Halaman

08 May 2012

Puak `jumud', heret kanak-kanak sertai Perhimpunan

Oleh: Aida Abd Rahman


Sikap terdorong dan terikut-ikut melakukan penentangan menyebabkan penganjur dan kebanyakan peserta demonstrasi perhimpunan Bersih 3.0 bersikap `jumud' sehingga gagal meletakkan sesuatu perkara berasaskan logik, lantas membelakangkan aspek kemanusian serta paling tidak boleh diterima akal mereka sanggup memperalatkan kanak-kanak.

Akta Perhimpunan Aman 2011 jelas menggariskan bahawa seseorang di bawah umur 21 tahun tidak boleh menjadi penganjur manakala kanak-kanak bawah 15 tahun tidak boleh menyertai mana-mana perhimpunan.

Malah, mana-mana orang yang merekrut atau membawa kanak-kanak ke perhimpunan atau membenarkan kanak-kanak pergi ke perhimpunan juga dianggap telah melakukan kesalahan, dan jika disabitkan boleh didenda sehingga RM20,000.

Namun, segelintir peserta perhimpunan itu dengan dangkal membawa anak kecil yang terlalu naïf ke lokasi yang mencetuskan tindakan ganas serta kejadian merempuh sekatan polis sekali gus memperlihatkan penganjur perhimpunan yang didalangi puak penentang kerajaan itu tidak mematuhi garis panduan yang ditetapkan dalam akta berkenaan.

“Ibu bapa tidak sepatutnya membawa anak kecil yang belum mengerti apa-apa ke satu perhimpunan yang jelas boleh mengundang anasir tidak baik dan huru-hara. Tempat mereka bukan di situ, melihat segala kekacauan, menimbulkan kegusaran dan trauma dengan perilaku biadap segelintir manusia yang taksub terhadap sesuatu perkara kerana didalangi sentimen politik.

“Anak kecil ini harus dilindungi dan ditempatkan di lokasi selamat, bukan diheret sama oleh ibu bapa yang kononnya mahu menuntut keadilan. Jangan jadikan mereka mangsa keadaan dan perkara itu amat dikesali, malah tidak sepatutnya terjadi pada era ini, ” kata Ketua Pergerakan Puteri Umno Negeri, Puan Nordiana Shafei, kepada Teganukita, baru-baru ini.
Meskipun penganjur telah pun memberi jaminan akan memastikan bahawa perhimpunan yang kononnya bertujuan untuk menuntut pilihan raya yang bersih dan adil itu berlangsung dengan aman, mereka gagal mematuhinya berikutan ia tetap disusuli dengan pelbagai insiden yang melanggar undang-undang.

Memetik kenyataan menerusi laman facebook `Perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April 2012, 2 petang di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, BERSIH 3.0 DUDUK BANTAH’ turut menyenaraikan dalam medium sesawang itu, `beberapa perkara yang tidak dibenarkan kepada peserta ‘ yang hadir ke perhimpunan Bersih berkenaan, termasuk perkara ke-12, bagi yang membawa anak-anak, `anda tidak dibenarkan membawa permainan yang berupa seperti senjata seperti pistol, senapang atau pisau mainan’, manakala perkara ke-13 pula `jangan bawa anak-anak yang berumur 10 tahun ke bawah bagi mengelakkan sebarang masalah'.

Arahan itu membuktikan peserta dibenarkan membawa anak-anak berumur 11 tahun dan ke atas. Bagaimanapun, usia 11 tahun dan ke atas itu juga masih bergelar kanak-kanak.

Malah, menerusi akaun facebook itu juga, penganjur turut meminta `pastikan sahabat atau saudara dan anak-anak anda ada bersama selepas perhimpunan. Jika tiada, sila laporkan kepada Setiausaha Bersih 3.0.

Beberapa kenyataan dan perkara yang disenaraikan itu jelas membuktikan penganjur sengaja menghalalkan cara kerana mementingkan kepentingan puak mereka.

Mereka mahu meraih sokongan ramai dan mendapatkan jumlah peserta yang disasarkan, walaupun terpaksa mengerah tenaga ibu bapa `yang kurang matang’ bersama anak-anak kecil dari setiap ceruk ke demonstrasi itu.

Berdasarkan satu laporan, Pemerhati politik, Che Hamdan Mohamed Razali, daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Dungun, Terengganu, berkata tindakan peserta perhimpunan membawa kanak-kanak ke demonstrasi itu juga secara tidak langsung memberi isyarat tidak salah menentang pihak berkuasa.

