Halaman

25 July 2012

Erni belayar 52 hari kelilingi negara Asean

Oleh: Aida Abd Rahman
Keupayaan menempatkan diri sebagai wakil tunggal dari Terengganu untuk mewakili Malaysia menyertai Program Pelayaran Untuk Belia Timur Selatan Asean (SSEAYP 38) tahun lalu memberi kelebihan kepada Ernisalwani Saidi, 26, dipilih sebagai penerima Anugerah Perdana sempena Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Terengganu, di Dataran Syahbandar, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Program pelayaran menaiki Kapal Fuji Maru dari Jepun untuk mengelilingi negara Asean sepanjang 52 hari turut disertai 380 belia dari negara Asean melibatkan pelbagai aktiviti yang menguji ketahanan mental dan fizikal peserta.

“Pengalaman menyertai program itu bukan sahaja memupuk disiplin yang tinggi bagi menempatkan diri sebaris dengan peserta luar negara yang lain, malah kita juga perlu mempunyai ketahanan mental dan semangat yang tinggi sepanjang pelayaran sambil boleh mempelajari, mengenali adat serta budaya asing,” katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.

Kakitangan Agensi Pembangunan Masyarakat Negeri Terengganu (APMT) yang aktif dalam persatuan belia sejak 17 tahun lagi itu terpilih menyertai program berkenaan selepas berjaya dalam sesi temuduga dan ujian mental, fizikal, personaliti, kreativiti selain boleh berbahasa Inggeris selama tiga hari dua malam pada awal tahun lalu.

Menurut anak muda berusia 26 dari Taman Sri Seratus, Kuala Besut itu lagi, program itu banyak mematangkan diri, malah hasil perkongsian pengalaman, pertukaran idea dan perbincangan isu semasa, melibatkan persekitaran dan hal sejagat turut dibawa balik untuk dimanfaatkan dalam persatuan dan masyarakat negara sendiri.

Apa yang lebih utama katanya, hasil pertemuan dengan belia negara lain, Erni merumuskan bahawa rakyat Malaysia lebih beruntung dan bertuah kerana mempunyai kerajaan yang amat mengambil berat mengenai aspek kesihatan, pendidikan dan kebajikan penduduknya berbanding nasib rakyat negara lain yang kurang terbela akibat krisis ekonomi dan kuasa di negara masing-masing.

Selain itu, Erni turut menyarankan belia yang masih terumbang-ambing dan tiada hala tuju hidup, supaya menyertai persatuan belia yang ternyata mampu memberi lebih pendedahan, kematangan, ilmu pengetahuan, menambah kenalan selain memantapkan diri menerusi pelbagai taklimat, bengkel kepimpinan dan pengurusan organisasi yang dianjurkan kerajaan dan badan bukan kerajaan.

Erni turut meluahkan perasaan gembira kerana berpeluang meraih anugerah itu, malah berharap pengiktirafan itu mampu menaikkan semangat belia lain serta menjadi ikon kepada generasi muda untuk melakukan lebih baik demi masa depan bangsa, agama dan negeri yang tercinta.

Dengan kemenangan bagi kategori wanita itu, Erni berjaya membawa pulang wang tunai RM5,000 beserta piala iringan dan sijil, manakala hadiah yang sama bagi kategori lelaki diraih Mohd Fauzi Mat Adam, dari Kemaman .

Dia turut memuji langkah dan usaha kerajaan hari ini yang amat prihatin membela dan menyediakan saluran untuk belia mengembangkan bakat, kemahiran dan keperluan mereka sebagai pewaris dan pemimpin masa depan negara.

“Belia di Malaysia beruntung kerana kerajaan kita amat cakna dan menyedari keperluan masa kini untuk masa depan mereka. Oleh itu, sebagai membalas jasa dan melihat kesinambungan suara belia terus diambil perhatian, generasi muda harus menyokong kerajaan yang ada hari ini,” katanya.

MB solat terawih di Masjid Terapung

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, menunaikan solat terawih bersama-sama penduduk tempatan di Masjid Tengku Tengah Zaharah, Kuala Ibai, malam tadi.



Turut mengiringi beliau ialah Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk, Dato’ Haji Che Mat Jusoh dan Imam Besar Masjid Negeri, Ustaz Aizi Saidi Abdul Aziz serta pegawai-pegawai dan Ahli Jawatankuasa masjid berkenaan.

Dua imam dari Timur Tengah menjadi imam solat terawih di masjid berkenaan.

Selesai menunaikan solat terawih Menteri Besar menikmati moreh bersama-sama jemaah di masjid tersebut.



Pada malam ini beliau akan menunaikan solat terawih di Masjid Seberang Takir, selepas menghadiri majlis berbuka puasa bersama-sama pegawai dan anggota tentera Batalion 18 RAMD, di Kem Seri Pantai.






21,000 OKU diminta tukar kad baru

Oleh; Esah Abdullah

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan mengadakan kempen secara meluas dalam usaha menggalakkan kira-kira 21,000 pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) menukarkan kepada kad OKU baru menjelang Ogos nanti.

Timbalan Pengarah 1, JKM negeri, Hajah Che Mah Darus berkata, sempena Ramadan ini risalah mengenai maklumat penukaran kad baru itu akan disebarkan melalui masjid-masjid di seluruh negeri.

Selain itu katanya, kerjasama dengan beberapa agensi kerajaan dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) turut diadakan supaya maklumat tersebut dapat disampaikan kepada mereka yang terlibat atau keluarga terdekat bagi membolehkan ianya dilakukan secara berkelompok.

Beliau berkata, kad baru yang bercirikan MyKad itu bertujuan untuk memastikan golongan tersebut mendapat akses terbaik memperolehi 32 kemudahan yang disediakan oleh kerajaan termasuk bayaran di hospital kerajaan, pembelian kereta nasional, potongan tambang pengangkutan dan biasiswa pengajian.

``Selain itu bagi membolehkan JKM mengemaskini rekod pendaftaran OKU secara online,’’ katanya ketika ditemui dipejabatnya di Wisma Negeri semalam.

Justeru itu beliau berharap mana-mana OKU yang sudah berdaftar mahupun belum, diharap dapat berbuat demikian di pejabat JKM berdekatan atau di Pusat Khidmat Komuniti di seluruh daerah.

Katanya, proses penukaran kad OKU baru telah bermula Ogos tahun lalu dan sehingga kini hanya kira-kira 7,000 ahli sudah berbuat demikian.

"Oleh itu saya berharap semua OKU dapat menukar segera kad keahlian OKU lama yang diberi secara percuma sebelum ia dimansuhkan ," katanya.

Menurut beliau, sebelum ini pelbagai usaha termasuk turun padang dan hebahan untuk daftarkan mereka, tetapi masih ramai OKU gagal berbuat demikian.

Dalam pada itu, beliau berkata, kira-kira RM987,000 diperuntukkan untuk bantuan elaun pekerja cacat yang melibatkan seramai 3,966 orang bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Sepanjang tahun lalu JKM membelanjakan kira-kira RM5.6 juta elaun pekerja cacat yang melibatkan seramai 3,622 OKU.



Program imarah masjid untuk belia

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyediakan peruntukan kira-kira RM1.3 juta kepada masjid dan surau di seluruh negara bagi melaksanakan Program Rakan Muda Ramadan sepanjang bulan puasa tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, bantuan berkenaan akan diagih kepada 600 masjid dan surau bagi membolehkan jawatankuasanya mengatur program berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya mensasarkan penyertaan 24,200 remaja di seluruh negara untuk mengimarahkan masjid dan surau melalui program itu.

Katanya, dengan falsafahnya melahirkan remaja berilmu, beriman, dan beramal, program ini diharap dapat melahirkan golongan remaja yang mempunyai keperibadian dan sahsiah diri tinggi serta unggul.

“ Pengisian program termasuk solat terawih dan witir secara berjemaah, bertadarus dan aktiviti penghayatan Ramadan.

“Program Khatam al-Quran juga akan dilaksanakan di semua negeri seluruh negara pada 10 Ramadan terakhir” katanya.




Rumah baru hadiah Ramadan untuk 40 keluarga di DUN Tepoh

Oleh: Aida Abd Rahman

Sambutan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi akan lebih bermakna kepada 40 keluarga miskin yang tinggal di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh, Parlimen Kuala Nerus apabila menerima kunci rumah masing-masing, kira-kira jam 5.30 petang esok.

Majlis penyerahan kunci rumah yang turut disusuli pengagihan zakat hari raya bagi DUN itu serta berbuka puasa akan disempurnakan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said di Perkarangan Masjid Padang Nenas, Mengabang Telipot.

Projek penyerahan rumah bernilai kira-kira RM2 juta menerusi kerjasama Kerajaan Terengganu dengan Affin Islamic Bank Berhad (Affin Islamic) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

Ketua Pegawai Eksekutif Affin Islmaic, Encik Kamarul Ariffin Mohd Jamil, berkata bank mengambil berat mengenai pengagihan zakat kepada mereka yang asnaf, miskin dan benar-benar memerlukan bantuan.

“Kami amat sukacita kerana berpeluang menghadiahkan rumah kepada keluarga miskin ini, apatah lagi sempena bulan Ramadan yang penuh berkat dan mulia ini.

“Melalui sumbangan ini, kami berharap dapat membantu golongan yang kurang bernasib baik ini, dengan harapan satu masa nanti mereka pula akan menyumbang dan memberi balik hasil kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, kebanyakan keluarga yang menerima rumah baru itu annti tidak memiliki rumah sendiri dan hidup dalam serba kekurangan serta miskin.

Menurutnya, dengan kemudahan asas dan tempat perlindungan yang lebih selesa itu nanti diharap penduduk terlibat akan menikmati kehidupan yang lebih sejahtera, masa depan lebih cerah dan dapat membesarkan anak-anak dalampersekitaran hidup yang lebih kondusif.

Sehingga kini, Affin sudahpun menyumbang lebih daripada 300 unit rumah di seluruh negara bagi golongan miskin dan memerlukan bantuan.

Pada tahun ini, Affin memperuntukkan kira-kira RM6 juta dari dana zakat untuk diagihkan kepada golongan asnaf yang layak.




24 July 2012

Sultan Mizan berbuka dengan pemimpin negeri

Sultan Mizan berkenan hadir pada majlis berbuka puasa dengan pemimpin-pemimpin kanan kerajaan negeri yang diketuai Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, di Istana Maziah, malam tadi.



Permaisuri Nur Zahirah bersama-sama anakanda-anakanda baginda turut berkenan berangkat pada majlis berkenaan.



