Halaman

17 August 2009

Kerajaan atasi pengangguran

Oleh : Mohd Shuhaimi bin Ahmad

Kerajaan negeri akan berusaha lebih gigih bagi menyediakan peluang pekerjaan kepada belia tempatan yang masih menganggur supaya mereka mendapat pekerjaan di masa depan.

Antara langkah yang sedang dilakukan kerajaan negeri ialah memperhebatkan lagi skim seperti T-Gas yang memberi peluang kepada belia lepasan ijazah bekerjasama menimba pengalaman dengan syarikat-syarikat turut menyertai skim berkenaan.


Dato' Ahmad bersalaman dengan belia yang hadir pada Majlis Pelancaran Hari dan Minggu Belia peringkat negeri Terengganu 2009 di Stadium Negeri.

Berdasarkan maklumat Jabatan Perangkaan Negara, pada akhir tahun lalu, seramai 2.8 peratus atau 10,000 belia di negeri ini masih menganggur.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said berkata, berpaksikan kepada agenda ‘Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan Negeri Terengganu’, setiap projek dan program yang dilaksanakan kerajaan negeri akan memastikan keuntungan diperolehi akan dinikmati oleh rakyat semaksimum mungkin.


Sebahagian belia dan tetamu yang hadir pada Majlis Pelancaran Hari dan Minggu Belia peringkat negeri Terengganu 2009 di Stadium Negeri.

“Pastinya golongan belia turut sama mendapat keuntungan daripada perkembangan ini dari sudut ekonomi, antaranya dengan kepesatan bidang pelancongan seperti usaha yang mula menampakkan hasilnya di Tasik Kenyir,” katanya ketika merasmikan Majlis Pelancaran Hari dan Minggu Belia peringkat negeri Terengganu 2009 di Stadium Negeri, 15 Ogos lalu.

Beliau berkata, melalui kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan seperti Kerteh Plastic Park pula, turut membuka peluang pekerjaan kepada belia, khasnya sama ada secara langsung di bidang teknologi itu mahu pun bidang sampingan lain,

Dalam perkembangan lain, Menteri Besar meminta golongan belia agar menambah ilmu pengetahuan dalam diri mereka bagi menjauhi pelbagai anasir tidak baik.


Dato' Ahmad menyampaikan anugerah kepada Tokoh Belia Wanita, Cik Esah Mohamad pada Majlis Pelancaran Hari dan Minggu Belia peringkat negeri Terengganu 2009 di Stadium Negeri. - Foto SHUHAIMI AHMAD.

Beliau berkata, unsur utama yang menyebabkan golongan belia terlibat dalam jenayah ialah ilmu yang tidak lengkap sama ada ilmu itu kurang dicintai, difahami, dinilai atau diamalkan di kalangan mereka sendiri.

UKOM