat pemindahan.

Mereka ditempatkan di Dewan Sivik Batu 48 seramai 413 mangsa, SK Kampung Nyior (28 mangsa), Dewan Majlis Sukan Negara (103 mangsa) dan Balai Raya Pulau Serai (lapan mangsa).

Sementara semalam, lebih 20 buah sekolah ditutup dan 12 daripadanya di daerah Setiu membabitkan 1,500 murid termasuk SK Chalok, SK Langkap, SK Kampung Buluh, SK Pelong, SK Bukit Tadok, SK Menerung dan SK Felda Mengkawang.

Seramai 1,400 murid juga tidak dapat ke sekolah di daerah Hulu Terengganu apabila sembilan buah sekolah ditutup di daerah itu dan dua buah sekolah di daerah Besut melibatkan 700 murid.

Jabatan Meteorologi sehingga tengah malam semalam pula mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora yang boleh mengundang bahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.

Angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 40-50 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter yang berlaku di perairan Kelantan, Terengganu, Sarawak(Miri), Sabah(Pedalaman, Pantai Barat dan Kudat), WP Labuan, Samui dan Sulu dijangka akan berterusan sehingga Sabtu ini ( 2 April).




29 March 2011

Longkang tersumbat punca banjir kilat

Oleh: Suriati Ali


Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said ketika menemui mangsa banjir yang dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan Tok Jembal. - Foto: Harish Fadzillah.

Sikap segelintir individu yang gemar menjadikan longkang sebagai tong sampah sehingga mengakibatkan Taman Murni Permai, Tok Jembal, Kuala Terengganu mengalami banjir kilat amat dikesali.

Kejadian yang berlaku kali kedua dalam bulan ini (Mac) menyebabkan 46 keluarga mengandungi 206 orang terpaksa dipindahkan ke penempatan sementara di Sekolah Rendah Kebangsaan Tok Jembal (SKTJ) bermula awal pagi tadi.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata banjir kilat yang melanda Taman Uda Murni adalah kali kedua dalam bulan ini dan semua mangsa dapat dipindahkan dengan selamat hasil bantuan pelbagai pihak.



Katanya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) digesa membersihkan kembali semua longkang yang tersumbat akibat sikap tidak bertanggungjawab segelintir individu.

“Kontraktor berkaitan juga perlu bertangungjawab dalam perkara ini, kerana sering mengabaikan syarat-syarat ditetapkan sebelum membina longkang.

“Jika longkang yang ada sekarang ini dibina dengan saiz lebih besar, sudah tentu bencana seperti ini boleh dielak dan tidak akan berlaku,” katanya kepada media ketika melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Banjir di SKTJ.

Hadir sama dalam lawatan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abd Rahman dan beberapa pemimpin peringkat kampung.

Katanya, bagi mengelak kejadian sama berlaku pada masa akan datang, PBT akan menyediakan lebih banyak longkang bersaiz besar di samping memastikan longkang tidak dicemari sampah sarap.



“Longkang yang tersumbat akan dibuka dan dibersihkan bagi memudahkan air banjir melaluinya tanpa sebarang halangan,” katanya.

Menurutnya, setiap tahun puluhan juta dibelanjakan termasuk projek tebatan banjir bernilai RM5.6 juta di Taman Perumahan Pusu Tiga, Kuala Nerus .

“Alhamdullilah, penduduk di kawasan itu kini sudah berasa lega dan tidak lagi cemas setiap kali hujan lebat melanda.



UniSZA anjur syarahan perbezaan pendapat mahzab

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) akan menganjurkan Syarahan Akademik Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI) kepada orang ramai, Khamis ini.

Syarahan Akademik bertajuk 'Harmonizing Juristic Disagreement Towards the Unity of Ummah' (Mengharmonikan Perbezaan Pendapat Mazhab ke Arah Penyatuan Ummah) itu akan disampaikan Pengarah Yayasan Islam Kanada, Dr Yusuf Muhyiddin Riq El-Bakhur Al-Hasani.

Dr Yusuf Muhyiddin juga merupakan anggota Majlis Ulama Syria dan Penasihat Kehormat Komuniti Muslim di Amerika Utara serta Ahli Jawatankuasa Majlis Fatwa Lubnan.

Ketua Jabatan Syariah FKI, Tengku Fatimah Muliana Tengku Muda berkata syarahan akademik itu antara lain bertujuan memberi pendedahan kepada peserta tentang keanjalan Islam dalam mendepani kekeliruan yang timbul dari percanggahan pendapat di kalangan ulama dan mazhab.

