Halaman

15 July 2009

Ramai Pelancong Singapura Berkunjung Ke Terengganu

Oleh : Mohd Shuhaimi bin Ahmad

Kuala Terengganu - 14 Julai 2009

Lebih ramai pelancong dari Singapura dijangka berkunjung ke Terengganu berikutan bermulanya perkhidmatan penerbangan terus dari republik itu ke Kuala Terengganu, bermula semalam (14 Julai 2009).


Dato' Ahmad menyambut ketibaan pelancong yang menaiki pesawat Firefly dari Singapura di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu. -Foto SHUHAIMI AHMAD.

Penerbangan sulung yang membawa 42 pelancong dari negara itu mendarat di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), kira-kira jam 6.30 petang dan disambut Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mokhtar Nong serta beberapa pemimpin negeri.


Penumpang tiba dengan pesawat pertama Firefly dari Singapura di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu.

Keceriaan terpancar pada wajah penumpang pesawat Firefly Singapura-Kuala Terengganu itu yang diberi sambutan meriah, termasuk tarian selamat datang dan jamuan ringan.

Menteri Besar turut menyampaikan cenderamata daripada kerajaan negeri kepada setiap penumpang yang menaiki pesawat tersebut, sebaik saja mereka melangkah ke pintu masuk Balai Ketibaan LTSM.

Dalam sidang akhbarnya, Dato’ Ahmad mengumumkan kerajaan negeri akan menambah kemudahan bagi menjadikan negeri ini sebagai pusat membeli-belah, sebagai salah satu usaha menarik kedatangan pelancong.


Pegawai Imigresen memeriksa paspot penumpang pesawat Firefly dari Singapura yang tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu.

“Kerajaan negeri sedia menambah peruntukan bagi tujuan itu dan pada masa yang sama kita harap usahawan tempatan menambah produk mereka untuk dijual kepada pelancong,” katanya.

Beliau juga meminta peniaga menjaga kebersihan dan kualiti produk mereka kerana pelancong datang ke negeri ini bagi menikmati hidangan makanan dan produk tradisional selain tertarik kepada keindahan pulau, pantai dan tasik yang ada di Terengganu.

“Peniaga juga perlu menjual barangan dengan harga berpatutan dan tidak mengambil kesempatan mengaut keuntungan dengan meletakkan harga terlalu tinggi kepada pelancong,” katanya.

UKOM