Merchang, Marang, Terengganu - 14 Julai 2009
Terengganu berpotensi muncul sebagai hab pengeluar madu lebah terbaik negara ini apabila kegiatan mengumpul madu lebah paling berkualiti yang dikesan dari Hutan Simpan Merchang, Marang akan dikawal selia oleh satu badan khas.
Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan merasa madu lebah yang baru diambil pada pokok tualang di Merchang, Marang, Terengganu. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.
Jika sebelum ini lebih 120 pemungut madu lebah tualang menjalankan kegiatan tradsional itu secara bebas dan tanpa kawalan, kini mereka didaftar serta dikawal selia menerusi Koperasi Pemungut Madu Lebah Terengganu (Kopemat) Berhad sejak Mei lalu.
Kopemat menjalankan aktiviti dan menyelaras kegiatan ahlinya melalui pembiayaan dan kerjasama dengan Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM). YDSM berperanan menyumbang ke arah usaha peningkatan taraf sosio ekonomi masyarakat tempatan.
Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM, Dato’ Prof Dr Makhdzir Mardan, berkata madu lebah tualang yang bermutu tinggi terhasil daripada pokok Akasia dan Gelam yang terdapat di Hutan Gelam di Hutan Simpan Merchang serta Hutan Gelam di Setiu.
Katanya, kegiatan tradisional pemungut madu dari Kampung Gong Beris dan sekitar Marang di hutan gelam yang menjadi habitat terbaik hidupan itu lebih terkawal dan terbela menerusi Kopemat dan YDSM.
“YDSM bertanggungjawab menjaga kebajikan dan keselamatan pemungut hasil madu lebah berkenaan yang sentiasa berdepan dengan risiko dan apabila mereka dikawal, mereka mampu memperolehi hasil lebih banyak dan baik.
“Jika sebelum ini, apabila menemui sarang lebah, mereka terus ambil, tetapi kita akan kawal antara seminggu hingga dua minggu supaya menghasilkan madu lebih banyak sebelum dikutip,” katanya kepada media, selepas lawatan dan demontrasi memungut madu lebah di Pusat Pengambilan Madu Lebah Tualang, di Hutan Simpan Merchang, Marang hari ini (14 Julai).
Berkenan berangkat ke program itu, Yang Di-Pertuan Agong, Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin. Baginda selaku Pengerusi YDSM diberi penerangan mengenai projek madu lebah berkenaan oleh Dato’ Prof Dr Makhdzir sebelum baginda berangkat bersama tetamu kenamaan untuk menyaksikan demontrasi pengambilan itu.
Turut hadir, Tengku Sri Temenggung Raja; Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri, YB Rozi Mamat.
Demonstrasi pengambilan madu lebah tualang di Merchang, Marang, menarik minat Yang Di-Pertuan Agong sehingga Baginda sendiri berangkat untuk melihat lebih dekat proses pengambilan madu berkenaan.
Menurut Dato’ Prof Dr Makhdzir, selain memudahkan pemungut berkumpul di bawah satu badan khas, Kopemat dan YDSM juga akan mengenalpasti potensi untuk menambahnilai dan meningkatkan teknologi bagi menghasilkan lebah madu yang berkualiti serta dapat menguasai pasaran.
Katanya, YDSM juga akan berusaha menjalankan kajian dan penyelidikan dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia dan Universiti Darul Iman Malaysia bagi meningkatkan kualiti produk hutan berkenaan, sekaligus dapat meningkatkan pendapatan penduduk setempat.
Menurut Dato’ Prof Dr Makhdzir, harga madu lebah tualang kira-kira RM49 sekilo dan ada pengusaha yang berjaya mengumpul sebanyak tujuh tan (7,000 kilogram) daripada pemungut madu pada 2007.
UKOM