OLEH: RUSLAN ABDUL RAHMAN- Pengarang
Lawatan kerja Perdana
Menteri Dato’ Sri Najib Tun Hj Abdul Razak ke Terengganu esok (6 Julai) adalah
amat bersejarah kerana lawatan pertama beliau selepas Dato’ Hj Ahmad Razif
Abdul Rahman dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu ke 14 menggantikan Dato’
Seri Hj Ahmad Said.
Walaupun ia disekalikan dengan majlis anjuran Felda di
Pejabat Felda Wilayah Timur, tetapi kita berbangga kerana Felda yang dibawah
seliaan terus Perdana Menteri memilih Terengganu sebagai tuan rumah Rahmat
Ramadhan Felda.
Lebih uniknya kebetulan pejabat Felda Wilayah Timur itu
terletak dalam kawasan Kuala Nerus (Dun Tepoh). Kebetulan Menteri Besar, Dato’ Hj Ahmad Razif adalah Ketua Umno
Bahagian Kuala Nerus.
Dalam tempoh kira-kira 50 hari Dato’ Ahmad Razif menjadi
Menteri Besar, beliau dengan penuh berhemah dan menghormati kepimpinan yang
lalu meneruskan kesinambungan menguruskan kerajaan untuk rakyat.
Seingat penulis
perkara pertama yang disebut oleh Dato’ Ahmad Razif ialah meneruskan usaha
pembangunan dan pentadbiran untuk rakyat dengan mengajak semua bekerja
bersama-sama dan secara pasukan.
Maksudnya di sini kerja secara bersama dari semua pihak dan
kerja berpasukan bukannya sendiri atau ‘ one man show’.
Beliau sendiri membentuk Pusat Transformasi Rakyat (PUTRA)
di Pejabat Menteri Besar untuk membantu kerajaan membuat kajian dan keputusan
dalam sesuatu perkara.
Malah beliau memperkenalkan penubuhan jawatankuasa pemikir
peringkat daerah.
Diperkenalkan juga untuk urustadbir yang baik dan menjurus
kepada kepentingan rakyat. Tranformasi Terengganu Baru (TTB) dengan mahu
menjadikan Terengganu TerBersih dan Pasukan Kerja yang berkhidmat dengan telus
(Telus Team Berkhidmat).
Mendahulukan rakyat dengan motto, “kecil bagi kita besar
bagi orang”- beliau meningatkan supaya beri perhatian walaupun pada perkara
yang dianggap kecil oleh sesetengah orang, tetapi besar maknanya bagi yang
memerlukan.
Contohnya, beberapa barang
makanan diberikan kepada yang memerlukan amat besar ertinya bagi yang miskin itu,
walaupun hanya nilainya amat kecil bagi yang kaya. Malah beliau sendiri sentiasa turun melihat apa jua bencana yang dihadapi rakyat, seperti rumah terbakar misalnya, dengan meluluskan bantuan terus tanpa mengira perbezaan politik dan sebagainya; yang penting mereka yang dalam kesukaran dibantu.
Dalam konteks pentadbiran Dato’ Ahmad Razif memperkenalkan ,
Transformasi Terengganu Baru- TTB sebagaimana disebutkan tadi.
TTB mempunyai cirri-ciri antara lainnya ialah:
i.
Good governance- urus tadbir yang baik
ii.
Insklusif- bersifat terbuka dan menerima
pandangan orang lain
iii.
Agama sebagai wadah penyatuan
Satu perkara yang kita perlu lihat sikap adil yang
ditunjukkan oleh kepimpinan itu iaitu tidak lupa rakyat Terengganu dari kaum
lain, lantas beliau melantik bekas Exco
Kerajaan Negeri, Toh Chin Yaw dilantik sebagai Pegawai Khas Menteri Besar untuk
menjaga kepentingan kaum-kaum lain.
Menteri Besar yang baru tidak menangguhkan bantuan kepada
rakyat di mana sahaja mereka berada dan berkelayakan.
Dana Raya berjumlah RM81 juta tahun ini diumumkan termasuk
kepada Dana Bakti Remaja RM25 juta. Dana raya dibayar sebelum menjelang hari
raya dan dipermudahkan.
