Halaman

02 November 2011

Kad khas ganti tiket bola sepak

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan negeri bercadang untuk memperkenalkan kad khas sebagai mengantikan tiket untuk masuk ke stadium ketika perlawanan bola sepak di negeri ini pada masa akan datang.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad said berkata, perkara ini boleh mengelak daripada berlaku penyelewengan penggunaan tiket berulang kali di kalangan penonton.

“InsyaAllah, cadangan ini akan dilaksanakan di Stadium Sultan Mizan, Gong Badak yang sedang dibaikpulih sekarang,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Darul Iman hari ini.

Menjawab pertanyaan lain, Dato’ Seri Haji Ahmad meminta penyiasatan rapi dibuat bagi mengenal pasti ‘ulat tiket’ yang mengambil kesempatan terhadap subsidi tiket kerajaan pada perlawanan bola sepak Piala Malaysia baru-baru ini.

“Dalam hal ini bukan salah persatuan, mungkin ada individu tertentu yang bergerak sendirian semata-mata mencari keuntungan dengan cara mudah,” katanya.

Menteri Besar juga melihat dari sudut positif mengenai kenaikan harga tiket yang dibuat oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada perlawanan akhir merebut Piala Malaysia antara Terengganu dan Negeri Sembilan.

“Mungkin ada rasionalnya FAM mengambil keputusan itu, mereka sebagai penganjur lebih merasai bebannya daripada orang yang hanya penonton,” katanya.




Teganukita 50





Kerajaan negeri bersiap sedia hadapi kemungkinan banjir besar

Dato' Seri Haji Ahmad ketika sidang akhbar ditemani Dato' Haji Mazlan selepas Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Darul Iman. - Gambar oleh Zulkipli Putra.


Oleh; Esah Abdullah


Kerajaan negeri telah membuat persiapan rapi bagi menghadapi kemungkinan berlaku banjir besar di negeri ini dengan menyediakan 112 pengkalan hadapan untuk menyimpan stok bekalan makanan dan keperluan harian kepada mangsa bencana.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, Depoh Simpanan Keperluan Bencana Zon Timur di Pulau Kerengga, Marang juga telah siap dan sedia beroperasi sepenuhnya.

“Depoh ini berfungsi sebagai tempat menyimpan barangan keperluan harian sebelum dihantar ke pengkalan hadapan dan pusat pemindahan di seluruh negeri,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Darul Iman hari ini.

Setakat ini katanya, semua bekalan makanan telah diagihkan kepada semua pengkalan hadapan seluruh negeri dan mampu bertahan selama dua minggu sekiranya banjir berlaku dan jika berlarutan bantuan akan ditambah dari semasa kesemasa.

Menurutnya, daerah Hulu Terengganu paling banyak pengkalan hadapan iaitu 32 buah diikuti Besut (26) Kemaman (15) Setiu (15) Marang (13) Dungun (9) dan Kuala Terengganu (2).

Sehubungan itu katanya, sejumlah 347 pusat pemindahan disediakan yang berupaya menampung seramai 51,745 orang mangsa banjir.

Tambahnya, daerah Besut mempunyai 98 buah pusat perpindahan yang boleh menampung 11,082 mangsa, Hulu Terengganu (78) 8,640 orang, Dungun (52) 9,615 orang, Kemaman (36) 8,270 orang, Setiu (35) 2738 orang, Kuala Terengganu (25) 7,300 orang dan Marang (23) 4,100 orang.

Dato’ Seri Haji Ahmad kemudiannya menasihatkan orang ramai sentiasa mematuhi arahan berpindah dari pegawai bertugas agar tidak menimbul masalah kemudian hari.

“Ibu bapa juga perlu awasi pergerakan anak masing-masing dan jangan biarkan bermain ditepi parit, longkang atau diluar rumah ketika air besar,” katanya.




Masih kenal pasti kedai layak

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri sedang mengenal pasti beberapa restoran atau kedai makan yang bena-benar layak untuk disenaraikan sebagai Restoran Menu Rakyat 1Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, YB Dr Haji A Rahman Mokhtar, berkata pihaknya belum mendapat senarai penuh berkaitan mana-mana restoran yang menawarkan harga berpatutan kerana masih dalam proses pemilihan.

