Halaman

20 May 2013

Pengamal media seluruh negara disaran contohi Kawat

Oleh: Aida Abd Rahman

Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Datuk Nik Ali Mat Yunus menyarankan pengamal media di seluruh negara supaya mencontohi langkah Kelab Wartawan Terengganu (Kawat) menubuhkan koperasi demi faedah anggota mereka.

Katanya Koperasi Media (Komedia) yang ditubuhkan Kawat adalah koperasi pertama yang diuruskan anggota media di negeri ini yang dianggotai lebih 100 anggota berdaftar.


"Sudah sampai masanya wartawan mempunyai koperasi sendiri seperti yang dilakukan oleh KAWAT agar ianya bersesuaian dengan langkah media yang sentiasa memberikan penekanan terhadap penubuhan koperasi di negara ini,” katanya.

Menurutnya, penubuhan koperasi mampu memberi banyak faedah kepada anggotanya sesuai dengan SKM yang mahukan lebih banyak koperasi ditubuhkan bagi meningkatkan bilangan 10,000 koperasi yang kini beroperasi di seluruh negara .

Sementara itu Presiden Kawat,  Encik Ayob Mamat berkata Komedia ditubuhkan hasil buah fikiran anggotanya yang mahukan agar kelab menceburkan diri dalam bidang tertentu bagi menambah pendapatan untuk menggerakkan kegiatan anggota kelab itu yang terdiri daripada petugas media cetak dan elektronik pelbagai agensi.

Katanya, pada masa ini, 111 daripada 136 anggota berdaftar Kawat telah menyertai Komedia dengan sijil pendaftarannya dikeluarkan SKM Sabtu lalu.

Sebagai permulaan, Komedia akan menjadi perunding media dan pengurusan majlis untuk mana-mana pihak yang berminat menganjurkan aktiviti yang boleh menghasilkan pendapatan kepada persatuan itu.

 

No comments: