Halaman

14 February 2011

TADC hasil tisu kultur berkualiti tinggi

Oleh: Suriati Ali

Terengganu Agrotech Development Corp Sdn Bhd (TADC) melalui anak syarikatnya, Terengganu Agrobio Research Sdn Bhd mengorak langkah lebih awal dengan menghasilkan tisu kultur yang dapat menghasilkan anak pokok berkualiti tinggi dan seragam.

Pengerusi Eksekutif TADC, Encik Razali Idris, berkata program itu menggunakan pendekatan bioteknologi untuk meningkatkan pengeluaran benih tumbuhan yang diharap menjadi pemangkin pembangunan perusahaan pertanian.

Katanya, projek berimpak tinggi itu ditempatkan di Ajil, Hulu Terengganu, amat sesuai digunakan secara komersial dan boleh dipasarkan secara lebih meluas.

“Pelbagai kebaikan tisu kultur ini termasuk dapat menghasilkan bahan tanaman sama seperti induk, mampu memulihara germplasma tumbuhan yang sukar didapati, boleh dihasilkan sepanjang tahun dan menghasilkan anak pokok yang bebas virus serta penyakit setelah ketulenannya disahihkan,” katanya.

Menurutnya, istimewanya, sumber anak benih boleh disediakan dalam kuantiti yang banyak dan tidak memerlukan kaedah pensenyawaan atau kacukan serta mudah dieksport ke luar negara.

“Kajian ini sedang dibuat terhadap beberapa anak benih seperti kelapa sawit, pisang dan nenas. Memandangkan permintaan terhadap anak pisang Jelai Berangan lebih tinggi, TADC memberi tumpuan terhadap tumbuhan itu terlebih dahulu.

“Sasaran kita bagi tahun ini sahaja dapat mengeluarkan 200,000 anak pisang jenis itu dan bakal ditanam di kawasan seluas 100 hektar di Pelong, Setiu. Manakala tahun 2012 pula, TADC menjangkakan dapat menghasilkan 60,000 anak pokok dalam tempoh sebulan,” katanya.

TEGANUKITA


Pameran 1 Asean, 1 Jalinan

Oleh: Aida Abd Rahman

Keunikan, keindahan dalam kepelbagaian tekstil hasil masyarakat Melayu sedikit masa lalu terserlah menerusi tenunan songket, limar, sutera telepuk, batik dan pelangi yang diwarisi sejak zaman berzaman.

Melalui teknik penghasilan yang berbagai seperti tenunan, ikat celup, lukis dan terap yang bersesuaian dengan peredaran zaman mengandungi pelbagai maksud dan falsafah yang tersirat dalam penghasilannya.

Pengarah Lembaga Muzium Negeri Terengganu, Haji Mohd Yusof Abdullah, berkata nilai estetika pada tekstil tempatan sememangnya diakui oleh negara jiran yang turut sama berkongsi pengalaman dan proses penciptaan yang mempunyai pertalian secara langsung.

“Oleh kerana jalinan ini begitu jelas terpancar menerusi karya tekstil yang dihasilkan di negara Asean, maka Pameran 1 Asean, 1 Jalinan merangkumi gabungan koleksi tempatan dan negara Asean lain dipamerkan dalam satu galeri.

“Terdapat sekurang-kurangnya 100 koleksi dipamerkan bagi tatapan umum bagi menjelaskan keunikan, keindahan dan kepelbagaiannya,” katanya dalam satu hebahan media kepada Teganukita, hari ini (14 Februari).

Pameran ini menjadi wadah dalam penyaluran maklumat pada masyarakat menyelami pemikiran dan kreativiti serta menghargai keunikan dan keindahan warisan dari pelbagai negara.

Pameran 1 Asean, 1 Jalinan dijadualkan bermula dari 15 Mac hingga 30 Jun 2011 bertempat di Galeri Teksil & Foyer Muzium Negeri Terengganu. Ia diadakan dengan kerjasama Terengganu Institute Of Design Exxellence (TIDE).

Haji Mohd Yusof berkata, objektif pameran adalah memperlihatkan keunikan tekstil warisan tempatan dan negara Asean kepada masyarakat, mendidik generasi muda agar menghargai warisan tempatan dan luar selain memberi peluang kepada generasi menghayati dan membaca pemikiran masyarakat dahulu kala.

Acara sampingan yang bakal diadakan ialah pertunjukan fesyen, demonstrasi tenunan songket, ikat pelangi, ikat limar dan celuk benang , bergerus, mencating batik, batik blok, cara memakai kain serta membuat cop batik.

Katanya, pameran yang menyasarkan pengunjung di kalangan penyelidik tempatan dan antarabngsa, pelajar institut pengajian tinggi, peminat dan pencinta seni budaya, pelajar sekolah, orang awam serta jabatan kerajaan dan bukan kerajan (NGO) turut diadakan bengkel serta jualan produk seperti songket, batik, sutera dan kraf.


Kerajaan Iktiraf Khidmat JKKK

Oleh: Aida Abd Rahman dan Mastura Jamaludin

Kerajaan negeri mengiktiraf komitmen padu dan semangat kerjasama yang diamalkan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) sehingga mampu memperkasakan kumpulan masyarakat di bawah pimpinan mereka.

“JKKK yang ada telah memberikan perkhidmatan yang terbaik dan untuk menghargainya ,majlis anugerah cemerlang ini diadakan sebagai mengiktiraf dan mengucapkan tanda terima kasih dengan perkhidmatan yang terbaik sepanjang bertugas di kawasan masing-masing,” kata Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Hj Wan Mohd Wan Ibrahim, di Majlis Anugerah JKKK Cemerlang peringkat Hulu Terengganu, di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu, hari ini (14 Februari).

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri merangkap ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu, Dato' Tengku Putera Tengku Awang; Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telemong, YB Rozi Mamat dan Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Hj Mohd Nor Othman dan Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Tengku Hamzah Tengku Abdullah.

Haji Wan Mohd berkata, kejayaan yang terhasil disebabkan adanya perpaduan dan semangat bekerjasama dalam satu pasukan sehingga mampu membentuk JKKK yang kuat dan jitu.

Katanya, JKKK perlu ada 4K iaitu `kebersihan,keindahan,keselamatan dan kedamaian’ untuk berjaya dan memperkasakan lagi JKKK di kawasan masing-masing.

Di samping itu,beliau mencadangkan agar satu persatuan belia diwujudkan di setiap JKKK bagi melaksanakan program yang seimbang dengan keperluan para belia dan beliawanis di kawasan masing-masing.

Anugerah disampaikan berbentuk sijil,wang ringgit serta barangan kepada pemenang bagi lapan kategori termasuk desa cemerlang,masjid terbaik,surau terbaik,tanah perkuburan terbaik dan desa harapan terbaik.

Usah Pandang e-Book Dari Sudut Negatif

Oleh : KAMARUDIN B MAT AKIB


Menteri Besar menyampaikan e-Book kepada murid Tahun Lima DUN Cukai, Kemaman di Dewan Berlian MPK . - Gambar oleh Amirullah.

Masyarakat tempatan tidak wajar memandang negatif usaha kerajaan negeri memperkenalkan e-Book kepada murid-murid sekolah rendah di Terengganu kerana usaha murni yang diperkenalkan kerajaan ini amat berguna kepada pembelajaran pelajar.

Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Encik Razali Daud, berkata sudah menjadi kebiasaan setiap perkara atau usaha baru yang diperkenal kerajaan akan mendapat tentangan pelbagai pihak, khususnya mereka yang tidak sefahaman dengan pemimpin kerajaan.

Sebagai contoh, katanya, apabila mantan Menteri Besar Terengganu, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad, membina Jambatan Sultan Mahmud, banyak pihak mempertikaikan pembinaan projek tersebut.



“Kini semua orang menggunakan kemudahan tersebut, termasuk mereka yang dulunya mengkritik dan menghentam Menteri Besar yang mencadangkan projek berkenaan,” katanya ketika berucap di majlis pemberian e-Book kepada Murid Tahun Lima Dewan Undangan Negeri (DUN) Cukai di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman, petang semalam.

Hadir sama pada majlis itu, isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud; Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco), Dato’ Haji Mohamed Awang Tera dan Pegawai Daerah Kemaman, Haji Mohamad Kamil Othman.

Encik Razali berkata, beberapa tahun selepas jambatan berkenaan siap dibina ternyata ia amat wajar dan berguna kepada masyarakat.

Beliau berkata, begitu juga dalam soal e-Book masyarakat perlu faham penggunaannya mampu membantu pelajar menguasai Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT) pada awal usia.

Justeru itu, masyarakat tidak wajar membuat tomahan buruk terhadap penggunaan e-Book, sebaliknya menyokong usaha kerajaan negeri demi kecemerlangan anak-anak di bidang pendidikan.

TEGANUKITA

Pameran Khurafat

Oleh: Shahrir Hamid


Antara bahan mistik yang akan dipamerkan A - Anak kerak dari Thailand, B - Batu bergerak, dan; C - Keris Terapung Di Udara

Rakyat Terengganu boleh mengenali serta mendekati alam mistik lebih dekat apabila Dynasty Event Sdn Bhd akan mengadakan pameran umum buat julung kali berasaskan unsur-unsur mistik bertemakan 'Masyarakat Berakidah' di Dataran Syahbandar di sini pada bulan April hingga Jun 2011.

Pameran pertama seumpamanya di Terengganu dan Malaysia dalam konteks status sebuah pameran barangan mistik yang paling besar dan ajaib mampu meletakkan Terengganu pada satu tahap baru dalam penganjuran pameran gergasi serantau dan menarik lebih ramai pengunjung ke negeri ini.

Pengarah Eksekutif Dynasty Event, Ahmad Ikhwan Mohamad, berkata pameran itu; bertujuan memberi pendedahan dan pendidikan secara literatur kepada masyarakat terutama generasi muda supaya mereka tidak terkeliru dengan unsur-unsur mistik dan khurafat, di samping meletakkan Terengganu sebagai destinasi tumpuan Pantai Timur.

"Walaupun dunia semakin moden, masyarakat pada hari ini masih lagi mengamalkan amalan tidak sihat seperti upacara pemujaan, tarik duit dan pelbagai lagi. Amalan sebegini mengundang perantaraan antara manusia dengan makhluk halus seterusnya menghalalkan syirik,"katanya kepada wartawan unit komunikasi negeri.

Beliau berkata,berbekalkan pengalaman luas dalam pengurusan acara, Dynasty Event mengambil langkah proaktif dalam usaha mengisi pengetahuan masyarakat Islam terutamanya berkaitan alam mistik bagi mengelakkan akidah mereka terpesong kerana terlalu percaya serta taksub dengan perkara mistik yang berleluasa dewasa ini.

Katanya, barang-barang atau komponen pameran adalah benda-benda yang berkait dengan unsur mistik ,khurafat dan khayal sesuai dengan tajuk dan rasional pameran itu.

" Komponen material pameran adalah dalam bentuk yang benar serta asli dalam rangka usia kita mengisi minda pengunjung berkait tajuk pameran itu," katanya.

Ahmad Ikhwan berkata, pengunjung berpeluang melihat secara dekat lebih 130 barangan mistik dari serata pelusuk dunia seperti anak kerak, Jenglot, keris terapung, batu bergerak, jin dalam botol, toyol dan banyak lagi pada pameran yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Beliau berkata, fenomena baru akan terletus pada pameran yang mendapat usahasama daripada syarikat minyak gergasi Malaysia, Petronas serta beberapa anak syarikat kerajaan negeri sebagai medan informasi intelektual berkesan dalam rangka usaha mendidik masyarakat agar peka dengan persekitaran.

