Halaman

23 April 2014

500 kadet Bomba berkhemah di Merbau Menyusut.



KENANGAN...sebahagian ahli Kadet Bomba Hulu Terengganu bergambar kenangan bersama Kem Komandan Pekhemahan Kadet Bomba Peringkat Negeri, Noor Khairee Abdul Rahman (berdiri, belakang) ketika menyertai perkhemahan itu yang diadakan di Pusat Perkhemahan Merbau Menyusut, Setiu, baru-baru ini. 

Perkhemahan yang disertai kira-kira 500 kadet dari seluruh negeri itu bertujuan untuk menguji ketahanan mental dan fizikal peserta selain untuk memilih wakil ke Perkhemahan Kadet Bomba Peringkat Kebangsaan di Sarawak nanti.

Antara khemah yang didirikan.
"Sebanyak lapan buah daerah menyertai perkhemahan ini di mana satu kontinjen diwakili 33 pelajar. Sepanjang berada di sini, pelbagai aktiviti diadakan, antaranya ialah pertandingan kawad kaki, kawad operasi, cabaran kadet, ikatan dan simpulan dan lain-lain.

"Perkhemahan ini berjalan lancar dan saya mengharapkan semua ahli kadet bomba yang menyertai perkhemahan ini supaya mendapatl banyak ilmu dan manfaat sepanjang berada di sini," katanya.-Aminudin.
Taklimat...beberapa peserta mendengar taklimat.

Bincang..Khairee (kiri) bersama beberapa ahli kadet Bomba.

 

22 April 2014

Semua sambut baik ucaptama MB

Oleh: Aminudin Ismail.

MAJLIS Ucaptama Negeri dan Pelancaran Bidang Keberhasilan Utama Negeri (SKRA) yang diadakan di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, hari ini menyaksikan kira-kira 2,000 jemputan hadir yang terdiri daripada kakitangan kerajaan negeri, wakil UMNO Dun, Pengerusi JKKK, Badan-badan bukan kerajaan dan orang ramai.

Tinjauan Teganukita pada majlis yang memberi tumpuan kepada ucapan Menteri Besar Terengganu, Dato Seri Ahmad Said itu, rata-rata hadirin memuji ucapan itu dan menganggap Ahmad adalah pemangkin untuk terus memakmur dan memajukan negeri Terengganu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi yang juga Ketua Pemuda UMNO Setiu, Mohd Iskandar Jaafar berkata, ucapan MB itu perlu dihayati semua penduduk di negeri ini kerana ia membabitkan soal masa rakyat dan masa depan negeri supaya terus maju dan makmur.

"KRA negeri adalah satu panduan tepat untuk memastikan pelaksanaan program-program pembangunan negeri berjalan lancar. Dengan adanya KPI sebanyak 41 yang ditetapkan ini, ia mengikat kerajaan negeri supaya tidak lari dari perancangan asal yang dirumus dengan mengambil kira keperluan semua rakyat.

"Ini adalah satu komitmen kerajaan negeri dan menunjukan kesungguhan BN dibawah pimpinan Dato' Seri Ahmad Said untuk menunaikan janji PRU 13 lalu," katanya.

Alina..ucapan yang bagus.
Bagi Nor Alina Kamaruddin daripada JKKK Masjid Haji Said Marang berkata, ucapan Menteri Besar Terengganu itu adalah untuk pembangunan negeri ini.

"Ucapan MB tadi memang bagus, ia adalah untuk pembangunan masa akan datang. Harapan saya ialah supaya semua rakyat Terengganu terus memberi sokongan supaya negeri Terengganu terus maju di masa hadapan," katanya.

Seorang kakitangan kerajaan negeri, Ibrahim Othman, berkata ucapan MB itu melihat kepada keberhasilan utama negeri yang melibatkan produk-produk yang perlu diketahui.

"Sesuai dengan tema kerajaan merakyatkan pentadbiran dan pembangunan negeri maka produk yang diterjermahkan kerajaan itu nampak membuahkan hasil dan natijahnya ia memberi keuntungan kepada rakyat semua," katanya.

