Isu Amanat Hadi yang mengkafirkan Umno 31 tahun lalu terus hangat diperdebatkan oleh pelbagai pihak termasuk di kalangan bekas pemimpin Pas.
Mereka jelas mahu Presiden Pas, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang itu menarik balik kenyataan penuh kontroversi tersebut, bagaimanapun sehingga kini empunya badan masih membisu berhubung desakan ramai itu.
Di sebalik isu yang hangat diperkatakan itu, puak pembangkang pula menyifatkan isu berkenaan sudah ` lapuk’ malah tidak mahu mengulas lanjut mengenainya sambil mengambil pendirian sepertimana presiden mereka - mendiamkan diri.
Golongan yang terlampau fanatik, obses dan taksub terhadap pemimpin enggan mengakui kesilapan sendiri, walhal mereka menyedari di sekeliling mereka kini sedang dan mungkin akan berlaku pelbagai konflik dan polemik yang berpanjangan di kalangan umat Islam akibat `amanat tok guru' mereka itu .
Antara kepincangan yang ketara akibat Amanat Hadi termasuk solat dua imam, akad nikah dua kali, buang daging korban sembelihan orang Umno, pulau imam pro-Umno, cerai berai dan juga persengketaan keluarga berlainan fahaman politik.
Ketaksuban ahli Pas terhadap amanat itu khususnya penyokong tegar parti berkenaan membawa kepada pelbagai perpecahan dan persengketaan yang sehingga kini perlu kepada penarikan semula amanat itu.
Perkara itu turut didedahkan bekas pemimpin seumur hidup parti itu, Zainon Ismail yang mengatakan puluhan ribu ahli serta pengikut Pas dikesan masih berpegang teguh dengan amanat itu yang sehingga kini masih menganggap Umno kafir.
Dia yang lebih dikenali dengan nama pena C. N. Al-Afghani membongkar wajah sebenar pemimpin Pas dan kesan Amanat Hadi itu terhadap umat Islam menerusi buku `Kafirkah Aku? ‘.
Bersandarkan pengalaman, bekas guru yang pernah menyandang jawatan Exco Dewan Pemuda Pas Kedah (1991-1997) mahu berkongsi dan menyingkap kisah sebenar dengan pembaca supaya mereka sedar parti yang disanjung segelintir umat Islam itu sudah terpesong jauh dari ajaran Islam.
Malah, Zainon juga mendedahkan ketaksubannya terhadap Amanat Hadi turut mengakibatkan dia sanggup mengkafirkan saudara kandung sendiri satu masa dahulu.
Menurutnya, kecaman dan serangan daripada rakan dalam Pas sudah diterima sejak dia bertindak mendedahkan kes penyelewengan Tabung Mangsa Memali lagi .
Malah, dia turut membuat laporan polis akibat diugut sesama mereka. Susulan insiden itu, Zainon dipecat dari Pas.
Selain penulis berani yang sanggup tampil berjuang menyelamatkan akidah umat Islam seperti Zainon, usaha memulihkan kepincangan itu juga dimainkan pihak berwajib khususnya Majlis Agama Islam dan adat Melayu Kelantan (Maik).
Mufti Kelantan dalam satu kenyataan berkata pihaknya sudah membuat teguran terhadap Amanat Hadi yang dikeluarkan pada 1981 itu menerusi surat rasmi selepas berbincang dalam Mesyuarat Jemaah Ulama Maik yang dipengerusi oleh Mufti Kelantan kelapan (ketika itu).
Mesyuarat jemaah ulama memutuskan bahawa lapan perkara yang dibincangkan tidak benar serta bertentangan dengan ajaran Islam, malah mendatangkan bahaya kepada akidah dan juga perpaduan umat Islam.
Lapan perkara itu antara lain menyebut perihal:
1) Tidak sah jika solat di belakang orang Umno
2) Haram dimakan daging sembelihan orang Umno
3) Terfasakh pernikahan antara orang Umno dengan bukan Umno
4) Tidak sah akad nikah oleh imam daripada Umno dan perlu diperbaharui semula
5) Mayat orang Umno tidak boleh dikebumikan di perkuburan Islam
6) Jenazah orang Umno tidak boleh disembahyangkan
7) Orang Umno tidak boleh melakukan sembahyang jenazah terhadap orang bukan Umno
8) Orang Umno tidak perlu sembahyang atau menunaikan Haji kerana amalan tidak diterima Islam.
Abdul Hadi ketika mengeluarkan amanat itu melihat Umno sebagai kafir kerana bekerjasama dengan kaum bukan Melayu dan Islam, selain mendakwa Umno mengekalkan perlembagaan penjajah.
Bagaimanapun, pemimpin Pas itu seakan menjilat ludah sendiri kerana tanpa segan silu `bersaudara’ pula dengan DAP demi menjayakan agenda politik dan menjatuh Umno sekali gus membuktikan mereka juga gagal mempertahankan konsep negara Islam yang diuar-uarkan selama ini.