Halaman

12 December 2012

Kolej Inforana lancar krew program kemanusian dan jelajah kemahiran

Oleh: Noraini Jusoh

Kolej Inforana yang merupakan anak syarikat Inforana Holding Sdn Bhd telah mengadakan Majlis Pelancaran Krew Program Kemanusian dan Jelajah Kemahiran bertempat di Quinara Al Safir Resort, Tok Jembal, baru-baru ini.

Pengarah Eksekutifnya, Haji Ahmad Ramzi Haji Abdul Rahman berkata, pelancaran program terbabit bertujuan mendedahkan pelajarnya terutama yang sedang mengikuti kursus kulinari bagaimana cara masakan orang luar seterusnya dapat memberi pengalaman dan meluaskan kemahiran mereka.

Majlis pelancaran tersebut telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Haji Abdul Rahin Mohd Said.

Menurut Ahmad Ramzi, progam yang julung kali diadakan itu melibatkan 40 pelajar yang akan diterbangkan ke Indonesia pada bulan April tahun depan dan akan berada di sana selama empat hari tiga malam.

"Pada bulan Ogos pula, juga seramai 40 orang pelajar akan ke Kemboja untuk berkongsi pengalaman dalam bidang masakan dengan penduduk di sana.

"Saya difahamkan kemahiran penduduk dalam bidang masakan di Kemboja, contohnya dalam pembuatan roti masih rendah berbanding di Malaysia, oleh itu secara tidak langsung pelajar yang menyertai program ini akan menjadi duta kecil negara yang akan mengajar dan menunjukkan kemahiran memasak yang mereka miliki,” ujarnya di sidang media selepas selesai majlis pelancaran program tersebut.

Katanya, selain berlakunya perkongsian ilmu antara pelajar kolej ini dengan penduduk di sana, melalui program ini juga dapat mempromosikan menu makanan popular Malaysia ke peringkat antarabangsa.

Katanya, beliau yakin melalui program yang mendapat kerjasama Homestay Teluk Ketapang ini mampu membuktikan kebolehan pelajarnya dan berharap dengan kemahiran yang dimiliki mereka mampu pergi lebih jauh dalam bidang masakan.

 

BABI TETAP HARAM WALAUPUN DIPANGGIL KHINZIR- YB KHAZAN

Oleh: Ruslan Abdul Rahman 

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, YB Ustaz Haji Khazan Che Mat mejelaskan pakatan PAS, DAP atau dengan bukan Islam tetap tidak boleh kalau kaedah pakatan itu bercanggah dengan Islam walaupun disebut sebagai ‘tahaluf siasi’ kerana sebenarnya itu dalam bahasa Arab, dalam bahasa Melayu ialah ‘pakatan politik”.

Oleh itu, kalau Pas, mengatakan dulu haram dan tidak boleh pakatan politik, maka ia tetap haramlah walaupun atas nama ‘tahaluf siasi” apatah lagi pakatan yang tidak menepati kehendak Islam.

“Kalau babi itu haram, walaupun dipanggil khinzir sekalipun, ia akan tetap haram,” katanya kepada Dewan Undangan Negeri Terengganu pagi ini.

Beliau memberi tahu dewan bahawa pihak dari parti pembangkang (Pas) memperalatkan agama untuk kepentingan politik dan bukannya menjadikan agama sebagai panduan sebab itu terjadi begitu.

Kalau cara pakatan politik itu bertentangan dengan Islam maka ia tetap haram dan tidak boleh dilakukan walaupun dinamakan dalam bahasa Arab, tahaluf siasi’.

Beliau berkata, hari ini semakin ramai pengikut Pas menyedari perkara yang tidak benar dilakukan oleh Pas sekarang.

Pengikut malah bekas peimpin utama mereka sendiri sudah tidak dapat menerima apa yang dilakukan oleh Pas seperti yang berlaku kepada bekas Naib Presiden Pas, YB Dato’ Dr. Hassan Ali dan bekas Timbalan Presiden Pas, YB Ustaz Nassaruddin Mat Isa yang kini dipinggirkan.

Beliau menerangkan perkara ini ketika menjawab soalan asal dari wakil Hulu Besut, Haji Nawi Mohd dan wakil-wakil pembangkang (Pas) semuanya membisu seribu bahasa mendengarkan apa yang dijelaskan oleh Adun Batu Rakit itu.

