Merang, Setiu - 9 Julai 2009
Sebuah Hotel Eksklusif berharga RM122 juta akan dibangunkan di Lot 4189 di Merang, Setiu dan menjadi satu lagi mercu tanda dalam usaha menyemarakkan lagi industri pelancongan di negeri ini.
Datuk Za'abar melakukan upacara pecah tanah pembinaan hotel mewah di Merang, Setiu. - Foto SHUHAIMI AHMAD.
Hotel yang mempunyai 190 bilik ini akan dibangunkan secara usahasama antara Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) dan Syarikat Desa Perantau Sdn Bhd (SDP). Apabila projek itu siap nanti, ia bakal menawarkan lebih 200 pekerjaan kepada penduduk tempatan dalam pelbagai bidang.
“Dengan pembinaan ini kita harap dapat memberi lebih kepuasan kepada pelancong setiap kali berkunjung ke negeri ini kerana hotel ini menjanjikan banyak keistimewaan kepada pengunjungnya,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, Datuk Za’bar Mohd Adib pada majlis Menandatangani Perjanjian Pajakan Tanah Lot 4189 Mukim Merang antara YDSM dan SDP di Merang, Setiu hari ini (9 Julai).
Datuk Za'abar melihat gambar ilustrasi hotel eksklusif RM122 juta yang akan dibina di Merang.
Turut hadir, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM, Dato’ Mohd Fadzli Yusof dan Pengarah Urusan SDP, Puan Zainab Yusak.
Datuk Za’bar berkata, usahasama antara YDSM yang menyediakan tapak tanah seluas dua hektar manakala SDP membinanya adalah bertepatan dengan keadaan di situ yang berdekatan dengan kawasan sukan berkuda di Lembah Bidong atau Terengganu International Endurance Park (TIEP) yang diadakan sepanjang tahun.
“Kemudahan yang sedia ada akan menambahbaikan lagi dengan kewujudan hotel ini bagi menampung kedatangan pelancong terutama ketika penganjuran kejohanan sukan berkuda peringkat antarabangsa yang menjadi acara paling berprestij setakat ini,” katanya.
Projek ini akan memakan masa selama 30 bulan dan akan menyediakan kadar sewa paling berpatutan iaitu antara RM250 hingga RM700 semalam.
Gambar ilustrasi hotel mewah bernilai RM122 juta yang akan dibangunkan di Merang.
Datuk Za’abar kemudinnya menyaksikan majlis Menandatangani Perjanjian dan Pecah Tanah antara Dato’ Mohd Fadzli mewakili YDSM dan Puan Zainab mewakili SDP.
UKOM