Halaman

10 October 2013

Tanam 'Timun Cina' dapat RM50 ribu setahun.

Teks dan gambar Aminudin Ismail. 

Kebun tembikai Norizan di Lembah Bidong.
SETIU: Seorang ibu dari Lembah Bidong, di sini tidak pernah jemu mengusahakan tanaman buah tembikai sejak lebih 10 tahun lalu bersama suaminya demi untuk membesarkan anak-anaknya walaupun terpaksa berhadapan dengan panas terik matahari .

Norizan Yatim, 53, dari Perumahan PPRT Lembah Bidong yang mengusahakan tanah seluas kira-kira lima ekar itu mampu memperolehi pendapatan kasar iaitu sekitar RM50, 000 setahun melalui tanaman dua kali setahun itu.

Ibu kepada lima orang anak ini sudah lali dengan panas terik dan basahan hujan malah pada musim tembikai berbuah dia akan bermalam di sebuah bangsal kecil bersama suaminya meninggalkan anak-anak di rumah.

Norizan..gigih berusaha.
“Biasalah kerja petani macam ini, panas ke hujan ke, kami tetap datang ke sini untuk menjaganya. Adakalanya kami bermalam di sini kerana menjaga buah daripada di makan babi. Biasanya kami bermalam lebih seminggu sehingga buah-buah habis dikutip.

"Sekali tanam tu dapatlah sekitar RM25 ribu. Itu pendapatan kasar, apabila ditolak semua cukuplah untuk kami makan sekeluarga,” katanya.

Norizan berkata, mengusakan tanaman tembikai, tidaklah susah kerana ia hanya perlu menjaga batas daripada ditumbuhi rumput dan perlu menyiramnya dua kali sehari sekiranya hari panas manakala membaja pula hanya tiga kali sahaja.

“Tanaman buah tembikai ini hanya memakan masa sekitar tiga bulan sahaja dan saya tanam dua kali setahun kerana bulan 11, 12 dan 1 adalah musim banjir manakala 2 dan 3 pula musim panas,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, dia juga pernah mengalami kerugian sebanyak dua kali kerana tanamannya itu musnah akibat banjir beberapa tahun lalu.

Ibu kepada lima anak itu kita baru dapat merasa sedikit kesenangan kerana kesemua anak-anaknya sudah habis belajar dan ada yang sudah bekerja.

“Dulu dapat duit digunakan untuk belanja anak-anak sekolah tetapi kini bolehlah simpan sikit untuk masa depan. Terima kasihlah kepada kerajaan sekarang kerana menyediakan rumah PPRT untuk saya dan memberi tanah ini untuk mengusahakan tanaman tembikai,” katanya yang berasal dari Mengabang Telong itu.


09 October 2013

Terengganu Incorprated agih dividen RM20.1 juta

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said ketika majlis penyerahan dividen kepada agensi kerajaan melalui Terengganu Incorprated Sdn Bhd di Wisma Darul Iman.
Oleh; Esah Abdullah
Gambar oleh Zulkipli Putra

Terengganu Incorprated Sdn Bhd (TISB) mengagihkan RM20,178, 156.81 kepada pemegang sahamnya terdiri daripada agensi-agensi kerajaan negeri sebagai dividen keuntungan syarikat yang diperolehi bagi tahun kewangan berakhir 2012.

Penerima dividen tertinggi ialah Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) berjumlah RM11,745,911.52 diikuti Menteri Besar Diperbadankan Terengganu sebanyak RM4,570,586.19.

Penerima dividen lain terdiri daripada Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) sebanyak RM1,585,971.04, Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Terengganu (RM1,248,696.16), Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Islam Terengganu (RM1,022,729.84) dan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPK) (RM4,262.06).

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, TISB telah mencatatkan prestasi memberangsangkan dengan keuntungan bersih selepas cukai berjumlah RM25.65 juta mengatasi keuntungan bersih selepas cukai tahun sebelumnya iaitu RM23.78 juta.

“Peningkatan sebanyak RM1.87 juta berbanding keuntungan yang diperolehi pada 2011 dan mencatat rekod di mana jumlah itu adalah yang tertinggi sejak penubuhan TISB pada 2006,” katanya kepada pemberita di majlis Penyerahan Dividen kepada Agensi Kerajaan di Wisma Darul Iman hari ini.

Katanya, keuntungan terkumpul TISB adalah membanggakan dengan peningkatan sebanyak 20 peratus berbanding 2011 iaitu RM25.65 juta kepada RM68.50 juta.

“Unjuran keuntungan syarikat bagi tahun kewangan 2013 pula dijangkakan sekitar RM41.14 juta,” katanya.

Menurutnya, sektor perladangan kelapa sawit merupakan penyumbang utama pendapatan keseluruhan syarikat, diikuti sektor minyak dan gas dan selebihnya adalah lain-lain sektor.

“Kejayaan yang diperolehi ini adalah hasil strategi portpolio pelaburan dan perbelanjaan berhemah serta usaha berterusan pasukan pengurusannya,” katanya.

Katanya, pembayaran dividen ini adalah berdasarkan daripada keuntungan bersih selepas cukai tahun lalu dan pengagihan dividen adalah mengikut bilangan unit saham biasa dan saham keutamaan boleh tebus bukan kumulatif yang dimiliki oleh agensi kerajaan terbabit.
 

Anak tempatan latih Pasukan Penyu musim depan

Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) memberi kepercayaan kepada anak tempatan untuk melatih pasukan ‘Penyu” musim depan dalam membentuk pasukan yang lebih mantap dan mampu membawa pulang sekurang-kurangnya satu piala.

Haji Abdul Rahman Ibrahim (gambar) diumumkan sebagai ketua jurulatih pasukan Terengganu yang baru menggantikan E Elevarasan.

Pengumuman tersebut dilakukan Presiden PBSNT, Dato’ Wan Ahmad Nizam Abdul Hamid dalam satu majlis di pejabat PBSNT pagi ini.

Beliau akan mengumumkan senarai lengkap nama pemain Terengganu 2014 dalam majlis berasingan dalam tempoh terdekat. Bagi musim baru yang bermula awal tahun depan, PBSNT melantik Mohamad Nik sebagai Penolong Jurulatih manakala Jurulatih Penjaga Gol ialah Zubir Ibrahim.

 

Media, agensi penting untuk sampaikan maklumat

Oleh: Suriati Ali

Media pelbagai saluran di negeri ini, memainkan peranan penting, bukan sahaja sebagai penyalur maklumat tetapi juga sebagai penghubung antara rakyat dengan kerajaan dan sebaliknya.



 Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata pada masa sama, pihaknya cukup menghargai peranan wartawan, yang sememang tidak jemu menghebahkan maklumat terkini sama ada berkaitan perkara umum, keperluan masyarakat dan politik.

“Jika perkara itu, tidak diambil peduli, cukup sukar bagi kerajaan dan pihak lain untuk menghebahkan pelbagai maklumat kepada masyarakat umum.

“Golongan itu sememangnya sentiasa ingin mengetahui berita melalui media cetak dan media elektronik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri YB Haji Mohd Zubir Embong pada Majlis Malam Anugerah Kewartawanan Kawat-Exxonmobil (Akkem) di Hotel Tabung Haji, Gong Badak, Kuala Terengganu.



 Sebanyak lapan kategori berita dipertandingkan di mana, Ahmad Rabiul Zukifli dari Harian Metro dianugerahkan Penulisan Berita Terbaik; Narazul Amir Zainal Azam (Kosmo,Berita Ekonomi Terbaik); Manirah Othman (Kosmo, Penulisan Berita Sukan Terbaik) dan Narazul Amir Zainal Azam (Kosmo, Penulisan Rencana Terbaik).

Anugerah lain, Ajasneh Ahmad (Bernama, Foto Terbaik); Mohd Ishak Abdillah Ngah (Bernama, Laporan Berita TV Terbaik); Adnan Mohammad (Utusan, Penulisan Berita Pendidikan Terbaik) dan Norazila Md Sani (RTM, Laporan Khas TV Terbaik).

Sementara itu, Pengerusi Subsidiari-subsidiari Exxonmobil di Malaysia, J.Hunter Farris, berkata majlis seumpama itu telah menjadi antara satu kaedah bagi mendorong wartawan khususnya di Terengganu untuk menghasilkan karya-karya yang bermutu..

Katanya, pihaknya melihat Kelab Wartawan Terengganu (Kawat) telah bergerak dengan begitu aktif , ia dapat dibuktikan melalui peningkatan kualiti penulisan dan jumlah karya yang diterima berbanding dahulu.

“Pihak kami kagum dengan usaha dan inisiatif Kawat menganjurkan program ini hampir 30 tahun.Walaupun kepimpinan Kawat silih berganti, namun prestasi program tahunan ini dapat dikekalkan,” katanya.

 




21,694 perwakilan Umno buat penentuan hala tuju parti

Oleh; Esah Abdullah

Seramai 21,694 orang perwakilan Umno bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri akan membuat penentuan pemimpin masing-masing pada 12 dan 19 Oktober depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno Terengganu, Dato’ Haji Muda Mamat berkata, 12 Oktober adalah mesyuarat perwakilan sayap iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri manakala 19 Oktober akan diadakan mesyuarat perwakilan bahagian-bahagian.

“Daripada jumlah itu seramai 7,938 orang perwakilan bahagian, perwakilan Wanita 5,098 orang, Pemuda 4,927 dan Puteri 3,731 orang,” katanya kepada pemberita di Bilik Mesyuarat Badan Perhubungan Umno Terengganu semalam.

Katanya, mesyuarat perwakilan diadakan di bahagian masing-masing dan dijangka bermula serentak jam 8.30 pagi dikuti proses pengudian akan bermula selepas itu.

“Setiap bahagian dibuka empat saluran mengikut kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk memberi keselesaan perwakilan membuang undi,” katanya.

Katanya, semua keperluan dan kelengkapan logistik akan dihantar kebahagian masing-masing sehari sebelum hari pembuangan undi.

“Proses membilang undi akan diadakan di bahagian masing-masing sebaik selesai perwakilan membuang undi dan keputusan dijangka dapat diketahui paling awal jam 8 malam,” katanya.
 

Majlis Pelepasan Konvoi Kembara Bahasa 2013

Oleh: Noraini Jusoh
Gambar oleh Zulkipli Putra

Konvoi Kembara Bahasa 2013 diadakan sempena Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2013 peringkat Negeri Terengganu.

YB Haji Rozi Mamat melepaskan peserta Konvoi Kembara Bahasa 2013 di Perkarangan Wisma Darul Iman.
Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia negeri, YB Rozi Mamat menyempurnakan Majlis Pelepasan Konvoi Kembara Bahasa 2013 Laluan Terengganu di Perkarangan Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu kira-kira jam 9 pagi ini.


Sebanyak sebelas kenderaan menyertai konvoi kali ini.

Selain Konvoi Kembara Bahasa 2013, pelbagai acara menarik turut diadakan.

Antaranya pameran, Malam Bahasa Jiwa Bangsa, pementasan teater, sayembara deklamasi puisi dan menulis cerpen serta pelbagai lagi acara menarik yang lain bakal mewarnai BBK 2013 yang bertemakan ‘Cintailah Bahasa Kebangsaan Kita’.

 

Gembira terima kunjungan YB

GEMBIRA…Nurul Nabila Abdul Razak bukan sahaja gembira kerana peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang didudukinya tamat malah turut rasa gembira kerana dia dikunjungi Ahli Parlimen Setiu, Che Mohd Zulkifly Jusoh (duduk) di Hospital Setiu (HS), semalam.

Nurul yang terpaksa menjalani peperiksaan PMR di wad hospital itu kerana mengalami penyakit saraf sejak empat bulan lalu berterima kasih kepada Zulkifly kerana sudi meluangkan masa melawatnya walaupun mempunyai jadual yang padat semalam.

“Saya terkejut juga dengan kehadiran YB melawat saya hari ini. Dia sempat memberi beberapa nasihat dan semangat kepada saya supaya tabah menghadapi situasi sekarang dan terus pelajar ke peringkat tertinggi sekiranya mampu,” katanya yang tidak mampu mengerakan beberapa anggota badannya itu. Sementera itu,

Zulkifli berkata, kunjunganya melawat Nurul di HS adalah tanpa dirancang dan tiada dalam jadualnya tetapi diketahui melalui seorang rakannya di saat akhir.

“Saya dapat tahu hari ini adalah hari akhir peperiksaan beliau, apabila dapat tahu terus saya datang walaupun saya baru selesai satu majlis tadi manakala petang ini saya ada satu lagi majlis. Saya harap Nurul akan cepat sembuh dan dapat merealisasikan cita-citanya,” katanya.

Zulkifly turut menyumbangkan sejumlah wang kepada Nabila sebagai sumbangan dari Parlimen Setiu dan akan terus memberi sumbangan kepada pesakit-pesakit yang memerlukan sekiranya dimaklumkan oleh pihak-pihak tertentu.-Gambar Aminudin Ismail.



Konvo TYIT Permaisuri/Putera Jaya menghiburkan.

Oleh: Aminudin Ismail. 

Graduan tadika bergambar kenangan bersama Zulkifly.
Antara Ibubapa yang hadir.
SETIU: Lebih 300 ibu bapa yang hadir memeriahkan Majlis Konvokesyen Kanak-Kanak Tadika Yayasan Islam Terengganu (TYIT) cawagan Permaisuri dan Putera Jaya terhibur dengan telatah anak-anak mereka membuat pelbagai persembahan.

Konvokesyen yang berlangsung di Dewan Perbadanan Perpustakaan Awan Setiu itu menampilkan beberapa persembahan dari kanak-kanak tadika itu antaranya ialah Bacaan Al-Quran oleh Nurfatma Az-Zahra Zan Nain yang membaca surah Toha dengan bacaan yang menarik perhatian ramai.

Nurfatma Az-Zahra.
Selepas itu tampil pula Zarissa Sofea Zahari dan Syahirah Rohani Mohd Sufian di pentas untuk membuat ucapan sebelum beberapa murid di dua-dua tadika itu membuat beberapa persembahan yang menghiburkan penonton antaranya ialah persembahan nasyid,pergerakan kreatif dan pentomin.

Di majlis itu seramai 60 murid dari Tadika Yayasan Permaisuri dan 50 dari Tadika Yayasan Islam Putera Jaya menerima sijil masing-masing dari Ahli Parlimen Setiu, Che Mohd Zulkifly Jusoh yang merasmikan konvokesyen itu.

 Dalam ucapan perasmiannya, Zulkifly berkata, kewujudan sekolah tadika ini banyak membantu murid-murid seawall lima tahun untuk berjaya dalam sesuatu bidang antaranya ialah dapat mengaji Al Quran dengan baik, boleh membuat ucapan, dan lain-lain.

“Berbanding dahulu, kanak-kanak sekarang lebih beruntung kerana mereka mempunyai pra-sekolah. Jika dahulu, kanak-kanak lewat menerima pelajaran sekolah tetapi kini seawal lima tahun kanak-kanak sekarang sudah boleh belajar dan mahir dalam banyak perkara melalui sekolah Tadika ,” katanya.