Katanya,pameran tiga bulan itu mampu dijadikan penanda aras bagi penganjur serta syarikat luar agar lebih berkeyakinan menganjurkan majlis seumpamanya selaras dengan usaha kerajaan negeri merealisasikan Terengganu negeri anjung ilmu.

TEGANUKITA

Terengganu Penuhi Tuntutan Pendidikan Abad ke-21

Oleh: Aida Abd Rahman


Dato' Seri Ahmad bersama murid Tahun Lima yang memperolehi e-Book selepas majlis penyerahan alat bantuan belajar itu di SK Kebor Air, Manir. - Gambar oleh Syed Abdul Rahman.

Terengganu muncul antara negeri yang memenuhi tuntutan keperluan pendidikan pada abad ke-21 apabila mempraktikkan alat bantuan mengajar, e-Book dalam sistem pelajaran negeri, selain terus menggunakan guru dan buku.

Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu, Encik Razali Daud, berkata sistem pendidikan pada zaman yang penuh persaingan hari ini memerlukan pembaharuan dan transformasi terutama dalam kaedah mengajar termasuk dalam penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).



“Pelajaran pada abad ke-21 berasaskan kepada guru, buku dan juga ICT . Oleh itu, kerajaan Terengganu memenuhi tuntutan itu bagi memastikan pada era globalisasi semua masyarakat khususnya pelajar dan ibu bapa celik dan mahir IT sebagai asas sebenar pembangunan.

“Guru juga harus mendalami dan mengejar ilmu dalam bidang ICT supaya dalam suasana pembelajaran hari ini mereka tidak lagi ketinggalan khususnya dalam melahirkan pelajar cemerlang,” kata beliau ketika Majlis Penyerahan e-Book Tahun Lima bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Teluk Pasu, di Sekolah kebangsaan (SK) Kebor Air, Manir, Kuala Terengganu, hari ini (14 Februari).



Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Pengerusi Jawatanpelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri yang juga Adun Teluk Pasu, Datuk Abdul Rahin Mohd Said serta Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Haji Ahmad Razif Abd Rahman.



Dalam majlis itu, 639 murid Tahun Lima daripada SK kebor Air (41 murid); SK Kesom (83); SK Teluk Pasu (87); SK Kebor Besar (58); SK Kampung Tengah (192); SK Bukit Petiti, 32 murid dan SK Banggol Peradong 146 murid menerima e-Book masing-masing yang disampaikan Menteri Besar.

Encik Razali berkata, hasrat mewujudkan `satu murid, satu komputer ‘ di negeri ini hampir berjaya dengan terlaksananya program pengagihan papan digital elektronik berkenaan yang hanya dirintis oleh Kerajaan Terengganu.



Selain itu, usaha mewujudkan masyarakat celik IT juga mampu direalisasikan sejajar dengan matlamat menjadikan `satu rumah, satu komputer’ yang mana e-Book yang diperolehi murid juga dapat diguna sama oleh ibu bapa serta keluarga ke arah perkara positif, selain mengasah pengalaman dalam bidang IT.

TEGANUKITA

Kelas Maya Terengganu Lebih Baik Daripada Model Luar Negara

Oleh : KAMARUDIN B MAT AKIB


Kerajaan negeri menyediakan peruntukan RM30,000 bagi mewujudkan setiap kelas maya yang bertujuan meningkatkan kecemelangan pelajar, termasuk memahirkan mereka dalam bidang ICT.

Model Kelas Maya yang diperkenalkan di Terengganu mulai tahun ini, lebih baik daripada yang dipraktikkan di luar negara, termasuk Korea Selatan dan Singapura.

Malah, lebih membanggakan apabila negeri ini hanya memerlukan masa kira-kira dua bulan saja bagi mewujudkan kelas tersebut, berbanding tempoh tiga tahun yang diambil negara berkenaan.



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata berdasarkan laporan awal murid-murid Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Bunga yang terlibat dengan kelas maya, begitu bersemangat untuk belajar secara ‘online’ yang diperkenalkan di sekolah mereka.

Sehubungan itu, kerajaan negeri akan terus memperluaskan konsep kelas maya, sekurang-kurangnya sebuah sekolah di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN), bermula tahun depan.

Sehingga ini tiga sekolah yang memulakan pengajian kelas maya ialah SK Paya Bunga, Kuala Terengganu; manakala dua lagi iaitu SK Kompleks Seberang Takir, Kuala Terengganu dan SK Telok Kalong, Kemaman akan menggunakan konsep sama dalam masa terdekat ini.

Sekolah tersebut akan memulakan kelas maya apabila siap proses pemasangan talian internet dan beberapa kelengkapan lain yang berkaitan.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, sebelum ini beberapa pegawai kanan dari Jabatan Pelajaran Negeri dan Top IT Sdn Bhd melawat Korea Selatan dan Singapura untuk meninjau sekolah di negara berkenaan yang menggunakan kelas maya.

Kerajaan negeri menyediakan peruntukan RM30,000 bagi mewujudkan setiap kelas maya yang bertujuan meningkatkan kecemelangan pelajar, termasuk memahirkan mereka dalam bidang ICT.

TEGANUKITA

Letak Agama Di Tangga Teratas

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH



Kerajaan negeri sentiasa meletakkan kepentingan agama di tangga teratas dan menyediakan peruntukan besar bagi meningkatkan syiar Islam serta menangani isu-isu agama yang berbangkit sepanjang tahun ini.

“Gerakan dakwah dan penerangan melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) dan Agensi Dadah Kebangsaan (ADK) antara medium yang membantu mengurus pemasalahan yang timbul kalangan masyarakat,” kata Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Haji Khazan Che Mat.

Katanya, soal agama hak bersama, tanpa mengira sama ada individu itu mempunyai fahaman berbeza tetapi masyarakat perlu bersatu untuk pertahankan kesucian Islam.

Haji Khazan berkata, pelbagai bentuk penghargaan juga diberi seperti kenaikan elaun imam dan bilal yang menjalankan tanggung jawab fardu kifayah dan memastikan setiap waktu ada kariah dalam masjid.

“Sama ada kerajaan bayar atau tidak, saya yakin imam dan bilal tetap melaksanakan tugas masing-masing dengan ikhlas kerana Allah dan ini suatu kerja mulia yang dituntut dalam agama kita,” katanya.

Katanya, kepekaan kerajaan negeri terhadap perkara kebajikan, mendahului Kerajaan Pusat dalam banyak perkara termasuk mewujudkan Kelas Agama dan fardu ain (Kafa) sejak awal 70-an lagi dan setiap tahun akan menghantar imam dan bilal untuk mengerjakan fardu haji secara percuma.

Oleh itu katanya, bila program Kafa ini di wujudkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), diselaraskan melalui Jabatan Hal Ehwal Agama negeri-negeri seluruh negara tetapi di Terengganu kelas Kafa terus diletakkan di bawah Yayasan Islam Terengganu (YIT).

Sehubungan itu katanya, pelbagai program bersepadu dilaksanakan yang melibatkan semua lapisan masyarakat, belia, dewasa, pelajar serta golongan pertengahan untuk melengkapkan ilmu serta mengekang masalah gejala sosial dari terus berkembang dalam masyarakat.

“Tanpa kerjasama masyarakat, ibu bapa, pelajar dan belia apa yang ingin kerajaan sampaikan akan tinggal perancangan tanpa pelaksanaan,” katanya.

TEGANUKITA

LKIM Pulau Kambing bakal dinaiktaraf

Oleh: Suriati Ali

Kompleks pendaratan ikan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Pulau Kambing, Kuala Terengganu akan dinaiktaraf sejajar dengan kemajuan Bandaraya Kuala Terengganu yang kini semakin pesat membangun dan menjadi tumpuan pelancong.



Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, YB Haji Asha’ari Idris, berkata kerajaan negeri bersetuju menaiktaraf kompleks itu dengan menyusun kembali sistem pendaratan dan kaedah pengagihan ikan supaya lebih kemas dan teratur.



Katanya, berdasarkan tinjauan yang dijalankan sebelum ini, kaedah asal yang dilaksanakan pihak berkaitan di kawasan itu kurang sesuai dan tidak sistematik manakala kebersihannya pula terutama berkaitan pengaliran air cukup menyedihkan.

“Oleh itu, imej LKIM Pulau Kambing perlu diperbaiki segera, sesuai dengan pembangunan di sekitarnya iaitu Pulau Warisan serta Taman Rekreasi dan Waterfront Pulau Kambing.

“Tambahan pula, pihak pengurusan Taman Tamadun Islam (TTI) kini giat memperkenalkan pakej menyelusuri sungai Terengganu dengan menaiki perkhidmatan `river cruise’. Melalui pakej itu, kawasan perairan LKIM Pulau Kambing turut diselusuri,” katanya ketika dihubungi pemberita Teganukita.

Menurutnya, kos penyelenggaraan dan kaedah yang bakal dilaksanakan di kompleks itu masih dalam perbincangan dengan pihak berkaitan.

“Dia akan mengenakan syarat dan peraturan baru apabila komplek itu siap kelak, di mana orang ramai dan peruncit tidak dibenarkan membeli ikan di LKIM itu lagi seperti sebelum ini.

“Hanya pemborong dan ahli persatuan berdaftar sahaja dibenarkan masuk ke kawasan itu sama ada untuk membeli atau pelbagai urusan lain,” katanya.

Haji Asha’ari, berkata peraturan itu terpaksa diperketatkan bagi mengelak kecurian dan kesesakan terutama ketika nelayan ingin mendaratkan ikan.


TEGANUKITA


13 February 2011

Guru Di Kemaman Jalani Kursus Intensif

Oleh: Kamarudin Mat Akib / Gambar Oleh Amirullah Othman


Dato' Ahmad menyampaikan e-Book kepada pelajar Tahun Lima sekolah dalam DUN Kijal.

Semua guru yang mengajar mata pelajaran Bahasa Malaysia di sekolah rendah seluruh daerah Kemaman diarah menghadiri kursus insentif khas bagi meningkatkan mutu pengajaran mereka.

Langkah tersebut merupakan sebahagian daripada usaha meningkatkan pencapaian mata pelajaran tersebut bagi murid-murid di daerah itu yang bakal menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), tahun ini.



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata berdasarkan keputusan peperiksaan UPSR tahun lalu, didapati daerah Kemaman menduduki tempat tercorot berbanding daerah-daerah lain di negeri ini.

“Keputusan UPSR bagi daerah Kemaman merosot disebabkan mata pelajaran Bahasa Melayu Penulisan dan Kefahaman,” katanya kepada wartawan Unit Komunikasi ketika ditemui selepas mengagihkan e-Book kepada 780 murid Tahun Lima Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal di Sekolah Kebangsaan Kijal, Kemaman, hari ini.

Hadir sama di majlis itu, isteri Menteri Besar, To’ Puan Norliza Mahmud, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemasek, YB Ir Rosli Othman dan Pengarah Jabatan Pelajaran, Encik Razali Daud.



Dato’ Seri Ahmad berkata, beliau mengadakan perbincangan dengan Jabatan Pelajaran dan meminta tindakan segera dilakukan bagi meningkatkan keputusan peperiksaan pelajar daerah itu dalam UPSR pada tahun ini.

“JPN meminta semua guru di daerah ini menjalani kursus intensif di mana kursus fasa pertama sudah dilakukan baru-baru ini dan ia akan disususli dengan beberapa fasa lagi selepas ini,” ujar beliau.

Beliau berkata, ini merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan negeri bagi mengekalkan kedudukan negeri Terengganu sebagai peneraju dalam keputusan UPSR di mana sebelum ini ia menjadi juara selama 10 tahun berturut-turut.

“Kita mahu Terengganu kekal sebagai juara UPSR pada tahun ini dan pada masa yang sama keputusan untuk pelajar daerah Kemaman turut meningkat dan tidak menjadi daerah tercorot,” tambahnya.

TEGANUKITA