Halaman

22 May 2013

UniSZA setuju terima enam pelajar KUPU SB

Oleh: Noraini Jusoh

Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bersetuju untuk menerima enam pelajar daripada Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Negara Brunei Darussalam untuk mengikuti program pertukaran pelajar selama satu semester di universiti ini bermula September depan.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UniSZA, Prof. Dr. Amran Ahmed berkata, tiga pelajar terdiri daripada program Ijazah Sarjana Muda Perguruan Ugama (Usuluddin) dan bakinya Ijazah Sarjana Muda Perguruan Ugama (Syariah) KUPU SB.


"Persetujuan ini dicapai hasil perbincangan rapi yang dilakukan dan juga susulan daripada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak bagi menjalin kerjasama dalam bidang akademik pada 25 Februari lalu.

"Sempena kunjungan hormat delegasi KUPU SB ini juga, kata sepakat telah dicapai dimana pemindahan pelajar juga adalah dalam bentuk kerjasama latihan mengajar dan pelajar daripada KUPU SB akan menjalani latihan mengajar mereka di Terengganu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatan delegasi KUPU SB ke Fakulti Pengajian Kotemporari Islam UniSZA, semalam.

Tambah beliau, bagi memartabatkan ilmu falak, pihak UniSZA juga bersetuju untuk bekerjasama dengan KUPU SB bagi membantu universiti berkenaan menawarkan sijil falak.

"Ini akan menjadi perkongsian pintar antara kedua-dua universiti dalam menjayakan sijil falak,” ujarnya.

Sementara itu, Pemangku Timbalan Ra’es KUPU SB, Dr Haji Norarfan Zainal berkata, objektif lawatan KUPU SB ke UniSZA untuk mengukuhkan jalinan kerjasama yang ditandatangani telah berjaya mencapai matlamat yang diharapkan.

"Sebagai sebuah universiti yang baru ditubuhkan, masih banyak yang perlu dipelajari KUPU SB dari universiti yang ada di Malaysia.

"Kita juga meminta bantuan UniSZA untuk meningkatkan mutu dan kualiti universiti kerana kepakaran pihak KUPU SB yang mempunyai 70 kakitangan dan 700 pelajar sekarang ini masih terhad,” ujarnya.

Katanya, KUPU SB yang ditubuhkan pada 2007 hasil naik taraf Maktab Ugama Seri Begawan yang ditubuhkan pada tahun 1972 sehingga kini telah menjalin kerjasama dan menandatangani MoU dengan 18 buah universiti di mana lapan buah terdiri daripada univesiti di Malaysia.

Mengenai ilmu falak katanya, KUPU SB masih belum mempunyai kepakaran dalam bidang tersebut dan itu merupakan salah satu sebab mengapa pihak universiti menjalin kerjasama bagi meminta bantuan UniSZA untuk tawarkan kursus falak.

"Ilmu falak ini penting dan tujuan KUPU SB ingin membuka kursus ini ialah sebagai memenuhi tuntutan fardu kifayah khususnya untuk penduduk Islam di Brunei,” ujarnya.

 

No comments: