Halaman

01 February 2011

Sikap Berat Tulang Punca Denggi

Oleh: Aida Abd Rahman



Sikap segelintir masyarakat yang `berat tulang’ dalam menjayakan program gotong-royong membersihkan kampung sendiri antara penyebab masalah demam denggi masih berlaku di negeri ini.


Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, YB Toh Chin Yaw, berkata pelbagai saranan dan kempen sudah dilaksanakan kerajaan negeri dan agensi berkaitan namun sikap sekelompok masyarakat yang tidak pernah berubah menyukarkan hasrat memastikan kawasan persekitaran bersih sekaligus terhindar daripada menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.



“Memang berlaku masalah denggi dan H1N1 di Terengganu.Kita di pihak kerajaan negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran serta Jabatan Alam Sekitar dan kerajaan tempatan melakukan pelbagai program bagi memastikan kualiti alam sekitar kita meningkat.

“Malah, pada tahun ini dijalankan program tambahan bagi menjaga sungai dan fizikal selain mencadangkan bot pemungut sampah bagi memastikan sungai dan kawasan yang menjadi tumpuan pelancong tidak tercemar dengan sampah sarap yang dibuang oleh mereka yang tidak bertanggungjawab,” kata beliau ketika ditemui di Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Selain itu, beliau juga kesal kerana banyak program gotong-royong hanya melibatkan peratusan kecil penduduk kampung yang bekerjasama untuk turun padang menjayakan aktiviti berkenaan.



Bagaimanapun, pihaknya berharap Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) mengambil langkah yang lebih proaktif untuk menggembleng tenaga semua komuniti dalam kampung untuk turun padang dan menunaikan tanggungjawab kemasyarakatan.

“Tindakan itu bukan hanya dapat membersihkan kawasan persekitaran kita, bahkan juga akan mewujudkan kesedaran rakyat mengenai keperluan menjaga kebersihan. Ia juga memerlukan sokongan agensi berkaitan ketika program diamalkan.

“Selain itu, penguatkuasaan ketat perlu dilaksanakan kerana sikap sambil lewa orang kita yang lebih gemar melakukan tabiat buruk membuang sampah di tempat sendiri terutama tempat awam. Bagaimanapun, apabila ke luar negara tabiat buruk itu tidak diamalkan kerana menghormati perundangan dan penguatkuasaan sesebuah tempat,”katanya.



Suara Kampus Buka Minda Siswa

Oleh: Esah Abdullah

Program suara kampus mampu membuka minda siswa dan siswi serta mencungkil bakat dan kreativiti mereka, selain memberi peluang kepada golongan berkenaan untuk berinteraksi dan berkomunikasi dengan pendengar.

“ Saya percaya pengalaman ini akan menjadi perangsang kepada mereka setelah tamat pengajian dan mempunyai pemikiran yang kreatif dan inovatif apabila berada di dunia luar nanti,” kata Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Haji Khazan Che Mat, pada majlis penutup Bengkel DJ Suara Kampus 2011, di Auditorium Radio Malaysia Terengganu FM (TFM), Bukit Pak Apil, semalam (31 Januari).

Teks ucapan beliau dibacakan Penolong Setiausaha Kerajaan, Agama dan Penerangan negeri, Haji Lukema Meri Salleh.

Hadir sama, Pengarah Penyiaran Kawasan Timur, Dr Nawiyah Che Lah; Ketua Bahagian Rancangan, Puan Noor Asmihan Mansor dan Penerbit, Encik Rizallimi Mohamed dan 34 peserta dari 13 Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan lima dari Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

Katanya, program suara kampus yang akan bersiaran setiap Khamis jam 9.15 malam hingga 11 malam ini berkonsepkan hiburan santai dan menjadi saluran untuk mempromosikan aktiviti serta info semasa perkembangan pusat pengajian tinggi.

“Usaha TFM meneruskan program Tadarus Bersama Remaja juga harus dipuji, bertujuan membentuk remaja berpendidikan serta kuat berpegang kepada agama, berkualiti dan jatidiri,” katanya.

Katanya, apa yang bersiaran di TFM merupakan ilmu dan maklumat serta mesej kerajaan yang berguna kepada seluruh penduduk di negeri ini agar masyarakat memahami dengan jelas dan tepat.

