Halaman

26 March 2013

Pastikan kestabilan politik untuk kesinambungan kehebatan pendidikan : Dato' Razif

Oleh: Aida Abd Rahman

Rakyat Terengganu memainkan peranan penting bagi memastikan kestabilan politik negeri dengan mempertahankan Kerajaan Barisan Nasional (BN) agar kesinambungan pembangunan, termasuk kehebatan di bidang pendidikan terus kekal, kata Ketua Penerangan Umno Negeri, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman.

 “Oleh kerana itu apa yang mustahak adalah kestabilan politik. Kita perlu tegaskan kepada penduduk dan masyarakat Terengganu supaya mereka memastikan Terengganu stabil dari aspek politik. 

“Dari segi ekonomi kita Alhamdulillah, tetapi dari segi politik kita masih lagi tidak stabil kerana pembangkang tidak melihat apa yang terjadi (perkembangan) di Terengganu sebagai satu yang kolaburatif, tetapi golongan itu melihat ia sebagai kepentingan untuk kerajaan, tidak kepada mereka,” katanya kepada pemberita ketika berkunjung ke Pusat Media Kelab Wartawan Terengganu (Kawat), semalam.

Turut hadir, Presiden Kawat, Encik Ayob Mamat.

Dato’ Ahmad Razif yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, berkata walaupun terbukti Terengganu berada pada landasan terbaik dan sudah diiktiraf sebagai negeri paling hebat dalam pendidikan serta sukan, masih ada pihak yang tidak mengakui kecemerlangan itu.

“Sebab itu pada hari ini apabila kita diiktiraf paling hebat dalam pendidikan pasti ada suara sumbang yang tidak mengakui kehebatan kita, begitu juga dalam sukan, mereka tetap mengatakan begitu dan begini.

“Malah, jika ada sesuatu (masalah) yang berlaku di Terengganu hari ini mereka mengatakan iu adalah kesilapan dan ada unsur rasuah di situ kerana mereka selalu berpolitik. Perkara ini akan menimbulkan  masalah kepada pembangunan dan juga kehebatan yang sedang berlaku di Terengganu,” katanya.

Sehubungan itu, Dato’ Ahmad Razif berkata apa yang paling mustahak, rakyat Terengganu harus bijak menilai dan memberi sokongan kuat kepada Kerajaan BN dan menyingkirkan parti pembangkang yang selalu memandang setiap yang berlaku di negeri ini sebagai suatu yang negatif.

Beliau berkata, kewujudan pembangkang boleh diibaratkan seperti dedalu, `duri dalam daging' dan juga `api dalam sekam' kerana golongan itu hanya akan mengekang usaha pembangunan dan kecemerlangan yang sepatutnya boleh terus dicapai anak Terengganu pada akan datang.

 

Jabatan Perikanan lulus 3,000 lesen sampan

Sebahagian daripada 605 nelayan telah meneriman lesan khas sampan. - Gambar Fail.

Oleh; Esah Abdullah

ABDUL KHALIL
Seramai 358 daripada 605 nelayan telah menerima lesen khas sampan dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Pengarah Jabatan Perikanan negeri Encik Abdul Khalil Abdul Karim berkata, baki permohonan itu sedang diproses untuk menentukan mereka layak dan memenuhi peraturan yang telah ditetapkan.

“Kita menetapkan syarat kelulusan ialah nelayan tulen, 70 peratus pendapatan daripada aktiviti nelayan dan berdaftar dengan e-Kasih,” katanya.

Katanya, mereka yang menerima lesen khas sampan itu layak mendapatkan subsidi minyak apabila ingin turun ke laut selain bantuan sara hidup nelayan yang ditawarkan oleh kerajaan,

``Sehingga kini kira-kira 3,000 lesen khas sampan telah diluluskan kepada nelayan di negeri ini sejak ia diperkenalkan semula pada 2008 sehingga kini setelah dibekukan pada 1982 ,’’ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penyerahan `Touch Point peringkat daerah Kuala Terengganu yang disempurnakan oleh Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk, Dato’ Haji Che Mat Jusoh, di Lagun Kuala Ibai, Kuala Terengganu semalam.

