Halaman

15 February 2011

PENGAJARAN DARI KEJATUHAN MUBARAK DI MESIR- UNTUK UMNO/BN ATAU PAS?

Oleh: Ruslan Abdul Rahman
Tindakan beberapa pemimpin pembangkang termasuk Pas, cuba mengaitkan apa yang berlaku kepada Presiden Hosni Mubarak di Mesir dengan Malaysia dan kepimpinan Barisan Nasional (BN) sekarang adalah sesuatu yang amat tidak tepat.
Mengaitkan kepimpinan di Malaysia sebagai dictator perbandingan yang cuba dibuat itu jauh bara dengan panggang.
Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar mengingatkan kerajaan BN agar mengambil iktibar daripada kejatuhan rejim Mubarak.
"Ini sepatutnya menjadi pengajaran kepada kerajaan dan harus menjadi iktibar kepada rakyat Malaysia.
"Kuasa di tangan rakyat. Rakyat boleh buat (jatuhkan kerajaan) jika mereka mahu," katanya yang juga ahli parlimen Pokok Sena.
"Saya harap apa yang berlaku di Mesir dan Tunisia menjadi pengajaran kepada semua negara dictator” kata AJK Pas Pusat, Mohd.Sabu.
"Perdana Menteri memberi amaran jangan buat seperti di Mesir, sebenarnya amaran itu tak perlu buat kerana kalau ada demokrasi tak berlaku seperti di Mesir. Beri kebebasan kepada rakyat berhimpun, berceramah dan sebagainya” kata Mohd.Sabu.

Kalau kita menoleh kepada sejarah, bukan perkara baru di Malaysia, rakyat yang memilih kerajaan secara demokrasi sejak pilihanraya pertama hingga sekarang bakal memasuki PRU 13, dan bukannya melalui tindakan revolusi dan demonstrasi jalanan kerana kita mempunyai sistem iaitu demokrasi berparlimen, raja berperlembagaan.
Bagi kami di Terengganu, pemimpin Pas jangan lupa apa yang mereka lakukan di Terengganu semasa berkuasa lebih empat tahun (satu penggal); kezaliman, kekerasan, kerakusan dan sebagainya dilakukan oleh pemimpin kerajaan Pas Terengganu ketika itu.
Apa yang dibangkitkan itu memercik ke muka sendiri- kerana semasa mereka berkuasa dahulu- lihatlah apa yang mereka (pemimpin Pas) lakukan?
Kerana berpihak kepada penyokong sendiri, kebun rakyat dimusnahkan, misalnya di Panchor Berderu Setiu. Operasi itu dilakukan oleh Menteri Besar ketika itu sendiri.
Pada 1 April 2001 tanah peserta RTB di kawasan Pengkalan Merbau dirampas oleh kerajaan negeri (Pas) selepas itu dibahagi-bahagikan kepada penyokong mereka.
Kanak-kanak tadika Kemas dihalau dari premis milik kerajaan negeri, seperti balai raya dan sebagainya sehingga terpaksa menumpang di bangsal keropok,pondok buruk, di kedai kopi dan sebagainya.