Bengkel DJ Kampus kali kedua diadakan, di mana peserta diberi pendedahan mengenai penyelidikan bahan, penyediaan dan penulisan skrip serta amali di studio yang dikendalikan DJ TFM, Puan Noor Asmihan Mansor, Encik Zainal Abidin Mustafa, Puan Rida Suzirawati Muda dan Puan Noorhaniza Mat Yeh.


TEGANUKITA

Pelajar Terengganu di Mesir selamat

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Seramai 233 pelajar negeri ini di bawah tajaan Yayasan Terengganu (YT) yang sedang menuntut di Mesir yang kini sedang bergolak, dilaporkan berada dalam keadaan selamat.



Pengarah YT, Haji Aziz Mamat berkata, pihaknya sentiasa memantau keadaan pelajar di negara itu dengan cara menghubungi pihak kedutaan dari semasa ke semasa bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai mereka.


Pada masa yang sama, tambah beliau, pihak YT turut memantau perkembangan di negara yang menyaksikan kebangkitan rakyat yang menuntut Presiden mereka meletak jawatan dan akan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan keselamatan pelajar tidak terjejas.



Kesemua pelajar yang sedang menuntut di Mansurah, Iskandariah dan Kaherah dinasihatkan agar tinggal di asrama masing-masing dan tidak keluar ke mana-mana bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Haji Aziz berkata, pada masa ini pihaknya difahahamkan pergolakan di Mesir sudah sampai ke tahap oren (peringkat kedua) dari kuning (peringkat pertama). Jika sekiranya tahap tersebut sampai ke tahap merah (peringkat ketiga dan kritikal), semua pelajar Malaysia akan dibawa keluar dari negara berkenaan.

Bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai pergolakan itu, YT menghantar Penolong Pengarahnya, Encik Razali Mahmud ke Wisma Putra di Putrajaya, bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai pelajar Terengganu yang berada di Mesir.



Dalam perkembangan lain, Timbalan Menteri Luar, Senator A.Kohilan Pillay telah berlepas ke Kaherah bagi mengetuai sepasukan lima pegawai untuk meninjau tahap keselamatan para pelajar, sekaligus merangka pelan kontigensi bagi menyelamatkan rakyat Malaysia, termasuk pelajar di Mesir.

TEGANUKITA

Konsep Baru Cegah Jenayah

Oleh : Aida Abd Rahman

Satu konsep baru bakal diperkenalkan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) dalam usaha pencegahan jenayah iaitu mereka bentuk persekitaran.

Naib Pengerusi MCPF , Tan Sri Lee Lam Thye, berkata konsep baru yang akan dilaksanakan secara meluas itu bagi menggembleng tenaga masyarakat ke arah usaha pencegahan jenayah.

Katanya, penglibatan semua pihak termasuk di taman-taman atau persatuan perumahan, institusi profesional seperti arkitek atau unit perancang bandar diperlukan bagi melaksanakan konsep ini dengan berkesan.

"Ini bermakna setiap pembinaan yang dirancang akan diambil kira persekitarannya supaya tidak terselindung yang boleh mengurangkan risiko jenayah," katanya selepas merasmikan laman web Yayasan Pencegahan Jenayah negeri Terengganu, kelmarin (31 Januari).

Turut hadir Ketua Polis Terengganu, Datuk Jamshah Mustapa.

Beliau berkata konsep ini terbukti berkesan dan popular di negara barat kerana membawa kesan positif selain berkesan membantu mencegah jenayah.

MCPF tahun ini memfokuskan lebih banyak penubuhan kelab-kelab pencegahan jenayah di sekolah-sekolah kerana golongan ini merupakan aset penting yang bakal menjadi pemimpin negara satu masa nanti.

Sebanyak 70 sekolah di Terengganu menubuhkan kelab pencegahan jenayah masing-masing iaitu 136 sekolah menengah dan 306 sekolah rendah.




TEGANUKITA

31 January 2011

Jurutera didakwa



Seorang jurutera perunding didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini (31 Januari) berhubung kes runtuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak di Kuala Terengganu pada Jun 2009.

Tertuduh, Wan Manan Wan Ali, 51, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan menipu dengan berpura-pura bertindak sebagai pemeriksa yang diiktiraf mengeluarkan dokumen bertarikh 15 Januari 2009 iaitu dokumen mengenai sistem teras bumbung utama dan kerja yang berkaitan dengannya, bagi cadangan untuk membina dan menyiapkan stadium utama atau kompleks Sukan Negeri Terengganu.



Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 15 Januari dan 29 Mac 2009 di pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu.

Dia didakwa memberi dan menandatangani dokumen berkenaan kepada Pengarah JKR negeri, Rosli Zainal, dan turut bertindak memperdaya Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mokhtar Nong, untuk mempercayai dia adalah pemeriksa yang diiktiraf.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang menetapkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.



Hakim M Bakri Abdul Majid menetapkan 17 Mac ini untuk sebutan semula kes dan membenarkan Wan Manan diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh diwakili Wan Zainuddin Wan Musa manakala pendakwaan dilakukan oleh Syafinas Shabudin daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

TEGANUKITA

Dato’ Seri Ahmad mampu lakukan yang terbaik

Oleh: Suriati Ali

Rata-rata rakyat Terengganu, terutama penyokong Barisan Nasional (BN) menyatakan rasa syukur kepada Tuhan dan berterima kasih kepada pucuk pimpinan Pusat kerana mempercayai kewibawaan Dato’ Seri Haji Ahmad Said menerajui barisan pimpinan Umno.

Pesara Kerajaan, Haji Long Abdul Rahman, berkata Dato’ Seri Ahmad cukup dikenali rakyat dengan sifat semula jadinya, mudah tersentuh apabila rakyat ditimpa musibah, bencana alam dan sebagainya. Jadi, tidak hairanlah, mengapa beliau rapat dengan rakyat.

“Mengenai pelantikan beliau sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, ia tidak perlu dipertikaikan lagi, kerana jawatan itu cukup sesuai berdasarkan pengalaman yang dimiliki.

“Beliau bukan sahaja bergiat aktif dalam bidang politik malah menjadi individu yang dipercayai sewaktu memegang beberapa jawatan penting dalam agensi kerajaan dan swasta, termasuk pernah menjawat Penolong Pegawai Daerah Setiu, Yang Dipertua Majlis Daerah Kemaman dan Pengerusi Pesama Timber Corporation Sdn, Bhd,” katanya.

Haji Long Abdul Rahman berharap barisan pimpinan baru Umno menjadi mantap dan tersusun dalam mentadbir negeri untuk terus mengecapi kesejahteraan dan kemakmuran.

“Saya percaya Dato’ Seri Ahmad dan Timbalannya, YB Yahya Khatib Mohamad mampu melakukan yang terbaik untuk masa depan rakyat dan Umno,” katanya yang memegang jawatan terakhir sebagai Pegawai Daerah Marang.

Ketua Bahagian Marang, YB Yahya Khatib Mohamad, berkata apabila seseorang itu diberi kepercayaan memikul tanggungjawab sebagai Menteri Besar secara mutlaknya perlu memegang jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Umno seperti yang dilantik di lain-lain negeri.

“Amalan ini bukannya perkara baru malah menjadi tradisi sejak dahulu lagi, ia juga berlaku di zaman pimpinan Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad dan Dato’ Seri Idris Jusoh di mana ketika itu selaku Menteri Besar akan memegang jawatan sebagai pengerusi badan,” ujar Ketua Bahagian Marang, YB Yahya Khatib Mohamad.

Beliau yang turut dilantik sebagai Timbalan Pengerusi badan itu mengakui dan percaya segala urusan seperti merancang strategi dan meraih undi akan bertambah mudah, selain mampu menambah kepercayaan rakyat terhadap Barisan Nasional.


TEGANUKITA


Rakyat Perlu Syukur Pemimpin Cakna

Oleh: Suriati Ali

Masyarakat hari ini, khususnya rakyat Terengganu sewajarnya bersyukur di atas kurniaan Illahi yang menganugerahkan sebuah negara yang makmur dan maju.

Tidak lupa juga, kita sebagai rakyat perlu berterima kasih kepada pucuk pimpinan Pusat dan negeri yang telah berusaha mencari kemakmuran itu semata-mata untuk kesejahteraan dan kesenangan rakyat.

Pengerusi Veteran Umno Parlimen Kuala Nerus, Haji Sayed Mohamad Idrus, cukup kesal dengan sikap segelintir individu yang memandang rendah dan mengkritik setiap tranformasi dilaksanakan pemimpin sedangkan mereka turut menggunakan kemudahan itu.

“Adalah tidak bagus mempunyai sikap sebegitu, kerana secara tidak sedar golongan itu dan keturunannya turut menggunakan kemudahan seperti jalan raya, jambatan dan jejantas yang sememangnya diusahakan pemimpin Umno,” katanya ketika dihubungi wartawan Teganukita.

Menurut Haji Sayed Mohamad, bagi mengecapi kemakmuran seperti ini, bukannya mudah kerana pelbagai halangan yang dihadapi pemimpin terdahulu terutama sebelum mencapai kemerdekaan.

“Pengalaman ketika bersama-sama menyambut hari kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 pula masih segar dalam ingatan walaupun hampir 54 tahun berlalu.

“Sewaktu itu saya bersama-sama 40 ahli Umno bersepakat untuk meraikan hari bersejarah itu di Padang Merdeka, Kuala Lumpur dengan menaiki feri dan bas,” katanya yang menggunakan duit poket sendiri dan ada di antara ahli lain terpaksa memecah duit tabung semata-mata tidak mahu ketinggalan meraikannya.

Katanya, sebelum tiba di Padang Merdeka yang mengambil masa dua hari satu malam pelbagai halangan dan rintangan dilalui di mana mereka terpaksa bermalam di Masjid Temerloh, Pahang dan akibat kepenatan juga, bangku Sekolah Kebangsaan Jalan Raja Muda menjadi tempat untuk berehat dan dijadikan alas tidur.

“Laungan merdeka, merdeka, merdeka yang dilafazkan Tuanku Abdul Rahman masih tergiang-giang sehingga ke hari ini dan tidak akan dilupakan hingga ke akhir hayat,” katanya ketika itu berusia 17 tahun.


TEGANUKITA

Jangan jadi ‘gunting dalam lipatan’

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Jangan jadi ‘gunting dalam lipatan’. Ingatan tersebut pendek saja dan mudah diingati oleh sesiapa saja yang mendengarnya.

Pemimpin nombor satu negeri, Dato’ Seri Ahmad Said, memberi peringatan itu kepada penjawat awam yang bekerja di agensi-agensi di bawah pentadbiran kerajaan negeri serta Persekutuan, sewaktu menyampaikan amanat pada majlis Bicara Eksekutif Bersama YAB Menteri Besar di Wisma Darul Iman, pada 27 Januari, 2011.

Jelas sekali hasrat Menteri Besar mahu penjawat awam bersikap amanah dan tidak sesuka hati membocorkan rahsia kerajaan, khususnya kepada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Sikap segelintir penjawat awam membocorkan fakta-fakta yang masih di peringkat rahsia rasmi kerajaan, amat merbahaya dan boleh menjejaskan imej kerajaan yang mentadbir negeri ini.

Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan perbuatan itu boleh menjatuhkan kerajaan, terutama jika fakta berkenaan yang belum tentu kesahihannya, digunakan parti pembangkang untuk ‘menikam’ kerajaan semasa.

Tindakan sesetengah penjawat awam mendedahkan maklumat sulit kerajaan kepada pihak tidak bertanggungjawab, amat tidak wajar dan bertentangan dengan Perintah Am yang wajib dipatuhi setiap kakitangan awam.

Menteri Besar menegaskan sepatutnya setiap penjawat awam menghargai pemimpin negeri ini dan taat setia kepada kerajaan semasa yang mengurus tadbir negeri.

Dalam hal ini, beliau mencabar penjawat awam yang tidak bersetuju dengan dasar kerajaan semasa dan tidak boleh bekerja untuk kerajaan supaya meletak jawatan mereka.
Bagi Dato’ Seri Ahmad tidak ada gunanya kerajaan terus membela mereka yang bersikap ‘musang berbulu ayam’ kerana langkah itu amat merbahaya.

Menteri Besar tidak mahu mereka yang ibarat ‘api dalam sekam’ akan menghancurkan kerajaan yang ada, sekaligus membuka ruang kepada parti pembangkang untuk mentadbir semula negeri ini.

Kakitangan awam dan rakyat Terengganu pastinya masih ingat pelbagai kezaliman yang dilakukan Pas semasa parti tersebut mentadbir negeri ini.

Pastinya kejadian kanak-kanak dihalau dari Tabika Kemas dan pintu pagar tabika dikebanyakan kawasan dikunci oleh Jawatankuasa Syura Rakyat (JSR), masih segar dalam ingatan penduduk di negeri ini.

Tentunya rakyat Terenganu tidak mahu Pas berkuasa semula di negeri ini dan melakukan pelbagai kezaliman kepada rakyat, termasuk kanak-kanak yang tidak berdosa.

Bagi mengelakkan bencara itu berlaku, penjawat awam perlu patuh kepada nasihat Menteri Besar dan jangan cuba bermain dengan api. Mereka perlu memikirkan masa depan anak-anak kecil yang dahagakan ilmu kerana dengan ilmu seseorang itu boleh menjadi insan yang cemerlang.

Dengan ilmu juga seorang anak mampu mengubah nasib keluarga mereka yang hidup seharian ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’.

Kerajaan negeri pimpinan Dato’ Ahmad kini ke arah menjadikan Terengganu sebagai Negeri Anjung Ilmu dan setiap orang, terutama sekali penjawat awam perlu menyokong usaha murni ini, demi masa depan generasi muda yang semakin bertambah di negeri ini.

Bagi membendung kegiatan ini daripada berulang, kerajaan negeri akan bertindak terhadap mereka yang melakukan kesalahan tersebut sebagai pengajaran kepada yang lain.

Menteri Besar berharap pembocoran maklumat suilt tidak lagi berlaku, sebaliknya kakitangan awam perlu menumpukan tugas masing-masing dengan bekerja dengen lebih gigih bagi membantu melaksanakan program kerajaan untuk kesejahteraan rakyat.

Penjawat awam sebaliknya diminta menghayati sepenuhnya roh ‘Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan Negeri Terengganu’ (MPPNT), mendampingi rakyat, menyelami masalah mereka, mencari jalan dan membuat keputusan bagi menyelesaikannya.

Jika semua pihak bekerjasama dan saling membantu, sudah pasti kerajaan negeri pimpinan Dato’ Ahmad dapat melaksanakan pelbagai program dengan lebih lancar dan terus menabur bakti kepada rakyat Terengganu...


TEGANUKITA

NASI DAGANG HIDANGAN TAHUN BARU CINA…




Oleh: Ruslan Abdul Rahman
Sambutan Tahun baru Cina Khamis ini ; berbagai persiapan telah dibuat termasuklah masayarakat Cina di Kampung China, di tengah bandar Kuala Terengganu.
Penulis dan rakan-rakan sekerja dari Unit Komunikasi Negeri membuat tinjauan persiapan sambutan di sektiar kampung China Terengganu yang bersejarah itu, mendapati suasana persiapan sambutan Tahun Arnab itu sungguh meriah sekali.
Exco Kerajaan Negeri, YB Toh Chin Yaw yang kebetulan ada di sekitar kampung berkenaan petang semalam (30 Januari) memberitahu bemula hari semalam, setiap malam sehingga hari raya Khamis ini diadakan program Ambang Sambutan Tahun Baru Cina dengan pelbagai persembahan kebudayaan seperti tarian singa, tukar topeng dan sebagainya..

TEGANUKITA

Beliau juga memberitahu pada hari Selasa kira-kira jam 9.00 malam, Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Said akan meluangkan masa melawat perkampungan berkenaan dan bertemu penduduk dan singgah di beberapa buah rumah.
Pada Khamis ini, 3 Februari pihaknya mengadakan rumah terbuka Tahun Baru Cina untuk semua kaum di Dewan Tunku Abdul Rahman dan menjemput semua datang berkunjung.
Katanya, tahun ini diadakan juga pertandingan menhiasi rumah dengan penyertaan seramai 44 buah rumah, bertambah dari tahun lepas hanya 33 penyertaan.
Yang uniknya ialah kata beliau pada pertandingan kali ini terdapat enam penyertaan dari kaum lain, iaitu dua India dan empat orang Melayu.
Sementara itu, seorang pemuda, Chua Goh Tong memberitahu, pada malam raya iaitu malam Khamis ini, seperti biasa diadakan ‘makan besar’ di dalam keluarganya.
Mereka duduk semeja, ibubapa,nenek dan anak-anak serta cucu makan bersekali dan bemesra sesame keluarga sampai larut malam.
Katanya, masakan utama pilihan keluarganya ialah “Mee Suah”, di samping tepung bakul dan limau.
Seorang nenek Anne Gan,60 tahun ketika ditemui memberitahu keluarganya memilih ‘nasi dagang’ dan ‘ayam masak kerutup’ menu pilihan utama di hari raya Cina itu, seperti juga masakan orang Melayu.
“Kadang-kadang pagi, petang dan malam, semua keluarga saya suka makan nasi dagang, termasuk yang pulang berhari raya dari Kuala Lumpur” beritahunya kepada penulis.
Demikian gambaran 1 Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak, jelas terpampang dan terbukti dalam sosio-budaya masyarakat Malaysia kita, termasuk di Terengganu.




30 January 2011

Anugerah Guru Unggul Suntik Semangat

Oleh: Aida Abd Rahman

Peranan penting guru dalam membentuk insan cemerlang diiktiraf pelbagai pihak , bukan hanya kerajaan negeri malah syarikat swasta seperti Exxonmobil Exploration and Production Malaysia Inc. (Exxonmobil) apabila badan korporat itu menyumbang RM37, 5000 kepada 25 guru unggul yang terpilih dari seluruh Terengganu.

Seorang penerima Anugerah Guru Unggul 2010 dari Sekolah kebangsaan (SK) Teluk Pasu, Kuala Terengganu, Tengku Aznuriah Tengku Aziz, berterima kasih dengan inisiatif Exxonmobil kerana menaja anugerah sebagai mengiktiraf jasa dan ketrampilan guru dalam meningkatkan martabat pendidikan di Terengganu.

“Anugerah ini mampu memberi suntikan semangat untuk saya dan pendidik lain terus memberi perkhidmatan terbaik kepada anak didik sama ada dalam akademik ataupun bidang kokurikulum.

Tengku Aznuriah yang mengajar subjek Matematik, Pendidikan Jasmani dan Muzik turut dilantik sebagai Penolong Pesuruhjaya Pengakap Negeri (Terengganu) dan berjaya membawa persatuannya itu menjalankan aktiviti sehingga ke Johor dan juga ke Padang Indonesia.

Seorang lagi penerima anugerah, Rosnizan Mohd, 33, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Chendering, Kuala Terengganu, menganggap anugerah itu sebagai hadiah berganda selepas mendapat Anugerah Guru Cemerlang peringkat sekolah pada November lalu.

Dia yang mengajar subjek Kimia dan Sains sejak tujuh tahun lalu, mencari kelainan dan inovasi dalam kaedah pengajaran apabila menyediakan modul khas mengikut kehendak pelajar yang digabungkan dalam satu buku bagi memastikan tidak berlaku keciciran dalam pelajaran apabila ketiadaan guru pada satu-satu ketika.

Katanya, sejak dulu lagi, dia menyasarkan untuk melihat kecemerlangan pelajar yang menjadi anak didiknya serta terus memperkasakan bidang akademik di sekolahnya.

Pengerusi Subsidiari Exxonmobil di Malaysia, Hugh W Thompson, berkata syarikatnya sentiasa mencari insiatif untuk membangunkan modal insan dan menyumbang untuk faedah jangka panjang kepada masyarakat setempat.

Katanya, pihaknya amat berbesar hati untuk meneruskan kerjasama dengan kerajaan negeri bagi memajukan sektor pendidikan dan menyokong program pelajaran di Terengganu dengan harapan ianya mampu menyumbang kepada pembangunan serta menghasilkan tenaga kerja pakar.

Dalam pada itu, beliau juga berharap Anugerah Guru Unggul yang dipilih berdasarkan pencapaian dan kecemerlangan guru dalam memajukan akademik dan kokurikulum pelajar itu dapat menjadi sumber inspirasi kepada guru menghasilkan budaya kerja yang lebih cemerlang selain melahirkan generasi pelapis yang mampu memimpin negara pada masa depan.


TEGANUKITA