Syarahan yang dijangka dihadiri 570 peserta itu akan diadakan di Dewan al-Muktafi Billah Shah, kampus Gong Badak, bermula pukul 10 pagi.

"Golongan profesional khususnya ahli akademik, wakil jabatan, badan atau institusi kerajaan dan swasta, pelajar serta masyarakat awam dialu-alukan menyertai syarahan akademik yang diadakan secara percuma itu," katanya.



Penduduk puji sikap cakna Menteri Besar

Oleh: Suriati Ali

Sikap prihatin dan cakna pemimpin nombor satu negeri, Dato’ Seri Haji Ahmad Said turun padang bagi melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan, Sekolah Rendah Kebangsaan Tok Jembal, mendapat pujian mangsa banjir.

Kemunculan Menteri Besar ‘turun padang’ amat melegakan mereka yang ditimpa musibah itu.

Hasil tinjauan itu, Dato’ Ahmad berjanji untuk mengarahkan kerja-kerja membersih kembali longkang tersumbat, selain membina longkang bersaiz besar dalam masa terdekat.

Bagi pihak penduduk, mereka berharap arahan itu dapat dilaksanakan secepat mungkin oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

Seorang mangsa banjir yang juga kakitangan kerajaan, Encik Syukur Amit, berkata dia dan keluarga redha dengan kejadian ini walaupun sudah lima kali berlaku banjir sejak lima tahun menetap di kawasan ini.

“Saya mengharapkan PBT membersih semua longkang yang tersumbat dengan kadar segera kerana dibimbangi kejadian sama akan berulang,” katanya kepada pemberita Teganukita.
Puan Suhaila Salim, 35, berkata dia bernasib baik kerana kejadian yang berlaku kali kedua dalam bulan ini, suami Fauzi Lomel berada di rumah.

“Jika tidak situasi cemas dan kelam kabut seperti yang berlaku sebelum ini iaitu pada malam Khamis (24 Mac) lalu pasti berlaku lagi.

“Ketika kejadian pertama, saya bersama lima anak terpaksa mendapatkan bantuan anggota Jabatan Pertahanan Awam untuk menyelamatkan diri kerana terlalu cemas apabila melihat air melimpah begitu pantas ke dalam rumah,” katanya.

Katanya, akibat kejadian kali kedua ini, pelbagai barangan kesayangan termasuk kelengkapan sekolah anak-anak rosak dan dihanyut air.

“Kami sekelurga tidak mampu berbuat apa-apa kerana hanya memikirkan untuk menyelamatkan diri dengan berada di kawasan selamat secepat mungkin,” katanya.
Tinjauan pemberita Teganukita mendapati semua kanak-kanak mangsa banjir sibuk menyertai pelbagai aktiviti seperti mewarna, melukis, bermain catur dan membaca anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

JKM menghantar tiga kakitangan untuk mengurus aktiviti itu semata-mata menghilangkan rasa bosan ketika berada di pusat pemindahan banjir.




Negara Brunei puji langkah kerajaan wujud kelas maya

Oleh; Esah Abdullah

Kelas Maya yang diperkenalkan kerajaan negeri telah mendapat perhatian dan pujian daripada beberapa agensi pendidikan dalam dan luar negara.

Pengarah Pelajaran Terengganu, Encik Razali Daud berkata, kelas maya perintis yang mula beroperasi Februari lalu di Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Bunga di Kuala Terengganu, dikunjungi pegawai dari Pejabat Pelajaran negeri-negeri di Semenanjung dan luar negara.

Setakat ini, katanya, kelas maya berkenaan telah menerima kedatangan pegawai dari Jabatan Pelajaran Johor, Pahang, Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur dan yang terbaru dari Kementerian Pelajaran Negara Brunei Darul Salam.

“Mereka datang untuk membuat kajian serta melihat sendiri kaedah belajar secara interaktif dan peperiksaan melalui talian serta impak kepada pelajar yang mengikuti kelas berkenaan,” katanya pada majlis Penyerahan e-Book Pelajar Tahun 5 bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Berangan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kubu, Marang, petang semalam.

Katanya, mereka tertarik dan memuji usaha kerajaan negeri yang begitu komited dalam usaha memberikan yang terbaik kepada rakyat khususnya dalam bidang pendidikan.

Beliau selaku orang yang bertanggungjawab dalam arah tuju pendidikan negeri amat berterima kasih kepada kerajaan negeri yang tidak pernah putus idea memberi tambah nilai dalam bidang pendidikan di negeri ini.

“Apabila wujudnya kelas maya ini hasil kerja termasuk jawapan dan markah boleh dilihat pada skrin sesentuh di hadapan kelas selain pelajar tidak boleh membuka aplikasi lain termasuk permainan komputer,” katanya

Sehubungan itu, katanya, ibu bapa, guru dan pelajar perlu melihat usaha kerajaan ini dari sudut positif demi masa depan bangsa dan negara yang cemerlang dan gemilang.

Pada majlis itu, Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Said menyerahkan e-Book kepada 916 pelajar daripada 14 buah sekolah dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Berangan, Marang.




Pemimpin turun padang bantu mangsa banjir di Tok Jembal

Oleh: Aida Abd Rahman



Sikap sanggup susah senang bersama rakyat menjadi amalan pemimpin Barisan Nasional (BN) sejak zaman berzaman lagi.

Dalam perkembangan terbaru, nasib 26 keluarga dari kawasan Taman Perumahan Murni Permai, Tok Jembal, Kuala Terengganu yang menjadi mangsa banjir dan rumah mereka ditenggelami air akibat hujan berterusan sejak seminggu lalu mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir, Haji Ahmad Razif Abd Rahman.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, sanggup meredah malam untuk membantu memindahkan mangsa banjir ke pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Jembal, kira-kira jam 1.30 pagi tadi.

Dalam kejadian pertama, seramai 69 keluarga dari kawasan itu dipindahkan ke SK Tok Jembal pada malam Khamis lalu.

Haji Ahmad Razif kesal dengan kejadian yang berulang kali itu, namun berharap penduduk di kawasan berkenaan bersabar dengan ujian Ilahi itu dan memastikan keselamatan nyawa dan barangan mereka terjamin.

“Kerajaan akan membantu mangsa banjir bagi meringankan bebanan mereka selain mengarahkan semua pihak berwajib termasuk Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Pengairan dan Saliran menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian itu.

“Apabila sudah ketahui punca kejadian, kita akan cari jalan bagi mengatasi masalah ini dan supaya ianya tidak berulang lagi,” katanya.

Katanya, kerjasama semua pihak khususnya badan bukan kerajaan, penduduk setempat dan pelajar Universiti Malaysia Terengganu diperlukan bagi bergotong-royong membersih rumah dan kawasan sekitar akibat kesan banjir itu kelak.




Jangan rosakkan pemikiran aset negara

Oleh: Esah Abdullah



Ibu bapa dan guru di negeri ini yang cenderung bermain politik diingatkan supaya jangan sekali-kali merosakkan pemikiran anak-anak serta pelajar kerana mereka merupakan aset negara.

“Kalau nak berpolitik boleh tapi jangan rosakkan masa depan mereka,” kata Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said ketika berucap di majlis Penyerahan e-Book kepada Murid Tahun 5, dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Berangan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kubu, Marang, petang semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Berangan, YB Yahya Khatib Mohamad; Pengarah Pelajaran Terengganu, Encik Razali Daud dan Pegawai Daerah Marang, Haji A. Rahman Che Ali.



Katanya, kerajaan menyediakan peruntukan besar dalam bidang pendidikan melebih peruntukan pembangunan lain semata-mata ingin melihat generasi baru mendapat kemudahan dan peluang belajar terbaik demi masa depan diri, keluarga dan negara.

“Mereka jadi penganti kepada barisan kepimpinan hari ini dan bekal paling berharga adalah ilmu pengetahuan dunia dan akhirat agar sentiasa bersedia mental dan fizikal berhadapan cabaran dunia global,”katanya.



Katanya, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab dan mempunyai wawasan untuk melihat rakyatnya berjaya, pembangunan modal insan menjadi agenda utama dan usaha merubah lanskap ekonomi masyarakat diberi perhatian serius.

Menteri Besar kemudiannya menyerahkan 916 unit e-Book kepada 916 pelajar Tahun 5 daripada 14 buah SK dalam DUN Pengkalan Berangan.

Sekolah berkenaan termasuklah Sk Jambu Bongkok (45 orang), SK Pasir Putih (37), SK Gong Balai (67), SK Mercang (109), SJK (C) Chong Hwa (30), SK Jenang (17), SK Jerong (62), SK Padang Mengkuang (133), SK Gondang (39), SK Wakaf Tapai (72), SK Bukit Sawa (153), SK Bukit Jejulong (65), SK Pengkalan Berangan (62) dan SK Kubu (25).