Halaman

13 March 2011

KINI HAJI HADI TELAH HANYUT JAUH….




Oleh: Ruslan Abdul Rahman
Kalau kita tidak mengamati betul-betul, kita tidak akan menyedari bahawa sebenarnya Presiden Pas, Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang sudah tersasar jauh dari beberapa perkara yang diucapkan sebelumnya dengan apa yang dilakukannya sekarang.
Misalnya berkenaan Perlembagaan Persekutuan yang dikekalkan oleh Umno dan Barisan Nasional dalam memerintah Malaysia dikatakan sebagai sebelum ini olehnya sebagai perlembagaan warisan penjajah, undang-undang kafir dan peraturan jahiliyah.

Kita tentu masih ingat ucapannya di Banggol Peradong pada tahun 1981:
“Kita menentang UMNO, bukan kerana nama dia UMNO. Kita menentang Barisan Nasional bukan kerana dia lama memerintah kerajaan. Kita menentang dia ialah kerana dia mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan jahiliyah. Oleh kerana itulah kita menentang mereka. Oleh kerana itulah kita menghadapi mereka. Oleh itulah kita cuba berlawan dengan mereka.

Percayalah saudara-saudara sekelian,
Perjuangan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad. Bergantunglah kita kepada Allah dengan (menghadapi) puak-puak ini kerana kalau kita mati melawan puak-puak ini, mati kita adalah syahid. Mati kita adalah Islam. Kita tidak perlu masuk Buddha, Kita tidak perlu masuk Hindu, Kita tidak perlu masuk Kristian, Tapi kita menjadi kafir dengan mengamalkan 'politik suku, agama suku'.”
Akan tetapi pada hari ini beliau (Haji Hadi) bersama-sama dalam pakatan pembangkang, DAP dan PKR membuat deklarasi pada 8 September 2008 bahawa mereka mengulangi pendirian MENJUNJUNG PRINSIP DASAR yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Ini termasuk seperti Islam sebagai agama Persektuan dan menjamin kebebasan agama-agama lain, kedaulatan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan mempertahankan hak-hak bahasa ibunda, kedudukan dan kedaulatan Institusi Raja-Raja Melayu serta kedudukan dan hak-hak istimewa orang Melayu dan bumiputera serta hak-hak kaum lain yang dijamin oleh perlembagaan.
Deklarasi itu ditandatangani bertiga, Haji Hadi, Lim Kit Siang (Dap) dan Datuk Seri Anwar (PKR).
MENANDATANGANI DEKLARASI MENDOKONG PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN/NEGARA
Haji Hadi dulu juga menentang perjuangan hak-hak istimewa orang Melayu kerana dikatakan asabiyyah dan akan menghapuskannya jika berkuasa.
Beliau sendiri pernah menyatakan, jika berkuasa hak istimewa orang Melayu akan dihapuskan, tetapi sekarang merubah pula sikap dan pendirian hendak mengekalkan hak-hak istimewa Melayu itu.




Kilang Baja Bio-Organik mampu jimat kos RM10 juta.

Oleh: Suriati Ali


Kilang pemprosesan kelapa sawit TDM di Sungai Tong, Setiu.

Pembinaan Kilang Baja Bio-Organik, di Sungai Tong, Setiu, mampu menjimatkan kos import berjumlah RM10 juta setahun selain dapat membantu menangani isu pembuangan sisa tandan kosong dan effluent yang dihadapi sebelum ini.


Dato' Seri Ahmad Said melihat baja Bio-Organik di kilang milik TDM selepas merasmikannya di Sungai Tong Setiu. - Gambar oleh Syed Abdul Rahman.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata kilang milik TDM Berhad melalui TDM Plantation Sdn Bhd (TDMP) beroperasi awal bulan Mei tahun lalu, mampu mengeluarkan 24,000 metrik tan setahun atau 2,000 metrik tan sebulan untuk menghasilkan Baja Bio-Organik.

