Halaman

18 August 2009

Terengganu Rancang Kempen Makan Daging Kambing

KUALA TERENGGANU, 16 Ogos (Bernama) -- Terengganu akan menjalankan kempen bagi meningkatkan kadar pemakanan daging kambing di kalangan penduduk tempatan daripada 3,500 kilogram setahun ketika ini kepada 500,000 kilogram setahun.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Kecil Negeri Muhammad Pehimi Yusof berkata kempen dengan kerjasama Jabatan Veterinar dari semasa ke semasa itu akan berusaha mengikis stigma negatif orang ramai terhadap daging kambing.

Beliau berkata pihaknya sedar ramai kalangan masyarakat merasa bimbang dan takut untuk memakan daging kambing kerana ia dikatakan berkolestrol tinggi, dan sering dikaitkan dengan darah tinggi serta mengakibatkan pening kepala.

"Sebenarnya daging kambing mengandungi kandungan kolestrol lebih rendah berbanding daging ayam, lembu dan bebiri," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran Kedai Satay Kaprima di sini hari ini.

Pehimi berkata menjelang tahun 2010 kuantiti pengeluaran daging kambing di Terengganu dijangka mencecah 260 tan metrik berbanding 140 tan metrik ketika ini.

Beliau berkata tahun ini kerajaan negeri membelanjakan RM1 juta untuk membangunkan 70 buah projek mikro kaprima (baka kambing), yang melibatkan 700 ekor induk.

-- BERNAMA