Pada majlis itu seramai 42 nelayan menerima lesen khas sampan, 28 penternak menerima input makanan ikan bernilai RM20,000. 20 nelayan menerima jaket keselamatan dan tiga orang menerima benih ikan hiasan yang disampaikan oleh Dato’ Haji Che Mat.

Sempena dengan majlis itu, Jabatan Perikanan turut melepaskan kira-kira 5,000 benih ikan siakap di kawasan lagun berkenaan.

 

Pembangkang makin terdesak

Keratan akhbar di mana Zainon Ismail mendedahkan pembangkang cuba mengelirukan dan memutarbelitkan rakyat dengan isu agama Islam.
Oleh: Gelombang Biru

Kepimpinan Pas kini dilihat semakin terdesak dan bercelaru, terutama bila mereka mengetahui segala bentuk transformasi, bantuan dan kebajikan yang dilaksanakan kerajaan mula diterima rakyat dengan begitu baik.

Janji Kerajaan Pusat untuk terus mengagihkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan dinaikkan daripada RM500 kepada RM1,000 dan BR1M remaja (RM250 kepada RM500) jika Barisan Nasional (BN) teruskan diberi mandat mentadbir negara selepas Pilihan Raya Umum Ke13 (PRU13) menyebabkan mereka bertambah `sasau’.

 Apa tidaknya, Mursyidul Am Pas, Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat sanggup menyamakan penerima BR1M seperti haiwan, manakala Presiden Pas, Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang pula mengibaratkan kerajaan yang memberi BR1M sebagai firaun bagi membodohkan rakyat.

 Pemimpin pembangkang juga bijak memutar belit isu supaya rakyat menjadi keliru, termasuk mendoakan kehancuran BN, tidak bercanggah dengan Enakman Jenayah Syariah Kelantan.

Semua pihak menyedari, Nabi Muhammad s.a.w sendiri sepanjang hayat baginda tidak pernah mendoakan sedemikian walaupun kepada mereka yang berbuat jahat kepada baginda.

 Sebaliknya baginda yang diancam bunuh dan diperlakukan sebegitu rupa sentiasa mendoakan agar pihak musuh diberi petunjuk oleh Allah s.w.t.

 Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat menyifatkan pemimpin Pas berkenaan cuba mengalih perhatian rakyat bagi menyembunyikan kegagalan mereka untuk memberi khidmat kepada rakyat .

 “Tindakan itu juga menunjukkan kerakusan pemimpin pembangkang untuk menawan Putrajaya dengan apa cara sekalipun walaupun ia menyimpang jauh dari sunnah Rasulullah s.a.w.

 “Rasulullah s.a.w sentiasa mendoakan keselamatan dan meminta Allah s.w.t membuka pintu hati mereka yang berbuat jahat kepada baginda supaya tidak mengulangi kesalahan itu.

 “Dalam peristiwa di Thaif, baginda mendoakan keselamatan kepada penduduk di kawasan itu walaupun baginda sendiri dibaling dengan batu,” katanya ketika dihubungi Teganukita.

 Pegawai Pembangunan Parlimen (PPP) Marang, Dato' Abdul Rahman Bakar berkata, Semakin hebat kerajaan BN mentabdir Terengganu makin kuat hasad dengki puak Pas.

 “Apabila tengok Terengganu semakin maju, mereka akan mencipta pelbagai helah dan fitnah supaya timbul kebencian di kalangan rakyat, selain berangan untuk kembali memerintah negeri ini. “Inilah sifat sebenar puak Pas sejak daripada azali lagi yang sememangnya gemar melihat pepecahan,” katanya.

 Katanya, sepanjang pemerintahan Pas di kawasan yang ditakluki mereka, apa kebajikan atau pembangunan yang dilaksanakan untuk rakyat. “Jelas mereka tidak berbuat apa-apa melainkan hanya BN sehingga kini setia berbakti kepada rakyat walaupun di kawasan kubu Pas,” katanya.

 

Guru berperanan bendung keruntuhan akhlak pelajar

Oleh; Esah Abdullah

Para pendidik boleh memainkan peranan untuk membendung masalah sosial dan keruntuhan akhlak remaja perempuan yang sedang hangat diperkatakan oleh masyarakat hari ini.



Isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud berkata, pelbagai perkara berkait moral remaja dibangku sekolah amat membimbangkan dan perlu dibendung segera.

“Kita sebagai pemimpin Puteri Islam bertanggungjawab untuk sama-sama membendung masalah ini dengan menggunakan segala ilmu yang dipelajari,” katanya ketika berucap merasmikan majlis Penutup Kursus Asas Kepimpinan Guru-guru Pemimpin Pergerakan Puteri Islam Perhubungan Negeri Terengganu di Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail Telaga Batin, Kuala Terengganu hari ini.

Katanya, keadaan menjadi semakin membimbangkan masyarakat Islam apabila masalah LGBT (Lesbian, Gay, Bisexual, Transgender) turut menular di kalangan masyarakat yang sangat perlu dipandang serius.



“Mudah-mudahan segala ilmu yang diperolehi daripada kursus ini dapat dimanfaatkan sebagai panduan memimpin guru-guru Puteri Islam serta ahli-ahli puteri di sekolah supaya dapat mengisi masa remaja dengan perkara berfaedah,” katanya yang juga Pengerusi Pergerakan Puteri Islam Malaysia (PPIM) Perhubungan Terengganu.

Katanya, semua rakyat patut menjiwai konsep ’Tiada Halangan Hanya Peluang’ sebagai motivasi untuk berjaya.

”Hanya kekuatan dan kesungguhan dapat menjadi benteng ketika menempuh ranjau perjalanan dan saya yakin dengan kebijaksanaan, jati diri dan sumber tenaga yang ada, kejayaan dapat dicapai dengan mudah,” katanya.



Menurutnya, kerjasama semua pihak dapat memastikan setiap slogan yang dilaungkan, dapat dilaksana mengikut jangka masa ditetapkan dan kibarkan panji-panji kecemerlangan Puteri Islam sepanjang perjalanan, seluas mata memandang demi agama, bangsa dan negara. .

 “Semoga usaha kita semua memberikan impak yang baik dan signifikan kepada masyarakat serta diberkati Allah SWT,” katanya.

To’ Puan Seri Hajah Norliza kemudiannya telah menyampaikan Watikah Perlantikan Pengerusi PPIM daerah-daerah bermula dari Kuala Terengganu Utara dan Kuala Terengganu Selatan, Marang, Dungun,Kemaman, Besut, Setiu dan Hulu Terengganu.

Katanya, dengan pelantikan ini sama ada muka lama atau baru, diharapkan dapat memantapkan lagi pengurusan PPIM di daerah masing-masing melalui program dan pengisian berfaedah.

 

Sokongan rakyat terhadap BN makin kuat

Oleh: Gelombang biru 

Sokongan rakyat terutama peringkat akar umbi di Terengganu dilihat semakin kuat kerana mereka menyedari keupayaan Barisan Nasional (BN) yang telah membawa satu anjakan pembangunan kepada Terengganu berbanding masa lalu.

 Tanggapan pihak tertentu kononnya rakyat di negeri ini semakin menolak UMNO khususnya Barisan Nasional (BN) disifatkan satu kenyataan yang tidak berasas dan menyimpang dari fakta yang sebenar.

 Naib Ketua Pemuda UMNO Terengganu, YB Khazan Che Mat yang juga Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat, berkata pihaknya menyifatkan kenyataan seperti ini hanyalah cubaan pihak-pihak tertentu yang semakin gelisah dengan arus sokongan semasa BN yang terus bersemarak.