Mohd Zakaria Pengerusi JKKK Alor Selising, Jerteh pula menyifatkan ucapan MB itu sesuatu yang amat baik.

Zakaria..tepat.
"Ucapan MB kita tadi memang bertepatan jadi bagi saya sebagai Pengerusi JKKK jadi saya amat-amat tertarik dengan ucapan MB itu tadi kerana ia begitu membanggakan semua pihak dan boleh dikatakan kesemua ucapan MB itu memberi kegembiraan kepada rakyat," katanya.

Seorang pegawai di SUK, Kamarul Hisham Abdullah pula menyifatkan ucapan Menteri Besar itu adalah yang terbaik dan meliputi semua aspek terutamanya dalam menjana ekonomi negeri supaya lebih kukuh dan berdaya saing serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk negeri ini.

Zahari Endut dari Marang pula, berkata ucapan Menteri Besar pagi tadi adalah yang terbaik dan sesuatu yang patut dibanggakan semua pihak.

"Saya rasa setiap kenyataan yang diberi tadi akan diterima rakyat kerana ia begitu bernas dan berkesan untuk menawan hati penduduk di negeri ini. Yang paling menarik ialah soal pelaburan yang bertujuan untuk mengemaskinikan Terengganu," katanya.

Khairul...peluang pekerjaan.
Bagi Khairul Anwar Abdul Rahman dari Rhu Rendang, berkata ucapan MB itu meliputi semua aspek terutama soal membabitkan peluang pekerjaan kepada golongan muda.

"Diharap pelaburan yang begitu banyak itu akan memberi lebih peluang pekerjaan kepada golongan muda dan semua pihak perlu memberi sokongan kepada MB untuk terus menerajui negeri ini," katanya.

Hadir sama pada program itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan Pemandu, Dato’ Seri Idris Jala dan Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri, Mohd Zubir Embong.
Kamarul Hisham...sambut baik.
Ibrahim...membuahkan hasil.
Zahari..ucapan terbaik.

 

Terengganu Tarik Pelaburan Asing RM16.3 Bilion

Oleh: Suriati Ali

Terengganu berjaya menarik pelaburan asing berjumlah RM16.3 bilion sejak 2007 sehingga suku pertama tahun ini, kata Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said.

 Melalui pelaburan itu katanya, lebih 20,000 peluang kerja diwujudkan dalam pelbagai sektor termasuk perindustrian, pembuatan, pelancongan, minyak dan gas.

 Beliau berkata, pelaburan itu termasuklah syarikat CJ dan Arkema yang bakal beroperasi di Taman Polimer Kertih pada pertengahan tahun ini dengan jumlah pelaburan RM2.24 billion sekali gus telah meletakkan Terengganu sebagai destinasi pelaburan menarik bagi industri bioteknologi.

Katanya, langkah itu mampu menyediakan pelbagai peluang komersial kepada syarikat-syarikat bioteknologi terutama penggiat bioteknologi global ke negeri ini dalam tempoh terdekat.

 “Dengan faktor ini, beberapa syarikat asing dari Amerika Syarikat, iaitu Gevo Inc. telah memberikan komitmen pelaburan sebanyak RM1.65 billion untuk membangunkan loji pembuatan isobutanol dari biojisim selulosa.

Tidak terkecuali, syarikat Virdia juga turut menyatakan minat untuk melabur di Terengganu. “Sektor industri besi keluli juga dilihat sebagai pemangkin ke arah ekonomi negeri berpendapatan tinggi. Aktiviti pelaburan yang berskala besar ini turut menjadi agenda penting dalam pembangunan peningkatan taraf kehidupan rakyat di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Ucaptama Negeri dan Pelancaran Bidang Keberhasilan Utama Negeri (SKRA) di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini. Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan Pemandu, Dato’ Seri Idris Jala dan Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri, Mohd Zubir Embong.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah dan Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Komunikasi dan Multimedia Negeri, A. Latiff bin Awang Ahmad turut memberitahu, dijangka memulakan operasi pada suku ke -3 tahun ini, syarikat Easten Steel Sdn. Bhd., kilang besi keluli yang terbesar di Malaysia ini turut dapat dimanfaatkan oleh Terengganu.

