Halaman

09 February 2011

Manfaatkan Bantuan Kerajaan-Dato' Rosol

Oleh: Aida Abd Rahman


Ada apa yang diperkatakan Menteri Besar, Dato' Ahmad Said kepada Dato' Rosol Wahid sehingga mereka ketawa besar ketika majlis penyerahan e-Book di SM Bukit Diman, Hulu Terengganu. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Ahli Dewan Undangan Negeri Ajil, Dato’ Rosol Wahid mengingatkan ibu bapa dan pelajar lebih menghargai sumbangan yang disampaikan kerajaan negeri dan menggunakan bantuan itu dengan sebaik mungkin demi meningkatkan taraf hidup.

Beliau berkata demikian ketika merujuk pengagihan 602 unit e-Book kepada pelajar Tahun Lima di 16 sekolah rendah seluruh Ajil, di Dewan Sekolah Menengah Bukit Diman, Hulu Terengganu, kelmarin (7 Februari).

Dato’ Rosol turut meminta semua ibu bapa yang hadir ke majlis itu supaya menghargai pendekatan yang dilakukan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang sentiasa mencari insiatif bagi mengubah taraf hidup rakyat ke arah lebih baik termasuk pemberian e-Book secara percuma sejak dua tahun lalu.

“Terima kasihlah kepada Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said kerana ini kali kedua beliau hadir ke Ajil untuk mengagihkan e-Book kepada anak-anak kita semua.

“ Kerajaan negeri membelanjakan lebih RM6 00 ribu untuk menyediakan e-Book untuk pelajar Tahun Lima tahun ini bagi Dun Ajil dan ini semua tidak perlu dibayar tetapi percuma. Oleh itu, gunakanlah apa yang diberikan secara percuma ini dengan sebaik mungkin demi faedah bersama,” katanya.

Beliau turut menyentuh mengenai sikap segelintir penduduk khususnya di kawasan Ajil yang tidak tahu menghargai bantuan dan subsidi yang diberikan kerajaan ketika 1990-an dulu.

Menurutnya, ada segelintir daripada mereka ketika itu menerima subsidi tandas dan tidak mengggunakan bantuan itu dengan betul apabila bertindak membiarkannya di merata tempat sehingga berkulat.

“Apabila kerajaan buat pemeriksaan ke rumah penerima tandas berkenaan dan mengatakan untuk menarik balik subsdi itu kerana mereka tidak mahu (tandas), barulah mereka cepat-cepat menggunakan apa yang diberikan oleh kerajaan secara percuma itu.

“Sedangkan bantuan yang disediakan kerajaan itu sebagai langkah mengubah cara hidup mereka ke arah lebih positif dan sihat termasuk tidak lagi membuang air besar di merata-rata tempat. Bagaimanapun kini kehidupan mereka sudah mula berubah, ” katanya.

Dato’ Rosol berkata, jika dihitung bantuan dan sumbangan kerajaan kepada rakyat memang terlalu banyak kerana kerajaan menyediakan keperluan yang sepatutnya demi kepentingan dan kebajikan rakyat sejak dari dalam kandungan sehinggalah meninggal dunia.

Katanya, bukan hanya e-Book, buku teks secara percuma, pakaian sekolah percuma, yuran peperiksaan percuma, malah kerajaan turut menyediakan rumah percuma menerusi Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT), selain peruntukan membaiki rumah PPRT serta bantuan lain dari masa ke semasa.

Oleh yang demikian, katanya sebagai tanda membalas jasa dan sokongan terhadap kerajaan, rakyat hanya perlu memilih kerajaan Barisan Nasional yang sudah banyak melakukan pembaharuan dan pembangunan demi kepentingan rakyat itu pada setiap kali pilihan raya.

LTdL 2012 : TSG buru kemenangan peringkat

Oleh FAUZI MOHD

Terengganu Pro-Asia Cycling Team (TSG) menyusun perancangan teliti untuk memastikan pelumba yang bakal mengibar cabaran pasukan itu pada kejohanan lumba basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2012 bersedia memenuhi sasaran kemenangan peringkat dan memperbaiki kedudukan keseluruhan edisi lalu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, TSG memberi tumpuan terhadap kecergasan pelumba sebelum menyusun perancangan terakhir menjelang perlumbaan yang masuk edisi ke-17 bermula 22 Februari hingga 4 Mac depan.

Menurut beliau, pasukan lumba basikal profesional yang ditubuhkan kerajaan negeri pada April tahun lalu itu telah menyertai 27 kejohanan sepanjang tahun 2011 termasuk 13 kejohanan di luar negara.

"Apabila memasuki tahun 2012, pelumba TSG menyertai latihan intensif di Terengganu dan memasuki kem latihan di Chiang Mai, Thailand antara 3 Januari hingga 6 Februari lalu.

"Apa yang penting ketika ini adalah memastikan tahap kecergasan pelumba berada di tahap yang baik supaya dapat dipertingkatkan lagi menjelang bermulanya LTdL,” katanya pada majlis pelancaran TSG di Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu malam tadi.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar Negeri, Dato’ Toh Chin Yaw; Pengerusi Persatuan Berbasikal Terengganu, Dato’ Ahmad Sidi Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif TSG, Mohd Sophian Abu Bakar.

Tambah Dato’ Seri Ahmad, keyakinan sasaran itu di LTdL berdasarkan pencapaian TSG yang mencipta nama pada tahun lalu dengan menduduki tangga ke-4 daripada 70 pasukan dalam Kesatuan Berbasikal Dunia (UCI) Asia Tour.

Pada perlumbaan LTdL edisi ke-16 tahun lalu kata beliau, TSG berada kedudukan tangga ke-8 keseluruhan daripada 23 pasukan bertanding, manakala kedudukan ke-5 kategori Asia mengatasi pasukan negara.

“TSG telah menyambung kontrak lapan pelumba tempatan, mengambil dua pelumba baru dan mendapatkan khidmat tiga pelumba luar negara iaitu dua dari Korea dan satu dari Jepun serta kepakaran jurulatih dari Perancis, Sebastian Duclos,” ujarnya.

13 pelumba yang menggalas cabaran di LTdL ialah Mohamed Harrif Salleh, 23, selaku ketua pasukan; abangnya, Mohamed Zamri Salleh, 28; Faiz Syarifuddin Abd Kadir, 22; Muhammad Shobry Abdullah, 21; Anwar Aziz Muhd Shaiful, 25; Mohd Shahrul Mat Amin, 22 dan Mohamad Saufi Mat Senan, 21.

Selain itu, Nur Amirul Fakruddin Marzuki, 20; Mohd Nor Umardi Rosdi, 25; Yusrizal Yusof, 21; Shinichi Fukushima, 40 (Jepun); Jang Chan Jae, 23 (Korea) dan Kim Do Hyeong, 25 (Korea).

Pada majlis itu, TSG yang diwakili Pengerusi Lembaga Pengarahnya, Dato’ Mazlan menerima tajaan daripada Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC) sebanyak RM400,000, Kolej Universiti Tati (RM50,000) dan Shimano (RM120,000) sambil diperhatikan Dato’ Seri Ahmad.

Selain membei fokus kepada kejohanan LTdL, TSG bakal menyertai lebih 22 kejuaran sepanjang 2012 termasuklah Tour de Taiwan (10 Mac), Tour of India (25 Mac), Le Tour de Filipinas (14 April), Tour de Korea (22 April), Tour de Japan (20 Mei) dan Polygon Tour de Jakarta (16 Jun).


KEPULANGAN YANG DINANTIKAN…..

Oleh: Ruslan Rahman, Gambar: Zulputra

Misi Membawa Pulang Pelajar dari Mesir: Dalam suasana yang berbaur antara suka dan duka, sedih dan gembira; kepulangan pelajar-pelajar Terengganu disambut di kediaman rasmi Menteri Besar, Seri Iman, Jalan Sultan Mahmud, Kuala Terengganu jam 10.00 malam ini (8 Februari 2011).

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said dan isteri, To’Puan Seri Norliza Mahmud menyambut pelajar-pelajar berkenaan bersama-sama dengan ibubapa dan keluarga pelajar yang menunggu dengan hati yang teruja setelah sekian lama menanggung perasaan bimbang akan keselamatan anak-anak mereka di Mesir yang bergolak.

Sesungguhnya kediaman rasmi Menteri Besar malam ini (8 Februari 2011) meyaksikan kepulangan kira-kira 30 pelajar tajaan Yayasan Terengganu dari Mesir itu. Sebelumnya sebelah siang tadi mereka tiba di Kuala Lumpur International Airport (KLIA) dan kemudian bertolak balik dengan bas ke Terengganu.

Dato’ Seri Ahmad yang sedang mempengerusikan suatu mesyuarat dengan pegawai-pegawai kerajaan menangguh seketika mesyuarat untuk menyambut ketibaan pelajar berkenaan.

Hampir satu jam setengah Dato’ Seri Ahmad meraikan para pelajar, termasuk ibubapa serta keluarga pelajar berkenaan. pihak kediaman Menteri Besar menyediakan makan malam khas untuk tetamu yang baru dari Mesir itu.

Hadir sama Setiasauaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Dato’ Wan Ahamad Wan Muda, Pengarah Yayasan Terengganu, Haji Aziz Mamat, Pengarah Agensi Pembangunan Masyarakat Negeri (APMT), Roshali Taha, Pengarah Unit Komunikasi, Haji Shamsuddin Sulong, pegawai-pegawai Pejabat Menteri Besar dan Yayasan Terengganu.

Pihak media tempatan turut sama bertungkus lumus untuk merakam dan melaporkan kepada massa tentang kepulangan yang dinantikan ini.

Terharu sekali melihat ibubapa dan anak-anak mereka yang pulang saling berpelukan dalam situasi yang sukar untuk digambarkan kegembiraan hati mereka dan ada yang menitiskan antara mata kerana sekian lama dalam kebimbangan dan kerinduan, akhirnya dipertemukan.

Alhamdulillah, semuanya selamat!


TEGANUKITA

08 February 2011

MB sambut pelajar pulang dari Mesir

Oleh: Kamarudin Mat Akib


Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said menyambut kepulangan pelajar Mesir yang bertolak dari Kuala Lumpur ke Kediaman Seri Iman, Batu Buruk, Kuala Terengganu. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Seramai 30 pelajar Terengganu yang menuntut di Mesir selamat tiba di bandar Kuala Terengganu malam ini, disambut Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri, To’ Puan Norliza Mahmud.

Para pelajar berkenaan yang dibawa menaiki bas Yayasan Terengganu dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur tengah hari tadi, tiba di Kediaman Seri Iman, kira-kira jam 10.20 malam.

Mereka disambut dengan tangisan keluarga masing-masing yang sebahagiannya menunggu sejak pukul 9 malam lagi.



Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah dan Pengarah YT, Haji Aziz Mamat, turut menyambut ketibaan pelajar tersebut dan mereka turut menikmati hidangan makan malam di Kediaman Seri Iman.

Sehingga ini, 85 pelajar sudah selamat sampai ke Terengganu selepas mereka dibawa pulang ke Malaysia dengan pesawat milik pelbagai syarikat penerbangan sejak 6 Februari lalu.



Dato’ Ahmad berkata, kerajaan negeri sedang berunding dengan pihak berkuasa untuk membawa 377 pelajar yang masih berada di Jeddah dengan penerbangan terus ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud.

“Kerajaan negeri berharap urusan penghantaran pulang pelajar ke tanah air dapat diselesaikan secepat mungkin, bagaimanapun ia bergantung kepada keupayaan pesawat yang disediakan,” ujarnya.

TEGANUKITA


TERKINI:PELAJAR TERENGGANU DARI MESIR TIBA

Terkini oleh: Ruslan Rahman

Seramai 30 orang pelajar anak Terengganu, termasuk 3 kanak-kanak yang pulang dari Mesir berikutan pergolakan di sana, akan tiba di Kuala Terengganu dengan sebuah bas sekejap lagi (jam 10.00 malam, 8 Februari).

Pelajar tajaan Yayasan Terengganu itu bertolak dengan bas dari Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA)setelah tiba dari penerbangan Jeddah-KLIA.

Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said akan menyambut pelajar ini yang akan singgah di kediamannya, Seri Iman, Jalan Sultan Mahmud.

TEGANUKITA

Kerajaan Jalin Kerjasama Dengan RCSI

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH


YAB Dato' Seri Haji Ahmad bin Said, Menteri Besar, Terengganu.

Kerajaan negeri akan mengadakan perjanjian usahasama dengan Royal College Surgeon of Ireland (RCSI) untuk membuka kampus cawangannya di negeri ini dan beroperasi sementara di bangunan sedia ada sebelum mendapat kawasan sesuaibagi membina kampus tetap.

Sehubungan itu, Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said bersama beberapa Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri dan pegawai dari Yayasan Terengganu (YT) akan ke Ireland untuk memeterai perjanjian berkenaan pada 22 Februari depan.

“Dengan adanya usahasama ini, kita dapat jimat RM1 juta bagi seorang pelajar kerana kos sebenar pembiayaan sepanjang enam tahun bagi setiap pelajar ialah RM1.5 juta,” katanya kepada pemberita di Majlis Penyerahan e-Book kepada murid Tahun 5, Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir, di Dewan Komuniti, Kampung Pulau Bahagia, Manir, hari ini.

Dato’ Seri Ahmad Said berkata, kerajaan akan menghantar 50 pelajar setahun ke RCSI untuk tempoh tiga tahun di Ireland setelah menghabiskan pengajian tiga tahun di kampus cawangan tersebut, di sini.

“Kerajaan akan mengeluarkan belanja RM75 juta untuk 50 pelajar jika tempoh pengajian enama tahun di Ireland, tetapi bila usahasama ini dilaksana kita mampu berjimat RM50 juta,” katanya.

Katanya, bila kampus cawangan RCSI mula beroperasi bukan setakat pelajar tajaan kerajaan negeri malah orang persaorangan yang mampu juga boleh hantar anak mereka untuk mengikuti pengajian dalam perubatan di sini.

TEGANUKITA

Pendidik Diingatkan Usah Jadi Anai-Anai

Oleh: Esah Abdullah


Menteri Besar menyampaikan e-Book kepada seorang murid Tahun 5 dalam kawasan DUN Manir sambil ditemani ayahnya.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said mengingatkan para pendidik ini supaya tidak menjadi anai-anai dengan cara meracuni pemikiran anak bangsa sendiri serta menidakkan sumbangan kerajaan terhadap perkembangan pendidikan di negeri ini.

“Gaji mereka kerajaan bayar, kemudahan perubatan keluarga mereka kerajaan tanggung, segala prasarana dan insfrastruktur kerajaan sediakan, mereka sepatutnya bersyukur kepada Allah SWT dan terima kasih kepada tangan yang memberi,” katanya.

Dato’ Seri Ahmad berkata demikian di Majlis Penyerahan e-Book kepada murid Tahun 5, bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir, di Dewan Komuniti Kampung Pulau Bahagia, Manir, hari ini.



Hadir sama, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang; Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Haji Ahmad Razif Abdul Rahman; Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Haji Mohd Nor Othman; Ketua Pergerakan Wanita Umno Perhubungan Terengganu, Datuk Fatimah Hamad dan Pegawai Pembangunan DUN Manir, Encik Yusof Awang Hitam.

Menteri Besar menegaskan kerajaan tidak pernah meminggirkan hak setiap rakyat di negeri ini, contohnya kawasan DUN Manir ini yang sudah 20 tahun di kuasai parti pembangkang tapi kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak putus-putus datang menghulurkan sumbangan.

Dalam majlis hari ini, 394 murid Tahun Lima dari enam sekolah dalam DUN Manir menerima e-Book yang disampaikan Menteri Besar, antaranya ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Beladau Kolam (85 orang), SK Pulau Manis (28 orang), SK Durian Mas (55 orang), SK Pulau Bahagia (80 orang), SK Manir (99 orang) dan SK Teluk Menara (47 orang).



Sehubungan itu Dato’ Seri Ahmad turut menyerahkan sijil penghargaan kepada Dr. Rashdan Ismail, Pakar Bedah ENT, Jabatan ENT, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian yang telah menyediakan perkhidmatan perubatan percuma dua kali sebulan kepada penduduk dalam Dun Manir.


TEGANUKITA

Yayasan Pelajaran Mara (YPM) taja 60,000 akhbar

Oleh: Kamarudin Mat Akib


Dato' Rosli Mat Hassan bersalaman dengan Tan Sri Hashim semasa majlis tajaan Akhbar Utusan Malaysia oleh Yayasan Pelajaran Mara di Hotel Primula Kuala Terengganu.

Yayasan Pelajaran Mara (YPM) menaja 60,000 naskhah akhbar Utusan Malaysia untuk diedar di wad-wad hospital dan sekolah terpilih di seluruh negeri, sepanjang tahun ini.

Akhbar tersebut akan diedarkan ke wad-wad hospital di negeri Terengganu pada setiap hari untuk bacaan waris yang menunggu pesakit dan para pelajar di sekolah berkenaan.
Pengerusi YPM, Dato’ Rosli Mat Hassan, berkata langkah penajaan itu bertujuan menggalakkan budaya membaca di kalangan masyarakat negeri ini, khususnya di kalangan orang Melayu.

Beliau berkata, hasil penyelidikan pihaknya mendapati budaya membaca di kalangan orang Melayu amat kurang berbanding bangsa lain, justeru itu pihaknya mengambil inisiatif menaja akhbar tersebut sebagai bahan bacaan.

“Kita harap budaya membaca di kalangan masyarakat negeri ini akan ditingkatkan, seterusnya dapat mewujudkan masyarakat yang ilmiah dan berpengetahuan,” katanya pada majlis penyerahan cek bagi membiayai penajaan akhbar berkenaan di Hotel Primula Beach, hari ini.

Pada majlis itu, beliau menyerahkan cek tajaan bernilai RM60,000 kepada Pengerusi Kumpulan Utusan Melayu (M) Bhd, Tan Sri Muhamad Hashim Ahmad Makarudin.

Sementara itu, Tan Sri Muhamad Hashim berkata, pihaknya mengalu-alukan langkah yang diambil YPM menaja akhbar untuk diedar di wad hospital dan sekolah kerana ia memberi manfaat kepada masyarakat tempatan.

Beliau berkata, dengan adanya bahan bacaan tersebut waris pesakit dapat memenuhi masa lapang mereka dengan membaca dan menambah pengetahuan dalam pelbagai bidang.

TEGANUKITA

e-Book mampu bantu pelajar kuasai ICT

Oleh: Suriati Ali


Pengarah JPNT, Encik Razali bin Daud

Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) kesal dengan sikap segelintir individu yang memperlekehkan penggunaan e-Book yang nyata mampu membantu pelajar menguasai Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT) pada awal usia.

Mereka tidak wajar membuat tomahan melulu sebaliknya perlu menyokong usaha kerajaan negeri yang ingin melihat anak kelahiran Terengganu terus cemerlang dalam pendidikan di samping membantu meringankan beban membawa beg berat.

Pengarah JPNT, Encik Razali Daud, berkata beliau tidak faham dengan sikap golongan yang gemar mengkritik, apa yang dilaksanakan kerajaan semuanya tidak betul, sedangkan mereka mengetahui setiap perancangan dan kemudahan yang disediakan, untuk kepentingan bersama terutama generasi akan datang.

“Pihaknya mengakui, ada mendengar cakap-cakap negatif dan memperlekehkan penggunaan e-Book. Mereka tidak wajar bertindak demikian sedangkan pelajar yang menerima e-Book sudah menerima banyak manfaat selain mampu menguasai ICT setanding orang dewasa,” katanya.

Menurutnya, lebih 46,000 pelajar sudah menerima e-Book secara percuma tahun lalu dan kira-kira 44,000 pelajar Tahun Empat dan Tahun Lima akan menerima kemudahan itu secara berperingkat mengikut Dewan Undangan Negeri pada tahun ini.

“Saya yakin peralatan canggih ini sememangnya menjadi impian semua pelajar, tetapi disebabkan beberapa faktor termasuk kekangan kewangan daripada ibu bapa, mereka terpaksa melupakan untuk memilikinya.

“Apabila kerajaan negeri mengumumkan akan mengagihkan e-Book bernilai antara RM1,200 sehingga RM1,300 seunit secara percuma, ia bagaikan satu berita paling mengembirakan dan bonus bagi setiap anak,” katanya.

Encik Razali berkata, dengan adanya e-Book secara tidak langsung, mereka lebih bersemangat belajar dan meneroka ilmu terutama berkaitan ICT.

“Oleh itu, sebagai ibu bapa atau penjaga, mereka perlu berterima kasih dengan apa yang dilaksanakan kerajaan negeri dan bukan bertindak mengkritik atau melontar tohmahan,” katanya.

TEGANUKITA

07 February 2011

Pencuri Bijih Besi Tidak Akan Terlepas.

Oleh:Kamaruddin Mat Akib & Hazwan Rosli


Kawasan Bukit yang dipercayai terbabit dengan kegiatan mencuri bijih di Lombong Bukit Besi Dungun.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said hari ini berikrar membawa ke muka pengadilan mereka yang terlibat dengan kegiatan mencuri bijih di Lombong Bukit Besi Dungun.

Sehubungan dengan itu, beliau mengarahkan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) supaya membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut secepat mungkin supaya mereka yang terlibat didakwa dengan segera.

“Saya juga akan panggil Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) supaya siasat kejadian ini (kecurian biji besi) katanya ketika berucap pada majlis penyerahan E-Book kepada murid tahun lima Dun Bukit Besi di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Besi petang ini.



Menteri Besar melahirkan rasa kecewa dengan kejadian tersebut yang dipercayai melibatkan pegawai yang diberi tanggungjawab untuk menjaga kawasan lombong bijih besi tersebut.

"Selama ini bila berlaku penyelewengan orang ramai menyalahkan orang politik, tetapi dalam kes ini ia melibatkan pegawai (kakitangan kerajaan yang tidak bertanggungjawab)," ujar beliau.



Beliau berkata kerajaan tidak akan bertolak ansur dengan mereka yang terlibat dalam jenayah tersebut kerana ia melibatkan harta awam.

Dato’ Seri seterusnya berkata integriti perlu wujud bukan sahaja di kalangan orang politik tetapi juga meliputi pegawai tadbir dan penjawat awam.


TEGANUKITA