Halaman

16 June 2010

Modul baru lahir 50 peratus hafazan SM Imtiaz

Oleh: Aida Abd Rahman

Sekolah Menengah (SM) Imtiaz melaksanakan pembaharuan dengan menggunapakai Modul Sukatan Hafazan al-Quran bermula tahun ini bagi memastikan sasaran melahirkan 50 peratus hafiz dan hafizah menjelang 2015.

Modul pertama seumpamanya di Malaysia itu baru diperkenalkan sebagai garis panduan kepada pelajar bermula tingkatan satu bagi menilai dan mengesan tahap penguasaan serta sukatan ilmu hafazan masing-masing mengikut bulanan.

Ketua Penolong Pengarah Pengurusan Imtiaz, Encik Mazlan Che Will, berkata modul yang memakan masa setahun kajian sebelum berjaya diterbitkan itu menjadi bahan tambahan pelajaran yang penting bagi memastikan tahap hafazan pelajar Imtiaz semakin baik dan lebih lancar berbanding sebelum ini.

“Sistem ini baru diperkenalkan di mana ia dapat mengukur prestasi bulanan dan tahap yang perlu dicapai oleh pelajar Imtiaz

“Modul hafazan al-Quran seperti ini adalah yang pertama dalam sistem pendidikan negara dan ia dijangka akan dilancarkan Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said tidak lama lagi,” kata beliau kepada Teganukita, di pejabat Imtiaz, Yayasan Terengganu, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Katanya, silibus hafazan al-Quran itu mendapat reaksi positif pelbagai pihak termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan jabatan pendidikan di Indonesia yang berminat untuk mendapatkan modul berkenaan.

Beliau berkata , bagaimanapun, Imtiaz menerusi pengurusan Yayasan Terengganu tidak bercadang untuk berkongsi modul itu dengan pihak lain memandangkan ia perlu diwartakan terlebih dahulu sebagai Harta Intelek.

Sehingga April lalu, sebanyak 8.1 peratus SM Imtiaz atau 126 daripada 1,557 pelajar dari empat SM Imtiaz berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran.

Berikutan itu, jumlah pelajar yang berjaya menghafaz dijangka akan mencapai 15 peratus sehingga penghujung tahun ini, berdasarkan jumlah yang berjaya menghafaz 20 hingga 29 juzuk atau 16.25 peratus pelajar sehingga April lalu.

RALAT:
Merujuk kepada laporan akhbar ‘Teganukita’ bil 22 muka surat 21, Berita itu sebenarnya dibaca, “Imtiaz bakal dibina di Kijal, Kemaman”. Kesilapan amatlah dikesali dan dipohon maaf.

TEGANUKITA

Aplikasi teknologi ternak kambing New Zealand

Oleh: Aida Abd Rahman

Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu bakal mengaplikasikan teknologi penternakan kambing di New Zealand kepada penternak di negeri itu bagi mengurangkan kos pengeluaran bahan makanan.

Pengarah JPV negeri, Dr Azizol Mohd Sharun berkata antara langkah yang akan diambil ialah menggantikan pelet dengan rumput sebagai makanan ternakan.

"JPV akan membantu penternak mengaplikasikan teknologi itu," katanya di Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Beliau berkata, langkah itu diharap dapat meningkatkan keuntungan yang diperolehi penternak kambing Terengganu memandangkan pada masa ini pendapatan mereka bagi setiap kilo daging hanya sekitar RM3.

Harga di ladang kira-kira RM14 sekilogram sedangkan kos pengeluaran bagi setiap kilo adalah sekitar RM11.

Oleh yang demikian, JPV berharap penggunaan teknologi New Zealand itu kelak mampu meningkatkan pendapatan penternak kambing dan semakin menambah pengusaha ternakan itu di negeri ini.

Sementara itu, Dr Azizol berkata populasi kambing di Terengganu telah meningkat sebanyak 71 peratus daripada 22,060 pada 2006 kepada 73,729 ekor tahun lepas.

Sehingga kini, kerajaan negeri telah membelanjakan RM31.6 juta daripada RM50 juta yang diperuntukkan untuk projek penternakan kambing negeri.

TEGANUKITA

JAMINAN SUBSIDI KEPADA GOLONGAN BERPENDAPATAN RENDAH

Oleh: Ruslan Rahman

Jaminan yang diberikan oleh kerajaan bahawa bantuan untuk meringankan kesan pengurangan subsidi kepada golongan berpendapatan rendah amatlah wajar dan melegakan. Ini bermakna kerajaan mengambil kira maklum balas dan ‘cakna’ terhadap golongan yang susah.

Jaminan ini diberikan sendiri oleh Perdana Menteri, Y.A.B Dato’ Seri Mohd.Najib Tun Razak ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke sepuluh, RMK-10 pertengahan Jun baru-baru ini,

Subsidi adalah suatu kaedah dan cara kerajaan membantu rakyat. Kalau membiarkan harga barangan mengikut pasaran bebas, tanpa disuntik dengan subsidi oleh kerajaan, sudah tentu rakyat yang berpendapatan rendah akan menghadapi masalah yang sukar.

Mungkin tidak ramai yang mengetahui bahawa begitu banyak kerajaan mengeluarkan belanja atau wang dari khazanah negara untuk membayar subsidi agar harga barangan keperluan rakyat tidak melambung tinggi mengikut harga pasaran sebenar.

Antara barangan yang diberi subsidi ialah beras, gula, gandum, minyak masak, perkhidmatan kesihatan, pendidikan dan petrol. Subsidi untuk bahan-bahan inilah yang secara langsung dinikmati oleh rakyat.

Pada tahun lepas RM720 juta dibelanjakan oleh kerajaan bagi subsidi gula sahaja, tanpa subsidi oleh kerajaan sudah tentu harga gula akan melambung di pasaran.

Kalau ikutkan harga gula di pasaran antarabangsa adalah RM2.45 sen sekilogram, tetapi kerana subsidi kerajaan harganya ssekitar RM1.65 sen sekilogram sahaja. Itu baru subsidi gula, kalau mengambil kira jumlah subsidi untuk keseluruhan setiap tahun difahamkan hampir RM50 billion dibelanjakan atau kira-kira 30 peratus dari jumlah hasil tahunan negara.

Kita mengharapkan rakyat tahu betapa kerajaan yang ada ini begitu memelihara kebajikan agar mereka dapat meneruskan kehidupan dengan sejahtera di negara ini.

Inilah sebenarnya usaha-usaha yang diajar oleh agama tetapi dalam kaedah dan cara baru bagimana rakyat dan golongan berpendapatan rendah dibantu sebagaimana yang dilakukan oleh khalifah-khalifah Islam terdahulu, termasuk Umar Abdul Aziz.

Begitu juga di Terengganu,banyak rumah rakyat atau rumah mampu milik diberikan subsidi oleh kerajaan negeri.

Rumah-rumah di dalam bandar, dengan harga tanah yang tinggi, harga bahan binaan yang tinggi, kadar upah yang tinggi- seunit mencecah harga ratusan ribu, sudah tentu tidak mampu dibeli oleh rakyat biasa.

Dato’ Ahmad pernah berkata, kadang-kadang subsidi yang diberikan bagi seunit rumah untuk rakyat itu sama nilainya dengan harga ‘sebuah kereta proton’ malah ada yang lebih dari itu.

Ini tidak masuk perbelanjaan kerajaan bai membaiki rumah, bantuan atap atau bina rumah menggantikan rumah yang sudah tidak mampu dibaiki kepada golongan rakyat termiskin.

Sebenarnya banyak lagi subsidi oleh kerajaan BN dalam bentuk bantuan, seperti bantuan membeli keperluan hari raya, bantuan kepada pelajar-pelajar, bantuan kepada belia-belia, bantuan kepada para pengusaha dan sebagainya.

Oleh itu jika sekiranya rakyat mengetahui perkara ini secara mendalam, sudah tentu mereka tidak tergamak untuk berkata sesuatu yang bukan-bukan kepada pihak kerajaan dan pimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Sekalipun banyak fakta yang diputarbelitkan oleh pihak tertentu untuk menimbulkan kebencian rakyat terhadap kerajaan, tetapi dengan penerangan dan maklumat yang jelas tidak ada sebab rakyat hendak menerima dakyah pembangkang yang kerjanya menangguk di air yang keruh.

Air yang tidak keruh pun terpaksa dikeruhkan untuk tujuan buruk itu. Kalau hendak dibicarakan secara adil, semasa pembangkang memerintah Terengganu (1999-2004) begitu ramai penerima bantuan bulanan kerajaan di bawah Kebajikan Masyarakat ditamatkan.

Selain itu, mereka yang diteruskan bantuan pula, jumlah atau nilai bantuannya dikurangkan. Alasan ketika itu diberikan bahawa kerajaan negeri tidak mempunyai kewangan yang cukup dan boleh menjejaskan kedudukan kewangan untuk tujuan lain.

Alasan juga diberi, penerima bantuan itu boleh berdikari dan tidak perlu sangat bergantung kepada bantuan lagi. Alasan itu betul semasa mereka (pemimpin parti pembangkang) menjadi kerajaan.

Kita perlu menerima hakikat apabila kita menjadi kerajaan barulah kita berdepan dengan kesukaran- kita perlukan rakyat memahami masalah dan situasi kerajaan.

Mengapakah apabila mereka bukan lagi kerajaan, mereka berfikiran lain pula, membakar semangat rakyat menyalahkan kerajaan, kononnya kerajaan hendak hapuskan subsidi serta tidak mahu menolong rakyat yang susah dan sebagainya.

Segala permasalahan yang timbul dalam masyarakat dihalakan sasarannya kepada kerajaan.

Kononnya kerajaan BN menghalalkan judi, sedangkan di negeri-negeri yang di bawah pentadbiran mereka (pakatan pembangkang) bukan sahaja lesen premis judi, lesen rumah urut, penjualan minuman yang memabukkan dan pelbagai premis maksiat diluluskan, tetapi ini disembunyikan kepada rakyat dan penyokong mereka.

Itulah permainan ‘buruk’ politik namanya, yang tidak adil, jauh sekali hendak berlandaskan ajaran Islam seperti yang dilaung-laungkan!

TEGANUKITA

Batik Terengganu ke Perancis, Itali dan Sepanyol

Oleh: Aida Abd Rahman

Dalam usaha memperkenal dan mempopularkan batik Terengganu di luar negara, Kerajaan Terengganu akan mengadakan promosi batik dan songket di Perancis, Itali dan Sepanyol pada Oktober ini.

Pengurus Besar Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU), Haji Azmi Razik berkata promosi yang bakal berlangsung di Paris, Milan dan Barcelona akan diketuai Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said.

“Batik merupakan satu produk yang mempunyai komersial dan nilai tersendiri serta mampu menembusi pasaran luar negara jika diadakan promosi dan kaedah pemasaran yang baik melibatkan semua pihak yang terlibat dalam industri itu.

"Promosi yang akan diadakan selama seminggu itu akan disertai pengusaha batik dan songket serta usahawan Terengganu," katanya.

Sementara itu, Haji Azmi berkata YPU akan membuka kedai T'Craft pertama di Melaka International Trade Centre pada 12 Jun ini yang akan menjual dan mempromosi pelbagai barangan kraf Terengganu.

Pada masa yang sama, kerajaan negeri merancang untuk membuka T'Craft di setiap bandar utama di Semenanjung Malaysia bagi membolehkan rakyat negara ini membeli kraftangan Terengganu di kawasan mereka tinggal.

Mengulas mengenai T'Shoppe, Azmi berkata YPU mensasarkan 100 cawangan di seluruh negara menjelang 2013.

Sehingga kini terdapat 11 cawangan T'Shoppe di Terengganu, Melaka, Kedah dan Selangor.

TEGANUKITA

Habuan lumayan Sukma ke-13

Oleh: Aida Abd Rahman dan Wan Haironniza Wan Naim

Habuan lumayan bakal diterima atlit Terengganu sekiranya berjaya mengekalkan kejuaraan buat kali kedua berturut-turut pada temasya Sukan Malaysia (Sukma ) ke-13 Melaka 2010 pada 10 hingga 19 Jun ini.

Atlit yang berjaya merangkul pingat emas bakal mendapat RM5,000, perak RM3,000 dan gangsa RM2,000. Jika gagal mempertahankan kejuaraan, hadiah wang tunai kekal RM3,000 untuk emas dan RM2,000 serta RM1,000 masing-masing untuk perak dan gangsa.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, menjanjikan demikian kepada atlit dan pegawai Sukma di majlis penyerahan bendera Kontinjen Terengganu Sukma Melaka Ke-13 2010, di Universiti Darul Iman Malaysia, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Beliau berkata, kenaikan imbuhan itu diharap mampu menaikkan semangat juang yang tinggi kepada atlit dalam memburu kejuaraan pada Sukma Melaka nanti.

Terengganu mensasarkan 66 pingat emas pada temasya Sukma Melaka, sekaligus menambahkan koleksi pingat yang pernah diraih ketika bergelar juara dengan 61 emas pada Sukma 2008.

Dalam temasya ini, sebanyak 434 acara bakal dipertandingkan berbanding 404 acara Sukma yang lalu, selain 352 acara yang disertai atlit Terengganu. Kontinjen Terengganu menghantar 457 atlit, pengurus dan pegawai ke temasya itu.

Beliau berkata, kelebihan sebagai tuan rumah pada Sukma lalu menjadikan atlit berasa lebih berkeyakinan dan tidak mudah gentar apabila menghadapi lawan dan berharap apabila berada di tempat lawan, atlit Terengganu tetap positif, komitmen yang baik, persiapan mental dan fizikal yang konsisten, semangat juang yang membara serta disiplin diri yang tinggi.

“Berbekalkan pelbagai latihan, bimbingan dan insentif yang diberikan oleh kerajaan kepada para atlit sebelum tiba hari pertandingan, diharap akan dapat menyuntik semangat mereka bagi mengharumkan nama Terengganu di persada Sukma Melaka 2010 nanti.

“Oleh sebab itu, para atlit perlulah menghargai dan mempraktikkan sepenuhnya ilmu dan latihan yang telah dijalani walaupun beraksi di tempat lawan tanpa perlu berasa gentar dan kurang berkeyakinan kerana mereka sebenarnya mampu untuk menjadi juara,” katanya.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia Dan Sukan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah, Ketua Kontinjen Sukma ke-13, Dato’ Haji Mat Razali Kassim dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Encik Rosdi Awang.

Menteri Besar berharap supaya atlit dapat menghasilkan kejayaan menerusi usaha gigih selama ini dan membuktikan kejaguhan masing-masing.

Beliau juga menyifatkan mempertahankan kejuaraan adalah amat sukar dan sulit, tetapi tidak mustahil bagi kontinjen Terengganu mengekalkan kejuaraan sekali lagi pada Sukma tahun ini berdasarkan prestasi dan persediaan yang sudah dibuat sebelum bermulanya temasya sebenar.

Sementara itu, Datuk Abdul Rahin turut mengharapkan atlit Terengganu memberi berita gembira buat lebih sejuta rakyat Terengganu yang menunggu kejayaan berganda daripada kontinjenTerengganu Sukma ke-13 pada hari terakhir temasya itu nanti.

“Saya mengharapkan atlit supaya tidak `over confident’ dan berasa terlalu selesa dengan kejayaan yang diperolehi ketika Terengganu menjadi tuan rumah dua tahun lalu. Malah, perkara ini saya sudah ulangi banyak kali dalam bengkel.

“Ulangi kejayaan dan pada masa yang sama, atlit tidak harus berasa besar diri, besar kepala dan lapang dada kerana mengekalkan kejuaraan bukan mudah sebaliknya satu cabaran yang harus dilaksanakan dengan penuh kesungguhan,” katanya.

TEGANUKITA

Perlunya kerjasama IPT dan syarikat tempatan

Oleh: Nurul Faizah binti Abdullah

KUALA TERENGGANU - 8 Jun 2010 : Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan syarikat-syarikat tempatan disarankan bekerjasama untuk menangani masalah pengangguran di kalangan graduan universiti tempatan, dengan mengamalkan konsep ‘saling melengkapi’ di antara satu sama lain.

Ini kerana pengangguran di kalangan graduan IPT semakin meningkat dan mereka perlu bersaing dengan tenaga kerja asing yang semakin meningkat.

“ Gabungan aspek teori dan praktikal adalah penting untuk melahirkan graduan yang berkualiti,berdaya saing serta seiring dengan kehendak pasaran serta memenuhi syarat-syarat kelayakan jawatan yang dipohon,” kata Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, di majlis perasmian Persidangan Sumber Manusia anjuran Kolej Perniagaan, Universiti Utara Malaysia, di Hotel Primula malam tadi.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Dato’ Tengku Putera Awang, Yang Di Pertua Dewan Undangan Negeri.

Terengganu merupakan destinasi ke-5 untuk persidangan ini, yang bertujuan untuk menjadi platform bertukar idea di kalangan professional sumber manusia di samping berbincang mengenai isu yang boleh diaplikasikan dari aspek akademik dan praktikal.
Hadir sama pada majlis perasmian tersebut ialah Naib Canselor Universiti Utara Malaysia, Tan Sri Nordin Kardi.

Katanya, sekiranya tidak dibendung pengambilan tenaga kerja asing di negara ini meningkat hingga ke angka 5 juta orang menjelang akhir tahun 2010.

Kebanjiran tenaga kerja asing merupakan satu masalah yang serius, apatah lagi majikan lebih mengutamakan golongan ini kerana kadar upah yang diberi adalah rendah, katanya.

Katanya, kehadiran pekerja asing seringkali dikatakan memberi kesan negatif, termasuklah peningkatan keluaran wang ke luar negara yang merugikan kedudukan kewangan negara, impak kepada masalah sosial, seperti jenayah, rogol, bunuh dan sebagainya yang boleh menjejaskan imej negara Malaysia.

Beliau mengalu-alukan program ‘Train and Place’ yang dianjurkan oleh Kementerian Sumber Manusia khas untuk graduan menganggur dilihat dapat mengurangkan kebergantungan majikan kepada pekerja asing dalam sektor pekerjaan.

“Pelaksanaan program sebegini dapat meningkatkan pasaran pekerjaan bagi graduan yang baru menamatkan pengajian di IPT,” katanya.

TEGANUKITA

08 June 2010

Cipta Blog Tonjol Keistimewaan Negeri - MB

Oleh: Esah Abdullah, Muhaini, Nurul Faizah

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said menaruh keyakinan, Pertandingan Mencipta Blog Pelancongan Terengganu anjuran Unit Komunikasi Negeri (Ukom) menjadi platform terbaik kepada rakyat tempatan membuat promosi tempat menarik negeri ini untuk diketengahkan kepada umum.

“Saya harap mereka dapat salurkan dan tunjukkan kreativi masing-masing untuk menonjolkan keistimewaan negeri kita kepada dunia luar,” katanya di majlis Penerangan Pertandingan Blog Pelancongan Terengganu kepada lebih 400 pelajar-pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di Kediaman Seri Iman, Kuala Terengganu hari ini (7 Jun).

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri;Haji Khazan Che Mat, Setiausaha Kerajaan, Dato’ Mazlan Ngah dan Yang Dipertua Seketariat, Pesatuan Mahasiswa Anak Terengganu (Permata), Nurul Maziah Ahmad Rafie.

Katanya, banyak produk pelancongan yang bolek dikemukakan dalam pelbagai bentuk dan kreativiti untuk memastikan blog atau website mendapat perhatian khalayak disamping merebut hadiah yang ditawarkan.

Katanya, selain untuk tatapan rakyat dalam Negara, blog yang dicipta ini turut di akses ke peringkat antarabangsa dan berharap setiap peserta sentiasa mengaktifkan blog masing-masing dari semasa ke semasa.

Beliau menambah, pembangunan sektor pelancongan mampu melestarikan pendapatan negeri untuk masa depan dan berhasrat untuk menjadikan negeri ini sebagai tulang belakang pelancongan melalui produk-produk berharga yang dimiliki seperti pantai dan pulau-pulau yang tercantik di dunia.

“Matlamat untuk menarik sebanyak empat juta pelancong luar ke negeri Terengganu akan menjadi kesampaian sekiranya bandaraya pesisir air ini digunakan sepenuhnya untuk menjana keewangan melalui pelancongan.

Pertadingan blog pelancongan yang bermula 1 April hingga 30 Jun, terbahagi kepada tiga kategori, pelajar tingkatan enam ke bawah (tempat pertama RM5,000), Pelajar IPT (RM7,000) dan Kategori Terbuka (RM10,000).

Sementara itu, YB Khazan berharap, pelajar IPT akan menyertai pertandingan mencipta blog pelancongan, sebagai mencapai matlamat pertandingan yang julung-julung kali diadakan.

“Penyertaan pelajar IPT dilihat sebagai satu langkah bijak untuk menggalakkan mereka mengenali Terengganu dengan lebih dekat, dan sekaligus mempromosikan negeri Terengganu melalui penghasilan blog pelancongan yang kreatif,” katanya.


TEGANUKITA

07 June 2010

Kelapa pandan dan nenas beri pulangan lumayan

Oleh: Esah Abdullah

Kerajaan negeri mensasarkan 400 hektar ladang kelapa pandan dapat diwujudkan di daerah Setiu yang diusahakan secara berkelompok oleh golongan miskin bagi menjana pendapatan lebih baik.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said berkata, sehingga ini seluas 200 hektar sudah dikenal pasti di Kubang Puyu, Langkap dan usaha ke arah menjadinya satu realiti akan dimulakan secepat mungkin.

“Kerja-kerja menanam anak pokok kelapa mungkin dimulakan awal tahun depan apabila kerja pembersihan kawasan dan pembinaan perparitan dilaksanakan hujung tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Projek Berkelompok Tanaman Nenas di Kampung Bukit Kecil, Setiu petang semalam (6 Jun).

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri merangkap Ahli Dewan Undangn Negeri (DUN) Langkap, Haji Ashaari Idris; Pengarah Pertanian Terengganu, Haji Md Yusof Maidin dan Pegawai Daerah Setiu, Haji Mohd Akil Mat.

Katanya, 100 hingga 110 pokok mampu ditanam bagi setiap hektar dan dengan harga borong buah kelapa antara RM1 hingga RM1.50 setiap sebiji, peserta Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) mampu menjana pendapatan lumayan.

Sehubungan itu katanya, seramai 80 orang terbabit mengusahakan tanaman nenas secara berkelompok di kawasan seluas 72 hektar di Kampung Bukit Kecil telah mengeluarkan hasil.

“Dalam projek fasa ke dua tahun ini dijangka seluas 14 hektar membabitkan 14 pserta baru sudah memulakan projek dan dalam fasa tiga 18 hektar lagi dibuka,membabitkan 18 peserta,” katanya.

Katanya, setiap hektar mampu memuat 35,000 pokok nenas dan sehingga ini kos keseluruhan projek mencecah hampir setengah juta membabitkan kerja-kerja membina perparitan bersih tapak, baja dan benih pokok dan pagar.

“Saya harap peserta tidak menunggu bantuan daripada kerajaan lagi selepas mendapat hasil jualan pertama bagi memberi peluang orang lain yang baru memulakan projek pula dibantu,” katanya.

Katanya dalam fasa pertama projek tanaman nenas ini mampu mengeluarkan 1,600 metrik tan buah ennas dengan nilai pengeluaran RM1,6 juta dan purata pendapatan peserta sekitar RM1,112 sebulan.

Menteri Besar turut meluluskan peruntukan RM350,000 untuk membina pagar dan parit di samping melengkapkan peralatan di bangunan kilang memproses produk nenas seperti kordial, sos dan sebagainya yang diusahakan oleh isteri peserta sendiri.

TEGANUKITA

03 June 2010

Generasi Ulul Albab

Oleh: Esah Abdullah

Kecemerlangan seseorang tidak diukur pada pencapaian akademik semata-mata sebaliknya keluhuran peribadi dan tinggi akal budi menjadi wadah dalam memertabatkan bangsa, agama dan negara.

“Pelajar hebat adalah mereka yang dapat mengimbangi antara ilmu duniawi dan ukrawi,” kata Isteri Menteri Besar, To’ Puan Norliza Mahmud di majlis penutup Program Khas Asasi Ulul Albab (tingkatan satu) , Sekolah Menengah Imtiaz di Sekolah Menengah Imtiaz (SMI) Serada, Kuala Terengganu petang semalam (2 Jun).

Hadir sama, Timbalan Pengarah Yayasan Terengganu, Encik zakaria Yusof dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Imtiaz, Encik Mazlan Che Wil.

Katanya, dunia hari ini menuntut kekuatan rohani serta fizikal yang mantap dalam diri setiap pelajar untuk menghadapi cabaran dan persaingan dunia tanpa sempadan.
“Pelajar di SMI ini amat bertuah kerana berpeluang belajar banyak bahasa seperti bahasa Arab dan Mandarin selain bahasa Inggeris berbanding sekolah lain dan peluang sebegini tidak harus dipersiakan oleh pelajar,” katanya.

Katanya, program Ulul Albab ini merupakan satu usaha murni untuk melahirkan individu soleh teknorat yang hafiz al-Quran disamping memberi pendedahan kepada pelajar mengarap nilai murni bertunjangkan al-Quran.

“Saya berharap ibu bapa sentiasa memberi dorongan dan kerjasama kepada anak-anak mereka dan para guru, agar usaha melahirkan generasi Ulul Albab di bumi Terengganu Anjung Ilmu ini berjaya dicapai,” katanya.

Katanya, dengan mendokong tiga teras utama program iaitu al-Quran (Quranik), bahasa Arab (Ensiklopedik) dan Pesonaliti (Ijtihadik), elemen-elemen ini diserapkan dalam diri pelajar dengan harapan menjadikan mereka seorang professional yang dapat menyumbang kearah pembangunan dan kemajuan Islam di masa hadapan.

To’ Puan Norliza kemudiannya telah menyampaikan Anugerah Tokoh Ulul Albab kepada empat pelajar iaitu Muhamad Amin Asyraf Noor Zeli (Imtiaz Besut), Nurul Izzatie Zuraime (Imtiaz Dungun),Abdullah Muaz Majdan (Imtiaz Kuala Berang) dan Muhammad Izzat Farhan Fazri (Imtiaz Kuala Terengganu).

TEGANUKITA

02 June 2010

Sukarelawan Malaysia Bebas, Dalam Perjalanan Ke Amman

DUBAI, 2 Jun (Bernama) -- Seramai 12 sukarelawan Malaysia yang berada dalam kapal membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza ketika diserang Israel kini selamat dan sedang dalam perjalanan melalui darat ke Amman, Jordan.

Rombongan itu diiringi Duta Malaysia ke Jordan Datuk Abdul Malek Abdul Aziz and pegawai kedutaan yang lain.

Sebelum itu, rakyat Malaysia telah melepasi sempadan Jordan.

"Kesemua mereka selamat dan berada dalam keadaan baik," kata duta itu kepada Bernama apabila dihubungi dari Dubai.

Katanya kesemua sukarelawan hanya sehelai sepinggang dan tidak mempunyai pasport.

Kesemua 12 rakyat Malaysia itu adalah antara mereka yang ditahan oleh tentera Israel yang menyerbu kapal 'Mavi Marmara' sebuah kapal Turki iaitu salah sebuah daripada armada kecil kapal yang membawa bantuan kemanusiaan untuk penduduk Gaza pada Isnin.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dijangka tiba di Amman hari ini.

Abdul Malek berkata Kementerian Luar Malaysia dan pihak kedutaan akan menyediakan semua persiapan bagi memudahkan sukarelawan itu pulang ke Malaysia.

Salah seorang daripada mereka, Noor Azman Muhamad Samsuddin, memberitahu Bernama melalui telefon, serangan yang dilakukan pada awal pagi oleh tentera komando Israel adalah pengalaman yang mengerikan.

Katanya sebahagian besar penumpang kapal yang membawa bantuan kemanusiaan untuk penduduk Gaza, yang telah disekat Israel sepanjang tiga tahun yang lepas, tidak menyangka akan menerima tentangan dari tentera Israel sewaktu insiden maut tersebut.

Dilaporkan sekurang-kurangnya 10 orang maut dalam serangan itu, menyebabkan Israel dikutuk di seluruh dunia, termasuk Malaysia.

Menurut Noor Azman, dua sukarelawan Indonesia juga tercedera dalam serangan tersebut.

-- BERNAMA