 “Dengan nilai pelaburan pemulaan sebanyak RM2 billion, ianya meningkat kepada hampir RM4 billion pada ketika ini menunjukkan betapa pentingnya industri besi keluli ini kepada masyarakat.

“HKS Mineral Sdn. Bhd. juga telah diluluskan bagi membangunkan kilang besi keluli di Kawasan Perindustrian Teluk Kalong. Jumlah pelaburan yang bakal dilaburkan berjumlah RM 6.6 billion di kawasan seluas 1,000 ekar dan menawarkan sebanyak 1,300 peluang pekerjaan,” katanya.

Menurutnya, tumpuan juga diberikan kepada pembangunan lembah silika. Sumber pasir silika yang dianggarkan lebih 50 juta tan metrik akan dibangunkan oleh Terengganu Silica Consortium Sdn. Bhd. dan dapat memberi 600 peluang pekerjaan kepada rakyat negeri ini khususnya.

“Pelaburan bernilai RM350 juta ini dijalankan di Kawasan Perindustrian Saujana, Setiu. “Dengan adanya industri silika ini, produk-produk seperti kraftangan turut dapat dihasilkan oleh rakyat yang cenderung kepada penghasilan kraftangan untuk pasaran tempatan dan luar negara,” katanya.

 

Isu tukar MB, Ahmad Said tidak mahu komen

Oleh: Aida Abd Rahman

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said tidak mahu ‘mengambil pusing’ dan melayani sebarang khabar angin serta dakwaan yang hangat diperkatakan mengenai peralihan kuasa pucuk pimpinan negeri Terengganu.

 “Saya tidak mahu komen. Itu tulisan di blog. Macam-macam berlaku. Saya pun tidak tahu. Tiada komen. Itu sahaja yang boleh saya kata. Nak kata macam mana.

 “Kita kan 17-15, kita kena tumpukan persiapan untuk pilihan raya akan datang dan bukan bercakap soal-soal itu,” katanya di sidang media sempena Majlis Ucaptama Halatuju dan Pelan Tindakan Negeri, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Idris Jala; Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri, YB Haji Mohd Zubir Embong dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, YB A Latiff Awang dan semua Exco.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas berhubung dakwaan yang tersebar di laman sosial dan blog, yang mengaitkan sumber yang boleh dipercayai daripada Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Razak memetik sebagai berkata, bakal membuat penukaran Menteri Besar Terengganu tidak lama lagi.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Rozi Mamat menempelak pihak yang tidak bertanggung jawab menyebar fitnah berhubung dakwaan mengaitkan namanya sebagai Menteri Besar Terengganu yang baharu.

Sebaliknya, Adun Telemong itu tampil menafikan dakwaan yang turut mengaitkan nama beliau bakal menggantikan Dato' Seri Ahmad Said menerajui pucuk pimpinan pentadbiran negeri.


MB, Exco perlu capai 41 KPI, 11 SKRA

Oleh: Aida Abd Rahman

Menteri Besar dan semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) perlu mencapai 41 Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk memenuhi sebelas Bidang Keberhasilan Utama Negeri (SKRA) menerusi Program Transformasi Terengganu (TTP), yang dilancarkan hari ini.

Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, semua KPI berkenaan menyokong matlamat SKRA dan akan dilaksanakan berdasarkan objektif , sasaran serta tempoh masa yang ditetapkan kerajaan negeri, sebagai jentera utama bagi mencapai status Negeri Maju 2020 .

 “SKRA ini berdasarkan apa yang pernah dilakukan Kerajaan Pusat menerusi Menteri Di Jabatan Perdana Menteri merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi Dan Pelaksanaan (Pemandu), Dato’ Seri Idris Jala.