Katanya, apabila senarai penuh diperoleh, satu majlis khas akan dianjurkan untuk memperkenalkan restoran terpilih supaya orang ramai dapat berkunjung dan menikmati menu yang disediakan.

“Kewujudan Restoran Menu Rakyat 1Malaysia mampu membuktikan kepada orang ramai bahawa ada kedai yang masih menjual harga pada yang berpatutan dan tidak timbul lagi isu makanan mahal terutama dengan situasi di negeri ini.

“Saya yakin rakyat akan menyokong restoran yang menawarkan harga berpatutan ini, manakala restotan terpilih itu perlulah mengikut pakej yang diperkenalkan,” katanya.
YB Dr Haji A Rahman mengakui sebahagian besar restoran di Terengganu tidak meletakkan harga standard sehingga mengelirukan orang ramai.




Bandar Kuala Berang pusat perniagaan


Oleh: Mastura Jamaluddin

Satu ketika “ Fo Lo An” adalah satu tempat yang menjadi tumpuan pedagang dan merupakan salah satu pusat perdagangan terawal dalam sejarah.

Kini “Fo Lo An “ yang dikenali sebagai Bandar Kuala Berang meneruskan sejarah sebagai pusat perniagaan yang terkenal di daerah Hulu Terengganu yang menjadi tumpuan segenap pelusuk sama ada dari dalam atau luar daerah .

Pekan Sari Rabu dan Sabtu merupakan dua hari waktu puncak perniagaan yang menghimpunkan pelbagai golongan dan berbagai barangan boleh di dapati di sini.

Ibarat pasaraya besar, begitulah yang dapat disaksikan pada hari tersebut dengan bermacam ragam pembeli dan penjual.

Daripada berbagai jenis sayur-sayuran, buah-buahan, kuih-muih, pakaian, peralatan rumah dan banyak lagi keperluan boleh di dapati pada hari Rabu dan Sabtu.

Aktiviti ini diteruskan pada hari Isnin dengan pasar tani dan pasar malam setiap Selasa dan hari Rabu dan menyaksikan enam hari dalam seminggu yang penuh dengan aktiviti perniagaan.

Kebanyakan peniaga datang dari jauh dan sanggup bermalam di dalam kenderaan masing-masing hanya kerana tidak mahu melepaskan peluang untuk berniaga di Bandar Kuala Berang yang menjanjikan pendapatan yang lumayan.

Yang pasti Bandar Kuala Berang terbukti kesinambungan “ Fo Lo An “ yang pernah terkenal pada abad yang lalu dan akan kekal buat selamanya sebagai destinasi perniagaan .

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu beku cuti kakitangan

Oleh: Mohammad Ishak


ZUHAIMI menandatangani plug sebagai simbolik perasmian bangunan baru PDK Jertih


Keadaan cuaca yang tidak menentu dengan kejadaian rebut serta ombak besar dan paras air sungai utama di negeri ini yang mula berubah menandakan musim tengkujuh sudah tiba dan kemungkinan berlakunya bencana banjir di negeri ini

Sehubungan itu, segala persiapan sudah dibuat oleh pelbagai agensi terbabit termasuk pasukan keselamatan seperti Polis, Tentera, Jabatan Pertahanan Awam, Jabatan Kesihatan, Pejabat Daerah , Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Jabatan Kerja Raya (JKR) dan agensi berkaitan untuk menghadapi bencana berkenaan.

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu, tidak ketinggalan menggerakkan jenteranya untuk menghadapi sebarang kemungkinan berikutan hujan yang kerap sejak kebelakangan ini yang memberi isyarat kepada sebarang kemungkinan berlaku.

Malah, JKM sudah mengarahkan semua kakitangan dan Pegawai Kebajikan Daerah (PKD) seluruh negeri untuk bertindak membekukan cuti semua kakitangan jika keadaan memerlukan.

Ini diakui sendiri oleh Pengarahnya,Zuhaimi Omar ketika mengadakan sidang media selepas merasmikan bangunan baru Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Jertih, semalam yang mengarahkan jabatan itu bertindak segera jika berlaku banjir.

Menurutnya, seramai 500 kakitangan jabatan itu seluruh negeri sudah diarah supaya tidak mengambil cuti malah akan dibekukan berkuat kuasa selepas mereka menyambut hari raya Aidil Adha nanti.

Katanya, JKM sudah menghantar semua bekalan makan dan keperluan lain kepada 113 pangkalan hadapan termasuk di Pulau Perhentian dan Pulau Redang.

Beliau berkata, berdasarkan rekod tahun lalu kira-kira 12,000 penduduk yang tinggal di kawasan rendah di negeri ini terpaksa berpindah ke pusat pemindahan selepas rumah mereka ditengelami air.


Monsun Timur Laut melanda Terengganu awal bulan ini.

Oleh FAUZI MOHD

Negara diramalkan mengalami Monsun Timur Laut mulai awal November sehingga awal Mac 2012 yang boleh menyebabkan hujan lebat dan banjir di beberapa negeri termasuk Terengganu.

Menurut Jabatan Meteorologi, dalam tempoh musim ini, negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung, kawasan pantai Sarawak dan Pantai Timur Sabah akan mengalami hujan lebat yang berterusan selama dua hingga tiga hari akibat luruan monsun.

"Dalam kes cuaca yang ekstrem, hujan lebat yang menyeluruh ini boleh bertahan selama tiga hingga lapan hari dan boleh menyebabkan berlakunya banjir.

"Episod hujan lebat biasa berlaku terutamanya di negeri-negeri sebelah Pantai Timur Semenanjung iaitu bermula di negeri Kelantan dan Terengganu pada bulan November dan awal Disember," kata jabatan itu dalam satu kenyataan semalam.

Tambah laporan itu lagi, hujan monsun yang lebat secara perlahan-lahan akan beranjak ke selatan, lazimnya kawasan timur negeri Pahang dan Johor akan mengalami hujan lebat pada bulan Disember dan awal Januari.


Juara dunia mara ke Terengganu

Oleh FAUZI MOHD

Lapan negara, tujuh bulan persaingan, satu juara dunia.

Saingan untuk memenangi Kejohanan Match Racing Dunia ISAF bagi tahun 2011 bermula di Marseille, Perancis, di mana Damien Iehl (Perancis Match Racing Team) mengalahkan pasukan negaranya Bertrand Pace (Aleph Sailing Team) di Match Race Perancis.

Perlumbaan bersambung di Langenargen, Jerman di mana Francesco Bruni (ACP/Bruni Racing) memperoleh kemenangan pertamanya dalam Siri Jelajah Dunia Match Racing selepas mengalahkan Datuk Peter Gilmour (AUS/Yanmar Racing) yang merupakan Juara Dunia empat kali di Match Race Jerman.

Namun, Bruni tewas kepada Bjorn Hansen (SWE/Mekonomen Sailing Team) dalam acara kemuncak di Gyeonggi, Korea Selatan.

Semasa Portimao Portugal Match Cup di Portugal, Bruni telah tewas kepada Ian Williams (GBR/Team GAC Pindar) yang telah memenangi acara pertamanya selepas tiga tahun.

Kemenangan Williams meneruskan corak pemenang yang berlainan pada setiap empat peringkat Siri Jelajah Dunia Match Racing 2011, menjadikannya musim yang paling hangat dipertandingkan dalam tahun-tahun kebelakangan ini.

Kemenangan Williams melonjakkan pasukannya dari kedudukan ke-10 ke tempat ketiga, pada pertengahan siri.

Di Marstrand, Sweden, Williams memperoleh kemenangan kedua berturut-turut ketika bersaing dengan Hansen dalam perlumbaan yang sengit di Stena Match Cup Sweden.

Perlumbaan diteruskan ke St Moritz, Switzerland di mana Torvar Mirsky (AUS/The Wave Muscat) telah dinobatkan juara baru selepas mengalami musim yang agak mencabar ini manakala Williams tamat di tempat ketiga untuk mara ke kedudukan pertama keseluruhan kejohanan Siri Jelajah Dunia Match Racing.

Mirsky seterusnya telah menang dalam saingan kalah mati kepada Berntsson (Swe/Berntsson Sailing Team) di Argo Group Gold Cup di Hamilton, Bermuda.

Justeru beliau menuntut kemenangan kedua berturut-turut pada Siri jelajah Match Racing 2011.

Kemenangan Bruni pada perlawanan penentu tempat ketiga telah mendekatkan lagi persaingan dengan hanya enam mata di antara Williams, Bruni dan Mirsky untuk mara ke Piala Monsun.

