Halaman

24 February 2011

Penaja Tanggung Kos Pelajar Pulang Ke Mesir

Oleh : KAMARUDIN B MAT AKIB



Kos kepulangan pelajar negeri ini yang menuntut di Mesir akan ditanggung sepenuhnya oleh penaja masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, Yayasan Terengganu (YT) akan membayar kos kepulangan semula pelajar tajaannya ke mesir seramai 240 orang.

“Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) pula sudah mewujudkan tabung bagi membiayai kos penerbangan pulang pelajar mereka seramai 323 orang,” katanya kepada Teganukita.

Beliau berkata, kerajaan negeri belum membuat keputusan mengenai lebih 200 pelajar yang belajar di Mesir secara persendirian.



Bagaimanapun, katanya, nasib mereka tidak akan diabaikan dan kemungkinan besar akan diberi bantuan, tetapi bentuknya belum dapat ditentukan.

YB Haji Ahmad Razif berkata, pada masa ini kerajaan negeri sedang memantau keadaan di Mesir yang dikatakan sudah reda selepas perletakan jawatan Presiden Hosni Mubarak.

“Kita juga sedang berunding dengan pihak berkuasa Mesir mengenai kemungkinan membawa pensyarah ke negara ini bagi membolehkan pelajar mengikuti kuliah dan mengambil peperiksaan di negara ini,” ujarnya.

TEGANUKITA

23 February 2011

Pusat Pupuk Semangat Teluk Kalong Kampus Kedua TATiUC

Oleh: Aida Abd Rahman



Kampus kedua Kolej Universiti Tati (TATiUC) bakal dibangunkan di kompleks Pusat Pupuk Semangat di Teluk Kalong, Kemaman bagi menampung jumlah kemasukan pelajar ke pusat kemahiran itu yang semakin meningkat setiap tahun.

Seramai 400 pelajar peringkat Sijil dan pelajar kursus pendek lepasan siswazah akan ditempatkan di kampus baru itu kelak.

Rektor TATiUC, Dr Mohd Rozailan Mamat, berkata pada kemasukan sesi 2010./2011 yang lalu, seramai 780 lepasan SPM dan STPM mendaftar untuk ekmasukan di TATiUC.
Katanya, itu merupakan satu rekod kemasukan paling ramai dalam sejarah 17 tahun penubuhan Tati dan TATiUC.

“Pihak pengurusan mengucapkan berbanyak terima kasih atas segala kerjasama semua pihak menjayakan matlamat TATiUC pada 2010. Kami mengharapkan pada 2011, kemasukan akan bertambah kepada 900 orang yang mana kuota paling maksimum boleh diambil tahun ini kerana kekangan tempat penginapan di kampus,” katanya pada Majlis makan Malam TATiUC Bersama Guru Kaunselor Daerah Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Dr Mohd Rozailan berkata, pada sesi 2011/2012 akan datang, TATiUC bercadang menawarkan 32 program melibatkan satu program peringkat Sarjana, 11 program Ijazah Muda, 12 program Diploma, dua program peringkat HND dan enam program Sijil.

Katanya, TATiUC juga dalam rancangan menambah kemudahan di kampus utama termasuk membina sebuah perpustakaan dan kediaman baru pelajar yang masing-masing boleh menampung 1,000 pelajar serta sebuah kompleks sukan.

Beliau berkata, kesemua projek baru ini sedang dalam proses rekabentuk oleh pihak arkitek dan akan dimulakan pada tahun ini serta dijangka siap pada 2014.

“Semua pembangunan ini selaras dengan hasrat TATiUC untuk menjadi sebuah universti penuh, iaitu Universiti Kemahiran pada 2015 dan kesemua kemudahan infrastruktur serta peralatan akan disediakan sepenuhnya sebelum 2015,” katanya.




TEGANUKITA

Penoreh getah selesa

Oleh: Esah Abdullah

Pekebun kecil getah di negeri ini mampu memperolehi pendapatan kasar antara RM3,000 hingga RM4,000 sebulan mengambilkira purata keluasan tanah dua hektar.

