Halaman

16 August 2009

Tesdec Terus Unggul Tawar Perkhidmatan

Oleh : SURIATI BINTI ALI

Kolej Tesdec terus menggorak langkah seiringan dengan pusat pengajian lain semata-mata ingin menawarkan perkhidmatan kepada pelatih dalam bidang berkaitan.

Pembinaan Kompleks Latihan Al-Farabi (KLA) yang membabitkan peruntukan RM6.8 juta itu menjadi satu kebanggaan berikutan mampu menaikkan imej kolej itu di kalangan masyarakat.

KLA lengkap dengan kemudahan pembelajaran itu bakal digunakan pelatih untuk mengikuti latihan Teknologi Kejuruteraan (Penyelengaraan Automotif).


Menteri Besar menekan butang perasmian Kompleks Latihan Al-Farabi di Kolej Tesdec, Marang.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said berkata, kerajaan negeri bangga dengan perubahan yang dilaksanakan tesdec kerana jelas mampu membantu kerajaan negeri menaiktaraf mutu pendidikan di Terengganu.

Katanya, diharapkan apa yang disediakan ini digunakan sebaik mungkin pelatih dengan memperkayakan ilmu dalam bidang berkaitan.


Dato' Ahmad memperkatakan sesuatu kepada pelatih Tesdec ketika melawat bengkel Latihan Teknologi Automotif.

”Komplek mula dibina April 2006 ini, bukan sahaja menyediakan kemudahan pembelajaran malah turut dilengkapi pejabat, makmal autotronik, dan bilik kuliah,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Kompleks Latihan Al-Farabi, Kolej Tesdec, Marang.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Kolej itu, YB Ahmad Razif Abd Rahman, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam, YB Yahya Khatib.

Sempena majlis itu, Dato’ Ahmad turut menyampaikan bantuan pendidikan kepada pelajar yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Tinggi Malaysia (STPM).


Kompleks Latihan Al-Farabi di Tesdec, Marang, Terengganu, merupakan mercu tanda baru dalam mencapai integrasi ilmu dan kemahiran. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Kira-kira 2,000 kakitangan pelbagai jabatan dan penduduk setempat hadir memeriahkan majlis yang turut diserikan persembahan silat dan ruang pameran.

Dato’ Ahmad turut memberitahu, Tesdec bakal menawarkan kursus pembantu rumah kepada ibu tunggal selepas selesai mengadakan perbincangan dengan pihak berkaitan.

“Kursus yang belum diwujudkan mana-mana kolej dan pusat pengajian itu dijangka mendapat sambutan golongan itu yang ingin mencari sumber pendapatan selepas ditinggalkan atau kematian suami,” katanya.

Sementara itu, YB Razif berkata, Tesdec kini lebih dikenali selepas beberapa pendekatan drastik dilaksanakan termasuk menawarkan Diploma dalam bidang Teknologi Kejuteraan.

Katanya, lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mendapat keputusan kurang cemerlang disarankan mengambil mana-mana kursus di kolej ini bagi mengelak gejala lepak selain merugikan masa,” katanya.

UKOM