Katanya,setiap tahun TDMP memerlukan peruntukan sebanyak RM60 juta setahun untuk mengimport bahan itu dari luar negara. Apabila syarikat ini mampu menghasilkan sendiri baja, ia mampu menjimatkan kos sehingga RM10 juta setahun.

“Kerajaan negeri bangga dengan pencapaian ini kerana bukan saja mampu menaikkan imej pengurusan estet malah dapat menjimatkan wang dan menghasilkan buah kelapa sawit berkualiti serta bermutu tinggi.

“Pembinaan kilang pertama yang bernilai RM3.4 juta ini, nyata mampu menangani isu kos pelupusan tandan kosong dan effluent yang tinggi selain dapat mengawal pencemaran alam dan menguruskan sisa buangan ladang.



Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Kilang Baja Bio-Organik dan Medan Infodesa, di perkarangan Kilang Baja Bio- Organik Sungai Tong, Setiu, hari ini (13 Mac).

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri, YB Haji Asha’ari Idris, Ahli Parlimen Setiu, Dato’ Haji Mohd Jidin Shafee, Pengerusi TDM Berhad,Datuk Haji Roslan Awang Chik dan beberapa pegawai kanan kerajaan.

Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu, kilang seumpama ini bakal dibina di Kemaman dalam tempoh terdekat, kos mengenainya masih dalam perancangan.



“Struktur bangunan mungkin lebih besar berbanding kilang di Sungai Tong kerana di daerah itu mempunyai ladang kelapa sawit yang lebih luas.

“TDM Berhad turut mempunyai ladang kelapa sawit seluas 40,000 hektar di kalimatan, Indonesia, yang dijangka mampu mengeluarkan hasil dalam tempoh terdekat,”katanya.




MID bantu masyarakat luar bandar dalami ICT

Oleh: Suriati Ali



TDM Plantation Sdn Bhd (TDMP) berusaha membantu hasrat kerajaan mempromosi penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), di kalangan masyarakat luar bandar, dengan mengambil inisiatif membina Medan Infodesa (MID) Ladang Tayor, Setiu.

MID cukup berguna kepada penduduk di kawasan itu untuk mengadakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan selain mempelajari bidang ICT secara mendalam.

Pengerusi TDM Berhad, Datuk Haji Ruslan Awang Chik, berkata pembinaan MID adalah sebahagian daripada tanggungjawab pihaknya dalam usaha membantu kerajaan mencapai matlamat penggunaan ICT di kawasan pendalaman selain merapatkan jurang digital antara luar bandar dan bandar.

“Program Infodesa juga dirancang secara spesifik untuk mencapai objektif kementerian. Oleh itu, pihaknya memerlukan masyarakat berkualiti, berkemahiran, berpengetahuan, kreatif dan berinovatif yang merupakan teras mencapai matlamat menjadi negara maju,” katanya.

TDM Berhad yang tersenarai di Papan Utama Bursa Malaysia, merupakan syarikat pegangan pelaburan milik Terengganu dengan kecekapan teras dalam sektor perladangan dan penjagaan kesihatan.




Terengganu jadi hub pelaburan

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri berhasrat menjadikan Terengganu sebagai hub pelaburan yang berkompetitif di rantau Asia dengan melaksanakan pelbagai pendekatan dan perubahan supaya lebih banyak syarikat tempatan dan asing menyatakan minat untuk melabur.

Program promosi pelaburan dan menaiktaraf infrastruktur di kawasan sedia ada giat dijalankan manakala lokasi berpotensi sebagai kawasan perindustrian akan terus dikenalpasti dan diselia bagi memastikan mendapat keuntungan.

Berdasarkan perangkaan yang dicatatkan Unit Pembangunan Ekonomi Negeri (UPEN) dan Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) sebanyak RM2.8 bilion pelaburan dicatatkan pada tahun lalu, membabitkan 42 projek bermutu tinggi.

Sebanyak RM2.1 bilion melibatkan pelaburan tempatan dan RM217 juta adalah pelaburan asing yang yang berminat melabur di pelbagai lokasi di Terengganu.

Kawasan perindustrian Kerteh menjadi lokasi paling popular pelabur, diikuti daerah Kemaman, Kuala Terengganu, Telok Kalong, Cheneh Baru Ketengah, Wakaf Tapai dan Batu Rakit.

Kawasan Kerteh dan Kemaman menjadi lokasi pilihan berikutan terdapat bahan mentah seperti petroleum, petrokimia, salika, minyak dan gas asli.

Seramai 7,349 peluang pekerjaan dapat ditawarkan kepada rakyat terutama golongan belia dan graduan Institut Pengajian Tinggi (IPT) Awam serta Swasta hasil daripada pelaburan itu.



Rakyat sudah bijak memilih

Oleh: Suriati Ali dan Hazwan Roslee

“Rakyat hari ini sudah pandai membuat keputusan sama ada untuk memilih parti yang boleh membawa perubahan kepada kehidupan mereka atau sebaliknya.

“Ini sudah terbukti apabila Barisan Nasional (BN) memperoleh kemenangan besar dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau dan DUN Kerdau baru ini-ini,” kata Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Katanya, senario itu juga membuktikan keyakinan tinggi rakyat terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

“Saya percaya BN Terengganu akan memperoleh kemenangan besar dalam Pilihan Raya Umum (PRU 13) akan datang.

“Pelbagai bantuan sudah diagihkan kepada rakyat termasuk bantuan pendidikan, kebajikan dan sebagainya. InsyaAllah, rakyat akan bijak memilih,” katanya ketika berucap di Majlis Program Sehari Bersama YAB Menteri Besar Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura, di Dewan Majlis Daerah Dungun, semalam (12 Mac).

Menurutnya, rakyat sudah beri percubaan kepada Pas pada 1999, tapi malangnya parti itu tidak mampu melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.

“Umno sentiasa bersedia berjuang untuk mempertahankan hak rakyat, tetapi Pas hanya untuk kepentingan diri sendiri selain untuk memperoleh kemenangan pilihan raya.

“Kekuatan Umno hari ini adalah hasil sokongan dan bantuan kerajaan pusat yang sentiasa prihatin mengenai apa jua masalah,” katanya.

Katanya, sebelum lahir lagi, seseorang insan itu sudah mendapat bantuan daripada kerajaan termasuk penjagaan rapi dari Klinik Desa atau Klinik Kesihatan berhampiran kediaman masing-masing.

“Jika ada mana-mana individu mendakwa tidak pernah mendapat bantuan, ia adalah satu perbohongan besar,” katanya.

Menurutnya, pembangunan untuk rakayat akan diteruskan semata-mata untuk keselesaan dan menjana ekonomi Terengganu.



FORUM TIADA SAMBUTAN

Malang bagi pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir kerana ceramah dalam bentuk forum yang mereka anjurkan malam tadi di Kampung Bukit Tok Beng (Jalan ke Lapangan Terbang) tidak ramai yang hadir sedangkan dua orang Ahli Parlimen (pembangkang) diundang.

Walaupun mereka cuba mengaitkan kehadiran sama Ahli Parlimen BN Kuala Nerus dan Ahli Dewan Undangan Negeri (BN) Seberang Takir menyertai program itu bagi meramaikan kehadiran, tetapi masyarakat sekitar faham helah dan pembohongan parti itu.

Wakil DAP pun tidak dijemput menyertai forum/ceramah itu walaupun di dalam program itu mereka menyatakan pakatan mereka terdiri daripada PKR, Pas dan DAP untuk menjadi alternative kepada BN bagi memerintah negara.

Jelas, mereka tidak berani menampilkan penglibatan DAP dalam pakatan mereka di negeri Terengganu.