 

Sidang DUN: Usul tergempar ditolak, keputusan hak milik kawasan minyak bukan pendirian rasmi Kerajaan Pusat

Oleh: Aida Abd Rahman

Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada hari kedua semalam menetapkan supaya usul tergempar mengenai isu kawasan medan minyak yang baru di Blok PM307 Bertam di luar pantai Semenanjung antara Terengganu dan Pahang ditolak serta tidak perlu dibahaskan berikutan kenyataan Perdana Menteri mengenai hak milik sebenar sumber asli itu masih bukan pendirian rasmi Kerajaan Pusat .

Yang Dipertua DUN, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang menjelaskan demikian selepas menerima usul tergempar yang dibawa YB Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (Pas-Batu Burok) bagi menangguhkan persidangan DUN mengikut peraturan Majlis Mesyuarat Fasal 30 Peraturan-peraturan dan Perintah Tetap Dewan Undangan Negeri Terengganu bagi membolehkan dewan merundingkan isu kawasan minyak yang kini sah menjadi milik Kerajaan Terengganu.

Syed Azman ketika membacakan usul itu, menjelaskan hak dan tuntutan itu diperkuatkan lagi dengan kenyataan Syarikat Lundin oill yang menjalankan kerja carigali di kawasan Bertam di mana syarikat itu memperakui bahawa kawasan medan dinyatakan berkenaan juga sah terletak di kawasan perairan negeri Terengganu.

Dato’ Tengku Putera berkata, selepas meneliti perkara berkenaan, pihaknya mengambil kira tiga faktor bagi menolak usul itu, pertama, kenyataan YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak pada tarikh tersebut masih bukan pendirian rasmi kerajaan pusat atau pun keputusan kabinet.

“Kedua, kenyataan berkenaan bersesuaian dengan tempat dan keadaan. Selain ketiga, ia bukan keputusan rasmi Petronas seperti mana juga yang dimaklumkan YAB Menteri Besar (Dato Seri Haji Ahmad Said) dalam jawapan beliau semalam. Maka terlalu awal kepada kita untuk membuat perbahasan ketika ini,” katanya.

Beliau berkata, jika persidangan berbahas mengenai dua perkara yang dibangkitkan Adun Batu Burok itu kemungkinan akan menimbulkan spekulasi semata-mata tentang hak sebenar berikutan Perdana Menteri juga tidak menafikan atau menolak hak Terengganu terhadap perkara berkenaan secara perundangan ataupun teknikal.

Malah, Dato’ Tengku Putera berkata, bagi pihak rakyat Terengganu sendiri seharusnya berterima kasih dengan apa yang sudah dibangkitkan Menteri Besar, selaku ketua kerajaan kerana beliau bertindak mengingatkan atau mempertahankan kepentingan rakyat dan negeri Terengganu dalam soal itu.

 “ Jadi kita mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Barisan Nasional. Saya minta Ahli Yang Berhormat sekalian supaya cukup sekadar isu ini diperjelaskan dalam dewan sebagaimana yang sudah saya huraikan sebentar tadi dan tidak perlu kita mengadakan perbahasan bagi usul tergempar ini,” jelas beliau lagi.

 

Angkasa sasar 650 koperasi kredit ada sijil patuh syariah

Oleh; Esah Abdullah

Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (Angkasa) mensasarkan 650 koperasi kredit yang ada di negara ini memperolehi sijil patuh syariah supaya dapat mengaplikasikan kewangan Islam dalam urusan perniagaan mereka.

 Presiden Angkasa, Profesor Dato’ Dr Mohd Ali Baharum berkata, sehingga kini, hanya 15 koperasi di di seluruh negara sudah memiliki sijil itu manakala 50 lagi sedang dalam proses penilaian.

Menurutnya, Angkasa kini sedang giat mengadakan program turun padang untuk memberi penerangan kepada koperasi di seluruh Malaysia, termasuk kepada koperasi kepunyaan bukan Islam.

 “Kita galakan supaya kesemua koperasi kredit, yang masih menjalankan operasi secara konvensional kepada syariah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Transformasi Kewangan Islam Dalam Gerakan Koperasi di Hotel Tanjung Vista, Kuala Terengganu semalam..

Namun begitu katanya, tahap kesedaran koperasi kredit ini sudah meningkat kerana mereka tahu kepentingan pengesahan patuh syariah.

 “Angkasa  bersedia memberi nilai tambah dan juga  bimbingan terhadap perjalanan mana-mana koperasi yang perlukan khidmat itu,” katanya.

Pada majlis tersebut, seramai 200 peserta terdiri dari ahli koperasi seluruh Terengganu menghadiri seminar selama dua hari yang membincangkan tiga tajuk iaitu Pemerkasaan Syariah Melalui Skim Infaq Lil Waqf, Hubungan Syariah Dalam Kehidupan Globalisasi dan Ke Mana Wang Zakat Anda Mengalir.

Sidang DUN-Laguna Setiu perlu penambahabaikan

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan negeri disaran menambah peruntukan sebanyak RM6.5 juta dalam sektor perikanan bagi mendalamkan dan juga membina benteng pasir di Laguna Setiu.

YB Haji Abdul Halim Jusoh (BN-Permaisuri) berkata, setakat ini hanya 30 peratus kawasan laguna itu dapat digunakan akibat beberapa masalah termasuk kecetekan air yang menyukarkan operasi serta keadaan yang tidak selamat jika berlaku monsun.

“Sekiranya kawasan tersebut diberikan penambahbaikan yang sempurna saya percaya ia mampu menjana pendapatan sehingga RM50 juta setahun,” katanya ketika membahaskan Ucapan Bajet 2013 yang dibentang oleh Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said pada Sidang Dewan Undangan Negeri petang semalam.

Katanya, Laguna Setiu yang terkenal dengan ternakan ikan siakap itu mampu menjana pendapatan antara RM15 hingga RM20 juta setahun.

Menurutnya, terdapat 70 keluarga nelayan yang terlibat di kawasan terbabit dan aktiviti tersebut masih beroperasi dengan baik dan mampu menjana pendapatan pada musim biasa atau tengkujuh.

Beliau kemudiannya berterima kasih kepada kerajaan kerana telah memperuntukan RM5 juta bagi membiayai projek-projek benteng hakisan di Jeti Merang, Tadika, futsal, bengkel IKS rumah kedai serta astaka dalam Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri,

YB Abdul Halim juga bangga di atas keperihatinan kerajaan menyediakan bajet begitu besar untuk memastikan kecemerlangan pelajar di sekolah rendah dan menengah di negeri ini.

 “Guru-guru hanya beri tumpuan kepada kelas A dan B sahaja sebaliknya kelas C dan D agak terpinggir dan  perlu diingat kecemerlangan akan membawa kejayaan pada masa akan datang tetapi keciciran pelajar juga akan membawa gejala negatif kalangan masyarakat negeri dan negara,” katanya.

 

Sidang DUN: Nafi dakwaan Pas, 11.7 peratus murid tercicir

Oleh: Suriati Ali 

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abdul Rahman menafikan dakwaan Pas kononnya 11.7 peratus murid di Terengganu tercicir daripada meneruskan pelajaran ke sekolah menengah pada tahun lalu.

"Sebaliknya jumlah sebenar murid tercicir hanya 24 murid atau 0.11 peratus daripada keseluruhan  22,791 murid sekolah.

 “Daripada jumlah itu, 16 orang adalah murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Berua dan SK Sungai Pergam dan oleh itu, saya harap setiap tuduhan dipastikan terlebih dahulu kesahihannya sebelum disebarkan,” katanya ketika menjawab soalan lisan dikemukakan Ramlan Ali (BN-Jabi), semalam.


Katanya, kebanyakan masalah keciciran berlaku disebabkan mereka tidak dapat dikesan kerana menyambung persekolahan di sekolah-sekolah swasta tidak berdaftar atau belajar di luar negara.

"Januari hingga November tahun ini.seramai 319 pelajar sekolah di Terengganu dikesan tercicir daripada menyambung pelajaran sepanjang 


“Daripada jumlah itu, 62 adalah murid sekolah rendah manakala 257 orang pelajar sekolah menengah.

"Bagi pelajar sekolah menengah pula mereka tercicir kerana tidak membuat rayuan kepada sekolah atau Jabatan Pelajaran Negeri (JPNT) selepas dikenakan tindakan walaupun dibenarkan merayu," katanya.

Sehubungan itu katanya, kerajaan mengambil inisiatif mengesan pelajar-pelajar yang tercicir dan memberi pilihan kepada mereka mengikuti kelas atau kursus kemahiran dalam usaha menjamin masa depan lebih cerah.

 “Kita menyediakan banyak peluang kepada pelajar-pelajar ini melanjutkan pelajaran ke dalam bidang lain, antaranya Tesdec yang menawarkan kursus kemahiran pada usia seawal 15 tahun dan kolej vokasional yang akan beroperasi tahun depan.

 “Kolej Vokasional ini boleh disertai oleh pelajar-pelajar tingkatan satu dan harap dengan usaha-usaha ini jumlah keciciran pelajar akan berkurangan pada masa akan datang,” katanya.

 

Kategori berita pelancongan, bantu promosi TMT 2013

Oleh: Aida Abd Rahman

Selaras dengan perkembangan semasa khususnya Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013, Kelab Wartawan Terengganu (Kawat) bercadang untuk memperkenalkan dua lagi kategori penulisan berita baru termasuk pelancongan pada Anugerah Kawat-ExxonMobil (AKKEM) bermula tahun depan.

Menurut Presiden Kawat, Encik Ayob Mamat, inisiatif menambah kategori berita pelancongan sebagai menyokong usaha kerajaan mempromosikan sektor itu kepada umum secara meluas dan merancakkan lagi sambutan TMT 2013.

Selain pelancongan, Kawat turut mencadangkan kepada penganjur (ExxonMobil) untuk menambah kategori inovasi dan sains pada musim depan.

 “Dua kategori baru ini dapat meningkatkan lagi motivasi pengamal media terutama wartawan untuk menghasilkan karya yang lebih bermutu, berkualiti dan berimpak tinggi,” katanya kepada pemberita selepas Majlis AKKEM 2012, di Hotel Primula Beach Resort, Kuala Terengganu, kelmarin (10 Disember).

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said merasmikan dan menyampaikan anugerah kepada semua pemenang anugerah AKKEM 2012.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Za’abar Mohd Adib dan Pengerusi Subsidiari-subsidiari Exxonmobil, J Hunter Farris.

 

11 December 2012

ADUN BATU BURUK DIBERI PENJELASAN KEDUDUKAN EPIC OLEH MENTERI BESAR

Oleh: Ruslan Abdul Rahman 

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said menjelaskan Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (Epic), syarikat milik kerajaan negeri Terengganu mencatat keuntungan besar setelah tidak lagi disenaraikan dalam pasaran Bursa Saham Securities.

Beliau menjelaskan dalam tempoh sepuluh tahun Epic disenaraikan di Bursa Saham keuntungan terkumpul hanyalah RM45 juta sahaja atau RM4.5 juta setahun.

“Akan tetapi sekarang keuntungan boleh mencapai RM100 juta setahun setelah tidak disenaraikan lagi di bursa saham,”katanya di persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu hari ini bagi menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri, Batu Buruk, Syed Azman bin Syed Ahmad Nawawi hari ini.

Adun Batu Buruk itu mempertikaikan kewajaran Epic tidak lagi disenaraikan di bursa saham kerana menurutnya ia menjadi percakapan banyak pihak.

Dato’ Seri Ahmad menjelaskan, soal keuntungan besar lebih penting dari soal sama ada disenaraikan atau tidak kerana keuntungan yang diperolehi boleh menjadi milik sepenuh syarikat milik kerajaan negeri.

“Mana yang lebih baik untung RM100 juta setahun dengan untung RM4.5 juta setahun,” tanya Menteri Besar.

Pada tahun lepas, Epic memperolehi keuntungan bersih RM69.6 juta dan sejak kerajaan negeri mengambil alih Epic Januari lalu, Epic beroperasi di kawasan perindustrian Teluk Kalong ditubuhkan pada 17 Jan, 1981 dan bertukar menjadi sebuah syarikat awam sembilan tahun kemudiannya.

Ia tersenarai dalam pasaran Bursa Saham Securities dengan perniagaan melibatkan industri minyak dan gas, perkhidmatan pelabuhan dan lain-lain perkhidmatan.

 

Kerjasama semua pihak mampu tarik empat juta pelancong ke Terengganu

Oleh: Noraini Jusoh



Kerjasama semua pihak mampu merealisasikan hasrat kerajaan negeri untuk menarik empat juta pelancong ke negeri ini sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013.


Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Haji Abdul Rahin Mohd Said berkata, tugas dan tanggungjawab mempromosikan Terengganu bukan setakat kerajaan negeri tetapi semua penduduk di negeri ini.

"Saya berharap semua rakyat di negeri ini memainkan peranan masing-masing tidak kira penggiat pelancongan mahupun orang awam.

"Para pelancong yang datang ke negeri ini akan menilai cara layanan yang diberikan oleh setiap anggota masyarakat yang ditemui oleh mereka justeru sekiranya layanan baik yang diterima tidak mustahil mereka akan kembali melawat negeri ini,” ujarnya ketika ditemui Teganukita, baru-baru ini.

Katanya, secara kasarnya peningkatan pelancong sebanyak 20 peratus berbanding tahun lepas akan berjaya dicapai sekiranya semua penggiat pelancongan dan orang awam memberikan perkhidmatan dan layanan yang baik khususnya kepada pelancong domestik dan pelancong asing yang datang ke negeri ini.

Katanya, pada tahun 2011 berdasarkan bilangan pelancong yang berdaftar dengan hotel sahaja, didapati melebihi dua juta orang yang telah datang ke negeri ini tidak termasuk mereka yang menginap di tempat lain seperti inap desa.

"Saya berharap semua penggiat pelancongan samada pihak hotel, pengusaha inap desa, agensi pelancongan serta orang ramai di negeri ini memberi sokongan sekaligus membantu kerajaan negeri dalam mempromosikan negeri Terengganu yang kaya dengan khazanah alam semulajadi dan keindahan pantainya serta pelbagai adat dan budaya,” katanya.

Menurut beliau, selain dapat memperkenalkan Terengganu di mata dunia, secara tidak langsung kehadiran pelancong yang dijangka akan meningkat sempena TMT 2013 nanti juga bakal menjana pendapatan sampingan kepada penduduk di negeri ini.

 



Sidang DUN: Kerajaan utamakan fardu kifayah, tambah imbuhan jurumandi jenazah

Oleh: Aida Abd Rahman


Biarpun tugas menguruskan jenazah dianggap kecil oleh segelintir pihak, namun tuntutan fardu kifayah itu tetap penting dan diberi penekanan oleh kerajaan negeri apabila bersetuju menaikkan imbuhan jurumandi jenazah dari RM60 kepada RM100 bagi setiap jenazah.

Pada masa yang sama, imbuhan kepada pembantu jurumandi jenazah turut ditambah dari RM30 kepada RM50 bermula tahun depan.

YB Haji Muhammad Ramli Nuh Adun (BN-Tepoh) berkata keputusan kerajaan itu membuktikan kerajaan sentiasa peka dan mengutamakan kepentingan agama yang merangkumi tuntutan fardu kifayah termasuk dalam aspek pengurusan terakhir jenazah.
“Tindakan dan keputusan kerajaan ini bagi menghargai kumpulan pengurus jenazah yang ada hari ini, malah turut menggalakkan lagi golongan muda terlibat dengan perkhidmatan itu.

 “Ketika ini, kita berdepan dengan masalah kekurangan jurumandi jenazah kerana ramai golongan muda khususnya, tidak menunjukkan minat, malah ada yang sudah berkursus cara-cara menguruskan jenazah tetapi ada `jenggi’ pula tidak boleh menguruskan orang yang sudah mati, sedangkan orang mati sudah `tidak boleh buat apa-apa’,” katanya ketika membahaskan Ucapan Bajet 2013 yang dibentangkan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, di Persidangan DUN, hari ini.

YB Muhammad Ramli berkata, sebelum ini kadar imbuhan kepada  jurumandi jenazah hanya RM30, sebelum dinaikkan kepada RM60 sejak tujuh tahun.

Malah, imbuhan kepada pembantu jurumandi jenazah juga tidak disediakan sebelum kerajaan negeri menetapkan kadar RM30 sejak beberapa tahun lalu.

Persidangan sedikit gamat dengan hilai tawa ahli persidangan dan juga pemerhati apabila YB Ramlan Ali BN-Jabi) yang mencelah dengan soalan tambahan sama ada kerajaan mahu menetapkan kadar berbeza antara jenazah bersaiz besar dan kecil.

Bagaimanapun, soalan tambahan YB Ramlan itu dijawab oleh Yang DiPertua DUN, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang dengan meminta menyerahkan soal penetapan kadar mengikut saiz jenazah itu untuk penilaian kerajaan.

Haji Muhammad Ramli berkata, kenaikan imbuhan itu pastinya menyuntik semangat dan mampu menambah pendapatan sampingan kepada golongan jurumandi dan pembantu jurumandi jenazah itu.

Menurutnya, aspek fardu kifayah yang sentiasa diutamakan kerajaan tanpa meminggirkan kepentingan fardu kifayah yang lain seperti mengekalkan imbuhan kepada hafazan al- Quran membuktikan kerajaan negeri bukan sekadar cakap, tetapi bertanggungjawab serta bersungguh-sungguh melaksanakannya sejajar dengan konsep `janji ditepati’.

Beliau juga berterima kasih dan menyanjung tinggi kesediaan kerajaan negeri yang turut menyediakan bayaran h RM2,000 setahun bagi setiap masjid untuk tujuan meningkatkan pengurusan jawatankuasa masjid.