Halaman

21 May 2013

UniSZA terima kunjungan hormat delegasi KUPU SB

Oleh: Noraini Jusoh

Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menerima kunjungan hormat delegasi Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) susulan daripada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) yang telah ditandatangani kedua-dua pihak di Bandar Seri Begawan, Negara Brunei Darussalam pada 25 Februari lalu.


Delegasi seramai 7 orang yang terdiri daripada pegawai pengurusan akademik KUPU SB diketuai Pemangku Timbalan Ra’es KUPU SB, Dr Haji Norarfan Zainal telah disambut oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UniSZA, Prof. Dr. Amran Ahmed di Bilik Persidangan UniSZA, hari ini.

Prof. Dr. Amran berkata, beliau amat berbangga kerana KUPU SB sudi datang ke sini untuk menjalin kerjasama serta melawat UniSZA.

"Saya berharap dengan terjalinnya perhubungan di antara dua universiti ini maka lebih banyak aktiviti bersama akan dapat dilakukan pada masa akan datang,” ujarnya dalam ucapan aluan pada majlis lawatan delegasi KUPU SB ke Fakulti Pengajian Kotemporari Islam UniSZA.

Pada ucapan balas, Dr Haji Norarfan mengharapkan usahasama dan lawatan yang terjalin dapat memperkukuhkan lagi perhubungan antara kedua-dua universiti dari pelbagai segi termasuk pertukaran pelajar bagi berkongsi pengalaman.

Sepanjang kunjungan tersebut, delegasi KUPU SB turut dibawa melawat perpustakaan dan balai cerap bagi mendedahkan mereka kepada kemudahan akademik yang berada di UniSZA.

Pemilihan UniSZA sebagai destinasi kunjungan luar negara adalah selari dengan usaha mereka untuk meneroka peluang yang ada bagi menjalin kerjasama dan memperkukuh hubungan dua hala memandangkan KUPU SB sebuah universiti yang baru dinaik taraf.

 

No comments: