To' Puan Seri Norliza Mahmud merenjis air mawar kepada kanan-kanak yang menyertai Titian Sayang (bertindik beramai-ramai) di Dewan Sivik Bukit Kuang, Kemaman. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.
Teriakan dan tangisan hampir 30 kanak-kanak yang `gerun’ untuk bertindik menggamatkan Majlis Titian Sayang anjuran Puteri Umno Dewan Undangan Negeri (DUN), Kijal, Kemaman di Dewan Sivik, Bukit Kuang, Kemaman, semalam (21 Januari).
Kebanyakan kanak-kanak berusia antara enam hingga sepuluh tahun, mempamerkan mimik muka sedih, mungkin disebabkan perasaan gerun apabila melihat alat bertindik.
Program yang dirasmikan isteri Menteri Besar, To’ Seri Puan Norliza Mahmud itu julung kali diadakan, bertujuan mengekalkan adat budaya masyarakat Melayu yang diamalkan sejak dahulu lagi, selain meringankan beban ibu bapa.
Sebelum bertindik, kanak-kanak dihiburkan dengan alunan selawat serta marbahan dan rejisan air mawar oleh To’ Puan Seri Norliza.
To’ Seri Puan Norliza, berkata beliau yakin kanak-kanak yang terpilih mengikuti program ini cukup gembira dan akan mengingatinya apabila besar kelak.
“Mereka bertuah kerana diraikan secara besar-besaran begini, kebiasaannya rakan sebaya lain hanya bertindik di kedai emas atau salun kecantikan tanpa mengadakan sebarang majlis kesyukuran.
“Adat bertindik sewajarnya dikekalkan, supaya apabila meningkat dewasa nanti, mereka secara sendirinya pandai berhias dan menguruskan diri,” katanya ketika berucap sempena majlis itu.
Menurutnya, adat bertindik jauh berbeza jika dibandingkan 50 tahun dahulu dimana ketika itu tiada lagi alat khas untuk menebuk teliga, kebiasaan orang terdahulu mengunakan pin baju sebelum dipakaikan tali tangsi.
TEGANUKITA