Difahamkan penyokong-penyokong Pas di DUN Seberang Takir sendiri tidak begitu ‘seronok’ dengan program itu yang diurus oleh PKR.

Hanya bendera PKR yang kelihatan dan tidak ada bendera Pas dinaikkan.
Keadaan ini jelas menggambarkan ketidak sepakatan pakatan pembangkang (PKR,Pas dan DAP) dalam Dun Seberang Takir, mungkin kerana perebutan calon sesama mereka belum selesai.

Dalam pilihanraya umum yang lalu, Pas yang begitu beria-ia untuk menjadi calon bagi pihak pembangkang terpaksa berputih mata apabila kerusi Dun Seberang Takir dapat kepada PKR, tetapi calon PKR Muzafeq Mamat tewas teruk kepada calon BN, Haji Ahmad Razif Abdul Rahman.

PEMIMPIN BERSAMA RAKYAT DI DUN SURA

Oleh: Ruslan Abdul Rahman, Gambar-gambar: Hazwan Rosli



Menemui rakyat di pelbagai lapisan dan peringkat sudah menjadi amalan biasa pemimpin nombor satu negeri, Dato’ Seri Ahmad bin Said.



Semalam (Sabtu, 12 Mac 2011) beliau besama isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud berkunjung menemui penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri, Sura, Dungun.




Sempena dengan lawatan itu, Menteri Besar telah menemui golongan tua dan uzur, memberi bantuan kerusi roda, membaiki atap rumah golongan miskin, menyampaikan anugerah dan bantuan pakaian sekolah serta komputer kepada pelajar, melawat pantai Teluk Lipat dan bermesra dengan golongan belia melalui perlawanan futsal.

Sempena dengan pendekatan 1 Malaysia, Dato’ Seri Ahmad bertemu dan bermesra dengan masyarakat Tionghua di kawasan berkenaan.



Mengiringi beliau ialah Pegawai Pembangunan DUN Sura, Dato’ Dr.Rosli Mat Hassan yang juga Ketua Umno Bahagian Dungun, wakil-wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dalam Parlimen Dungun dan saf kempimpinan Parlimen/Bahagian Dungun.



Rakyat gembira dan bangga memperolehi pemimpin yang berjiwa rakyat dengan meletakkan kepentingan dan keutamaan rakyat mengatasi kepentingan yang lain berkonsepkan “Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan”.



Institut Khat bakal dibina di TTI

Oleh: Esah Abdullah


Ahli Majlis Perwakilan Pemangku Raja, Tengku Sri Bendahara Raja ketika merasmikan Inspirasi Seni Khat di TTI, Kuala Terengganu. - Gambar oleh Harish Fadzillah.

Sebuah Institut Khat terulung di Asia bakal dibina di Taman Tamadun Islam (TTI), Pulau Wan Man dan akan menjadi tempat rujukan khat di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.



“Untuk merealisasikan hasrat berkenaan pihak pengurusan TTI akan menyiapkan kertas kerja sebelum pelaksanaan pembangunan institut berkenaan berjalan,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Haji Ahmad Razif Abdul Rahman.



Menurut Haji Ahmad Razif, pembinaan institut berkenaan akan menjadi mercu tanda baru bagi kerajaan negeri dan untuk peringkat permulaan, Geleri Khat di Institut Al-Quran (IQ) di Padang Midin akan dipindahkan ke TTI.

Namun begitu katanya, pembinaan institut berkenaan akan mengambil kira semua aspek termasuk kajian, sejarah dan ketamadunan bagi memastikan ianya relevan.



“Penyediaan kertas kerja juga perlu berpandukan beberapa institut yang ada di luar negara seperti di Mesir dan Turki,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Inspirasi Seni Khat di TTI semalam.

Ahli Majlis Perwakilan Pemangku Raja, Tengku Sri Bendahara Raja telah merasmikan majlis tersebut dan turut dihadiri Setiausaha Kerajaan , Dato’ Mazlan Ngah dan Ahli Lembaga Pengarah TTI Management Sdn Bhd, Datuk Zubir Embong.