Pengalaman penulis sendiri, ketika itu menjawat jawatan Setiausaha Akhbar Menteri Besar (Tan Sri Wan Mokhtar) pada malam kemenangan Pas dalam PRU 10 (1999) Wisma Darul Iman dikepung dan ditawan dengan angkuhnya semasa penulis sedang menjalankan tugas terakhir.
Selepas itu berterusanlah episod-episod kekerasan, kezaliman dan kerakusan kerajaan Pas yang sebenarnya bermula di malam kemenangan itu. Rakyat Terengganu tidak pernah lupa kekasaran pemimpin dan penyokong Pas dan amat serik!!! kepada Pas.
Berlakunya kereta bekas Exco Kerajaan BN Terengganu dirampas di jalanan sebelum sempat dikembalikan.
Berikut beberapa catatan kezaliman Pas di Terengganu semasa berkuasa:
Merobohkan bangunan Fardhu ain dan Tabika Kemas di Kampung Payoh Kemaman pada 10 Disember 2001.
Membahagi-bahagikan kawasan balak kepada kroni sesuka hati, tentu masih ingat Hutan Simpan Hulu Dungun 10,000 ekar, hutan dara itu diluluskan kepada sebuah syarikat atas nama Pengerusi Harakah (akhbar) ketika itu.
Bagaimana anak Exco Kerajaan Pas Terengganu juga diberikan wang zakat untuk perbelanjaan belajar di luar negara di mana sepatutnya wang zakat itu untuk golongan miskin. Adakah anak Exco itu golongan miskin dan berhak mendapat zakat?
Isu saman 1 bilion oleh Riyapadu ke atas kerajaan negeri Terengganu baru-baru ini juga adalah hasil peninggalan kerakusan kerajaan Pas Terengganu ketika itu yang kononnya hendak membina empangan kedua, sekaligus meluluskan penebangan balak di Tasik Kenyir itu.(lihat webtv.terengganu.gov.my- mengenai skandal itu).
Banyak lagi akan didedahkan satu demi satu lagi selepas ini bagi memastikan rakyat tidak tertipu dengan momokan kononnya Umno perlu diganti Pas.
Rakyat Terengganu sudah kenal dan sudah serik dengan Pas….mahu diganti kemesraan,keharmonian dan kemakmuran dengan kerakusan, kezaliman, kesombongan dan keegoaan pimpinan Pas Terengganu???
Gelombang rakyat…gelombang biru datang melenyapkan kerajaan dan kepimpinan Pas melalui PRU ke 11 (2004). Inilah kalau hendak dibuat perbandingan sedikit-sebanyak ada ....kalau perlu dibandingkan dengan peristiwa di Mesir itu.
Itulah sebenarnya sebahagian dari kisah dan perbandingan yang ada kaitannya sedikit sebanyak tentang KEBANGKITAN RAKYAT menentang pemimpin yang ZALIM, RAKUS, ANGKUH dan SOMBONG.
Lalu datanglah semula kerajaan pilihan rakyat iaiatu Kerajaan BN yang berkuasa semula di Terengganu dengan meletakkan kepentingan rakyat diutamakan- iaitu MERAKYATKAN PENTADBIRAN DAN PEMBANGUNAN.
Kerajaan BN Terengganu ini telah berkhidmat dengan baik dan usaha BN untuk membela dan mendekati rakyat berjalan seperti biasa.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said menjalankan amanah dengan sebaiknya, bahkan ramai penyokong Pas mengakui kebaikan ketiadaan dendam di hati Ahmad Said dalam mengurus tadbir negeri, sekalipun membabitkan penyokong Pas.
Lihat dalam webtv (webtv.terengganu.gov.my) bagaimana orang Pas yang miskin di Rusila dan Chendering dibantu termasuk membaiki rumah mereka oleh kerajaan BN Terengganu.
“Mat Said begitu baik, bahkan semasa mula-mula jadi MB pun pemimpin utama Pas Terengganu sendiri pun diberi peluang bertemu dan berdialog dengan MB itu,” akui seorang pemimpin Pas.

TEGANUKITA

14 February 2011

KB SERAMBI GOLOK.........

Rumah dua tingkat ini menjadi salah satu sarang pelacuran terkenal di bandar Kota Bharu.

Selepas Maghrib beberapa perempuan bertudung berada di sini; hampiri mereka dan anda akan dibawa ke rumah pelacuran di Kg.Limau Manis untuk seks- Kickdefella.wordpress.com


Sungguh mengejutkan apabila Kelantan,khususnya bandar Kota Bharu telah menjadi Serambi Golok dengan berleluasanya kegiatan pelacuran.
Apa sudah jadi denganKota Bharu Bandaraya Islam yang digelarkan oleh Pas? Kotor dengan sampah dan kotor pula dengan kegiatan pelacuran.
Kickdefella wordpress.com melaporkan tentang kegiatan tidak bermoral di negeri yang sekian lama diperintah oleh Pas itu melalui operasi Johnson yang dijalankan.
Operasi Johnson bertujuan menyedarkan rakyat Kelantan bahawa segala dakwaan PAS selama ini yang menyatakan negeri itu diperintah menurut Islam dan perundangan Islam hanyalah retorik dan pembohongan belaka.

PAS hanya mengharamkan pemberian lesen pusat hiburan dan pusat hiburan yang menyediakan perkhidmatan seks tetapi pusat-pusat sedemikian terus tumbuh tanpa berselindung sehingga ke azan subuh.
PAS mengharamkan judi di Kelantan tetapi kedai-kedai yang beroperasi dengan lesen dari PBT terus menjual loteri dan lain-lain bentuk judi di kaunternya. Haram apa kalau dibiarkan begitu,maknanya cakap sahaja berdegar-degar.
Kickdefella siarkan operasi Johnson bahagian satu, bagi menunjukkan bagaimana ejen kami dengan ‘codename ‘ Johnson boleh mendapatkan perkhidmatan seks dari pelacur di tepi jalan dengan mudah di Kota Bharu.
Berikut catatan operasi Johnson seperti dilaporkan oleh Kickdefella.wordpress.com:
“Bandaraya tak kacau,” tanya saya kepada Jai, bapak ayam di situ.
“Tak kacau, dia saing-saing belako, boh dia pun ada mari jugok, dia kawal semua,” kata Jai memaklumkan saya bahawa ada pihak di Bandaraya berkawan dengan pemilik premis pelacuran di sini mengakibatkan pusat itu tidak diserbu oleh pihak berkuasa Bandaraya Islam.
“Mereka mari mintok pitih?” tanya saya kepada Jai lagi.
“Dok, dia mari main lah…. ramai mari main… orang pakai kopiah pun mari sini juga…” kata Jai lagi yang antara lainnya menjelaskan bahawa beberapa orang dari Perbandaran/Bandaraya itu adalah pelanggan premis pelacuran itu.
Mereka sungguh selesa walaupun melihat saya memegang kamera dan merakamkan perbualan kami. Ini menunjukkan mereka benar-benar yakin sistem yang sedia ada tidak akan dapat digugat oleh sebarang pendedahan jika berlaku.
Jai dan beberapa bapak ayam yang berlegar-legar di tepi jalan di Taman Limau Manis berdekatan Jalan Hamzah, itu bersenjatakan pisau rambo yag terselit di belakang pinggang mereka. Manakala mereka yang mengawal premis itu disyaki memiliki senjata api. Aktiviti mereka bagaimanapun di buat secara terbuka.
Di zaman pemerintahan PAS di bawah Allahyarham Dato’ Asri Haji Muda dan beberapa Menteri Besar lain, Jalan Hamzah memang sudah terkenal dengan aktiviti pelacuran dan apa yang di panggil Kopi & Korek.
Tetapi apabila BN mengambil alih Kelantan pada 1978, Allahyarham Tan Sri Mohammed Yaccob telah menutup tempat berkenaan tetapi BN membenarkan operasi pusat hiburan berlesen.
Apabila Nik Aziz menerajui dengan dakwaan pemerintahan ulama di Kelantan, beliau berbangga dengan mendakwa PAS berjaya menghapuskan aktiviti pelacuran di dalam manifesto-manifestonya.

Inilah lorong ke Kg.Limau Manis.Bapa ayam dan pelacur sering kelihatan di sini pada waktu malam.


Pusat pelacuran di Kampung Limau Manis ini tidak lebih 100 meter dari kediaman Taman Limau Manis. Ia juga tidak sampai 200 meter dari kediaman dan premis perniagaan sahabat baik pemimpin negeri bernama Kenny Chua. Serta tidak lebih 500 meter dari Kompleks SUK yang menempatkan pejabat Menteri Besar Kelantan.
Mustahil Kenny Chua dan penduduk di situ tidak menyedari aktiviti yang sudah berlarutan sekian lama ini. Mungkin Kenny Chua tidak berani berbisik hal ini kepada MB setiap kali beliau menanti pemimpin negeri sahabatnya itu di pejabat SUK.
Menurut ejen kami yang masuk ke dalam premis tersebut, selain daripada pelacur perempuan dan pondan, premis itu juga menawarkan aktiviti perjudian.Oleh: Langtelipot




TEGANUKITA

Semua Pelajar Terengganu Tiba di Kampung Sendiri

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Suriati Ali

Semua pelajar Terengganu yang menuntut di Mesir dijangka tiba di kampung halaman masing-masing, malam ini selepas mengalami pelbagai pengalaman pahit maung berikutan pergolakan di negara itu yang klimaksnya menyaksikan kejatuhan Presiden Hosni Mubarak.

Kumpulan terakhir pelajar seramai 96 pelajar yang dibawa dengan pesawat khas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dijangka tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, kira-kira jam 9 malam ini.

Selepas itu, mereka akan dibawa ke Kediaman Seri Iman dengan bas milik Yayasan Terengganu (YT) untuk diraikan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, pada majlis makan malam.

Seramai 140 pelajar Terengganu yang dibawa dengan pesawat khas terus dari Lapangan Terbang Jeddah, selama tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, kira-kira jam 3.30 petang ini.

Ketibaan mereka dengan pesawat Malaysian Airline (MAS), disambut Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, YB Haji Khazan Che Mat; Timbalannya, YB Haji Muhammad Ramli Nuh dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu, Haji Wan Harujan Sulaiman.

Suasana di lapangan terbang tersebut diselubungi pelbagai suasana terharu dan gembira ahli keluarga serta sanak saudara para pelajar yang menunggu ketibaan mereka seawal jam 2.30 petang.

Kaum keluarga memanjatkan rasa syukur ke hadrat Illahi kerana anak kesayangan pulang tanpa sebarang kecederaan.

Dalam perkembangan lain, Menteri Besar berkata, kerajaan negeri melahirkan kesyukuran kerana semua pelajar Terengganu selamat tiba ke kampung halaman masing-masing.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus memantau keadaan di Mesir walaupun kini suasana dikatakan agak tenang berikutan keputusan Mubarak meletakkan jawatan.

“Walupun Mubarak meletakkan jawatan, kita tidak tahu bagaimana keadaan negara itu dalam tempoh terdekat kerana kita difahamkan negara itu kini diletakkan di bawah pemerintahan tentera,” katanya.

TEGANUKITA

TADC hasil tisu kultur berkualiti tinggi

Oleh: Suriati Ali

Terengganu Agrotech Development Corp Sdn Bhd (TADC) melalui anak syarikatnya, Terengganu Agrobio Research Sdn Bhd mengorak langkah lebih awal dengan menghasilkan tisu kultur yang dapat menghasilkan anak pokok berkualiti tinggi dan seragam.

Pengerusi Eksekutif TADC, Encik Razali Idris, berkata program itu menggunakan pendekatan bioteknologi untuk meningkatkan pengeluaran benih tumbuhan yang diharap menjadi pemangkin pembangunan perusahaan pertanian.

Katanya, projek berimpak tinggi itu ditempatkan di Ajil, Hulu Terengganu, amat sesuai digunakan secara komersial dan boleh dipasarkan secara lebih meluas.

“Pelbagai kebaikan tisu kultur ini termasuk dapat menghasilkan bahan tanaman sama seperti induk, mampu memulihara germplasma tumbuhan yang sukar didapati, boleh dihasilkan sepanjang tahun dan menghasilkan anak pokok yang bebas virus serta penyakit setelah ketulenannya disahihkan,” katanya.

Menurutnya, istimewanya, sumber anak benih boleh disediakan dalam kuantiti yang banyak dan tidak memerlukan kaedah pensenyawaan atau kacukan serta mudah dieksport ke luar negara.

“Kajian ini sedang dibuat terhadap beberapa anak benih seperti kelapa sawit, pisang dan nenas. Memandangkan permintaan terhadap anak pisang Jelai Berangan lebih tinggi, TADC memberi tumpuan terhadap tumbuhan itu terlebih dahulu.

“Sasaran kita bagi tahun ini sahaja dapat mengeluarkan 200,000 anak pisang jenis itu dan bakal ditanam di kawasan seluas 100 hektar di Pelong, Setiu. Manakala tahun 2012 pula, TADC menjangkakan dapat menghasilkan 60,000 anak pokok dalam tempoh sebulan,” katanya.

TEGANUKITA


Pameran 1 Asean, 1 Jalinan

Oleh: Aida Abd Rahman

Keunikan, keindahan dalam kepelbagaian tekstil hasil masyarakat Melayu sedikit masa lalu terserlah menerusi tenunan songket, limar, sutera telepuk, batik dan pelangi yang diwarisi sejak zaman berzaman.

Melalui teknik penghasilan yang berbagai seperti tenunan, ikat celup, lukis dan terap yang bersesuaian dengan peredaran zaman mengandungi pelbagai maksud dan falsafah yang tersirat dalam penghasilannya.

Pengarah Lembaga Muzium Negeri Terengganu, Haji Mohd Yusof Abdullah, berkata nilai estetika pada tekstil tempatan sememangnya diakui oleh negara jiran yang turut sama berkongsi pengalaman dan proses penciptaan yang mempunyai pertalian secara langsung.

“Oleh kerana jalinan ini begitu jelas terpancar menerusi karya tekstil yang dihasilkan di negara Asean, maka Pameran 1 Asean, 1 Jalinan merangkumi gabungan koleksi tempatan dan negara Asean lain dipamerkan dalam satu galeri.

“Terdapat sekurang-kurangnya 100 koleksi dipamerkan bagi tatapan umum bagi menjelaskan keunikan, keindahan dan kepelbagaiannya,” katanya dalam satu hebahan media kepada Teganukita, hari ini (14 Februari).

Pameran ini menjadi wadah dalam penyaluran maklumat pada masyarakat menyelami pemikiran dan kreativiti serta menghargai keunikan dan keindahan warisan dari pelbagai negara.

Pameran 1 Asean, 1 Jalinan dijadualkan bermula dari 15 Mac hingga 30 Jun 2011 bertempat di Galeri Teksil & Foyer Muzium Negeri Terengganu. Ia diadakan dengan kerjasama Terengganu Institute Of Design Exxellence (TIDE).

Haji Mohd Yusof berkata, objektif pameran adalah memperlihatkan keunikan tekstil warisan tempatan dan negara Asean kepada masyarakat, mendidik generasi muda agar menghargai warisan tempatan dan luar selain memberi peluang kepada generasi menghayati dan membaca pemikiran masyarakat dahulu kala.

Acara sampingan yang bakal diadakan ialah pertunjukan fesyen, demonstrasi tenunan songket, ikat pelangi, ikat limar dan celuk benang , bergerus, mencating batik, batik blok, cara memakai kain serta membuat cop batik.

Katanya, pameran yang menyasarkan pengunjung di kalangan penyelidik tempatan dan antarabngsa, pelajar institut pengajian tinggi, peminat dan pencinta seni budaya, pelajar sekolah, orang awam serta jabatan kerajaan dan bukan kerajan (NGO) turut diadakan bengkel serta jualan produk seperti songket, batik, sutera dan kraf.


Kerajaan Iktiraf Khidmat JKKK

Oleh: Aida Abd Rahman dan Mastura Jamaludin

Kerajaan negeri mengiktiraf komitmen padu dan semangat kerjasama yang diamalkan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) sehingga mampu memperkasakan kumpulan masyarakat di bawah pimpinan mereka.

“JKKK yang ada telah memberikan perkhidmatan yang terbaik dan untuk menghargainya ,majlis anugerah cemerlang ini diadakan sebagai mengiktiraf dan mengucapkan tanda terima kasih dengan perkhidmatan yang terbaik sepanjang bertugas di kawasan masing-masing,” kata Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Hj Wan Mohd Wan Ibrahim, di Majlis Anugerah JKKK Cemerlang peringkat Hulu Terengganu, di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu, hari ini (14 Februari).

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri merangkap ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu, Dato' Tengku Putera Tengku Awang; Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telemong, YB Rozi Mamat dan Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Hj Mohd Nor Othman dan Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Tengku Hamzah Tengku Abdullah.

Haji Wan Mohd berkata, kejayaan yang terhasil disebabkan adanya perpaduan dan semangat bekerjasama dalam satu pasukan sehingga mampu membentuk JKKK yang kuat dan jitu.

Katanya, JKKK perlu ada 4K iaitu `kebersihan,keindahan,keselamatan dan kedamaian’ untuk berjaya dan memperkasakan lagi JKKK di kawasan masing-masing.

Di samping itu,beliau mencadangkan agar satu persatuan belia diwujudkan di setiap JKKK bagi melaksanakan program yang seimbang dengan keperluan para belia dan beliawanis di kawasan masing-masing.

Anugerah disampaikan berbentuk sijil,wang ringgit serta barangan kepada pemenang bagi lapan kategori termasuk desa cemerlang,masjid terbaik,surau terbaik,tanah perkuburan terbaik dan desa harapan terbaik.

Usah Pandang e-Book Dari Sudut Negatif

Oleh : KAMARUDIN B MAT AKIB


Menteri Besar menyampaikan e-Book kepada murid Tahun Lima DUN Cukai, Kemaman di Dewan Berlian MPK . - Gambar oleh Amirullah.

Masyarakat tempatan tidak wajar memandang negatif usaha kerajaan negeri memperkenalkan e-Book kepada murid-murid sekolah rendah di Terengganu kerana usaha murni yang diperkenalkan kerajaan ini amat berguna kepada pembelajaran pelajar.

Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Encik Razali Daud, berkata sudah menjadi kebiasaan setiap perkara atau usaha baru yang diperkenal kerajaan akan mendapat tentangan pelbagai pihak, khususnya mereka yang tidak sefahaman dengan pemimpin kerajaan.

Sebagai contoh, katanya, apabila mantan Menteri Besar Terengganu, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad, membina Jambatan Sultan Mahmud, banyak pihak mempertikaikan pembinaan projek tersebut.



“Kini semua orang menggunakan kemudahan tersebut, termasuk mereka yang dulunya mengkritik dan menghentam Menteri Besar yang mencadangkan projek berkenaan,” katanya ketika berucap di majlis pemberian e-Book kepada Murid Tahun Lima Dewan Undangan Negeri (DUN) Cukai di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman, petang semalam.

Hadir sama pada majlis itu, isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud; Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco), Dato’ Haji Mohamed Awang Tera dan Pegawai Daerah Kemaman, Haji Mohamad Kamil Othman.

Encik Razali berkata, beberapa tahun selepas jambatan berkenaan siap dibina ternyata ia amat wajar dan berguna kepada masyarakat.

Beliau berkata, begitu juga dalam soal e-Book masyarakat perlu faham penggunaannya mampu membantu pelajar menguasai Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT) pada awal usia.

Justeru itu, masyarakat tidak wajar membuat tomahan buruk terhadap penggunaan e-Book, sebaliknya menyokong usaha kerajaan negeri demi kecemerlangan anak-anak di bidang pendidikan.

TEGANUKITA

Pameran Khurafat

Oleh: Shahrir Hamid


Antara bahan mistik yang akan dipamerkan A - Anak kerak dari Thailand, B - Batu bergerak, dan; C - Keris Terapung Di Udara

Rakyat Terengganu boleh mengenali serta mendekati alam mistik lebih dekat apabila Dynasty Event Sdn Bhd akan mengadakan pameran umum buat julung kali berasaskan unsur-unsur mistik bertemakan 'Masyarakat Berakidah' di Dataran Syahbandar di sini pada bulan April hingga Jun 2011.

Pameran pertama seumpamanya di Terengganu dan Malaysia dalam konteks status sebuah pameran barangan mistik yang paling besar dan ajaib mampu meletakkan Terengganu pada satu tahap baru dalam penganjuran pameran gergasi serantau dan menarik lebih ramai pengunjung ke negeri ini.

Pengarah Eksekutif Dynasty Event, Ahmad Ikhwan Mohamad, berkata pameran itu; bertujuan memberi pendedahan dan pendidikan secara literatur kepada masyarakat terutama generasi muda supaya mereka tidak terkeliru dengan unsur-unsur mistik dan khurafat, di samping meletakkan Terengganu sebagai destinasi tumpuan Pantai Timur.

"Walaupun dunia semakin moden, masyarakat pada hari ini masih lagi mengamalkan amalan tidak sihat seperti upacara pemujaan, tarik duit dan pelbagai lagi. Amalan sebegini mengundang perantaraan antara manusia dengan makhluk halus seterusnya menghalalkan syirik,"katanya kepada wartawan unit komunikasi negeri.

Beliau berkata,berbekalkan pengalaman luas dalam pengurusan acara, Dynasty Event mengambil langkah proaktif dalam usaha mengisi pengetahuan masyarakat Islam terutamanya berkaitan alam mistik bagi mengelakkan akidah mereka terpesong kerana terlalu percaya serta taksub dengan perkara mistik yang berleluasa dewasa ini.

Katanya, barang-barang atau komponen pameran adalah benda-benda yang berkait dengan unsur mistik ,khurafat dan khayal sesuai dengan tajuk dan rasional pameran itu.

" Komponen material pameran adalah dalam bentuk yang benar serta asli dalam rangka usia kita mengisi minda pengunjung berkait tajuk pameran itu," katanya.

Ahmad Ikhwan berkata, pengunjung berpeluang melihat secara dekat lebih 130 barangan mistik dari serata pelusuk dunia seperti anak kerak, Jenglot, keris terapung, batu bergerak, jin dalam botol, toyol dan banyak lagi pada pameran yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Beliau berkata, fenomena baru akan terletus pada pameran yang mendapat usahasama daripada syarikat minyak gergasi Malaysia, Petronas serta beberapa anak syarikat kerajaan negeri sebagai medan informasi intelektual berkesan dalam rangka usaha mendidik masyarakat agar peka dengan persekitaran.

Katanya,pameran tiga bulan itu mampu dijadikan penanda aras bagi penganjur serta syarikat luar agar lebih berkeyakinan menganjurkan majlis seumpamanya selaras dengan usaha kerajaan negeri merealisasikan Terengganu negeri anjung ilmu.

TEGANUKITA

Terengganu Penuhi Tuntutan Pendidikan Abad ke-21

Oleh: Aida Abd Rahman


Dato' Seri Ahmad bersama murid Tahun Lima yang memperolehi e-Book selepas majlis penyerahan alat bantuan belajar itu di SK Kebor Air, Manir. - Gambar oleh Syed Abdul Rahman.

Terengganu muncul antara negeri yang memenuhi tuntutan keperluan pendidikan pada abad ke-21 apabila mempraktikkan alat bantuan mengajar, e-Book dalam sistem pelajaran negeri, selain terus menggunakan guru dan buku.

Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu, Encik Razali Daud, berkata sistem pendidikan pada zaman yang penuh persaingan hari ini memerlukan pembaharuan dan transformasi terutama dalam kaedah mengajar termasuk dalam penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).



“Pelajaran pada abad ke-21 berasaskan kepada guru, buku dan juga ICT . Oleh itu, kerajaan Terengganu memenuhi tuntutan itu bagi memastikan pada era globalisasi semua masyarakat khususnya pelajar dan ibu bapa celik dan mahir IT sebagai asas sebenar pembangunan.

“Guru juga harus mendalami dan mengejar ilmu dalam bidang ICT supaya dalam suasana pembelajaran hari ini mereka tidak lagi ketinggalan khususnya dalam melahirkan pelajar cemerlang,” kata beliau ketika Majlis Penyerahan e-Book Tahun Lima bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Teluk Pasu, di Sekolah kebangsaan (SK) Kebor Air, Manir, Kuala Terengganu, hari ini (14 Februari).



Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Pengerusi Jawatanpelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri yang juga Adun Teluk Pasu, Datuk Abdul Rahin Mohd Said serta Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Haji Ahmad Razif Abd Rahman.



Dalam majlis itu, 639 murid Tahun Lima daripada SK kebor Air (41 murid); SK Kesom (83); SK Teluk Pasu (87); SK Kebor Besar (58); SK Kampung Tengah (192); SK Bukit Petiti, 32 murid dan SK Banggol Peradong 146 murid menerima e-Book masing-masing yang disampaikan Menteri Besar.

Encik Razali berkata, hasrat mewujudkan `satu murid, satu komputer ‘ di negeri ini hampir berjaya dengan terlaksananya program pengagihan papan digital elektronik berkenaan yang hanya dirintis oleh Kerajaan Terengganu.



Selain itu, usaha mewujudkan masyarakat celik IT juga mampu direalisasikan sejajar dengan matlamat menjadikan `satu rumah, satu komputer’ yang mana e-Book yang diperolehi murid juga dapat diguna sama oleh ibu bapa serta keluarga ke arah perkara positif, selain mengasah pengalaman dalam bidang IT.

TEGANUKITA

Kelas Maya Terengganu Lebih Baik Daripada Model Luar Negara

Oleh : KAMARUDIN B MAT AKIB


Kerajaan negeri menyediakan peruntukan RM30,000 bagi mewujudkan setiap kelas maya yang bertujuan meningkatkan kecemelangan pelajar, termasuk memahirkan mereka dalam bidang ICT.

Model Kelas Maya yang diperkenalkan di Terengganu mulai tahun ini, lebih baik daripada yang dipraktikkan di luar negara, termasuk Korea Selatan dan Singapura.

Malah, lebih membanggakan apabila negeri ini hanya memerlukan masa kira-kira dua bulan saja bagi mewujudkan kelas tersebut, berbanding tempoh tiga tahun yang diambil negara berkenaan.



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata berdasarkan laporan awal murid-murid Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Bunga yang terlibat dengan kelas maya, begitu bersemangat untuk belajar secara ‘online’ yang diperkenalkan di sekolah mereka.

Sehubungan itu, kerajaan negeri akan terus memperluaskan konsep kelas maya, sekurang-kurangnya sebuah sekolah di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN), bermula tahun depan.

Sehingga ini tiga sekolah yang memulakan pengajian kelas maya ialah SK Paya Bunga, Kuala Terengganu; manakala dua lagi iaitu SK Kompleks Seberang Takir, Kuala Terengganu dan SK Telok Kalong, Kemaman akan menggunakan konsep sama dalam masa terdekat ini.

Sekolah tersebut akan memulakan kelas maya apabila siap proses pemasangan talian internet dan beberapa kelengkapan lain yang berkaitan.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, sebelum ini beberapa pegawai kanan dari Jabatan Pelajaran Negeri dan Top IT Sdn Bhd melawat Korea Selatan dan Singapura untuk meninjau sekolah di negara berkenaan yang menggunakan kelas maya.

Kerajaan negeri menyediakan peruntukan RM30,000 bagi mewujudkan setiap kelas maya yang bertujuan meningkatkan kecemelangan pelajar, termasuk memahirkan mereka dalam bidang ICT.

TEGANUKITA