Difahamkan dinaikkan RM100 kepada golongan miskin dan ramai
tanggungan, suatu sikap yang cukup merakyatkan dan mengambilkira kesusahan
orang bawahan.
Beliau juga telah member suatu perasaan gembira kepada orang
Besut apabila memindahkan pelajar SM
Imtiaz Besut ke Kompleks Imtiaz Besut.
Beliau juga memperkenalkan Sijil Umum Menengah Antarabangsa (IGCSE)-
pertama di negara ini bagi sekolah-sekolah menengah.
Di bawah kepimpinan baru ini, rumah untuk rakyat
dipercepatkan pembahagiannya supaya rakyat dapat segera menikmatinya.
Meletakkan perpaduan sebagai asas utama dalam apa juga
perkara dan meminta elak dendam.
Ketua-ketua Umno Bahagian juga dilantik sebagai Pegawai
Pembangunan di samping memperkasakan peranan wakil-wakil rakyat yang sedia ada.
Ini kerana beliau berpendapat, perpaduan adalah perkara
utama dan penting dalam apa jua perkara dan mesti diberi perhatian dan
keutamaan.
“Jangan memuaskan hati kita dengan melepaskan dendam, tetapi
yang penting dan utama ialah bagaimana kita wujudkan perpaduan dan menghargai
semua orang” katanya.
“Tiap-tiap apa yang kita hendak lakukan untuk kebaikan
rakyat,mestilah dirunding dan dibincang dahulu dengan mereka,
sekurang-kurangnya pendapat mereka dirai,” pernah Menteri Besar menyatakan
demikian kepada penulis dalam satu perbualan.
Inilah sikap keterbukaan Menteri Besar, Dato’ Hj Ahmad Razif yang cukup disukai rakyat
dengan penuh harapan mahukan amalan itu diteruskan oleh pemimpin pemimpin yang
lain juga.
Bersikap terbuka dan mesra dengan pembangkang-beliau tidak
melihat perbezaan parti boleh menyebabkan perhubungan sesama Islam menimbulkan
masalah kerana baginya agama adalah sebagai wadah penyatuan bukan perpecahan.
Malahan beliau menjadikan masjid dan surau sebagai institusi penting perpaduan dan beliau sentiasa bersolat jemaah di masjid dan surau di samping menemui para jemaah, suatu amalannya sejak dahulu lagi.
Beliau dan rombongan melawat sendiri jenazah pemimpin veteran Pas Allahyarham Abu
Bakar Chik yang meninggal dunia. Dipenuhi ramai oleh ahli –ahli Pas di kawasan
kediaman Allahyarham di Tok Jiring, beliau tetap selesa dengan situasi demikian.
Malah terbaru Dato’ Menteri Besar telah menemui Presiden Pas Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang
di Kuala Lumpur. Presiden Pas baru sahaja keluar dari mendapat rawatan di
Institut Jantung Negara (IJN).
Beliau juga hadir memenuhi
undangan di majlis perkahwinan anak bekas Exco Kerajaan Negeri,
Datuk Rahin Mohd Said dan juga
hadir menerima jemputan Dato’ Haji Mohd
Nasir Ibrahim Fikri (Pengerusi Persatuan Kontraktor Melayu Terengganu) bagi
merasmikan mesyuarat agung persatuan tersebut.
Kedua-dua (Dato’
Nasir dan Datuk Rahin) baru-baru ini bertanding jawatan Ketua Umno Bahagian
Kuala Nerus, tetapi nasib menyebelahi
Dato’ Haji Ahmad Razif dipilih sebagai Ketua Bahagian.
Bahkan beliau mengekalkan perlantikan beberapa Pegawai Khas
Menteri Besar yang dilantik di bawah pimpinan yang lalu, termasuk Dato’ Nasir
dan Datuk Rahin; suatu yang cukup murni dan berjiwa besar.
Demikianlah Dato’ Ahmad Razif, Menteri Besar Terengganu yang
juga telah bekerja keras dan komited mengatur lawatan Perdana Menteri ke Terengganu ini berjalan lancar dan
jayanya.
Semoga dengan lawatan Perdana Menteri ini memberi suntikan
kepada Dato’ Hj Ahmad Razif untuk terus mengemudikan Terengganu dengan jayanya.