"Terengganu menjadi negeri pertama yang melaksanakan usahasama dengan Pemandu, dalam mencapai KPI dan SKRA negeri,” katanya di sidang media sempena Majlis Ucaptama Halatuju dan Pelan Tindakan Negeri, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Idris Jala; Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri, YB Mohd Zubir Embong; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Mat Razali Kassim.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, YB A Latiff Awang dan semua Exco.

Sementara itu, Dato' Seri Haji Ahmad menjelaskan antara KPI yang perlu dicapai di bawah portfolio beliau seperti menyediakan 10,000 unit rumah untuk tempoh lima tahun akan datang.

 “Berdasarkan pengalaman lima tahun lalu, kita tidak ada masalah untuk mencapai jumlah itu, malah lebih dari 10,000 kita mampu laksanakan,” katanya.

Sehubungan itu, katanya Pemandu akan memantau, memperhalusi dan memimpin pelaksanaan TTP di bawah Unit Transformasi, Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (TRANSFORM) yang diketuai YB A Latiff supaya mampu mencapai objektif SKRA dan KPI berkenaan.

Menteri Besar berkata, peruntukan bagi menjayakan SKRA berkenaan bergantung kepada bajet tahunan dan semasa serta projek pembangunan tertentu.

“Sasaran kita mencapai SKRA bagi tempoh lima tahun atau setiap satu penggal. Tetapi kita teruskan sehingga 2020, kerana kita mahu menjadikan Terengganu sebagai Negeri Maju 2020, sebagaimana hasrat Kerajaan Pusat. Ini cabaran berat kepada Terengganu.

 “Kita tahu kita antara sebuah negeri yang terkebelakang dan kita perlu bergerak pantas untuk mencapai hasrat itu dan perlu menggandakan dari apa yang dibuat oleh Kerajaan Pusat,” katanya.

“Walaupun itu bukan merupakan janji kita, tetapi kita buat. Begitu juga janji kita untuk menjadikan bandar-bandar di Terengganu cantik dan menarik. Termasuk mewujudkan satu daerah baru Kuala Nerus. Sehingga kini, jawatankuasa sudah meluluskan, cuma menunggu keputusan kabinet,” katanya.


21 April 2014

Kemungkinan tukar jurulatih : Wan Ahmad Nizam

Oleh: Aida Abd Rahman

Kecewa dengan prestasi pasukan negeri, Terengganu dan T-Team, Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) , Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid mahu mengambil tindakan tegas bagi memulihkan kemerosotan yang sedang melanda kedua-dua pasukan itu.

Beliau yang enggan mendedahkan punca kejatuhan itu, berkata pihaknya sudah mengarahkan pengurusan kedua-dua pasukan untuk meneliti segala aspek termasuk mutu kejurulatihan.

“Saya sudah mengarahkan pengurusan pasukan mengambil serius perkara ini. Jika kita lihat dalam dua tiga perlawanan yang mungkin tidak bagus kita akan mengambil suatu tindakan.

 “Tindakan itu termasuk memanggil jurulatih teknikal, merehatkan dan mungkin menukarkan (jurulatih) dan ini bergantung kepada suasana. Kita akan mengambil tindakan tegas,” katanya.

Beliau ditemui pemberita di Majlis Perjumpaan Bapa Angkat dan Jabatan Angkat Sukan Malaysia Ke-17 2014 Perlis Bersama Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Terengganu, hari ini.

Susulan itu juga, beliau turut mengadakan Mesyuarat Pengurusan PBSNT hari ini bagi meneliti dan mengarahkan beberapa perkara, diikuti pertemuan dengan seluruh pemain Terengganu, pagi esok.

Katanya, kejatuhan pasukan di kancah Liga Super kebelakangan ini, sangat mendukacitakan seluruh pengurusan, penyokong dan juga peminat apatah lagi Terengganu pernah berada di takhta liga untuk awal musim lalu.

Datuk Wan Ahmad Nizam berkata, teguran sudah dibuat kepada pengurusan dan pemain, bagaimanapun PBSNT masih memberi `ruang’ supaya semua pihak membetulkan kelemahan dan mengambil tindakan sewajarnya supaya pasukan mampu bangkit selepas tempoh rehat Liga Super selama dua minggu ini.

Tumpuan kini lebih terarah kepada prestasi skuad Penyu yang mula merudum sejak episod kekalahan 2-1 kepada Sarawak diikuti seri 2-2 dengan pasukan Selangor PKNS dan terbaru, Sabtu lalu tumpas kepada pasukan tercorot Perak 2-0 di laman sendiri.

Apabila kancah liga bersambung semula, Terengganu akan menentang pasukan kedua liga, Selangor, di Stadium Shah Alam pada 4 Mei ini.



DOA RAKYAT DUN TEPOH BUAT DATO' SERI MOHD.NAJIB DAN DATO' SERI AHMAD SAID


Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Dato’ Haji Mohd.Nasir Tan Sri Ibrahim Fikri menyatakan bahawa sokongan padu perlu terus diberikan kepada Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang banyak membuat rancangan dan pembangunan untuk faedah rakyat Terengganu.
 “Semua perlu mendoakan untuk kesejahteraan pemimpin utama kita, Dato’ Seri Haji Ahmad agar terus memimpin negeri ini dan meneruskan agenda-agenda pembangunan untuk faedah rakyat termasuklah pelbagai bantuan yang diperkenalkan untuk rakyat di negeri ini,” katanya sewaktu berucap merasmikan penyampaian Bantuan Dana Perayaan 2013, bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Tepoh di Stadium Negeri, Gong Badak, pagi tadi.
 Beliau juga meminta para hadirin mendoakan kesejahteraan untuk Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak yang juga banyak memperkenalkan skim bantuan untuk rakyat, termasuklah terbarunya iaitu BRIM.
 Turut hadir di majlis itu, Penolong Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Encik Abdul Fatah Hussien dan penghulu-penghulu mukim serta Pengerusi-Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).
 Kira-kira 2,500 penerima dana pada hari ini untuk sebahagian penerima bagi Dun Tepoh membabitkan kos lebih kurang RM850,000 dan untuk kumpulan kedua penerima bagi Dun berkenaan seramai 2000 orang lagi akan diadakan pada 28 April ini.
 Dato’ Haji Mohd Nasir yang juga bekas Ahli Parlimen Kuala Nerus berkata, Menteri Besar Terengganu menyampaikan salam kepada semua.
  “Doa tuan-puan juga adalah untuk kebaikan diri masyarakat Dun berkenaan juga bagi manfaat bantuan dan segala pembangunan yang bersifat untuk faedah rakyat”, katanya dengan iringan tepukan bergemuruh oleh hadirin ditujukan khas kepada Menteri Besar Terengganu.

Terengganu mahu rampas juara Sukma

Oleh: Aida Abd Rahman

Terengganu optimis untuk merampas kembali kejuaraan Sukan Malaysia (Sukma) 2014 dengan sasaran 53 pingat emas di temasya Sukma Ke-17 Perlis, bermula 24 Mei ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, YB Rozi Mamat, berkata seramai 401 atlet sudah bersedia untuk bersaing dalam 24 jenis sukan yang melibatkan 312 acara di temasya 12 hari itu nanti.

“Kita memperkenalkan beberapa insentif baru bagi menyuntik semangat para atlet untuk bersaing di Sukma Perlis 2014 ini. Saya harap dengan suntikan dan kerjasama yang diberikan ini akan memberi impak yang besar khususnya kepada atlet Sukma Terengganu.

“Pada kali ini Terengganu mensasarkan untuk merampas semula kejuaraan dengan pungutan 53 emas yang mewakili kira-kira 13 peratus pingat emas, walaupun kita tahu bonus (pingat emas) lain, tetapi kita kekal dengan sasaran (53 emas) ,” katanya di Majlis Perjumpaan Bapa Angkat dan Jabatan Angkat sukma Ke-17 2014 Perlis Bersama Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri Terengganu, di Stadium Tertutup, Gong Badak, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Majlis Sukan negeri Terengganu, Haji Zainal Abidin Hussin, beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri serta ketua jabatan negeri. Majlis itu turut memperkenalkan Ketua Kontinjen (Chief De Mission) Sukma Terengganu 2014, YB Mohd Mahdi Musa yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri.