Kedai runcit dan bengkel automotif dipermodenkan

Oleh: Esah Abdullah

Kerajaan memperkenalkan dua program iaitu ‘Transformasi Kedai Runcit (Tukar) dan Pemodenan Bengkel Automotif (Atom) untuk memodenkan peruncit dan pengusaha bengkel di negeri ini.



Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr. A. Rahman Mokhtar berkata, program Tukar bertujuan memodenkan pekedai runcit tradisional serta meningkatkan daya saing dalam persekitaran peruncitan yang kompetitif.

Manakala di bawah program Atom untuk mentransformasikan sektor perkhidmatan dan pembaikan automotif yang bertaburan dan tidak tersusun.

“Program ini memberi penekanan kepada peruncit dan pengusaha bengkel yang memenuhi syarat kelayakkan yang ditetapkan oleh Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Terengganu (PPDNKK),” katanya.

Katanya, kementerian menetapkan kuota untuk PPDNKK melaksanakan 28 premis Tukar dan 16 premis Atom dan tiga pihak terbabit dalam program ini ialah PPDNKK (pemudahcara), Mydin/Carrefour (konsultan) dan Bank Rakyat (pembiaya).

“Proses pelaksanaan akan melalui lima fasa iaitu pemilihan premis/peserta; cadangan ubahsuai/kajian; semakan kedudukan kewangan premis, pemilihan premis yang layak dan akhirnya keputusan mesyuarat pelaksana,” katanya.

Menurutnya, setiap peserta yang berjaya, layak mendapat pinjaman antara RM20,000 hingga RM75,000 daripada Bank Rakyat dengan kadar keuntungan tiga peratus setahun.

“PPDNKK akan berusaha mencapai matlamat melalui kuota yang diberikan dalam tempoh yang ditetapkan iaitu pada Jun depan,” katanya.

Setakat ini katanya, prestasi program sudah 25 peratus siap dan mendapat maklum balas 46 premis peruncit dan 31 premis bengkel seluruh negeri dan pemilihan akan dibuat pada akhir bulan ini.

“Walaupun mendapat sambutan tinggi dari peruncit dan pemilik bengkel berbanding kuota yang ditetapkan, hanya peserta yang benar-benar memenuhi syarat sahaja akan diberi keutamaan,” katanya.




Pencapaian PSJL dipertingkatkan

Oleh: Esah Abdullah

Kerajaan negeri akan mempertingkatkan capaian Perkhidmatan Selular dan Jalur Lebar (PSJL) di seluruh negeri melalui strategi pembangunan yang seimbang untuk kesejahteraan rakyat.



“Sasaran utama kerajaan adalah memastikan tahap liputan 97 peratus telefon selular di kawasan berpenduduk sepanjang tahun ini,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Za’abar Mohd Adib.

Katanya, kerajaan juga akan pastikan penetrasi isirumah perkhidmatan Jalur Lebar mencapai 50 peratus menjelang 2012 serta mengukuhkan kedudukan negeri sebagai hab ICT di Pantai Timur.

Datuk Za’abar berkata, usaha-usaha ke arah merangsang sumber pertumbuhan baru dalam sektor ICT melalui jaringan telekomunikasi seiring dengan perancangan pembangunan yang sistematik.

Selain itu katanya, usaha mempercepatkan pembudayaan e-Pentadbiran dan e-Pembelajaran akan membuka ruang dan peluang pembabitan seluruh rakyat dalam dan luar bandar.

“Untuk mewujudkan keseimbangan, kerajaan akan melaksanakan program penyediaan jaringan gentian fiber optik dan jalur lebar (broadband) di seluruh negeri,” katanya.

Usaha sedemikian juga adalah untuk melengkapkan agenda kepimpinan kerajaan negeri berasaskan slogan ‘Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan.