Pengurusan wang zakat yang sempurna adalah penting kerana ia ada kaitannya dengan pengurusan, imej dan umat Islam itu sendiri.
Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) adalah agensi yang bertanggungjawab dalam hal ehwal punggutan zakat dan pengagihannya.
Pengiktirafan Ketua Audit Negara kepada Maidam sebagai Majlis Agama Islam pertama di Malaysia menerima sijil bersih audit penyata kewangan bagi tahun 2009 amatlah bernilai sekali.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Wan Harujan Sulaiman pengiktirafan pada 15 Jun lalu itu adalah hasil pemeriksaan daripada transaksi perakaunan yang didokumenkan dengan tepat, tiada penyelewengan atau pembaziran berlaku serta penyimpanan rekod secara teratur dan mencukupi oleh Jabatan Audit Negara.
Pemilihan Maidam sebagai majlis agama Islam yang mempunyai rekod bersih berkaitan penyata kewangan membuktikan agensi itu mengamalkan prinsip amanah dan telus dalam mengurus tadbir sistem kewangan.
Kita berharap umat Islam akan tidak akan lupa kewajipan membayar zakat sama ada dalam konteks individu mahupun agensi, perniagaan dan sebagainya.
Pengertian zakat pada bahasa ialah tumbuh; berkembang; subur atau bertambah atau dapat pula berarti membersihkan atau mensucikan.
Menurut hukum Islam (istilah syara'), zakat adalah nama bagi suatu pengambilan tertentu dari harta yang tertentu, menurut sifat-sifat yang tertentu dan untuk diberikan kepada golongan tertentu.
Oleh itu apabila pengurusan agensi zakat seperti Maidam ini diperakui cemerlang sudah tentu keyakinan akan meningkat lagi.
Kejayaan ini merupakan suatu lagi kekuatan negeri Terengganu dalam aspek pengurusan, termasuk yang berkaitan keagamaan, termasuk pengurusan zakat.
Diharapkan punggutan zakat akan terus meningkat dan mereka yang memperolehi bantuan zakat dalam pelbagai perkara akan bertambah mengikut kelayakan yang ditetapkan agama.
Sesungguhnya wang zakat dengan pengurusan yang baik dan cemerlang itu adalah komponen yang penting sebagai nadi pembangunan negeri dan masyarakat. Tahniah kepada Maidam dan kepada pegawai dan kakitangannya yang telah menjalankan tugas dengan amanah lagi bertanggungjawab.
TEGANUKITA