"Malah dengan keupayaan BN yang ditunjangi Umno mentadbir negeri dan membela nasib rakyat secara menyeluruh membuatkan golongan yang tersepit ini tidak senang duduk sehingga memaksa mereka mencipta dakyah palsu sedemikian rupa.

 “Kita menafikan sekeras-kerasnya pelbagai dakwaan karut yang datang daripada pembangkang, mereka gemar menidakkan apa yang dilaksanakan kerajaan kerana mahukan perhatian pengundi,” kata ketika kepada Teganukita

 Katanya, pembangkang bimbang bantuan dan kebajikan yang ditaburkan kepada rakyat akan memberi kesan negatif terhadap mereka .

 “Kita percaya rakyat di negeri ini akan menilai rekod pentadbiran kerajaan yang ada sekarang berbanding fitnah yang dilemparkan.

 "Sebab itu kita tidak hairan dengan fitnah dan dakwaan tanpa asas yang dilemparkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab ini,” katanya.

 YB Khazan yakin selagi BN berjaya mentadbir dengan baik dan peka terhadap tuntutan rakyat, segala tohmahan yang dilemparkan tidak akan meninggalkan kudis.

 

Terengganu perintis sedia insentif tubuh koperasi masjid

Oleh: Aida Abd Rahman

Terengganu muncul negeri perintis menyediakan insentif berjumlah RM10,000 bagi mewujudkan koperasi melalui program Satu Masjid Satu Koperasi (SMSK).

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera, berkata sejak program itu dilancarkan dua tahun lalu, sebanyak 15 masjid seluruh negeri mengambil inisiatif menubuhkan koperasi di kawasan masing-masing dengan mendapat sokongan padu daripada kerajaan negeri.

"Program SMSK mula dilancarkan Kerajaan Pusat pada 2011 sebagai usaha menggalakkan semua golongan masyarakat dan komuniti berkoperasi.

"Bagaimanapun, rakyat Terengganu mendapat keistimewaaan yang tidak diperoleh negeri lain, iaitu insentif RM10,000 sebagai pembiayaan awal memulakan perniagaan koperasi," katanya selepas Majlis Penutup Seminar Sinergi Transformasi Koperasi Wilayah, Ketengah, baru-baru ini.

Seramai 100 peserta terdiri daripada pihak pengurusan dan ahli lembaga pengarah koperasi dalam wilayah Ketengah menghadiri seminar dua hari itu.

Dato’ Mohamed berkata, pihaknya mensasarkan penubuhan 30 lagi koperasi masjid sehingga hujung tahun ini, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 45 koperasi.

Katanya, bagi mencapai tujuan itu, kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM300,000 untuk diagihkan kepada jawatankuasa masjid yang berminat menubuhkan koperasi di kawasan mereka.

"Kita akui sambutan yang diterima agak perlahan dan kurang memberangsangkan. Perkara ini mungkin disebabkan persepsi dan mentaliti masyarakat yang agak sukar menerima perkara baru.

"Kita harapkan dengan inisiatif ini, lebih ramai akan merebut peluang bagi menubuhkan koperasi kerana banyak manfaat kepada masyarakat terutama untuk ahli koperasi," katanya.

Beliau berkata, mereka yang berminat boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) yang sentiasa bersedia membantu bukan sahaja daripada aspek khidmat nasihat dan teknikal malah bantuan kewangan.


Empat petugas Media Daerah Besut dapat surat penghargaan Polis Terengganu



Oleh: Mohammad Ishak

Empat petugas Media  Daerah adalah antara 76 penerima surat penghargaan Polis sempena Sambutan Hari Polis Ke 206 Peringkat Daerah Besut yang berlangsung di Padang Kawat,Ibu Pejabat Polis Daerah Besut, Kampung Raja, semalam.