Sehubungan itu, pekebun dan penoreh diminta supaya menyuburkan amalan menabung sebahagian daripada pendapatan hasil getah untuk keperluan masa akan datang sama ada perbelanjaan keluarga dan juga penjagaan kebun.

Pengarah Risda Terengganu, Haji Zakaria Mat Zin berkata, dengan kenaikan harga getah di pasaran sekarang iaitu antara RM8 hingga RM8.40 sekilogram harga di ladang ia mampu memberi kelegaan kepada penoreh.

Katanya, merujuk kepada sistem maklumat pekebun kecil getah negeri sejumlah 25,614 orang dengan keluasan 48,589 hektar yang didaftarkan dan daripada jumlah berkenaan dianggarkan 10,988 pekebun kecil getah yang produktif membabitkan kawasan seluas 20,599 hektar.

Sehubungan itu, katanya, pendapatan hasil pekebun kecil dipengaruhi oleh faktor bilangan pokok, pengeluaran susu sepokok dan bilangan hari yang ditoreh setiap bulan serta harga semasa.

“Tahun ini prestasi pencapaian pengeluaran hasil getah yang dipantau adalah purata 1,540 kg sehektar berbanding matlamat yang disasarkan 1,600 kg sehektar setahun,” katanya.

Oleh itu, katanya, dengan kenaikan dan kestabilan harga getah, pekebun kecil perlu mengambil langkah bijak dengan memastikan pokok-pokok getah perlu ditoreh sepenuhnya mengikut peraturan bagi memaksimumkan produktiviti dan pendapatan mereka.

Katanya, pihaknya sentiasa mengadakan kursus dan tunjuk ajar serta lawatan ke kebun bagi membimbing ke arah pengurusan kebun yang baik termasuk kerja penyelenggaraan, pembajaan, kawalan rumpai, penyakit dan sistem penorehan.

“Amalan pembajaan yang betul, sistem penorehan dan penyelenggaraan kebun yang betul dapat meningkatkan hasil dn produktiviti yang lebih tinggi,” katanya.

Haji Zakaria juga menasihatkan pekebun kecil dapat menjual hasil getah secara berkelompok melalui koperasi di setiap daerah untuk memperolehi harga yang berpatutan.

Selain itu Haji Zakaria berkata, Risda memperuntukan RM7.02 juta tahun ini bagi membiayai program tanam semula getah seluruh negeri.

TEGANUKITA

Program ETA diperluas seluruh negara

Oleh: Suriati Ali


Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Dato’ Seri Jamaluddin Jarjis dalam lawatan kerja bersama Duta Amerika Syarikat, Paul W. Jones di Sekolah Menengah Lembah, Bidong, Kuala Terengganu.

Program English Teaching Assistant (ETA) yang dilaksanakan di beberapa sekolah menengah terpilih di negeri ini bakal diperluaskan ke sekolah-sekolah seluruh negara bagi melahirkan lebih ramai pelajar terbilang yang mampu menguasai bahasa Inggeris secara lebih mendalam.

Melalui konsep pembelajaran ETA, setiap pelajar nyata lebih berani menjawab soalan, tidak gentar membentang hasil kerja dan gemar menjalankan pelbagai aktiviti berasaskan penggunaan bahasa berkenaan.

Di Terengganu, program seumpama ini sudah enam tahun dilaksanakan, bermula 2006 di mana setiap tahun terdapat 10 hingga 12 sekolah menengah dipilih untuk memberi ruang kepada pelajar universiti di Amerika Syarikat mengajar di sekolah itu.



Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Dato’ Seri Jamaluddin Jarjis, berkata dia bangga dan kagum kerana Kerajaan Terengganu mampu mewujudkan program ETA yang nyata dapat membuka minda pelajar menguasai subjek bahasa Inggeris secara bijaksana..

Katanya, menyedari ianya memberi banyak manfaat, pihaknya akan mengambilnya sebagai contoh atau model sebelum diperluaskan ke sekolah lain seluruh negara.

“Pihak kami sedang merangka kertas kerja berkaitan itu dan akan membentangkannya kepada Perdana Menteri dan Kementerian Pelajaran Malaysia dalam masa terdekat.

“Jika mereka menyatakan persetujuan, kita akan laksanakannya secepat mungkin, secara tidak langsung mewujudkan kembali apa yang pernah dilaksanakan dahulu,” katanya ketika kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja bersama Duta Amerika Syarikat, Paul W. Jones di Sekolah Menengah Lembah, Bidong, Setiu, hari ini.

Lawatan itu bertujuan mengetahui keberkesanan ETA yang dilaksanakan di beberapa sekolah di negeri ini.

Dato’ Seri Jamaluddin turut memberitahu, konsep yang bakal dilaksanakan mungkin berbeza sedikit di mana menggunakan sistem pertukaran tenaga pengajar.

“Seramai 300 hingga 500 guru mata pelajaran bahasa Inggeris di negara ini dijangka terlibat bagi memantapkan penggunaan bahasa Inggeris,” katannya.

Sementara itu, Paul W.Jones, berkata idea pertukaran tenaga pengajar cukup baik dan sewajarnya dilaksanakan. Apabila pulang nanti, dia akan berbincang dengan Presiden.

“Kerjasama dan hubungan baik antara Malaysia khususnya Terengganu dan Amerika Syarikat akan diteruskan untuk kepentingan bersama terutama berkaitan ekonomi dan persahabatan,” katanya.

TEGANUKITA

Bayar Cukai Pintu Elak Denda

Oleh: Suriati Ali

Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) menyarankan pemilik rumah membuat pembayaran cukai tanah dengan kadar segera bagi mengelak dikenakan denda.

Segala urusan pembayaran cukai tanah bagi tahun ini, boleh dibuat di semua PTG Daerah dan Negeri selewat-lewatnya 31 Mei.

Waktu urusan boleh dibuat pada hari bekerja bermula jam 8 pagi sehingga 4.30 petang dan pada Khamis bermula jam 8 pagi sehingg 3.30 petang. Pembayaran juga boleh dibuat melalui laman sesewang Maybank2u.

TEGANUKITA


Kelapa Matag Jana Pendapatan Petani

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH


Cocos nucifera L.

Kelapa Matag - Isinya yang tebal dan banyak santan, merupakan daya tarikan utama baka kelapa terbaru yang akan diperkenalkan kepada petani di negeri ini untuk diusahakan secara komersial.

Kelapa tersebut dikatakan mampu mengeluarkan buah sehingga 40,000 biji bagi tanah seluas satu hektar yang boleh memuatkan 170 pokok.

“Kawasan seluas 250 hektar di daerah Setiu sudah dikenal pasti sebagai perintis bagi tanaman berkenaan,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Haji Ashaari Idris.



Beliau berkata, kelapa Matag merupakan baka baru kelapa hibrid yang dikacuk hasil pendebungaan silang antara kelapa rendah Malaya dan kelapa Tagnanan dari Filipina dan pelaksanaan projek akan menggunakan peruntukan RM25.76 juta yang disediakan kerajaan negeri dalam Bajet 2011 bagi sektor pertanian.

Tambah beliau, baka ini dipilih kerana mampu mengeluarkan hasil tinggi, produktif dan berdaya tahan dan dijangka dapat memberi pulangan lumayan kepada petani.

“Baka ini mempunyai ciri agronomi yang baik seperti pertumbuhan yang cepat dan tidak cerewet untuk dijaga serta pelbagai guna seperti pengeluaran santan, air kelapa muda dan kelapa kering untuk minyak,” katanya.

Kelapa Matag boleh mengeluarkan hasil dalam tempoh tiga hingga empat tahun selepas berada di tapak pertanian dan setiap tandan mampu menghasilkan 15 biji pada peringkat awal berbuah dengan jangka hayatnya antara 25 hingga 30 tahun.

TEGANUKITA

Taman Ilmu Boleh Diguna Akhir Tahun

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Harun Hassan




Taman Ilmu yang dibina di Kampung Tembila, Besut dan boleh menempatkan enam universiti, boleh mula digunakan akhir tahun ini, apabila sebahagian besar komponen pentingnya, siap sepenuhnya.

Lawatan Teganukita bersama-sama pegawai kanan Jabatan Kerja Raya (JKR) petang semalam, mendapati sebahagian besar komponen utama seperti kerja-kerja prasarana, perpustakaan, pusat pelajar, kompleks sukan, dewan konvokeseyen, kediaman pelajar dan masjid, hampir siap.

Pelbagai wakil media turut menyertai lawatan tersebut yang dianjurkan Unit Komunikasi Negeri (Ukom), bagi memberikan maklumat mutakhir mengenai prestasi projek bernilai lebih RM300 juta itu.

Sehingga ini, kerja-kerja menyediakan prasarana sudah pun 90 peratus siap, masjid (70 peratus), perpustakaan (100 peratus), kompleks sukan (92 peratus), pusat pelajar (90 peratus) dan dewan konvokesyen (75 peratus) dan kediaman pelajar (95 peratus).

Mengikut penilaian JKR, secara purata kemudahan asas untuk membolehkan taman tersebut mula beroperasi sudah 85.29 peratus siap, berbanding peratus sebenar 93.75 peratus.

Sehingga ini, beberapa universiti termasuk dari luar negara berminat untuk membuka cawangan mereka di Taman Ilmu dan perbincangan sedang dilakukan dengan kerajaan negeri bagi tujuan itu.

Difahamkan kerajaan negeri sedang menimbang permohonan tersebut dan masih belum membuat keputusan muktamad mengenainya.

Kerja-kerja terakhir (finishing) di beberapa komponen utama sedang giat dilakukan manakala perpustakaan sudah mula diisi dengan sebahagian perabot yang ditempah sebelum ini.

Apabila siap semua komponen yang dirancang, Taman Ilmu mampu menempatkan 35,000 pelajar di mana mereka akan berkongsi pelbagai kemudahan yang disediakan di kawasan tersebut.

Taman Ilmu meliputi kawasan seluas 700 ekar dan bakal menjadi pemangkin ekonomi negeri Terengganu, khususnya di bahagian utara melibatkan derah Besut dan Setiu.

TEGANUKITA

Kerajaan Mahu Lebih Banyak SBT Di Terengganu

Oleh: Kamarudin Mat Akib


YB Ahmad Razif berbincang sesuatu mengenai Kompleks Imtiaz Besut.

Kerajaan negeri mahu lebih banyak sekolah di Terengganu diiktiraf sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) supaya para pelajar mendapat faedah yang maksimum untuk pembelajaran mereka, sekaligus meningkatkan taraf pendidikan rakyat tempatan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Ahmad Razif Abdul Rahman, berkata pada tahun ini pihaknya berharap sebuah sekolah lagi iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Lembah Bidong akan diiktiraf sebagai SBT selepas Sekolah Menengah Imtiaz Besut.

Pada masa ini hanya dua buah sekolah di negeri ini mendapat pengiktirafan SBT iaitu SM Imtiaz Besut dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Ismail, Cukai, Kemaman.

“Pada tahun ini Kementerian Pelajaran baru mengumumkan 23 sekolah sebagai SBT sedangkan sepatutnya 30 sekolah diberi pengiktirafan tersebut.

“Oleh itu, kita harap SMK Lembah Bidong akan termasuk salah satu daripada tujuh sekolah yang belum diumumkan sebagai SBT,” katanya kepada wartawan di Besut, semalam.

YB Ahmad Razif berharap pada tahun depan lebih banyak sekolah di negeri ini mendapat pengiktirafan SBT.

“Kita telah mencalonkan semua SM Imtiaz iaitu SM Imtiaz Kuala Berang, SM Imtiaz Kemaman, SM Imtiaz Dungun dan SM Imtiaz Kuala Terengganu di iktiraf sebagai SBT,” ujar beliau.

TEGANUKITA

IMITIAZ DIBERI PERHATIAN KHUSUS DAN BAKAL MENJADI SEKOLAH ANTARABANGSA




Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Dato’ Seri Ahmad Said, memberi perhatian yang khusus terhadap Sekolah-sekolah Menengah Imtiaz.
Oleh hal yang demikian, Yayasan Terengganu (YT) merancang untuk menubuhkan sekolah Imtiaz Antarabangsa.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd Rahman berkata pada dasarnya kerajaan negeri telah bersetuju dengan cadangan penubuhan sekolah Imtiaz Antarabangsa yang akan beroperasi tahun depan.

"Tiada masalah untuk membuka sekolah ini. Dari segi kelengkapan dan tenaga pengajar yang ada memang mencukupi dan kita akan menaiktaraf sekolah ini bersesuian dengan status sekolah swasta antarabangsa," katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu.

Katanya sekolah Imtiaz Antarabangsa yang bakal dilaksanakan itu akan mengikut konsep sekolah antarabangsa yang lain termasuk dari segi sukatan pelajarannya.

YB Haji Ahmad Razif berkata Sekolah Menengah Imtiaz Besut yang merupakan antara 23 sekolah di seluruh negara yang menerima pengiktirafan sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) tahun ini, akan dinaiktaraf dengan menggunakan bahasa Arab dan Bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantaran.

Ekoran prestasi cemerlang yang ditunjukkan, sekolah itu mula dikembangkan ke Kuala Terengganu, Dungun dan Hulu Terengganu.

Sistem pelajaran berfokuskan al-Quran, pembangunan sahsiah dan Kurikulum Baru Sekolah Menengah dalam usaha melahirkan lebih ramai pelajar seimbang dari segi ilmu akademik dan keagamaan.

Dato' Seri Ahmad telah bersetuju sebelum ini untuk mewujudkan sekolah Imtiaz di setiap daerah di negeri ini. Sehingga ini terdapat enam buah dan selebihnya akan diwujudkan dalam tempoh terdekat dijangka selesai tahun 2012.




TEGANUKITA

Kemudahan Sekolah Bukan Asas Cipta Kejayaan


YB Ahmad Razif melihat buku di perpustakaan Imtiaz ketika melakukan lawatan ke sekolah itu. - Gambar oleh Syed Abdul Rahman.
Oleh : KAMARUDIN B MAT AKIB

Pelbagai kemudahan asas dan pembelajaran yang disediakan di sekolah-sekolah bukan asas untuk sesebuah berkenaan mencipta kejayaan, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman.

Sebaliknya, kata beliau, ada sekolah yang menghadapi serba kekurangan di segi kemudahan belajar dan tempat tinggal pelajar, mampu mencipta kejayaan luar biasa dalam pelbagai peperiksaan.

Contoh terbaik, katanya, Sekolah Menengah Imtiaz Besut di Kampung Raja yang menghadapi pelbagai masalah seperti ruang sekolah dan asrama yang terlalu sesak, tidak cukup kelas dan kemudahan bilik air, mampu mencipta kejayaan luar biasa dan menjadi antara sekolah terbaik di negeri ini.

Sekolah tersebut diberi pengiktirafan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) oleh Kementerian Pelajaran kerana pencapaian cemerlang dalam pelbagai bidang dan juga menjadi sekolah terbaik di kalangan Sekolah Menengah Agama di Terengganu dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2010.



“Pendidikan tidak bergantung kepada kemudahan yang disediakan di sekolah, tetapi ia bergantung kepada usaha gigih guru-guru dan pelajar untuk meraih kejayaan. Ini dibuktikan oleh Sekolah Menengah Imtiaz Besut yang menghadapi pelbaagi kesukaran kerana bilangan pelajar semakin bertambah dari semasa ke semasa,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena lawatan tidak rasmi ke sekolah itu hari ini. Sekumpulan wartawan dan jurugambar dari pelbaagi organisasi media turut serta dalam lawatan ke Sekolah Menengah Imtiaz itu dan Taman Ilmu di Kampung Tembila, anjuran Unit Komunikasi Negeri.



YB Haji Ahmad Razif berkata, kerajaan negeri tidak mengabaikan keperluan dan kebajikan pelajar di sekolah-sekolah Imtiaz di negeri ini, sebaliknya usaha-usaha sedang diambil bagi menambah nilai pelbagai keperluan di sekolah berkenaan.

Malah, pihaknya bercadang untuk mewujudkan sekolah Imtiaz di daerah lain yang belum ada institusi tersebut yang diwujudkan bagi melahirkan hafiz dan hafizah.
TEGANUKITA