Hadir sama, isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaaan Negeri, wakil-wakil rakyat; Pegawai Kewangan N egeri, Dato’ Abdul Razak Ismail dan pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri, bersama isteri masing-masing.



Majlis berbuka puasa dimulakan dengan bacaan tahlil oleh Mufti Negeri manakala solat terawih turut diadakan di situ.




JKKK diminta agih kurma dari rumah ke rumah

Oleh: Suriati Ali



Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di negeri ini diminta mengagihkan kurma dan air zam zam dari rumah ke rumah bagi memastikan semua penduduk beragama Islam menerima bekalan tersebut.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said, berkata langkah itu bertujuan memastikan semua penduduk beragama Islam berpeluang menikmati buah kurma dan air zam-zam yang diberi secara percuma oleh kerajaan negeri pada bulan Ramadan.

Katanya, pihaknya tidak mahu lagi menerima aduan mengenai ada penduduk yang tidak menerima makanan istimewa tersebut disebabkan kelalaian JKKK.

“Seperti tahun sebelum ini, ada penduduk yang mendapat bekalan lebih daripada sepatutnya manakala sesetengah penduduk tidak menerima langsung bekalan yang disediakan kerajaan.

“Kita seboleh-bolehya mahu pemimpin setempat mengagihkan sendiri makanan istimewa itu dari rumah ke rumah kerana menyedari mampu mengeratkan hubungan silaturahim antara penduduk dan pemimpin setempat,” katanya.

Seorang penduduk dari Kampung Bukit Cempaka, Batu Rakit, Awi Nik, 70, berkata keluarganya yang belum lagi menerima hadiah istimewa dari Menteri Besar itu yakin akan dapat dalam tempoh terdekat dari Pengerusi JKKK.

Katanya, dia bagaikan tidak sabar untuk menerima dan merasainya kerana yakin kurma yang diagihkan itu sedap dan berkualiti.

“Saya berharap agihan kurma dan air zam-zam ini dapat diteruskan pada masa akan datang kerana mampu memberi pengertian yang cukup besar kepada penduduk,” katanya.


Ramadan umpama tetamu Allah s.w.t

Oleh: Aida Abd Rahman
Umat Islam perlu mengganggap Ramadan sebagai tetamu Allah s.w.t yang mengunjungi rumah kita, di mana kita pula perlu menjadi tuan rumah terbaik untuk memastikan bulan yang menjanjikan ganjaran istimewa ini dimanfaatkan dengan sebaik mungkin.

“Ramadan harus menjadi satu bulan yang amat dirindui dan dinantikan di kalangan umat Islam bagi mentarbiah dan memuhasabah diri dengan menzahirkan perasaan rindu itu untuk melaksanakan suruhan, tuntutan dan amalan sunat termasuk mengerjakan solat tarawih.

“Pemergian Ramadan seharusnya amat menyedihkan dan kita sebagai umat yang sentiasa merindui Ramadan pastinya tidak sanggup berpisah dengan bulan penuh rahmat ini. Oleh itu, jangan sesekali kita bersedih dengan kedatangan Ramadan dan berseronok pula dengan pemergian Ramadan,” kata Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Haji Muhammad Ramli Nuh, ketika diwawancara Teganukita, semalam.

Tambah beliau lagi, maksud bersedih di sini adalah kita merasakan Ramadan satu bulan yang mengongkong kita serta menyebabkan kita merasakan lapar dan tidak selesa menjalani amalan seharian, malah merasa dukacita dengan kehadiran bulan ini.

Bagaimanapun, apabila berlalunya Ramadan kita berseronok dan tidak sabar-sabar pula mahu menyambut Hari Raya atau kehadiran Syawal. Ini konsep yang tidak bertepatan dengan penghayatan dan pengisian Ramadan.

Katanya, umat Islam perlu mengejar banyak keistimewaan yang dianugerahkan Allah s.w.t menerusi utusan Ramadan yang hanya hadirnya setahun sekali dan mengganggap kehadirannya adalah yang terakhir untuk hayat kita.

“Justeru itu, di peringkat awal Ramadan ini, marilah sama-sama berusaha melaksanakan tugas kita terhadap Allah s.w.t sebagai hambaNYA dengan menjadikan Ramadan sebagaimana kata Dr Yusuf al-Qaradawi sebagai `Madrasah Addiniah’, iaitu sekolah untuk membina keagamaan dalam diri kita yang melibatkan proses mentarbiahkan, mendidik, menta’zimkan, membentuk imej dan mentajdidkan perkara yang sebelum ini tidak baik kepada lebih baik.

“Selain perkara yang sudah baik ditambah nilai supaya lebih baik sebab itu inilah bulan paling sesuai membina kekuatan dan tanggungjawab diri bukan hanya kepada Allah s.w.t, juga sebagai ayah, ibu dan anak-anak dengan sesempurna dan sebaik mungkin,” katanya

Sebagai contoh, jika menjadi seorang ayah, bulan ini dapat membentuk kita menjadi ketua keluarga dalam rumah tangga yang dapat menghimpunkan seluruh keluarga ketika menikmati juadah berbuka puasa dan mengerjakan solat berjemaah Maghrib, Isyak dan juga bertarawih.

“Jika tidak mampu ke masjid, tidak menjadi halangan untuk mengerjakan solat tarawih di rumah, asalkan kita berjemaah bersama ahli keluarga kerana yang penting kita berusaha mengerjakan ibadat dan kewajipan terhadap Allah s.w.t selain kita memantapkan institusi kekeluargaan.

“Ramadan juga berfungsi membina kekuatan ukhwah islamiah dan silaturahim dalam konteks kita hidup berjiran dengan melatih diri saling sapa-menyapa, mesra dan saling mengasihi satu sama lain seperti bertukar-tukar juadah berbuka puasa,apatah lagi jika juadah itu dihasilkan dengan air tangan sendiri,” katanya.



Masjid Kubang Bemban tubuh koperasi



Oleh: Mohammad Ishak 

Berkat kegigihan dan semangat ingin maju dalam bidang ekonomi mendorong penduduk Kampung Kubang Bemban, dekat Jertih, menubuhkan sebuah koperasi untuk faedah komuniti terbabit.

Koperasi yang dikenali Koperasi Masjid As-Solehin Berhad (KOMASS), bertujuan menggalakkan kariah menabung selain meningkatkan ekonomi penduduk Satu majlis pelancaran penubuhan koperasi berkenaan diadakan di masjid itu kelmarin dan dihadiri oleh 50 penduduk.

Pengerusinya, Anuar Mahmod berkata, pihaknya bangga dengan semangat penduduk yang memberi kerjasama dan sokongan sehingga berjaya menubuhkan koperasi berkenaan.

Katanya, dengan kejayaan itu ia menjadi masjid pertama di daerah Besut yang menubuhkan koperasi dalam usaha memberi perkhidmatan kepenggunaan dan ekonomi kepada masyarakat setempat.

Beliau berharap, dengan adanya koperasi ia akan dapat membantu penduduk kampung itu dalam pelbagai bidang terutama pembangunan ekonomi yang dapat menambah sumber pendapatan penduduk.

Anuar berkata, beliau mempunyai rancangan untuk menyertai pelbagai sektor bagi merancakkan lagi sumber pendapatan koperasi terutama bekerjasama dengan lain-lain agensi dan jabatan kerajaan di daerah Besut.

JKM sedia bantuan geran berdikari

Oleh; Esah Abdullah

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri sedang berusaha mengenalpasti individu penerima bantuan bulanan jabatan itu yang produktif untuk menerima bantuan Geran Pelancaran bagi menjalankan perniagaan kecil-kecilan.



Timbalan Pengarah 1, Hajah Che Mah Darus berkata, mereka yang masih produktif boleh membuat permohonan secara berkelompok atau individu bagi membuka perniagaan atau menceburkan diri dalam bidang pertanian secara komersial.

“Bantuan yang disediakan ini diberi sehingga RM2,700 bagi setiap permohonan dan mereka boleh membuat permohonan kedua bagi bantuan tambahan membesarkan perniagaan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Wisma Negeri hari ini (24 Julai).

Menurutnya, tahun lalu seramai 175 penerima bantuan membabitkan RM265,000 di mana 117 daripadanya menjalankan perniagaan, jahitan (34), ternakan (11) iklan (8) dan masing-masing empat menceburi bidang pertanian dan perabot manakala satu tukang besi.

Beliau juga memuji sikap enam peserta berkelompok dari Hulu Terengganu yang berjaya mengusahakan tanaman labu manis.

“Kita ingin melihat mereka berdikari dan mampu mencari pendapatan yang lebih baik serta tidak terus bergantung kepada bantuan bulanan JKM semata-mata,” katanya.

Katanya, pihaknya juga bersedia memberi khidmat latihan dan bimbingan kepada mereka yang tidak ada pengalaman dalam bidang yang ingin diceburi.



LMNT terus anjur Pertandingan Pelita Raya

Oleh: Suriati Ali

Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT) akan meneruskan Pertandingan Pelita Raya membabitkan lima kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh.
Kampung itu adalah Kampung (Kg) Padang Hangus, Kg Pagar Ubi, Kg Raja, Kg Baru dan Kg Tokeng.



Penolong Kurator-Perhubungan dan Pemasaran LMNT Mohd Saberi Muda, berkata tarikh dan jumlah hadiah bagi pertandingan itu belum ditetapkan kerana masih dalam perbincangan.

“Pertandingan yang termaktub dalam kelendar tahunan kerajaan negeri itu pasti dianjurkan kerana mendapat sambutan mengalakkan sejak dianjurkan pada 2009 lalu.

“Apa yang membanggakan, jumlah peserta pasti meningkat pada setiap tahun, mungkin mereka sedar mengenai kelebihannya, termasuk mendapat liputan meluas di media massa dan elektronik, kampung bertanding mendapat tumpuan pelbagai pihak dan teruja dengan hadiah yang ditawarkan,” katanya kepada Teganukita.

Katanya, hadiah keseluruhan yang ditawarkan pada pertandingan kali ini dijangka meningkat berbanding RM30,000 tahun lalu.

“Pihak kami teruja menganjurkan pertandingan seumpama ini kerana bukan saja mampu menceriakan suasana kampung malah dapat memupuk semangat kerjasama antara penduduk dan pemimpin setempat..

“Di samping itu, ia dapat menyemarakkan kembali tradisi nenek moyang dan dapat mengasah bakat penduduk berkaitan mereka cipta pelita raya,” katanya

Katanya, seperti tahun sebelum ini, rata-rata peserta sangat kreatif di mana mereka mampu mencipta dan membentuk pebagai kerangka bangunan untuk menempat pelita tanpa bantuan pihak berpendalaman.

“Pelita yang dipasang itu bukan hanya dibeli dari kedai malah diperbuat daripada pelbagai jenis barangan terbuang seperti tin makanan, tempurung kelapa, botol plastik dan buluh.

““Antara kerangka yang dicipta, termasuk bentuk bangunan Kuala Lumpur City Center (KLCC), Menara Kuala Lumpur, kapal terbang dan kubah masjid, astaka, kapal layar dan sebagainya,” katanya.


Terengganu hantar 36 pelajar ke Jordan tahun ini

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Seramai 36 pelajar akan dihantar ke Jordan tahun ini, bagi melanjutkan pelajaran di bidang perubatan dan pergigian di bawah tajaan Yayasan Terengganu (YT).

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman, berkata pelajar berkenaan akan ditempatkan di dua universiti di negara berkenaan iaitu Universiti Jordan dan Universiti Sains dan Teknologi Jordan.

Beliau berkata, pelajar berkenaan merupakan sebahagian daripada para pelajar cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang akan dihantar kerajaan negeri ke luar negara bagi mengikuti pengajian di bidang perubatan dan pergigian.

Sebelum ini, Mesir menjadi destinasi pelajar cemerlang di negeri ini, tetapi berikutan pergolakan di negara berkenaan penghantaran pelajar ke Mesir dihentikan sementara waktu hingga keadaan di situ menjadi lebih aman.

Katanya, penghantaran pelajar berkenaan ke Jordan akan dilakukan pada bulan September depan.

Menurutnya, penghantaran pelajar bagi mengikuti pengajian di bidang perubatan di Mesir akan dilakukan setelah pihaknya mendapat kebenaran daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Buat masa ini kementerian berkenaan belum mendapat ‘lampu hijau’ dari Wisma Putra bagi membolehkan pelajar tempatan di hantar ke Mesir untuk melanjutkan pengajian dalam pelbagai jurusan di universiti-universiti di negara berkenaan.

Dato’ Haji Ahmad Razif berkata, negara Mesir tetap menjadi salah satu daripada negara pilihan kerajaan negeri bagi menghantar pelajar menuntut ilmu, terutama di bidang perubatan.




Program Pulau Bersih & Indah semai semangat cintai keindahan alam



Oleh: Aida Abd Rahman

Dalam usaha memupuk semangat mencintai keindahan dan kebersihan di lokasi tarikan pelancong, program Pulau Bersih dan Indah, diadakan di Kampung Pulau Perhentian Kecil, Besut, baru-baru ini.

Program dianjurkan Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia Negeri Terengganu (PKPMNT) dengan kerjasam kerajaan negeri, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Pelajaran dan Tourism Malaysia Terengganu.



Pengarah PKPMNT, Encik Mohd Sabri Zakaria, berkata program yang julung kali dilaksanakan Kementerian Pelancongan itu merupakan antara program ke arah meningkatkan inovasi dalam sektor pelancongan sempena kempen `1Malaysia Green, 1Malaysia Clean’ .

“Program dapat menyemai semangat cintakan keindahan dan kebersihan dalam kalangan rakyat Malaysia, khususnya di tempat yang sentiasa menjadi tarikan pelancong tempatan dan luar negara.


“Seramai 500 peserta di kalangan masyarakat kampung dan pelajar sekolah menyertai acara yang dapat memupuk semangat cintakan keindahan dan kebersihan itu,” katanya.


Menurutnya, penglibatan pelbagai lapisan masyarakat dapat memupuk perpaduan di kalangan pelajar atau generasi muda yang berbilang kaum berdasarkan gagasan dan konsep 1Malaysia.


Katanya, pada masa yang sama, program juga dapat memupuk kesedaran tentang implikasi terhadap industri pelancongan dan membuka minda setiap rakyat supaya menjaga kebersihan dan memastikan negara sentiasa bersih dan indah.

”Apabila kawasan pelancongan kekal bersih dan indah, pastinya mampu menarik minat dan perhatian pelancong tempatan dan luar negara untuk melawat berulang kali ke tempat-tempat berkenaan,” katanya.




23 July 2012

Majlis Ulama satu pengiktirafan, platform khusus perjuang agama

Oleh: Aida Abd Rahman
Penubuhan majlis ulama Umno amat tepat pada masa kini bagi mengembalikan keyakinan para ulama dan lulusan agama yang seakan terkeliru dengan menggambarkan Umno sebagai parti yang tidak mengutamakan Islam dan sekular, supaya sama-sama berjuang dan memperkukuhkan parti menerusi platform yang khusus.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Haji Muhammad Ramli Nuh, berkata penubuhan majlis ulama itu menjadi satu pengiktirafan kepada ulama dan agamawan selain mampu menarik golongan berkenaan yang sebelum ini merasa ragu-ragu untuk bersama Umno supaya kembali berjuang bersama parti itu.

“Sama ada belajar dalam negara mahu pun luar negara kerana mereka mungkin sebelum ini tidak nampak satu platform yang khusus untuk memperjuangkan soal agama, sedangkan perjuangan dalam agama ini yang sudah dibawa pemimpin Umno sejak dulu lagi.

“Ini satu perkara yang harus diberi keutamaan supaya dengan penubuhannya nanti banyak masalah dapat diselesaikan dalam suasana kekeluargaan Umno yang lebih meletakkan perjuangan agama dalam konteks yang syumul, selain menjadi negara yang boleh dicontohi negara Islam lain,” katanya kepada Teganukita, hari ini.

Katanya, persepsi dan pandangan yang harus dielakkan dengan penubuhan majlis ulama ini bukan bermaksud tiada ulama dan orang agama dalam Umno, sebaliknya kewujudannya mampu memperlihatkan satu struktur yang lebih kukuh dan relevan dalam memperkasakan Umno.

Beliau berkata, peranan majlis ulama itu sendiri akan lebih jelas dalam konteks membantu kepimpinan secara keseluruhan termasuk menangani perkara yang sepatutnya dan tidak sepatutnya dalam aspek agama.

“Kewujudannya boleh menjelaskan kepada umum bahawa bukan Pas sahaja memperjuangkan Islam, Umno sejak dulu lagi tidak terpisah dalam aspek agama, malah majlis ulama yang diwujudkan nanti boleh mengkritik di kalangan pemimpin dalam usaha untuk memastikan pentadbiran yang mengikut landasan agama menerusi ruang likup yang lebih menyeluruh dan syumul,” katanya.

Tambah beliau, satu ketika dulu, majlis ulama ini pernah wujud dalam parti Umno, bagaimanapun ia dinamanakan sebagai biro agama yang dipelopori oleh kalangan ulama pada ketika itu.

Bagaimanapun, timbul sedikit perselisihan dan perebutan untuk mendududuki kepimpinan Umno pada peringkat awal penubuhan parti dan mencapai Kemerdekaan Negara, menyebabkan di kalangan mereka yang mengetuai biro agama berpecah dan keluar dari parti sebelum menubuhkan parti Parti Islam Se-Malaysia (Pas).

Justeru itu, sejak Pas diwujudkan pemimpin mereka meletakkan seolah-olah Pas sebagai parti Islam dan mereka yang berada di dalam Pas adalah di kalangan ulama, manakala parti Umno digambarkan dan dimomokkan sebagai tidak Islam dan parti yang sekular.

“Sedangkan perkara itu tidak betul dan berasas sama sekali, kerana Umno sendiri merupakan satu parti politik yang didukungi orang Melayu yang beragama Islam dan bertunjangkan agama Islam sebagai agama dalam kehidupan,” katanya.

MB turut ke London, sokongan moral buat atlet

Oleh: Aida Abd Rahman
Ganjaran Kerajaan Terengganu kepada atlet negeri ini yang berjaya mewakili negara ke Sukan Olimpik London bukan hanya berbentuk insentif wang ringgit, malah turut disertai sokongan moral.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said akan bertolak ke London bagi memberi sokongan moral dan perangsang kepada tujuh atlet negeri ini yang bakal menggalas cabaran mewakili acara masing-masing di temasya berprestij dunia itu tidak lama lagi.

“ Ada tujuh atlet kita akan bersaing dalam acara masing-masing di Olimpik, saya sendiri akan pergi ke sana sekejap untuk memberi semangat kepada atlet kita.

“Terdapat satu slot kekosongan untuk ke sana (London), Tuan Haji Nawawi akan ke sana. Kita akan ke sana walaupun terpaksa menempuhi waktu siang dan puasa yang lebih panjang,” katanya baru-baru ini.

Lima atlet terawal yang mengesahkan tiket ke temasya itu, iaitu dua dari acara berbasikal trek, Azizulhasni Awang dan Fatehah Mustafa serta dua atlet memanah, Khairul Anuar Mohamad dan Nur Shafiqah Hashim serta seorang atlet paralimpik, Muhamad Azwar Bakar (ping pong).

Manakala dua pelumba lebuh raya yang turut tersenarai dalam slot terakhir, Adeq Husainie Othman dari Champion System dan Amir Mustafa Rusli (Drapac Professional Cycling Team).

Menteri Besar berkata, Sukan Olimpik bermula 27 Julai hingga 12 Ogos ini melibatkan Azizulhasni dan Fatehah bagi acara berbasikal trek pada 2 hingga 7 Ogos.

“Bagi acara berbasikal lebuh raya disertai Muhammad Adiq Husainie dan Amir Mustafa Rusli (28 Julai), manakala Khairul Anuar Mohamad dan Nurul Syafiqah Hashim bersaing bagi acara memanah bermula pada 27 Julai hingga 3 Ogos ini,” katanya.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, beliau ke sana bersama beberapa rombongan dari Terengganu yang turut disertai Ketua Kontinjen Sukan Malaysia (Sukma) Ke-15 Pahang, Haji Wan Nawawi Wan Ismail.

Katanya, tawaran memenuhi satu kekosongan slot ke London diberikan kepada Haji Wan Nawawi sebagai ganjaran kepada Pegawai Daerah Kuala Terengganu itu yang berjaya membawa kontinjen Terengganu meraih kejuaraan Sukma buat kali keempat berturut-turut, baru-baru ini.






UMT teroka seluas lautan

Oleh; Esah Abdullah

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berada di lokasi terbaik, iaitu di pesisir Laut China Selatan di mana konfigurasi lautnya yang unik mempunyai kepelbagaian sepsis paling tinggi dan produktif di dunia.

Naib Canselor UMT Prof. Dato’ Dr. Ibrahim Komoo berkata, keadaan ini membuka peluang lebih banyak penyelidikan dapat dijalankan di Laut China Selatan oleh para penyelidik UMT.

“Tanpa pengetahuan yang mendalam dan menyeluruh berkenaan ekosistem marin, isu kelesterian tidak dapat ditangani dengan berkesan,” katanya.

Katanya melalui slogan ‘terokaan seluas lautan’ UMT berhasrat untuk membantu kerajaan ke arah pengurusan sumber lautan yang mampan.

Menurutnya, tahun ini kekuatan UMT dalam bidang oseanografi dan sains marin akan diperkasakan lagi dengan kapal penyelidik RV Discovery dan stesen penerimaan imej satelit yang pertama dan satu-satunya diluluskan penempatannya di institut pengajian tinggi di negara ini.

“Jun lalu institut oseanografi telah diaudit oleh Kementerian Pengajian Tinggi untuk mendapatkan status HI-COE sepenuhnya,” katanya.

Selain itu, kekuatan UMT dalam bidang sains marin turut diperakui oleh Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan satu memorandum persefahaman telah pun ditandatangai bagi menubuhkan Institut Oseanografi Kebangsaan (IOK).





Imarahkan Surau Sekolah Sepanjang Ramadhan

Oleh: Ruslan Abdul Rahman

Surau-surau di sekolah amat baik sekali diimarahkan juga dengan solat berjemaah Maghrib dan Isya’, saran Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Tekonologi dan Sumber Manusia Negeri, YB Dato' Haji Ahmad Razif Abdul Rahman.

Katanya, setakat ini, surau-surau di sekolah digunakan oleh guru dan pelajar bagi mengadakan solat waktu Zohor dan Asar secara berjemaah.

“Apa salahnya kalau diusahakan supaya di sebelah malam juga dimanfaatkan untuk adakan solat berjemaah dan juga majlis-majlis ilmu,” katanya.

Beliau meminta pihak sekolah, PIBG bekerjasama dan berbincang dengan Jabatan Pendidikan dan Jabatan Hal Ehwal Agama bagi tujuan tersebut.

Hari ini, Dato' Haji Ahmad Razif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir menyampaikan bantuan kepada beberapa masjid dan surau dalam Dun berkenaan, sempena bulan Ramadhan.


IMARAH MASJID: DATO’ SERI MENTERI BESAR SENDIRI TUNJUK CONTOH TELADAN

Oleh: Ruslan Abdul Rahman

Kunjungan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said dan isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud ke masjid-masjid di negeri ini secara bergilir-gilir, menunaikan solat Isya’ dan Tarawih bersama penduduk setempat setiap kali menjelang Ramadhan sesuatu yang cukup berharga.



Ia suatu gambaran bahawa kepemimpinan negeri amat cakna masjid selaras dengan tuntutan agama supaya kita semua mengimarahkan masjid.



Apabila pemimpin nombor satu sendiri menunjukkan contoh teladan, sudah tentu ia merupakan suatu nikmat yang tidak terhingga kepada kita semua di bumi Terengganu ini.

Pemimpin-pemimpin di bawahnya sudah tentu tiada pilihan, melainkan ikut berbuat demikian, terutama di masjid surau dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) atau Parlimen mereka.

Imarah membawa erti memakmurkan atau membangunkan sesuatu dengan pelbagai kegiatan berfaedah, biasanya berbentuk keagamaan. Menurut tafsiran ulama, mengimarahkan masjid membawa dua maksud.



Pertamanya membina, memelihara dan memperbaikinya jika perlu dan keduanya membawa maksud mengunjunginya sebagai suatu amalan lazim untuk menunaikan solat berjemaah dan Jumaat, terawih di bulan Ramadhan, di samping aktiviti lain ke arah melahirkan pengabdian kepada Allah.

Dato’ Seri Ahmad sebagai Ketua Kerajaan Negeri bukan sahaja mengambil cakna hal ehwal pembinaan masjid, pembaikian dan pemantauannya, tetapi turut memastikan program program keilmuan dan menghidupkan masjid turut berjalan.

Justeru itulah beliau sendiri turun ke masjid untuk melihat sejauhmana pengimarahan itu berlaku, di samping dapat bertemu para jemaah, yakni rakyat yang beragama Islam khususnya.

Sesungguhnya beruntunglah mereka yang melakukan amal ibadat di masjid kerana mereka hampir dengan Allah. Baginda Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang mengimarahkan masjid adalah orang yang dekat dengan Allah.” (Hadis riwayat Al-Bazzaar)

Suatu perkembangan yang cukup baik apabila kita melihat kehadiran golongan muda ke masjid telah bertambah ramai.

Mereka boleh menyumbang lebih banyak lagi supaya masjid mejadi lebih berfungsi, termasuk dari segi teknologi maklumat.

Alangkah ruginya agama dan ummah apabila kemahiran dan kebolehan golongan muda dalam bidang teknologi maklumat yang sepatutnya dimanfaatkan untuk membantu mengimarahkan masjid setempat tidak dimanfaatkan.

Maklumat maklumat tentang program pengimarahan masjid boleh dimasukkan dalam intertet atau facebook, begitu juga tentang ilmu ilmu yang diajarkan di masjid boleh dikongsikan bersama.

Daripada Abu Hurairah menyebut bahawa Nabi bersabda “Siapa yang datang ke masjidku ini, iaitu belajar ilmu atau mengajarkannya, maka sesungguhnya kedudukannya sama seperti seorang mujahid (pejuang) di jalan Allah.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Usaha baik Menteri Besar dengan membawa imam dari Arab Saudi dan Mesir setiap kali di bulan Ramadhan untuk mengimamkan solat tarawih di masjid-masjid di Terengganu juga amat dihargai.

Dan tidak lama lagi, pengagihan buah kurma dan air zam zam dari kerajaan Terengganu kepada drakyat juga sedang dinanti-nantikan dengan penuh syukur dan nikmat oleh rakyat Terengganu, tiada di tempat lain.

Demikian Ahmad Said yang berbuat segala untuk rakyat Terengganu.

Terengganufm terbit program khas Ramadan

Oleh; Esah Abdullah

Radio Malaysia Terengganu (Terengganufm) menyediakan tujuh rancangan menarik Khas Ramadan yang bersiaran setiap hari sepanjang bulan Ramadan.

Timbalan Pengarah Penyiaran Kawasan Timur, Hajah Azizah Yusof berkata, antaranya ialah nur hidayah Ramadan, mari mengaji, syiar Ramadan, RTM sepanjang jalan,ceria Ramadan, drama khas Ramadan dan kuiz Ramadan.

Katanya,rancangan hidayah nur Ramadan dipenuhi ceramah agama secara langsung dari masjid-masjid terpilih di negeri ini dan bersiaran setiap hari Ahad, Isnin, Selasa dan Rabu selama 30 minit mulai jam 1.30 tengahari.

“Manakala program mari mengaji bertujuan memperbetulkan bacaan Surah Lazim dalam sembahyang bersiaran setiap hari Jumaat jam tiga petang dan program syiar Ramadan bersiaran setiap hari mulai jam enam petang pula dipenuhi ceramah agama berkaitan fadilat dan kelebihan di bulan puasa.

Selain itu dalam RTM sepanjang jalan mempunyai beberapa pendekatan turun padang seperti pengagihan cenderahati kepada perantau yang pulang beraya ke kampung dengan memilih dua lokasi laluan masuk ke negeri ini iaitu Kemaman dan Besut di samping majlis berbuka puasa di lokasi terpilih.

Katanya, program ceria Ramadan akan berlintas langsung ke konti oleh penyampai Terengganufm yang menyertai majlis berbuka puasa di rumah anak-anak yatim dan pendengar setia boleh mendapatkan hadiah-hadiah menarik dalam kuiz Ramadan tajaan kedai perabot Bukit Payong.

“Kita sentiasa berusaha untuk menghiburkan pendengar dan peminat yang mengikuti siaran RTM, di samping berhibur mereka mendapat pengajaran berguna dan mengambil peluang merebut keberkatan bulan yang mulia ini,” katanya.




LAJSM tawar hadiah keseluruhan RM250,000

Oleh: Suriati Ali

Terengganu mahu mengembalikan semula kegemilangan Larian Antarabangsa Jambatan Sultan Mahmud (LAJSM) yang telah terhenti lebih 14 tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Rozi Mamat berkata, pihaknya telah bersetuju untuk menganjurkan semula acara tersebut pada 29 September ini yang dijangka disertai lebih 10,000 peserta dari dalam dan luar negara.

Katanya, larian sejauh 21 kilometer itu menawarkan hadiah lumayan berupa wang tunai keseluruhan sebanyak RM250,000 dengan pemenang tempat pertama meraih RM30,000.

Katanya, larian terbahagi kepada beberapa kategori iaitu kanak-kanak, pelajar sekolah, pelajar Institut Pengajian Tinggi dan terbuka antarabangsa.

"Buat masa ini, kita telah menawarkan penyertaan ke beberapa negara dan ada kalangan negara itu seperti Thailand, Singapura serta di benua Afrika sudah mengesahkan untuk turut serta.

"Kita masih buka kepada yang ingin turut serta dan mereka boleh mendapatkan borang penyertaan menerusi media massa dan internet yang akan kita hebahkan dalam waktu terdekat," katanya.

YB Rozi memberitahu, Larian Antarabangsa Jambatan Sultan Mahmud itu diwujudkan semula bukan hanya bertujuan mencungkil bakat baru dalam acara tersebut malah dapat membantu menjana industri pelancongan Terengganu.

"Larian ini sudah dikenali di serata dunia suatu ketika dulu, namun terhenti lebih 14 tahun. Jadi, kita nak wujudkan semula larian ini dalam usaha membantu mempromosi pelancongan Terengganu di peringkat antarabangsa," ujarnya.

Larian itu dianjurkan dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Terengganu dan Persatuan Olahraga Negeri Terengganu.



MB solat terawih di Masjid Gong Tok Nasek

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, meneruskan tradisi berkunjung dari masjid ke masjid di seluruh negeri ini bagi menunaikan solat terawih bersama-sama penduduk tempatan, sepanjang bulan Ramadan.



Malam tadi, beliau menunaikan solat Isyak dan terawih berasama-sama orang ramai di masjid Kampung Gong Tok Nasek, Kuala Terengganu.



Hadir sama, Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk, Dato’ Haji Che Mat Jusoh dan Imam Besar Masjid Negeri, Ustaz Aizi Saidi Abdul Aziz serta pegawai-pegawai dan Ahli Jawatankuasa Masjid berkenaan.

Selesai menunaikan solat terawih Menteri Besar turut menikmati moreh bersama-sama jemaah di masjid berkenaan.

Pada malam pertama Ramadan beliau menunaikan solat terawih di Masjid Abidin manakala pada malam kedua di Masjid Raja, Chendering.