Penerima terbabit ialah Mohammad Ishak dari UKOM, Nodin Mohadi (Bernama),Kamaruddin Hamzah (Utusan) dan Mohd Taha Yaakub, Sinar Harian.

Ketua Polis Daerah Besut, Superentindan Kamaruddin Mohd Zakaria menyampaikan surat penghargaan kepada penerima terbabit. Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, Datuk Seri Idris Jusoh, ADUN Kota Putera,Muhamad Pehimi Yusof dan Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh.

Kamaruddin berkata, pemberian surat penghargaan kepada penerima terbabit adalah sebagai penghargaan kerana sumbangan mereka kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, sempena sambutan tahun ini pihaknya turut mengadakan pelbagai program termasuk ziarah pusara wira Negara,Asisten Superintendan Zulkifli Mamat di Kampung Gong Bayor dan ziarah keluarga ACP Ibrahim Lebar. di Kampung Jabi, dekat Jertih. 

Tiba masanya Marang kembali ke pangkuan BN : MB

Oleh: Aida Abd Rahman

DATO' SERI HAJI AHMAD SAID
Akhirnya tiba masa yang paling tepat untuk penduduk di Marang mengembalikan semula Parlimen serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang dan Bukit Payong ke pangkuan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti, kata Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said.

 “Kehadiran Tan Sri (Muhyiddin Mohd Yassin) ke Marang pada petang ini membawa harapan baru bahawa Marang akan berubah wajah. Marang perlu berubah dan pastikan pada PRU13 Parlimen Marang dan DUN yang kita tewas dikembalikan kepada Barisan Nasional .

“Cukuplah rakyat Marang selama ini menderita dijajah oleh pemimpin Pas yang tidak pernah mengambil kira, mengambil cakna mengenai pembangunan dan juga masalah yang dihadapi rakyat di Marang selama ini,” katanya ketika berucap di Himpunan Rakyat 1Malaysia Peringkat Negeri Terengganu, di Padang Bola Rhu Rendang, Marang, baru-baru ini. 

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin menyempurnakan majlis pelancaran program itu.

Turut hadir, isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Seri Norainee Abdul Rahman dan isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud; Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Ahmad Shabery Cheek; Yang Dipertua DUN, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah.

Hadir sama, Ketua Umno Bahagian Marang, Dato’ Yahya Khatib Mohamad, Pegawai Pembangunan DUN Rhu Rendang, Haji Nik Dir Nik Wan Ku dan Ahli Parlimen serta Ketua Umno Bahagian seluruh Terengganu.

Menteri Besar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri berkata, semua rakyat di Marang diingatkan bahawa mereka tiada pilihan lain, melainkan mengundi BN pada PRU13 ini bagi memastikan mereka tidak lagi tersilap percaturan dengan memilih parti yang gagal membela kebajikan dan nasib mereka sepanjang diberi mandat untuk menerajui kawasan masing-masing.

 “Saya ingin melihat Marang akan terus membangun dan tidak ketinggalan dalam arus kemodenan berbanding Bahagian dan juga Parlimen lain di seluruh Terengganu.

“Sebab itulah saya seringkali menyebut kepada semua pengundi Marang, termasuk di Rhu Rendang yang diwakili Pegawai Pembangunan DUN, Haji Nik Dir yang sentiasa menjaga kebajikan penduduk setempatnya, di mana sekarang Kerajaan BN sudah membina 334 unit rumah rakyat di Rhu Rendang dan berjanji sekiranya Rhu Rendang kembali ke pangkuan BN pada PRU13 nanti, 1,000 unit rumah lagi akan dibina tahun depan,” katanya.

Selain itu, tambah beliau lagi, kerajaan kerajaan negeri juga berjanji untuk membina 500 unit rumah rakyat di DUN Bukit Payong, selain membina Sekolah Imtiaz keenam dan Kolej Matrikulasi di Marang sekiranya BN kembali berkuasa di Parlimen dan DUN itu.

Katanya, Kerajaan BN tidak sekadar berjanji sebaliknya akan mengotakan janji berkenaan dan tidak sesekali akan membiarkan rakyat hidup tanpa pembelaan seperti mana yang dilakukan pembangkang sepanjang mentadbir Marang.



Pusat Rehabilitasi 1Malaysia operasi sepenuhnya April

Oleh: Noraini Jusoh

Pusat Rehabilitasi 1Malaysia di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir yang akan memberi manfaat kepada 40,000 penduduk DUN terbabit bakal beroperasi sepenuhnya, April ini.

Ahli Dewan Undangan (Adun) Seberang Takir, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman berkata, peralatan rawatan seperti alat fisioterapi akan ditempatkan secara berperingkat di pusat yang akan memberi fokus kepada pesakit angin ahmar atau strok.

"Buat permulaan, kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu yang ditugaskan untuk memberi rawatan dan ubat secara percuma kepada penduduk akan ditempatkan di pusat berkenaan mengikut waktu pejabat.

"Bagi pesakit yang kurang berkemampuan, perkhidmatan pengangkutan percuma turut disediakan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Program Sehari Doktor Pakar Bersama Komuniti di Perkarangan Bangunan Penyelaras Umno DUN Seberang Takir, baru- baru ini.

Katanya, ramai penduduk di DUN terbabit terutamanya warga emas yang menghidapi penyakit kencing manis dan darah tinggi yang berisiko tinggi untuk mendapat serangan angin ahmar.

"Penubuhan Pusat Rehabilitasi yang bernilai RM350,000 ini merupakan tanggungjawab sosial kepada penduduk di DUN ini khususnya dan merupakan satu jihad dalam memulihkan kesihatan mereka,” katanya.

Tambah beliau, tumpuan awal akan diberikan kepada pesakit berdasarkan rekod yang ada di Klinik Kesihatan Seberang Takir.

 

25 March 2013

Jaringan kerjasama Cybertrooper-media Terengganu kongsi informasi

Oleh: Aida Abd Rahman

Penerangan Umno Negeri Terengganu berhasrat menjalinkan jaringan kerjasama dengan pengamal media seluruh negeri dalam usaha berkongsi informasi berguna bagi melancarkan fungsi jentera Cybertroopers Umno yang kini sedang giat digerakkan.

Ketuanya, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman berkata peluang bekerjasama dengan semua wartawan serta jurugambar dapat memantapkan peranan cybertroopers menerusi gerakan 24 jam yang diwujudkan Penerangan Umno bagi berdepan dan menangkis serangan musuh politik di dunia siber.

“Satu pasukan dibentuk bagi menjayakan peranan menggerakkan Cybertroopers Umno 24 jam sehari mulai sekarang sebagai sumber maklumat alternatif serta jentera membantu kemenangan parti Barisan Nasional dan Umno.

“Dengan adanya jaringan kerjsama dengan pengamal media di seluruh Terengganu sekurang-kurangnya kita dapat berkongsi informasi dan isu semasa. Pada masa yang sama kita juga menjaga etika laporan supaya kita tidak memfitnah pihak lawan,” katanya kepada pemberita ketika kunjungan ke Pusat Media Kelab Wartawan Terengganu (Kawat), hari ini.

Turut hadir, Presiden Kawat, Encik Ayob Mamat.

Dato’ Ahmad Razif  yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi dan Sumber Manusia negeri berkata, pihaknya akan memastikan jentera Cybertroopers Umno Terengganu hanya melaporkan berita yang tepat berasaskan fakta yang sahih bagi mengelak fitnah kepada pihak lain yang boleh mengundah masalah.

"Umno Terengganu tidak mahu ikut cara pembangkang yang gemar memfitnah sebaliknya menjaga etika dengan berusaha mendapatkan fakta yang tepat melalui sumber-sumber yang boleh dipercayai sebelum keluarkan sebarang berita,” katanya.