Sementara itu, YB Rozi berkata, pihaknya yakin terhadap kemampuan dan prestasi atlet yang kini dihantar secara berperingkat-peringkat bagi menjalani latihan dan menyesuaikan diri di semua venue di Perlis, sebelum temasya bermula.

“Hari ini kita juga memperkenalkan Ketua Kontinjen (Chef de Mission) Sukma Terengganu 2014 yang diputuskan kerajaan negeri, YB Mohd Mahdi Musa untuk memikul tanggungjawab yang besar pada tahun ini.

“Kita juga memperkenalkan bapa angkat di kalangan YB supaya membantu sama atlet Sukma nanti. Selain itu buat julung kali, jabatan dan agensi kerajaan juga bekerjasama dan membantu menyuntik semangat atlet,” katanya.

Pada temasya kali ini, Terengganu menghantar 544 peserta dari kalangan 401 atlet dan 107 pengurus pasukan, pengurus sukan, jurulatih, mekanik serta 26 pegawai yang akan bersaing dalam 24 jenis sukan yang melibatkan 312 acara (80.21 peratus) keseluruhannya.

Terengganu menjadi kontinjen ketiga terbesar selepas Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Untuk rekod, kali pertama Terengganu muncul juara Sukma ketika menjadi tuan rumah temasya itu pada 2008 dengan meraih 61 pingat emas, 39 perak dan 47 gangsa. Dua tahun kemudian, kontinjen Terengganu sekali lagi ditabalkan juara di Sukma Melaka ( 47 pingat emas, 30 perak dan 43 gangsa), sebelum mencipta hatrik pada 2011 di Kuala Lumpur dengan pungutan 23 pingat emas, lima perak dan 10 gangsa.

Terengganu terus mendominasi kejuaraan pada Sukma Pahang 2012 (62 pingat emas, 24 perak dan 31 gangsa). Bagaimanapun Selangor yang memperolehi 23 pingat emas, 17 perak dan 30 gangsa memintas Terengganu (19 emas, 13 perak dan 13 gangsa) untuk merampas kejuaraan pada Sukma Ke-16 Kuala Lumpur, tahun lalu.


300 hadir baca yaasin Dun Langkap.

MESRA...isteri Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Langkap, Datin Rashidah Jaafar sedang memberitahu sesuatu kepada hadirin dalam Program Bacaan Yaasin dan Doa Selamat Wanita dan Putri UMNO Dun itu di rumahnya di Putera Jaya, Setiu, baru-baru ini.

Program yang disertai kira-kira 300 ahli Wanita dan Putri Dun Langkap itu bertujuan untuk memberi sedekah kepada arwah-arwah yang sudah sudah meninggal dunia selain merapatkan hubungan silaturrahim antara jemputan.

Seramai lima ahli Wanita dan lima Putri UMNO dipilih dari setiap cawangan di Dun Langkap untuk menjayakan program itu.

"Sambutan daripada jemputan amat mengalakan dan saya berharap program ini banyak memberi manfaat kepada semua serta akan diteruskan pada masa-masa akan datang.Saya juga berterima kasih kepada semua hadir walaupun ada yang datang dari kampung-kampung yang agak jauh dari rumah saya ini," kata Datin Rashidah.- Aminudin Ismail.

 

20 April 2014

Pasukan Wartawan juara menembak IPD Setiu.

Ab Rahman sedang memantau seorang penembak.
Oleh: Aminudin Ismail. 

KETEPATAN tembakan membawa kemenangan bergaya kepada Pasukan Wartawan menewaskan Pasukan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Setiu dalam pertandingan akhir Kejohanan Menembak Jemputan Ibu Pejabat Polis D(IPD)daerah Setiu yang diadakan di Lapang Sasar Lembah Bidong, Setiu, hari ini.

Kedua-dua pasukan terpaksa bertanding di perlawanan tambahan apabila mereka seri dalam perlawanan akhir. Bagaimanapun pada perlawanan penentuan itu kumpulan wartawan lebih berwibawa apabila berjaya mendahului pasukan lawan dalam membuat tembakan tepat.

Pasukan wartawan disertai disertai Yusof Sobri Awang (RTM), Mohd Taha Yaacob (Sinar Harian), Aminudin Ismail (Teganukita) dan Jafri Mamat (RTM).

Fokus..Dato' Sabri mencari sasaran tepat.
Dalam pertandingan individu, Johan ialah peserta dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Mutalib Ghani dan naib johan ialah Pegawai Agama Daerah Setiu, Sofifuddin Yusof dan tempat ketiga ialah Mohd Nor Ibrahim dari Pejabat Daerah Setiu.

Pertandingan itu disertai 12 pasukan iaitu Pasukan PLKN, Rela, JPAM, JKR, PDS, MDS, Kesihatan, Dun Langkap, Dun Batu Rakit, Pejabat Agama, SATU, wartawan dan PPD.

Ketua Polis Daerah Setiu, DSP Ab. Rahman Mohamed berkata, pertandingan itu diadakan adalah bertujuan untuk memupuk hubungan silaturrahim antara anggota IPD Setiu dengan peserta yang mengambil bahagian.

“Program ini adalah untuk meletakan hubungan antara Polis dan masyarakat sentiasa dalam keadaan baik. Apa jua program yang dilakukan oleh Polis, kalau boleh kita hendak libatkan dengan jabatan-jabatan.

Tuju...Bazlan turut pamer kebolehan menembak.
“Dan kita melibatkan wakil-wakil rakyat, kita melibatkan NGO-NGO yang ada di persekitaran kita. Jadi saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dengan program ini termasuklah tuan DO, YB Langkap, YB Batu Rakit yang memberi sokongan padu untuk menjayakan program ini,” katanya.

Dalam pada itu, Pegawai Daerah Setiu, Mohd Nor Ibrahim berkata program yang dianjurkan oleh Polis Setiu itu adalah amat baik dan beliau mengucapkan terima kasih kepada Ketua Polis Daerah Setiu dapat menjayakan program ini.

“Biasanya Polis sahaja yang menembak tetapi melalui inisiatif dari tuan OCPD kita semua termasuklah ketua-ketua jabatan, YB, NGO-NGO dan beberapa peserta lain, kita dapat mengenali dan senjata yang digunakan oleh Polis. “Saya berharap supaya program-program seperti dalam diteruskan pada masa akan datang,” katanya.

Turut hadir ialah Adun Langkap, Dato’ Sabri Mohd Nor, Adun Batu Rakit, Bazlan Abdul Rahman, YDP Majlis Daerah Setiu dan Pegawai Daerah Setiu.

Hadiah-hadiah disampaikan oleh Ketua Cawangan Khas IPD Setiu, ASP Aniza.
Pemenang bergambar kenangan selesai pertandingan.

Seorang wartawan mendaftar sebelum menembak

Doa bagi memberkati majlis.

Wakil PPD Azmi Nazir mencuba  Revolver.

YDP MDS juga turut menunjukan kebolehan.

Pasukan IPD Setiu pamer kebolehan.

Antara peserta yang mengambil bahagian.

Tuan OCPD turut menembak.

Anggota dari IPD menunjukan cara menembak.

Wakil PDS turut mengambil bahagian.
Tuan DO sedang fokus sasaran.
PA Dun Langkap tuju sasaran

Wakil Dun Langkap yakin dengan sasaran

Pasukan PPD Setiu.

Seorang peserta dari RTM yang bertanding.
Peserta JKR turut bertanding.

Seorang lagi peserta dari RTM.
Ketua Biro Utusan mencuba revolver sebelum menembak.

Isteri YB Bazlan berani mencuba.

Ketua Biro NST juga hadir

Sidang akhbar khas selepas pertandingan.


Seorang peserta RTM menang kategori individu.

ASP Aniza menyampai hadiah wakil pemenang.


PPD setiu dapat naib Johan acara kumpulan.

Peserta bersedia untuk bertanding.