Persembahan nasyid.
Selain itu, Zulkifly berkata, dia mengingatkan ibubapa supaya sentiasa mengambil berat tentang anak-anak dan tidak hanya mengharapkan sekolah semata-mata kerana ibubapalah yang dapat menentukan masa depan anak-anak mereka samada untuk menjadi seorang yang baik atau sebaliknya.

Turut hadir Penolong Pengarah Kanan Pra Sekolah YIT, Wan Aidil Rahmat dan Pembantu Penolong Pengarah Kanan YIT, Zaimah Mat Adam.


08 October 2013

Pusat Jagaan Harian Warga Emas beri khidmat percuma

Oleh; Esah Abdullah

 Individu yang bekerja boleh menghantar ibu bapa mereka ke Pusat Jagaan Harian Warga Emas (PJHWE) sementara mereka keluar bekerja.

Pegawai jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Marang, Puan Noor Hayati Zaman berkata, mereka boleh menghantar ibu bapa mulai jam 8 pagi dan menjemput mereka pulang selepas tamat waktu kerja.

“PJHWE yang terletak di Bukit Payung, Marang itu di bawah seliaan JKM dan dikendalikan pertubuhan bukan kerajaan serta tidak dikenakan sebarang bayaran kepada penghuninya,” katanya.

Katanya, pusat ini mempunyai konsep sama seperti pusat asuhan kanak-kanak yang dikhaskan bagi warga emas untuk memudahkan anak menghantar ibu bapa sementara mereka ke tempat kerja.

Katanya, makan minum disediakan secara percuma dan pelbagai aktiviti seperti kelas mengaji al-Quran serta peralatan senaman turut disediakan.

“Warga emas yang tinggal sementara di PJHWE boleh menjalankan pelbagai aktiviti bagi mengisi masa lapang mereka dan daripada ditinggakan di rumah bersendirian lebih baik mereka ini ditinggalkan di pusat berkenaan,” katanya.

Sehubungan itu mereka yang mempunyai ibu bapa warga emas tidak perlu bimbang sepanjang mereka berada di tempat kerja kerana di PJHWE mempunyai penyelia untuk menjaga mereka.
 

TPK terap amalan berbahasa Inggeris

Oleh: Suriati Ali 

 Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) akan memperluaskan amalan penggunaan Bahasa Ingeris di 65 Taska Permata Keluarga (TPK) di negeri ini, bermula tahun depan.

 Pengarah yayasan itu, Encik Mohd Shafaruddin Mustaffa berkata, sebelum ini beberapa rangka telah mula diterapkan budaya penggunaan bahasa tersebut dalam perbualan dan aktiviti harian mereka.

 “Sebagai contoh, mereka yang berusia dua hingga empat tahun itu, sudah pandai menyanyi pelbagai lagu kanak-kanak dan doa dalam versi Bahasa Inggeris,.

“Apa yang membanggakan, respon diterima sangat positif kerana mereka menunjukkan minat yang ketara, selain mudah diajar,” katanya.

 Katanya, sebelum itu, pihak kami mula menerapkan budaya penggunaan bahasa Inggeris di beberapa taska dalam perbualan harian dan ia mendapat sambutan sangat menggalakkan.

 “Kanak-kanak yang mendapat pendidikan di taska YPK cukup bertuah kerana pelbagai kemudahan dapat dinikmati.

 “Ini termasuk setiap kelas dilengkapi kemudahan penghawa dingin, menu makanan yang berkhasiat dan mampu dinikmati sebanyak empat kali dalam tempoh lapan jam, pengasuh berpendidikan tinggi dan pelbagai jenis permainan canggih dan moden dapat dicuba,” katanya.

 Menurutnya, kanak-kanak taska YPK cukup berdisplin kerana mereka tahu apa yang perlu dilakukan ketika ingin tidur, makan dan bermain.

 “Pengasuh atau pembimbing yang telah melalui pelbagai jenis kursus mempunyai kaedah tersendiri untuk mendisplin setiap kanak-kanak di bawah jagaan masing-masing,” katanya.