Pensyarah Sains Politik itu berpendapat penganjur perhimpunan yang diketuai Datuk S.Ambiga disertai Ketua Pembangkang Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Presiden Pas Dato’ Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP Lim Kit Siang gagal mematuhi akta tersebut selain gagal mengawal pesertanya.

"Dari segi mengumpulkan orang untuk berhimpun memang Ambiga serta pemimpin pembangkang lain telah berjaya tetapi beliau selaku Pengerusi Bersama NGO itu gagal untuk mengawal para pesertanya supaya berkelakukan baik dan sopan," katanya.

Malah, perhimpunan itu juga tidak sekadar menjurus kepada tuntutan pilihan raya yang adil dan bersih, sebaliknya turut membawa beberapa isu lain antaranya isu Lynas, Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) serta penyenaraian Penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) di Bursa Malaysia.




17,000 peluang pekerjaan, janji `lebong’ Pas-MB

Oleh: Suriati Ali



“Kenyataan pemimpin Pas yang menawarkan 17,000 peluang pekerjaan dalam tempoh tiga tahun kepada rakyat Terengganu jika parti itu memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 adalah janji dusta atau janji `lebong’.

“Apa yang dijanjikan itu lebih kepada kepentingan politik atau lebih tepat lagi ingin memancing undi rakyat,” kata Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Kenyataan yang dipetik dalam beberapa blog pembangkang -Seramai 17,000 rakyat Terengganu yang penganggur dijanjikan dengan peluang pekerjaan sekiranya PAS diberi peluang dan mandat untuk memerintah negeri Terengganu selepas pilihanraya umum yang akan datang.

Pesuruhjaya PAS Terengganu Haji Mohd Abdul Wahid Endut berkata berdasarkan kajian yang dibuat sebanyak 4% atau 17,000 belia di negeri Terengganu tidak memiliki sebarang pekerjaan.
Katanya, puak Pas sanggup menipu dan melakukan apa saja, asalkan mereka dapat sokongan daripada rakyat walaupun hakikatnya mereka sendiri sedar apa yang diperkatakan itu tidak mampu dilaksanakan.

“Cuba fikir, bagaimana puak pemimpin Pas ni, nak wujudkan 17,000 peluang pekerjaan dalam tempoh tiga sedangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang ada sekarang ni pun hanya berupaya menawarkan 5,000 hingga 7,000 peluang pekerjaan saja.

“Itu pun selepas kita berusaha keras memikat beberapa ahli perniagaan terkemuka melabur di negeri ini,” katanya.

Katanya, terdesak untuk memenangi banyak kerusi pada pilihan raya akan datang, parti pembangkang tidak habis-habis menabur janji kosong dan berbohong kepada masyarakat demi meraih sokongan.

“Usaha yang dilihat sebagai murahan itu semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini, kerana mereka (pemimpin Pas) begitu terdesak untuk menjadi wakil rakyat hingga sanggup berbohong,” katanya.

Dato’ Seri Haji Ahmad Said turut meminta supaya rakyat negeri ini tidak mensia-siakan undi pada PRU ke-13 dengan cara memilih kerajaan yang benar-benar berwibawa demi memastikan kesinambungan proses pembangunan di Terengganu.






Latihan kemahiran untuk anak peserta e-Kasih

Oleh; Esah Abdullah

Kerjasama pelbagai jabatan seperti Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM) dan Akademik Binaan Malaysia Wilayah Timur (ABMWT) berjaya meningkatkan kemahiran anak-anak peserta e-Kasih.

Sehubungan itu Terengganu mendapat peruntukan RM2 juta daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLBW) tahun ini untuk melaksanakan Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya kepada golongan sasar.

Setiausaha KKLBW, Dato’ Ibrahim Muhammad berkata, menjadi hasrat kerajaan untuk memberi latihan kemahiran secukupnya kepada anak peserta e-Kasih bagi membina kerjaya sendiri sekaligus mampu merubah kehidupan keluarga kea rah lebih baik.

“Tahun ini terdapat 188 orang peserta berpeluang mengikuti kursus jangka pendek dan sederhana di bawah PLKK dengan kos RM600,000,” katanya di majlis Graduasi PLKK di ABMWT Jenagur, Hulu Terengganu.

Menurutnya daripada jumlah itu, 150 peserta mengikuti lima jenis kursus dengan kerjasama ABMWT manakala selebihnya melalui syarikat pengendali latihan kemahiran swasta.

Katanya, jangkaan pendapatan dan prospek perlaksanaan PLKK menyasarkan 70 peratus peserta yang mendapat latihan kemahiran berupaya memperolehi jaminan pekerjaan sama ada makan gaji atau bekerja sendiri.

Dato’ Ibrahim memaklumkan KKLBW menyediakan peruntukkan lebih besar untuk PLKK tahun ini iaitu RM36 juta di seluruh negara berbanding tahun lalu dengan anggaran 4,235 peserta dapat menimba latihan kemahiran melalui program berkenaan.

“Tahun lalu kementerian memperuntukan RM14.36 juta dan telahpun berjaya melatih seramai 2,259 peserta dalam pelbagai bidang termasuk perkhidmatan, perkilangan dan teknikal,” katanya.






PATUHILAH KEPUTUSAN JAWATANKUASA FATWA

Oleh: Ruslan Abdul Rahman


Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia bahawa haram untuk umat Islam menyertai perhimpunan atau demonstrasi yang bertujuan tidak baik, melanggar undang-undang serta mencetuskan huru-hara dan kekacauan dalam negara amatlah dialu-alukan.

"Tindakan merusuh, membawa kacau bilau dan merosakkan harta benda awam adalah suatu perbuatan yang ditegah Islam. Malah niat untuk menjatuhkan negara yang sah di sisi undang-undang melalui penganjuran demonstrasi seumpama itu juga haram di sisi agama.


Sesiapa juga tidak boleh buat, tidak (boleh) bersetuju ke arah (usaha) mendatangkan kemudaratan, keresahan, menjadikan rusuhan sesama kita hingga berpecah, apatah lagi kalau berlaku pertumpahan darah,"

Umat Islam yang menyertai demonstrasi itu perlu insaf kerana tindakan itu bukan daripada ajaran Islam kerana Islam tidak pernah menyuruh umatnya bertindak sedemikian sehingga mengancam nyawa sesama manusia demi mencapai sesuatu agenda.


PAS akui sukar saingi Umno di luar bandar, Felda

Oleh HISHAM JAMALUDDIN

PAS mengakui agak sukar bagi parti itu untuk bersaing dengan Umno bagi mendapatkan sokongan pengundi melayu terutamanya di luar bandar dan kawasan penempatan Felda.

Ketua Penerangan PAS pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, parti itu berhadapan dengan pelbagai masalah untuk meraih sokongan di kedua-dua kawasan itu.

“Ruang bagi PAS yang bersaing dengan Umno bagi merebut sokongan pengundi Melayu sehingga saat ini kita akui masih lagi berhadapan dengan pelbagai masalah khususnya di kawasan luar bandar dan Felda,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan konvensyen PAS Perak ke-16 semalam.

Katanya satu daripada faktor PAS gagal meraih sokongan pengundi ialah pendekatan inklusif yang dilaksanakan parti itu di mana program yang diadakan terlalu bersifat kepartian.

Pada sidang media kemudiannya, Tuan Ibrahim berkata PAS pusat telah menerima senarai calon yang akan bertanding pada pilihan raya umum ke-13 akan datang.

“Kebiasaannya setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) atau parlimen akan hantar sekurang-kurangnya dua nama dan majlis syura telah meluluskan dua nama tersebut di seluruh negara.

“Semua calon telah diputuskan di peringkat Majlis Syura dan sekarang kita turunkan calon ke peringkat jawatankuasa pusat parti dan jawatankuasa itu yang akan putuskan siapa calon (yang akan bertanding) dalam masa terdekat,” katanya.

Selain itu, katanya pembahagian kerusi di kalangan parti dalam pakatan pembangkang telah 90 peratus selesai.



Cabaran Gunung Tebu tawar hadiah keseluruhan RM30,000


Kejohanan Cabaran Gunung Tebu (TMC) 2012 yang akan diadakan di Taman Rekreasi Lata Belatan, Besut pada 18 dan 19 Mei ini menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah lebih RM30,000.

Ia dianjurkan oleh Persatuan Pemandu Pelancong Alam Semula Jadi Terengganu (Tenaga) dengan kerjasama kerajaan negeri.

Pengurus kejohanan, Mohd. Khairul Abu Bakar berkata, kejohanan yang memasuki edisi kedua sejak diperkenalkan dua tahun lalu itu dijangka menarik kira-kira 250 penyertaan.

"Penggemar sukan dan aktiviti lasak yang berminat untuk turut serta boleh terus menghubungi kami di talian 012-9297837 dan 019-9178000 untuk maklumat lanjut.

"Tarikh tutup kejohanan ialah tiga hari sebelum ia bermula," katanya hari ini. – FAUZI MOHD



Mat Zan tinggalkan skuad Terengganu Jun ini – Dato’ Che Mat

Ketua jurulatih Skuad Penyu, Mat Zan Mat Aris (gambar) mengambil keputusan untuk meletak jawatan semalam. Ia berkuat kuasa 1 Jun depan.

Perkara itu disahkan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Dato’ Che Mat Jusoh selepas perbincangan dengan bekas jurulatih Pos Malaysia itu.

Terdahulu, PBSNT mengarahkan Mat Zan bercuti rehat selama dua minggu selepas menyaksikan Terengganu tewas kepada Sime Darby pada aksi separuh akhir Piala FA.

Selepas Mat Zan direhatkan, penolongnya, Mohd. Khalid Dahan dilantik sebagai pengendali sementara dan dibantu oleh bekas penjaga gol Terengganu, Zuber Ibrahim yang bertindak sebagai pembantu jurulatih.

Mengulas lebih lanjut, Dato’ Che Mat berkata, keputusan itu diambil atas dasar persefahaman serta persetujuan antara kedua-dua pihak tersebut.

"PBSNT mengucapkan ribuan terima kasih atas sumbangan Mat Zan kepada pasukan Terengganu selama ini.

"Mat Zan mengakui sedikit tertekan terutama selepas kegagalan layak ke final Piala FA.

"Justeru, Mat Zan percaya langkah yang diambilnya sebagai tepat demi mengembalikan prestasi cemerlang Terengganu," katanya yang dipetik dalam sebuah akhbar tempatan hari ini.

Tambah Dato’ Che Mat, kini terdapat beberapa individu yang berminat untuk membimbing skuad Terengganu.

Begitupun katanya, keputusan hanya akan dibuat selepas mesyuarat PBSNT dalam masa terdekat.

"Ada beberapa calon yang berminat untuk membimbing pasukan Terengganu.

"Mereka terdiri daripada jurulatih yang berasal dari Korea Selatan dan juga Singapura.

"Malah, bekas jurulatih kebangsaan juga ada menyatakan minat mereka untuk menjadi jurulatih Terengganu.

"Begitupun, kami akan bermesyuarat terlebih dahulu dan mengenal pasti latar belakang jurulatih tersebut sebelum memutuskan jurulatih baharu yang bakal menggantikan Mat Zan pada Jun depan," katanya. - FAUZI MOHD



07 May 2012

Muzium pamerkan kehebatan Terengganu

Oleh: Suriati Ali


Kira-kira 20,000 pengunjung dijangka hadir pada Pameran Kehebatan Terengganu yang bakal diadakan di Muzium Negeri Terengganu.

Pameran anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT) itu bakal berlangsung selama 54 hari iaitu bermula 9 Mei sehingga 30 Jun depan.

Penolong Kurator-Perhubungan dan Pemasaran LMNT Mohd Saberi Muda berkata puluhan kehebatan Terengganu, termasuk mampu mengekalkan kecemerlangan dalam pendidikan, pelopor kepada program kelas maya dan wajah-wajah pelajar terima e-Book bakal dipamerkan.

Katanya, pameran seumpama ini wajar dimanfaatkan semua golongan terutama pelajar kerana mampu memberi dorongan supaya terus berjaya.

“Ia juga dapat memberi kesedaran bahawa kerajaan Terengganu dan rakyatnya boleh mencipta kehebatan dengan acuan sendiri, “ katanya kepada Teganukita.

Menurutnya, LMNT tidak jemu merangka beberapa program tahunan semata-mata ingin menarik minat orang ramai mengunjungi muzium.

“Pada tahun lalu, LMNT mencatatkan seramai 169,370 pelawat yang sudi datang melihat pelbagai khazanah dan artifak berharga yang diadakan di tempat kami,” katanya.





Kriket Terengganu cari bakat baru

Oleh FAUZI MOHD dan AIDA ABD RAHMAN

Persatuan Kriket Negeri Terengganu (PKNT) memperluaskan peranannya dalam mencungkil bakat-bakat baru di peringkat akar umbi menerusi program pencarian bakat bermula bulan depan.

