Halaman

10 October 2011

Program Liga Sukan Komuniti cungkil bakat belia

Oleh: Amirullah Othman



Program Liga Sukan Komuniti untuk semua peringkat Negeri Terengganu menemukan “Juara Antara Juara” Negeri Terengganu, kelmarin.

Bagi Kategori Futsal Lelaki, johan disandang pasukan Medan Jaya FC (Marang) manakala naib johan pasukan Gelombang FC(Kuala Terengganu).

Bagi kategori Futsal Wanita johan pasukan Sonic FC (Kuala Terengganu) manakala naib johan pasukan Parasite FC (Dungun).

Manakala bagi kategori sepak takraw pula, johan ialah pasukan Kemaman OZM(Kemaman), manakala naib johan pasukan Ketengah (Dungun).

Untuk kategori futsal lelaki dan wanita johan membawa pulang Piala Pusingan dan wang tunai RM2,000 manakala naib johan wang tunai RM1,000. Pasukan tempat ketiga pula menerima wang tunai RM 500 dan keempat RM300.

Kategori sepak takraw pula johan membawa pulang Piala Pusingan dan wang tunai RM1,500 manakala naib johan wang tunai RM 750 dan ketiga wang tunai RM300.

Sebelum ini, telah berlangsung Program Liga Sukan komuniti peringkat daerah-daerah di mana johan dan naib johan peringkat daerah akan dipertemukan di peringkat negeri bagi mencari pasukan yang benar-benar hebat dalam negeri Terengganu untuk membawa cabaran ke peringkat kebangsaan.

Program ini berlangsung selama satu hari ini melibatkan 14 pasukan futsal lelaki, 14 pasukan futsal wanita dan 14 pasukan sepak takraw yang mewakili daerah masing-masing.

Program ini yang dirasmikan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri, Encik Abdul Aziz Abdul Rahman, bertujuan memupuk semangat kesukanan di kalangan belia dan mengcungkil bakat baru di bidang sukan berkenaan.

Program ini dianjurkan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu dan turut ditaja Revive dan Expert.

Encik Abdul Aziz dalam ucapannya berharap pasukan yang bertanding dengan penuh disiplin dan mempunyai semangat kesukanan yang tinggi.

Beliau berkata, program sebegini sangat baik untuk melahirkan bakat-bakat baru yang berkaliber dalam arena sukan seperti pemain bolasepak boleh dihasilkan melalui kejohanan-kejohanan futsal seperti sekarang.