Halaman

25 October 2009

Bajet 2010 - 1Malaysia Kemakmuran Bersama

"Membela rakyat di semua lapisan terutama golongan miskin tanpa membelakangkan pembangunan dan pertumbuhan ekonomi."

Dato' Ahmad Said
Menteri Besar Terengganu


Dipetik dari Berita Harian 24/10/2009

Terengganu kejut Selangor
dipetik dari Berita Harian Online


PEMAIN Terengganu, Khairul Izwan Khalid (tengah) berjaya menanduk bola sambil cuba dihalang pemain Selangor, Khairul Anuar Baharom (kanan) dan Md Razman Roslan pada perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.

Skuad Penyu gah iringi NS, Kelantan, Perlis layak separuh akhir

PENJAGA gol Terengganu, Mohd Sharbinee Allawee menghancurkan impian Selangor menyapu bersih empat gelaran domestik, musim ini apabila menyempurnakan penentuan sepakan penalti, malam tadi untuk menjulang pasukan mara gah ke separuh akhir Piala Malaysia, musim ini dengan keputusan 5-4 selepas terikat agregat 2-2.

Turut layak ke kelompok empat terakhir adalah Negeri Sembilan, Kelantan dan Perlis yang masing-masing merakamkan kemenangan selesa.

24 October 2009

Menteri Besar ‘pulang’ ke USM

Oleh: Kamarudin Mat Akib, Zulkipli bin CW. Putera dan Harun Hassan.



Menteri Besar Terengganu, Dato' Ahmad Said bersama isteri menerbitkan semula kenangan silam ketika belajar di USM dengan beberapa kenalan sepelajaran. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Selepas 26 tahun meninggalkan kampus Universiti Sains Malaysia (USM), Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said ‘pulang’ semula ke kampus tersebut bagi menghadiri Program Alumni USM malam ini (24 Oktober).




Wajah Dato’ Ahmad Said jelas keriangan apabila beliau berkesempatan bertemu semula rakan-rakan lama yang turut hadir pada majlis berkenaan yang diadakan khusus bagi mengeratkan silaturahim di kalangan bekas pelajar USM.


Pelawak terkenal Zaibo juga adalah bekas penuntut USM.

Malam sebelumnya, Dato’ Ahmad menghadiri majlis ramah mesra mahasiswa/i dan pensyarah USM dari Terengganu dengan Menteri Besar di kampus berkenaan di mana beliau banyak mengimbau sejarahnya ketika menuntut di USM.


Bertanya khabar kenalan lama ketika sama-sama menuntut di USM.

Isteri Menteri Besar, To’ Puan Norliza Mahmud turut hadir pada kedua-dua majlis berkenaan.

Sewaktu menuntut di USM, Dato’ Ahmad mengambil bidang Sains Politik dan turut memegang pelbagai jawatan penting dalam persatuan anak Terengganu dan perwakilan pelajar USM.

UKOM

Utara: USM kumpul bekas penuntut sejak 1969
dipetik dari Berita Harian Online
GEORGETOWN: Universiti Sains Malaysia (USM) sedang menghimpunkan lebih 100,000 alumninya bagi memeriahkan lagi program Balik Kampus Alumni 2009 yang akan diadakan di kampus induknya pada 23 hingga 25 Oktober ini.

Program sempena sambutan 40 tahun USM itu bakal diserikan dengan kehadiran Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said yang juga alumni universiti berkenaan.

Pengurus Pejabat Perhubungan Alumni USM, Sharifah Munirah Syed Mohamed, berkata kedua-duanya sudah menyatakan komitmen mereka bagi bersama-sama memeriahkan program berkenaan.

"Usaha menghimpunkan semua alumni USM sejak 1969 adalah bagi mengukuhkan hubungan alumni dengan universiti kerana pembangunan sesebuah institusi ilmu turut disumbangkan oleh aspek hubungan serta sumbangan alumni.

"Masih banyak yang boleh dilakukan oleh seseorang alumni dalam membina imej dan keupayaan intelek sesebuah universiti. Inilah kekuatan institusi ternama seperti Oxford University dan University Of Cambridge.

"Selain itu, Balik Kampus akan menjadi platform pertemuan dan pembentukan jaringan selepas sekian lama terpisah. Program ini juga membolehkan pelajar sedia ada mengetahui rahsia alumni yang berjaya dalam bidang diceburi,” katanya.

Sharifah Munirah berkata, antara program bakal diadakan adalah pertandingan golf alumni, Malam Menyambung Kasih, sesi mencari harta karun 'Suka Cari', Majlis Makan Malam Curahan Kasih dan Projek Kelestarian Kampus.

"Menerusi Projek Kelestarian Kampus, alumni USM akan menanam lebih 100 pokok pelbagai spesies di kampus sebagai langkah mewujudkan persekitaran sihat buat warganya," katanya.

Beliau berkata, alumni USM yang inginkan maklumat lanjut berhubung program Balik Kampus boleh menghubungi Pejabat Pemajuan dan Perhubungan Alumni USM di talian 04-6534791/4792/4796.

"Mereka juga boleh menghubungi kami melalui e-mel alo@notes.usm.my atau laman web http://alo.usm.my," katanya.

Universiti New Zealand Buka Cawangan Di Terengganu

Oleh: Kamarudin Mat Akib, Zulkifli Putra dan Harun Hassan



Menteri Besar Terengganu, Dato' Ahmad Said bermesra dengan Mahasiswa/I dan Pensyarah USM di Kampus USM Pulau Pinang. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Sebuah universiti dari New Zealand, Nursing University akan membuka cawangan di Terengganu bagi melatih pelajar di bidang kejururawatan.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, berkata pihak pengurusan universiti berkenaan berminat untuk beroperasi di Taman Ilmu, Tembila, Besut yang sedang dalam pembinaan.

“Rundingan dengan universiti berkenaan sedang dilakukan dan kita harap lebih banyak universiti termasuk dalam negara, membuka cawangan mereka di Taman Ilmu,” katanya ketika berucap pada Majlis Temu Mesra Mahasiswa/I Dan Pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) di kampus USM, malam tadi (23 Oktober).


Isteri Menteri Besar, To' Puan Norliza Mahmud bersua dengan Mahasiswi USM.

Dato’ Ahmad berkata, kini kerajaan negeri sedang giat melaksanakan pelbagai program di bidang pendidikan, selaras dengan usaha menjadikan negeri ini sebagai ‘Negeri Anjung Ilmu’.


Sebahagian Mahsiswa/I USM Pulau Pinang hadir pada majlis berkenaan.

Malah, kerajaan negeri akan memperuntukkan lebih RM100 juta bagi melaksanakan pelbagai program di negeri ini tahun depan, melalui Bajet 2010.



“Kita akan menambah bilangan murid-murid yang menggunakan e-Book, memberi biasiswa kepada pelajar cemerlang dan menghantar pelajar cemerlang mengikuti pengajian di bidang perubatan di universiti luar negara,” ujarnya.


Dato' Ahmad menyampaikan sumbangan kepada wakil pelajar Terengganu yang membuat pengajian di USM Pulau Pinang.

Menteri Besar memberitahu lebih 400 pelajar USM yang hadir pada majlis tersebut, beliau bertungkus lumus membantu meningkatkan kecemerlangan pelajar bagi melahirkan lebih ramai cendikiawan dan ilmuan di Terengganu.



Pada masa sama, katanya, kerajaan negeri turut berusaha melahirkan cendikiawan yang mampu menghafal al-Quran, khususnya dari Sekolah Imtiaz.


Penuntut USM Pulau Pinang yang terdiri daripada anak Terengganu mengambil kesempatan bergambar bersama pemimpin nombor satu, Dato' Ahmad Said.

UKOM


23 October 2009

Majlis Temu Mesra Pelajar Dan Pensyarah USM dengan MB

Oleh : Kamaruddin Mat Akib

Pulau Pinang – 23 Oktober 2009. Majlis Temu Mesra Pelajar-pelajar Dan Pensyarah Terengganu Di Universiti Sains Malaysia (USM) Bersama Y.A.B. Dato’ Ahmad Bin Said, Menteri Besar Terengganu di Dewan Utama Desa Siswa (RST) Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang pada jam 8.00 malam ini.


Petugas Unit Komunikasi dengan dibantu kakitangan Yayasan Terengganu dan beberapa pelajar Universiti Sains Malaysia sedang bertungkus lumus menyediakan bungkusan cenderahati kepada mereka yang akan hadir pada majlis malam ini.

Kemaskini berita selepas majlis malam ini.

UKOM

22 October 2009

DUN Manir Milik BN

Oleh : AIDA ABD RAHMAN


Menteri Besar, Dato' Ahmad Said menegur kanak-kanak ketika hadir pada rumah terbuka DUN Manir di Kampung Pulau Bahagia, Manir. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir harus bersyukur dengan pembangunan yang disediakan kerajaan dan membalasnya semula dengan memastikan Barisan Nasional (BN) dapat merampas kembali DUN berkenaan pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 kelak.



Menteri Besar dan isteri bersalaman dengan penduduk DUN Manir.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, berkata pelbagai kemudahan dan pembangunan sudah dilaksanakan pemimpin BN di kawasan itu walaupun majoriti rakyat di DUN berkenaan memilih PAS pada PRU yang lalu.

“Walaupun kawasan ini dimenangi oleh Pas, kita tetap menjalankan pelbagai pembangunan dan tidak lama lagi kita akan bangunkan 500 unit rumah kos rendah dengan dilengkapi padang bola dan taman permainan di kawasan Batu Hampar (Manir).



“Malah, hari ini kita datang merayakan sambutan Aidilfitri, lebih baik pada pilihan raya ke-13 nanti kita merayakan pula kemenangan BN,” katanya ketika menghadiri jamuan rumah terbuka DUN Manir di Pejabat Penyelaras DUN Manir, di Pulau Bahagia, semalam (19 Oktober).

Hadir sama, Yang Dipertua DUN, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang yang juga Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu serta pemimpin setempat.

Kira-kira 5,000 penduduk kawasan Manir membanjiri rumah terbuka bermula jam 8 malam dan berakhir tiga jam kemudian yang menyediakan pelbagai menu istimewa seperti nasi dagang, sate dan ketupat.



Dalam pada itu, Menteri Besar berkata pemimpin setempat seperti Dato’ Tengku Putera dan Pegawai Pembangunan DUN (Manir) Encik Yusof Awang Hitam melaksanakan pelbagai pembangunan dan kebajikan demi kepentingan ramai.

Dato’ Ahmad berkata, penduduk Manir juga mendapat kemudahan yang sama sebagaimana dilaksanakan kerajaan di seluruh negeri seperti dana khas, bantuan Hari Raya, selain pengagihan e-Book yang kini masuk peringkat kedua serta melibatkan murid Tahun Empat pada tahun-tahun akan datang.

Katanya, dengan kemudahan dan pembangunan yang disediakan kerajaan hari ini, sepatutnya rakyat mampu menilai dan memilih kerajaan yang mampu berkhidmat dan membela nasib mereka.


Cenderamata kenangan buat Menteri Besar tersayang daripada penduduk DUN Manir.

UKOM

Lima Penerbangan Terus Terengganu-Mekah

Oleh : AIDA ABD RAHMAN


Dato Ahmad melihat kerusi roda yang akan digunakan pihak Tabung Haji untuk jemaah yang uzur. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Seramai 1,775 bakal jemaah Haji dari Terengganu, Pahang dan Kelantan dijangka berlepas ke Mekah menaiki penerbangan terus dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) menerusi lima siri penerbangan bermula petang esok (22 Oktober).

Kumpulan pertama 355 jemaah dijadualkan berlepas 7.15 malam (waktu Malaysia) dan diminta melapor diri pada jam 3.15 petang atau selewat-lewatnya dua jam sebelum berlepas.

Penerbangan kedua pula dijadualkan berlepas pada 23 Oktober (Jumaat), jam 7.50 malam dan waktu melaporkan diri empat jam sebelum itu.

Manakala penerbangan ketiga pula pada keesokan harinya, Sabtu (24 Oktober) jam 7.15 malam dan jemaah perlu melaporkan diri pada jam 3.15 petang hari yang sama.


Menteri Besar bersama pihak Tabung Haji ketika membuat kenyataan akhbar.

Penerbangan keempat pada 3 November (Selasa) jam 11.05 pagi dan waktu melapor diri pada 7.05 pagi.

Sementara penerbangan terakhir dijadualkan pada 4 November (Rabu) pada jam 11.15 pagi dan melaporkan diri pada jam 7.15 pagi.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said berkata, Lembaga Tabung Haji mengesahkan lima penerbangan dijangka beroperasi di LTSM menjelang musim Haji 2009 (1430H).

Selain LTSM, keseluruhan 4,101 jemaah haji dari zon timur turut berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Sementara jumlah bakal Haji dari seluruh Terengganu sehingga 13 Oktober melibatkan 791 orang dari Kuala Terengganu, 219 orang dari Kemaman, Dungun (224 orang), Hulu Terengganu (88 orang), Setiu (48 orang) dan Dungun seramai 240 orang.

Manakala 1,461 jumlah bakal jemaah Haji yang disahkan dapat berlepas menunaikan rukun Islam ke itu, diikuti dari Kelantan 2,225 orang dan Pahang 259 orang.

Pada masa yang sama, pihak Malaysian Airport Sdn Bhd LTSM mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak penyakit berjangkit di kalangan jemaah Haji.

Untuk itu, pihak Malaysia Airport Sdn Bhd akan memastikan orang ramai yang datang ke lapangan terbang tidak bertemu dengan jemaah Haji yang sudah menjalani pemeriksaan di dewan timbang dan berlepas.

“Saya berharap semua jemaah haji dapat menunaikan Haji dengan lancar dan selamat, selain perlu menitikberatkan penjagaan kesihatan sepanjang menjalani ibadat di tanah suci nanti,” kata Menteri Besar.

UKOM

Sokong Usaha Puspanita

Oleh : SURIATI BINTI ALI


Dato' Ahmad bermesra dengan Warga Emas ketika menghadiri Sambutan Hari Raya dan Jubli Perak Puspanita di Dewan Besar Wisma Darul Iman. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Kerajaan negeri menyokong penuh setiap pogram dan aktiviti anjuran Persatuan Suri dan Anggota Perkhidmatan Awam Malaysia Negeri (Puspanita) kerana memberi pelbagai manfaat untuk masyarakat terutama warga emas dan golongan miskin.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, berkata masyarakat kurang berkemampuan wajar dibantu bagi mengurangkan tekanan hidup walaupun sekadar menyertai seminar atau program tertentu.

“Melalui program, masyarakat yang mengalami tekanan hidup akibat masalah tertentu mampu mengembalikan semangat selain beryakinan untuk berdepan dengan keadaan itu.



“Oleh itu, saya berharap pihak lain termasuk agensi swasta turut menyokong usaha murni Puspanita kerana bukan sahaja memberi impak positif kepada individu malah kepada kerajaan negeri,” katanya ketika berucap di Majlis Sambutan Hari Raya dan Jubli Perak, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam (19 Oktober)

Sempena majlis itu, seramai 100 anak yatim dan 30 warga emas sekitar Kuala Terengganu dirai dengan memberi sumbangan duit raya dan goodies.


To' Puan Norliza menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim.

Hadir sama memeriahkan majlis, Isteri Menteri Besar, To’ Puan Norliza Mahmud, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mokhtar Nong, Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah dan beberapa pegawai kanan kerajaan negeri.


Anak-anak yatim dihidangkan pelbagai juadah istimewa pada sambutan Hari Raya dan Sambutan Jubli Perak Puspanita.

UKOM

RM6 Juta Elak Banjir Berulang

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH

Kerajaan negeri memperuntukkan RM6 juta untuk kerja pembinaan sistem perparitan sementara di kawasan perumahan Pusu Tiga dan Kampung Banggol Tok Jiring, Kuala Terengganu yang dilanda banjir tahun lalu.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, berkata kerajaan telah melantik kontraktor untuk menjalankan kerja membina sistem perparitan sementara bagi mengelak banjir dan masalah air bertakung di dua kawasan berkenaan secepat mungkin.


Penduduk dalam kawasan DUN Tepoh menyambut ketibaan Dato' Ahmad.

“Saya percaya dengan altenatif yang diambil ini dapat mengatasi sebahagian masalah penduduk di kawasan terbabit,” katanya di Majlis Jamuan Hari Raya Dewan Undangan Negeri (DUN ) Tepoh dan penyampaian hadiah Pertandingan Pelita Raya, di Dewan Sivik Padang Nenas, Kuala Nerus, hari ini ini (19 Oktober).

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pendidikan Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Ahmad Razif Abdul Rahman; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Za’abar Mohd Adib dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, YB Haji Muhammad Ramli Noh.


YB Ramli Noh membantu Menteri Besar memasak nasi minyak di majlis jamuan Hari Raya DUN Tepoh dan penyampaian hadiah Pertandingan Pelita Raya di Dewan Sivik Padang Nenas, Kuala Nerus. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Beliau seterusnya berharap kerja-kerja pembinaan parit dan ban di kawasan terbabit berjalan lancar serta disiapkan secepat mungkin bagi mengelak banjir berulang.

Sementara itu, Kampung Padang Hangus telah diumumkan sebagai johan dalam pertandingan pelita raya DUN Tepoh yang membawa hadiah wang tunai RM700, manakala tempat kedua Kampung Raja Tepoh (RM500) dan ketiga dimenangi Kampung Pagar Ubi (RM300).


Wakil penduduk Kampung Padang Hangus menerima replika cek daripada Menteri Besar selepas diumumkan pemenang Pertandingan Pelita Raya.

Seramai 188 peserta dari lima kampung yang menyertai pertandingan seperti Kampung Tokeng dan Kampung Baru Tepoh di mana pertandingan ini diadakan untuk mengembalikan tradisi memasang pelita setiap kali menjelang bulan Ramadan.

Menteri Besar kemudiannya menyarankan aktiviti pertandingan pelita raya ini turut diadakan di kawasan lain yang memperlihatkan semangat bergotong royong dan kerjasama kalangan penduduk kampung yang terbabit di samping menjadikan suasana kampung ceria dan meriah sepanjang bulan Ramadan.

UKOM

20 October 2009

Kepimpinan Kerajaan Terengganu Makin Mantap

Oleh : Zulkipli bin CW. Putra


Kepimpinan Kerajaan Terengganu kian mantap apabila pucuk pimpinan kawasan Parlimen Setiu berganding bahu mengukuhkan perpaduan sesama mereka. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, yakin Kerajaan Barisan Nasional (BN) akan terus kekal memerintah Terengganu selepas pilihan raya umum akan datang, berdasarkan senario terbaru politik di negeri ini yang menyaksikan perpaduan lebih kukuh di kalangan pemimpin Umno yang menjadi tunggak BN.

Beliau berkata, jika keadaan ini berkekalan, tidak ada ruang bagi pihak pembangkang untuk berkuasa semula di negeri ini, apatah lagi rekod lalu jelas menunjukkan ia gagal mentadbir negeri ini selepas diberi peluang memerintah negeri ini pada 1999 hingga 2004.

“Saya boleh katakan Umno akan memenangi semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen di Kemaman, Besut dan Setiu. Kita juga boleh menang dengan selesa di bahagian-bahagian lain dan seterusnya membentuk kerajaan negeri pada pilihan raya umum akan datang,” katanya.



Beliau berkata demikian sebagai reaksi spontan berikutan ikrar Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jabi, Haji Ramlan Ali, yang berikrar untuk taat setia kepada Menteri Besar dan saf kepimpinan Umno negeri selaras dengan gesaan Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak, supaya pemimpin dan ahli Umno bersatu bagi menguatkan parti.

Terdahulu Haji Ramlan memohon maaf secara terbuka kepada Dato’ Ahmad dan Ketua Umno Bahagian Setiu, Datuk Mohd Jidin Shafee, kerana tindak tanduknya sebelum ini menunjukkan sikap kurang hormat kepada pemimpin tersebut.

Dalam ucapan sempena sambutan Aidilfitri peringkat DUN Jabi, Ramlan melahirkan kekesalannya kerana membelakangi saf kepimpinan bahagian dan negeri dan berjanji ia tidak akan berulang.


Penduduk dalam kawasan Parlimen Setiu menyambut baik kedatangan Menteri Besar Terengganu ke kawasan mereka bagi mengukuhkan silaturrahim.

Sebaliknya, Ramlan yang turut dikaitkan dengan peristiwa memboikot Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak lama dulu sebagai protes kepada kepimpinan Dato’ Ahmad, memberi jaminan akan membantu menguatkan Umno di semua peringkat.

Menteri Besar berkata, kesediaan Adun berkenaan memberi kerjasama penuh kepada kepimpinan kerajaan sekarang ini akan memantapkan lagi pentadbiran negeri.

Beliau menyifatkan langkah tersebut juga sekaligus mengukuhkan lagi kedudukan Umno, selaras dengan kehendak Datuk Seri Mohd Najib dan membantu kepimpinan negeri menguatkan kedudukan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13.

UKOM

MB Lawat Keluarga Mangsa Kemalangan Di India

Oleh : Zulkipli bin CW. Putera


Dato' Ahmad melihat gambar pelajar perubatan tahun tiga yang terbunuh dalam kemalangan jalan raya di India ketika melawat keluarga Allahyarham di Kampung Chabang Tiga, Kuala Terengganu. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Dalam kesibukan tugas harian, Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, sempat meluangkan masa melawat keluarga pelajar perubatan tahun tiga, Fatimatussolihah Aziz, yang terbunuh dalam kemalangan jalan raya di India minggu lalu.

Sebaik saja selesai menghadiri majlis khatam al-Quran pelajar tadika Yayasan Islam Terengganu (YIT) dan beberapa agensi lain pada 17 Oktober, Dato’ Ahmad singgah di Kem Seri Pantai, Seberang Takir, bagi menghadiri majlis sambutan Aidilfitri.


Menteri Besar menyedekahkan al-Fatihah buat Allahyarham.

Selepas itu, beliau yang diiringi Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, YB Ahmad Razif Abd Rahman, terus ke rumah keluarga Fatimatussolihah di Kampung Cabang Tiga dan bertanyakan khabar.

Dalam kejadian itu, mangsa yang merupakan pelajar tahun akhir pengajian di Vinyaka Mission Dental College di Salem, kira-kira 400km dari Chennai, sedang dalam perjalanan pulang ke rumah sewa mereka yang terletak kira-kira 20km dari kolej itu.


Adik Mohd Ayub semakin pulih selepas menjalani pembedahan jantung berlubang.

Selepas itu, Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, melawat pesakit jantung berlubang, Mohd Ayub Mansor, 8 tahun yang menjalani rawatan penyakit jantung di Pusat Perubatan Prince Court (PPC) , Kuala Lumpur, akhir bulan lalu.

Menteri Besar menyampaikan sumbangan peribadi kepada keluarga Allahyarhamah Fatimatussolihah dan Mohd Ayub.


Mohd Ayub kini mula menjalani hidup seperti kanak-kanak biasa.

UKOM