Pengerusinya, Apli Yusof berkata, usaha yang mendapat sokongan Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) itu bagi mengembalikan kegemilangan sukan itu di negeri ini yang dianggap ‘sudah berkubur’ oleh sesetengah pihak.

Menurutnya, di peringkat Sukan Malaysia (Sukma), negeri ini sudah lebih 20 tahun tidak terlibat dalam acara berkenaan walaupun sukan itu pernah melonjakan nama Terengganu sekitar tahun 1980-an.

“Kerjasama akan dijalinkan dengan Persatuan Kriket Malaysia (MCA) bagi mencari kira-kira 20 atlet lelaki bawah 20 tahun dengan bantuan jurulatih daripada MCA sendiri serta bekas pemain kriket Terengganu.

“Mulai tahun depan, PKNT akan menyertai beberapa kejohanan peringkat remaja kebangsaan untuk memberi pendedahan dan mengasah bakat pemain-pemain yang baru ke tahap lebih tinggi,” katanya kepada pemberita hari ini.

Tambah Apli, dengan keupayaan pasukan sedia ada, Terengganu turut memberi saingan kejohanan kriket kebangsaan anjuran MCA bermula April lalu di Kuala Lumpur dan akan berakhir awal Jun ini.

Katanya, pasukan bimbingan Zainal Fitri Zainal Abidin itu dibarisi 20 pemain berwibawa seperti Ruzmi Awang, Hamrizal Haris, Ahmad Yusaidie Ibrahim, Nizam Semaon, Mohd Azhar Ahmad dan lima pemain dari Pakistan.

“Kita harap mereka mampu memberi saingan terbaik bagi membuktikan Terengganu masih mempunyai pemain yang disegani dalam acara ini. Ia penting bagi menaikkan moral persatuan untuk melahirkan pelapis baru pada masa depan,” katanya.

Dari segi prasarana sukan itu kata Apli, PKNT masih belum mempunyai kemudahan lengkap untuk latihan atau apa jua penganjuran pertandingan peringkat negeri.

“Buat masa ini, kita tumpu sepenuhnya latihan dan sesi pencarian bakat akan datang di padang Kompleks Sukan Gong Badak,” jelas beliau yang juga Ketua Pemuda Umno Kuala Nerus.



Pasar, rumah siap dibina untuk penduduk Dun Manir

Oleh: Aida Abd Rahman

Penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir terus mengecap keselesaan apabila pelbagai kemudahan prasarana seperti perumahan dan pasar baru siap dibina di mana kemudahan awam itu bakal diserahkan kepada penduduk terlibat dalam tempoh terdekat.

Pegawai Pembangunan DUN Manir, Encik Yusof Awang Hitam, berkata sebanyak 437 unit Rumah Mampu Milik di Kampung Batu Hampar sudah siap dibina dan akan diserahkan penduduk tidak lama lagi.

“Pasar Manir yang dibina sejak setahun lalu itu juga bakal beroperasi pada bulan ini bagi menggantikan pasar lama yang tidak tersusun dan usang.

“Kita hanya menunggu kelulusan dari Majlis Bandar Raya Kuala Terengganu untuk menyerahkan kepada peniaga terlibat supaya operasi dan urus niaga dapat dilaksanakan di ruang yang lebih selesa dan kondusif,” katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.

Beliau berkata, penduduk juga dapat menjalankan ibadat dengan selesa apabila Masjid Batu Hampar selesai dibaikpulih bulan lalu dengan peruntukan RM800,000 mula digunakan umat Islam sekitar, baru-baru ini.

Selain peruntukan membaik pulih Masjid Batu Hampar, Perdana Menteri yang mengadakan lawatan ke DUN itu setahun lalu turut mengumumkan peruntukan RM150,000 bagi membina Rumah Penginapan 1Malaysia untuk petugas di klinik rawatan masyarakat berkenaan.

Katanya, rumah penginapan itu yang boleh diinap sejak bulan lalu juga boleh disewa oleh penduduk sekitar untuk majlis keramaian seperti majlis perkahwinan.

“Malah kita juga mahu menjadikan rumah penginapan itu berfungsi seperti `inap desa’ yang mampu disewa oleh orang ramai dengan tawaran sewa yang berpatutan,” katanya.


a onblur="try {parent.deselectBloggerImageGracefully();} catch(e) {}" href="http://teganukita.blogspot.com/">