Turut menyertai adalah dua jemputan wildcard, Mathieu Richard (FRA/French Match Racing Team) yang dengan 69,6 mata Pmasih boleh menjuarai Kejohanan Dunia dan Phil Robertson (NZL/WAKA Racing) yang baru sahaja menandatangani perjanjian dengan Team China, pencabar rasmi untuk Piala Amerika.

Melengkapkan senarai peserta Piala Monsun 2011 adalah pemenang Kejohanan Match Racing Asia, William Tiller (NZL/Full Metal Jacket Racing) dan Juara Match Racing Malaysia, Jeremy Koo (Abdullah Chan/KRT).

Juara Dunia Match Racing ISAF 2011 akan diputuskan pada Piala Monsun, yang berlangsung dari 22 hingga 27 November ini di Ri-Yaz Heritage Marina Resort and Spa, Kuala Terengganu.

YPKT tambah RM8 juta untuk PJD

Oleh: Suriati Ali

Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) dijangka menambah jumlah peruntukan Program Jaya Diri (PJD) kepada RM8 juta pada tahun depan bagi membolehkan lebih ramai keluarga berpendapatan rendah memperoleh manfaat.

Pengarah YPKT, Mohd. Shafaruddin Mustaffa berkata, pertambahan sekali ganda itu akan membolehkan 1,500 peserta dilibatkan dalam pelbagai kegiatan ekonomi untuk meningkatkan taraf hidup keluarga.

Katanya, langkah itu didorong oleh prestasi pembayaran balik pinjaman yang dianggap sebagai membanggakan dan pendapatan para peserta dapat ditingkatkan sekitar RM500 hingga RM2,000 sebulan.

''Setakat ini saya berpuas hati dengan pembayaran balik pinjaman kerana 100 peratus yang memperoleh pinjaman membayar balik mengikut tempoh yang ditetapkan.

''Sifat amanah dan jujur yang ditunjukkan oleh peserta YPKT membolehkan lebih ramai golongan yang berpendapatan rendah bakal mendapatkan faedah,'' katanya.
Mohd Shafaruddin berkata, pada tahun ini seramai 924 peserta terlibat dengan program tersebut dengan pinjaman kira-kira RM4.2 juta.

Katanya, sebahagian besar peserta terlibat dalam projek perniagaan selain pertanian, kraftangan, penternakan, perikanan, pertukangan dan kemahiran


01 November 2011

Pelajar Kafa aktif dalami ilmu al-Quran

Oleh: Suriati Ali

Lebih 80,000 pelajar Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) di seluruh negeri ini aktif mendalami ilmu al-Quran dengan dibimbing oleh 3,105 guru bertauliah.

Pengarah Yayasan Islam Terengganu (YIT), Haji Md. Kamaru Al-Amin Ismail berkata, program Kafa dijalankan di 410 premis membabitkan Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Agama Rakyat (SAR), masjid, surau dan balai raya.

“Ianya berkonsepkan pendidikan agama peringkat rendah bagi menyokong dan memperkukuhkan pendidikan Islam yang dilaksanakan di bawah sistem pendidikan kebangsaan.

“Pelajar diberi penekanan dan tumpuan kepada amali serta kemahiran membaca al-Quran mengikut tajwid dan Fardu Ain di samping kemahiran dalam penulisan dan pembacaan Jawi,” katanya.

Katanya, YIT berhasrat melaksanakan program seumpama itu di semua sekolah di Terengganu dalam usaha menyemai benih kesuburan dalam diri setiap pelajar berkaitan kepentingan serta kesucian agama Islam..

“Apa yang membanggakan kejayaan pelajar Kafa khatam al-Quran terus meningkat pada setiap tahun di mana tahun ini seramai 20,133 pelajar mampu khatam dengan baik berbanding tahun lalu berjumlah 16,929 pelajar.

“Bagi tahun depan pula, pihak kami mensasarkan seramai 30,000 pelajar mampu khatam hasil bimbangan guru yang bertauliah,” katanya.

Haji Md Kamaru Al-Amin berkata, pihaknya yakin dengan adanya program seumpama itu, setiap pelajar di Terengganu dapat khatam al-Quran sebelum memasuki sekolah menengah.