Halaman

16 August 2009

T’Shoppe bantu Usahawan

Oleh : SURIATI BINTI ALI

Pembukaan rangkaian kedai serbaneka T’Shoppe nyata melegakan usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di mana sebelum ini sukar untuk memasuki pasar raya ternama di negeri ini.

T’Shoppe dikelola anak syarikat Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) iaitu Cakna Sdn Bhd, menyediakan hampir 200 jenis produk tempatan seperti minyak urut berasaskan herba, cuka nipah; keropok lekor serta karipap segera dan jus rossele dengan melibatkan 95 usahawan dan syarikat.


Menteri Besar Terengganu menurunkan tandatangan tanda perasmian kedai 24 jam T'shoppe di Gong Kapas.

Produk sampingan lain, termasuk kad prabayar, majalah, akhbar, alat tulis dan pelbagai barangan dapur serta penjagaan diri.

Sehingga kini, tiga T’ Shoppe sedang beroperasi iaitu di Jalan Gong Kapas, Kuala Berang dan Dataran Shahbandar dan empat bakal dibuka dalam tempoh terdekat di Kelulut, Marang; Geliga, Kemaman; Paka, Dungun dan Gong Kemuntung, Besut.


Dato' Ahmad (kiri) melihat produk ikan salai Tasik Kenyir yang turut dijual di T'shoppe selepas merasmikan kedai 24 jam di Gong Kapas, Kuala Terengganu. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Bagi memperkenalkan T’ Shoppe di mata masyarakat, YPU turut memperluaskan rangkaiannya di luar Terengganu, termasuk Johor menempatkan empat rangkaian, Selangor (3 buah) dan satu T’ Shoppe di Melaka.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, berkata T`Shoppe merupakan alternatif terbaik yang dilaksanakan YPU bagi membantu golongan usahawan yang sebelum ini sukar mendapat tempat di pasar raya terkenal di negeri ini.

Katanya, pihaknya yakin usaha ini akan memberi persaingan hebat antara rangkaian kedai lain yang memberi perkhidmatan hampir sama.

“Oleh itu, bagi memperhebatkan rangkaian itu, YPU mensasarkan 90 T`Shoppe bakal dibuka di seluruh negara, sama ada diuruskan Cakna atau perkongsian pintar (Joint Venture Company).

“Sebagai pelengkap kepada jaringan T’Shoppe, YPU mewujudkan Pusat Pengumpulan, Pembungkusan dan Pemasaran (TP3) semata-mata bagi menjalankan aktiviti berkaitan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan T’Shoppe, di Gong Kapas, Kuala Terenganu.


T'shoppe adalah rangkaian kedai serbaneka 24 jam yang diwujudkan Kerajaan Negeri melalui YPU merupakan projek memperkasakan sektor peruncitan di negeri ini.

Menurutnya, usahawan IKS sewajarnya berbangga kerana kerajaan negeri bukan sahaja membuka T’Shoppe malah mewujudkan pasaran rakyat atau dikenali T’Mall di mana buat permulaan ia beroperasi di Kuala Berang.

“T’ Mall menyediakan pelbagai barangan pada harga mampu milik itu bakal diperluaskan di beberapa daerah lain di negeri ini,” katanya.

Katanya, usaha kerajaan membantu kemiskinan mula menampakkan hasil di mana peratusannya semakin menurun setiap tahun.

“Pada 2004, ia mencatatkan 15.4 peratus yang melibatkan 30,860 isi rumah turun kepada 6.5 peratus (13,164) pada 2007.

“Penurunan membanggakan itu memberi semangat kepada kerajaan negeri untuk meneruskan pelbagai program membasmi kemiskinan termasuk mempelbagaikan aktiviti keusahawanan,” katanya.

Menurutnya, oleh itu, masyarakat perlu bijak mencari peluang dan berfikir secara drastik sekiranya serius ingin membaiki ekonomi masing-masing.

UKOM