Halaman

14 July 2009

Pusat Akuatik Ditutup Sementara Tujuan Baik Pulih

Oleh : AIDA ABD RAHMAN

Kuala Terengganu - 9 Julai 2009

Bagi memastikan insiden kerosakan melibatkan kemudahan sukan di Terengganu tidak berulang, Kementerian Kerja Raya mengarahkan Kompleks Akuatik Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Batu Buruk, Kuala Terengganu ditutup sementara untuk kerja membaik pulih selepas dikesan banyak kelemahan dan tahap keselamatan yang tidak sesuai digunakan orang awam.


Dato' Shaziman melihat kerosakkan pada bumbung Kompleks Akuatik Majlis Bandaraya Kuala Terengganu ketika melawat kompleks itu di Batu Buruk, Kuala Terengganu. -Foto SHUHAIMI AHMAD

Menterinya, Dato’ Shaziman Abu Mansor, berkata pihaknya menerima laporan daripada pasukan penyiasat Jabatan Kerja Raya (JKR) berhubung banyak kelemahan dalam projek menaik taraf kolam renang yang berharga kira-kira RM18 juta itu.

“Laporan dan gambar menunjukkan banyak kelemahan seperti kebocoran menyebabkan air daripada kolam keluar, berkarat dan kualiti yang ada di kolam ini tidak sampai ke tahap yang diperlukan, di mana kalau tidak silap saya pusat akuatik ini hanya digunakan sepenuhnya untuk satu acara Sukma (Sukma Terengganu ke-12) selepas itu tidak lagi dapat berfungsi sebaik mungkin.

“Dalam hal ini, kita minta supaya kolam renang ini ditutup sementara waktu kerana keadaan tidak sesuaii, malah kita juga bimbang dari segi keselamatan kerana tadi apabila dibuat pemantauan di bawah terlalu banyak kebocoran dan ada soket yang sepatutnya digunakan sebagai membekalkan elektrik, tetapi mengeluarkan air dan ini tidak selamat digunakan,” katanya selepas meluangkan masa kira-kira sejam bersama pasukan penyiasat JKR bagi meninjau keadaan parasarana di pusat akuatik itu, semalam (9 Julai).

Hadir sama, Ketu Pengarah JKR, Dato’ Seri Dr Judin Abdul Karim; Datuk Bandar Kuala Terengganu, Dato’ Mat Razali Kassim dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri, YB Yahya Khatib Mohamad.

Dato’ Shaziman berkata, menerusi tinjauan itu juga banyak kelemahan seperti aspek reka bentuk, pengawasan projek yang lemah kerana perlu disiapkan segera sehingga gagal dilaksanakan sebaik mungkin, tetapi itu bukan alasan projek itu tidak mencapai tahap yang sepatutnya.

Malah katanya, kementerian akan memastikan segala projek dapat dilaksanakan mengikut jadual dan mencapai kualiti yang sepatutnya serta tidak mahu jangka hayat sesuatu projek itu pendek.

“Sebagaimana kompleks kolam renang itu baru umur setahun bahagian yang dinaik tarafkan tetapi kalau kita lihat seolah-olah lebih sepuluh, berbelas tahun dan ini sesuatu yang kurang baik.

“Kementerian akan mengarahkan pegawai kanan JKR untuk mengkaji kelemahan dalam JKR bagi menambahbaik segala projek, penggunaan tenaga kerja dan pengawasan yang mencukupi supaya perkara yang tidak diingini tidak berulang dalam melaksanakan projek pembangunan Rancangan Malaysia Ke-10 nanti,” katanya yang turut mengarahkan pegawai JKR memastikan projek dijalankan mengikut hasil serta spesifikasi sepatutnya.

Unit Komunikasi Negeri Terengganu (UKOM)