Halaman

20 March 2011

Inap desa mampu tonjol adat Melayu

Oleh: Suriati Ali

Enam kampung yang terbabit dalam program inap desa atau homestay di Terengganu nyata dapat membantu kerajaan negeri memperkenalkan pelbagai budaya ketimuran dan adat resam Melayu kepada pelancong asing dan luar Terengganu.

Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan Negeri Terengganu, Encik Ahmad Fathil Ghani, berkata kebanyakan pelancong datang dari negara Eropah seperti Itali, Sepanyol, Jerman, Belgium, Denmark dan England manakala sebelah Asia pula dari Jepun, China, Korea Selatan, Taiwan serata negara Asean, cukup meminati adat dan budaya orang kita.

“Apabila mereka bermalam di homestay, mereka akan menjamu selera bersama-sama pemilik rumah, secara tidak langsung dapat mempelajari adat orang Melayu ketika makan iaitu bagi perempuan perlu bersimpuh dan makan tanpa menggunakan sudu,” katanya.

Kampung yang terbabit dalam program inap desa adalah Teluk Ketapang, Pulau Duyong, Kuala Terengganu, Felda Selasih (Besut), Rhu Sepuluh (Setiu), Pasir Raja (Dungun) dan Kampung Buluh (Hulu Terengganu) dengan membabitkan 104 buah rumah dan 106 bilik penginapan.

Sejak inap desa itu ditubuhkan pada 2007, pelancong dari 30 negara asing telah melawat dan menginap di lokasi berkenaan.

Pelbagai program sampingan dianjurkan termasuk melawat tempat-tempat menarik sekitar Kuala Terengganu seperti Muzium Negeri, Taman Tamadun Islam dan Pasar Besar Kedai Payang.

Tidak ketinggalan menyertai program kemasyarakatan dan permainan tradisional Terengganu iaitu gasing, congkak dan wau.




YPU ubah struktur pentadbiran

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) giat mengadakan pemantauan terhadap semua rangkaian perniagaan T’Shoppe di negeri ini, bagi memastikan ia mencapai had jualan yang ditetapkan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Haji Mohamed Awang Tera berkata, pelbagai langkah dilakukan,termasuk mengubah struktur pentadbiran YPU agar ia mencapai had jualan rangkaian kedai tersebut selain membolehkan tugas hakiki berjalan lancar.

Katanya, pegawai YPU akan `turun padang’ bagi melihat kaedah yang dilaksanakan di 17 rangkaian T’Shoppe tempatan dan tiga lagi yang beroperasi di luar Terengganu .
“Sekiranya terdapat kelemahan dan kurang mendapat sambutan pelanggan, pelbagai perubahan akan dilaksanakan termasuk mempergiatkan promosi supaya pelanggan terus berbelanja di T’Shoppe.

“Pendekatan itu nyata memberi kesan apabila terdapat T’ Shoppe mampu mencapai sasaran yang diinginkan iaitu melebihi RM3,500 sehari,” katanya.

Dato’ Haji Mohamed berkata, jumlah kutipan jualan T’Shoppe bergantung kepada keadaan semasa dan lokasi kebiasaanya memperoleh antara RM1,500 hingga RM3,500 sehari.
T’Shoppe Kuala Berang antara rangkaian paling laris dan mendapat pandapatan kasar lebih RM100,000 sebulan.

Pelbagai jenis makanan tradisional seperti keropok sira, buah rotan, gula-gula `nisan’, kerepek ubi dan kerepek pisang terdapat di T’ Shoppe bagi memudahkan pelancong tempatan dan luar negara mendapat produk Terengganu.

“Langkah yang dilaksanakan ini nyata dapat membantu usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) memasarkan produk masing-masing di mana sebelum ini sukar untuk berbuat demikian kerana mendapat syarat ketat dari pasar raya ternama tempatan,” katanya.





MDS turunkan kadar sewa perkedaian Buluh Perindu

Oleh: Aida Abd Rahman

Majlis Daerah Setiu (MDS) bakal menurunkan kadar sewa hampir 30 peratus kepada peniaga di Perkedaian Buluh Perindu, Setiu bermula bulan ini.

Kadar sewa bagi kawasan baru itu ialah RM500 sebulan berbanding RM650 sebelum ini bagi lot kedai aras bawah, manakala tingkat atas pula RM300 berbanding RM500 sebulan yang dikenakan sebelum ini.

Yang Dipertua MDS, Encik Ishamudin Hashim, berkata pihaknya mengambil tindakan itu kerana mengambil kira kepentingan semua pihak dan tidak mahu membebankan penyewa.

Katanya, bayaran sewa yang ditawarkan MDS sebelum ini agak tinggi sehingga mendorong pekedai mengemukakan rayuan supaya kadar sewa diturunkan.

“Menyedari keadaan itu, kita menurunkan sewa bulanan sebanyak 30 peratus supaya ia tidak membebankan mereka dan slepas ini kita berharap tiada lagi masalah untuk mereka menjelaskan sewa,” katanya.

Katanya, kadar sewa baru itu adalah yang terendah berbanding daerah lain di negeri ini yang ditawarkan kepada penyewa demi kepentingan kedua-dua pihak.

Beliau berkata demikian pada Karnival Sehari Bandar Permaisuri dan Perasmian Perkedaian Buluh Perindu MDS, baru-baru ini.

Majlis itu dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri Permaisuri, YB Abdul Halim Jusoh. Turut hadir Pegawai Daerah Setiu, Encik Mohd Nor Ibrahim.




Tuah Orang Terengganu

Oleh: Esah Abdullah

“Sebagai anak Terengganu saya rasa bertuah kerana diberi peluang membawa 451 orang ‘Teganukita’ dengan penerbangan MH 8324 terus ke tanah suci Makah,” kata Dato’ Kapten Mohd. Nawawi Awang kepada pemberita di balai berlepas Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) sebelum berangkat ke Jedah membawa Jemaah umrah anugerah kerajaan negeri.

Walaupun sudah lama diberi tanggung jawab sebagai kapten kapal terbang dan sering membawa penumpang ke serata dunia, tapi pengalaman hari ini ternyata berbeza kerana kesemua 451 penumpang adalah orang Terengganu negeri kelahirannya.

Dato’ Kapten Mohd Nawawi yang berasal dari Besut sebelum ini telah diberi tanggung jawab membawa pesawat Boeing 747-400 (MH8036) yang membawa jemaah haji melalui penerbangan terus dari LTSM yang petama kali diperkenalkan kerajaan negeri pada 2008.

“Penerbangan kali ini, lebih istimewa kerana kesemua penumpang terdiri dari wakil rakyat, ketua jabatan, pemimpin masyarakat yang terbabit secara langsung dan tidak langsung dalam operasi haji tahun lalu,” katanya.

Beliau yang dibantu dua pilot serta 17 anak kapal mengharapkan cuaca tenang dan baik melancarkan perjalanan menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz Jedah dalam tempoh sembilan jam selepas waktu berlepas dari LTSM.





Anugerah Umrah Kerajaan negeri mengundang sebak di dada

Oleh: Esah Abdullah


Jemaah yang mencatat sejarah negeri dan negara melalui penerbang terus Umrah dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) ke Jeddah.

Anugerah Umrah kerajaan negeri mengandungi seribu satu keistimewaan yang tersirat mengundang sebak 451 insan terpilih menyertai rombongan yang mencatat sejarah negeri dan negara melalui penerbang terus dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) ke Jedah.

Suasana bertukar sepi apabila Pegawai Agama Istana Terengganu, Ustaz Shukri Ali membaca doa yang sesekali tersekat dikerongkong kerana menahan rasa sebak, memohon restu Allah swt menerima tetamu kerdilnya yang penuh kekilafan dan berpalit dosa.

Imam Besar Masjid negeri, Ustaz Haji Aizi Saidi Abdul Aziz melahirkan rasa terharu dengan usaha kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said yang telah menganugerahkan sesuatu yang istimewa kepada rakyat di negeri.

katanya, anugerah umrah kepada rakyat merupakan suatu pembaharuan di bawah pentadbirannya dan dihargai pelbagai golongan masyarakat di negeri ini.

“Usaha dan pengorbanan kerajaan ini begitu besar dan satu kejayaan amat membanggakan bagi semua rakyat, moga Allah SWT memberkati dan mempermudahkan segala amalan jemaah,” katanya yang turut serta bersama kedua ibu bapa dan ibu mentua untuk mengerjakan umrah.



Bagi Ketua Pergerakan Wanita UMNO Perhubungan Negeri Terengganu, Datuk Fatimah Hamat, berharap apa yang dilakukan oleh kerajaan negeri ini membuka mata semua pihak melihat usaha murni kerajaan hari ini untuk kebaikan bersama.

Beliau adalah antara 451 orang yang menyertai rombongan Anugerah Umrah kerajaan negeri beserta ketua-ketua wanita setiap bahagian melahirkan rasa bangga dan berharap perkara yang sama dirasai oleh semua rakyat di negeri ini.

Apa yang diakukan kerajaan adalah untuk mempermudahkan seluruh rakyat di negeri ini dan berharap ini bukanlah penerbangan pertama sebaliknya akan menyusul penerbangan seterusnya untuk memberi peluang semua lapisan masyarakat pergi ke tanah suci Makah.

Sementara itu, bagi syarikat Rahyhar Travel Sdn Bhd yang diberi tanggung jawab mengendalikan pengurusan membawa jemaah umrah ini berterima kasih kepada kerajaan negeri yang mengambil pendekatan memudahkan urusan rakyat negeri untuk pergi membuat umrah ke tanah suci.

Pengarahnya, Haji Zakaria Ahammu berkata, apa yang dilakukan kerajaan negeri begitu besar maknannya dan jalinan kerjasama dengan Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) memberi impak besar kepada penggunaan kemudahan yang ada di LTSM itu sendiri.

Beliau yang berpengalaman 20 tahun mengendalikan jemaah haji dan umrah dan kali ini kouta diberi membawa 130 jemaah menganggapkan inisiatif baik kerajaan negeri ini diteruskan sekali gus menjadikan LTSM ini sebagai hab umrah bagi rakyat di Pantai Timur.





MBKT mesra penduduk sempena Hari Bertemu Pelanggan

Oleh: Aida Abd Rahman

Hari Bersama Pelanggan yang dianjurkan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) secara bulanan mampu menjadi wadah jabatan itu merapatkan hubungan dengan penduduk setempat sambil menyelesaikan permasalahan serta aduan mereka.

Program secara berkala setiap bulan itu dijalankan di kawasan yang mudah dikunjungi, strategik dan menjadi tumpuan orang ramai.
Pengarah Jabatan Korporat Kemasyarakatan dan Kualiti MBKT, Encik Ghani Idris, berkata pendekatan mengadakan program itu mendapat respon yang baik daripada penduduk setempat yang tampil untuk mengadu masalah mereka.

“Program ini memberi peluang mereka menyuarakan masalah dan aduan secara terus kepada MBKT untuk tindakan segera. Sebarang masalah mungkin boleh diselesaikan dalam tempoh sekurang-kurangnya tiga jam,” katanya.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri bandar, YB Toh Chin Yaw dan Pengarah Jabatan Kawalan bangunan MBKT, Encik Zakaria Abdullah.

Katanya, masalah kecil seperti longgokan sampah dan pokok tumbang lazimnya dapat diselesaikan dalam masa beberapa jam sahaja, bagaimanapun bagi kes besar dan memerlukan lebih banyak prosedur akan mengambil masa lebih lama.

“Sebagai contoh, masalah berkaitan haiwan ternakan dan anjing liar mungkin memakan masa lebih panjang kerana MBKT hanya membantu Jabatan Veterinar menyelesaikan tugas mereka dalam kes sebegitu,"katanya.





TID Aquatic cungkil bakat sukan renang

Oleh: Aida Abd Rahman

Bagi memastikan Terengganu tidak ketandusan bakat dalam sukan renang, program TID Aquatic (Pengenalpastian Bakat Akuatik) dilancarkan di Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Batu Buruk, Kuala Terengganu, pada 2 April ini.

Program anjuran Kerajaan Terengganu menerusi Majlis Sukan Negeri Terengganu dan Persatuan Renang Negeri Terengganu dilaksanakan bagi mencari bakat baru dan pelapis dalam sukan akuatik yang dapat mewakili negeri dan negara amnya, pada masa depan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Haji Rozi Mamat, berkata program julung kali dianjurkan itu juga bertujuan mempromosikan kolam renang yang sudah mulai beroperasi dan selamat digunakan sejak sebulan lalu.

Pusat akuatik bernilai RM18 juta sebelum ini ditutup sejak 9 Julai 2009 bagi melakukan kerja-kerja membaikpulih dan pengubahsuaian selepas mengalami kerosakan dan kebocoran.

Katanya, TID Aquatic terbuka kepada pelbagai tahap usia dan terbahagi kepada beberapa kategori termasuk sekolah rendah, menengah dan juga dewasa.

“Melalui pertandingan itu, kita mahu mencungkil bakat baru dalam sukan renang dan boleh diketengahkan ke peringkat lebih tinggi. Pada masa yang sama, kita juga mengadakan program itu untuk meuar-uarkan kepada umum bahawa kolam renang kita sudah boleh digunakan seperti biasa,” katanya.

Jabatan Kerja Raya (JKR) menyerahkan kolam renang itu kepada pihak pengurusan, MBKT pada 21 Januari lalu dan dibuka kepada orang ramai selepas mendapat jaminan daripada JKR bahawa ianya selamat digunakan.

Pusat yang memiliki tiga kolam renang untuk lelaki, wanita dan kanak-kanak itu kini bersedia menerima kunjungan pelawat dari jam 2.30 hingga 6.30 pada Ahad hingga Khamis, manakala Jumaat, Sabtu dan cuti umum dibuka seawal 9.30 pagi hingga 6.30 petang.



Rakyat gembira sistem pengangkutan dinaiktaraf

Oleh: Kamarudin Mat Akib


Projek insfraksruktur terutama mengatasi masalah kesesakan jalan raya yang rata-ratanya berlaku di kawasan bandar dan jalan keluar dari pusat bandaraya akan diperhebatkan. - Foto: Zulkipli Putra.

Pengumuman kerajaan berhubung projek menaiktaraf sistem pengangkutan, pembinaan Terminal Bersepadu di Bandaraya Kuala Terengganu dan jalan sokongan keluar dari pusat bandaraya, amat melegakan rakyat negeri ini.

Sememangnya kerajaan negeri prihatin dengan masalah kesesakan jalan raya sekitar Bandaraya Kuala Terengganu, terutama pada waktu puncak.

Bagi tujuan tersebut, kerajaan negeri menerima suntikan bantuan kewangan sebanyak RM112.05 juta melalui pembiayaan Kumpulan Wang Amanah Pengangkutan Awam (KWAPA) Kerajaan Pusat.

Peruntukan tersebut akan digunakan bagi membina Terminal Bersepadu di Kuala Terengganu dalam usaha menaiktaraf sistem pengangkutan awam di negeri ini serta pembinaan beberapa terminal lain di seluruh negeri.



Mengikut laporan sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Za’abar Mohd Adib mengumumkan beberapa projek bagi meningkatkan tahap pengangkutan awam, termasuk menaiktaraf terminal di Setiu, pembinaan terminal ‘park & ride’ dan pusat transit di Hulu Terengganu serta hentian bas.

Pembinaan jalan KT-Bypass yang dirancang sebelum ini akan diteruskan bagi memastikan sistem rangkaian jalan yang sistematik dan teratur untuk pembangunan kawasan bandar baru Bukit Besar.

Pembinaan jalan tersebut juga dapat menghubungkan rangkaian jalan sedia ada ke Jambatan Pulau Sekati, Jalan Tok Kong ke Bukit Guntong seterusnya ke Jambatan Losong Feri dan Bukit Datu.

Beberapa jalan sokongan lain akan dibina termasuk Jalan Gong Nangka ke Bukit Kor, Marang; Jalan Mak Jintan, Setiu ke Batu Rakit, Kuala Terengganu; Jalan Pecah Rotan ke Kampung Lingai di Kuala Terengganu serta menaiktaraf Jalan Tanjung Baru, Lerek, Kepah di Hulu Terengganu dan jalan Kubu ke Felda Chadur di Marang.

Projek ini akan mengatasi masalah kesesakan jalan raya yang rata-ratanya berlaku di kawasan bandar dan jalan keluar dari pusat bandaraya.

Pengumuman ini pastinya menggembirakan pengguna jalan raya, khususnya kakitangan awam dan swasta yang terpaksa menghadapi kesesakan lalu lintas setiap kali ke pejabat dan pulang ke rumah.

Sikap prihatin kerajaan negeri menyelesaikan masalah pengguna jalan raya ini amat dialu-alukan dan menggembirakan pengguna jalan raya.



19 March 2011

Top IT bantu kerajaan jaya agenda pendidikan

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Sebagai sebuah anak syarikat negeri, Top IT Industries Sdn Bhd diberi tanggungjawab besar bagi membantu menjayakan sebahagian agenda Kerajaan Terengganu untuk mengangkat martabat bidang pendidikan di negeri ini.

Kini dua agenda besar berjaya dilaksanakan syarikat tersebut iaitu program e-Book dan ‘Terengganu Brilliant Kids’ (TBKids).

Bukan setakat itu saja, kedua-dua program tersebut yang sudah menampakkan pelbagai hasil positif kini mendapat pujian pelbagai pihak sama ada di dalam negeri mahu pun luar negara.

Program TBKids diperkenalkan kira-kira dua tahun lalu untuk kanak-kanak tadika berusia lima dan enam tahun bagi mendedahkan mereka kepada kemudahan Teknologi Komunikasi Maklumat (ICT) di peringkat pra-sekolah.

Dalam menjayakan program itu, Top IT mendapatkan kerjasama empat agensi utama iaitu Kemas, Jabatan Perpaduan Negara, Jabatan Pelajaran (pra-sekolah) dan Yayasan Islam Terengganu bagi menyediakan kandungan sukatan program TBKids.

Bagi tujuan tersebut perbincangan dilakukan dengan guru-guru pakar bagi setiap mata pelajaran, melibatkan kempat-empat agensi berkenaan.

Terdapat enam mata pelajaran utama program berkenaan, termasuk Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik, Pendidikan Moral dan Jawi.

Melalui program itu setiap tabika dibekalkan dengan ‘interactive white board’ menggunakan papan sesentuh yang mengandungi elemen-elemen audio, visual dan multimedia serta latihan-latihan yang menguji tahap kecerdasan semasa sesi pembelajaran.

Kaedah ini dapat menarik minat kanak-kanak berbanding cara biasa yang menggunakan bahan-bahan bantuan mengajar secara manual seperti lukisan, kertas patung dan ‘mountain board’.

Bagi menjayakan program e-Book pula, Top IT diberi tanggungjawab yang lebih besar di mana ia melibatkan seluruh sekolah rendah di negeri ini.

Program e-Book diperkenalkan kerajaan negeri bagi menggantikan buku teks yang menjadi beban kepada para pelajar sejak sekian lama.

Selain mengandungi silibus mata pelajaran yang dibekalkan Kementerian Pelajaran, e-Book turut memuatkan perisian 30 juzuk al-Quran, pengajian fardu Ain dan kaedah solat jenazah.

Pada tahun pertama syarikat itu dikehendaki membekalkan sebanyak 25,000 unit e-Book untuk kegunaan murid Tahun Lima sekolah rendah seluruh negeri.

Top IT membina kilang berharga RM6.8 juta yang mampu mengeluarkan 20,000 unit e-Book sebulan, bagi membekalkan kemudahan tersebut. Kilang tersebut yang beroperasi di kawasan perindustrian Gong Badak, turut menempatkan 20 pakar ICT bagi tujuan pengeluaran e-Book.

Tahun berikutnya, syarikat itu dikehendaki membekalkan 50,000 unit e-Book bagi kegunaan murid Tahun Lima dan Tahun Empat di semua sekolah rendah bantuan kerajaan seluruh negeri.

Lebih membanggakan kini syarikat itu turut mengeluarkan computer riba dan perisiannya sendiri menggunakan jenama TC (Terengganu Komputer). Antara produk yang dikeluarkan ialah TC E09, E10, 142, R40 dan T10.




Kelab cegah jenayah di sekolah

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH


Naib Pengerusi, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye.

Sekolah Menengah kebangsaan (SMK) dan Sekolah Kebangsaan di negeri ini menyahut cabaran dengan menubuhkan Kelab Cegah Jenayah (KCJ) bagi menangani masalah keruntuhan moral, khususnya kalangan generasi muda.

“Daripada 136 buah SMK dan 306 buah SK seluruh negeri terdapat 70 peratus yang telah tubuh KCJ,” kata Naib Pengerusi, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye.

Katanya, ini satu perkembangan yang yang baik dan mengharapkan semua sekolah dapat dapat menubuhkan kelab itu dalam masa terdekat ini.

“Ini penting kerana dapat membantu negara menangani keruntuhan moral dengan menghantar mesej nilai murni yang padu kepada generasi muda serta menangani masalah polarisasi kaum dengan menggalakkan penyertaan dari kalangan pelajar,” katanya.



Selain itu katanya, tumpuan terhadap nilai kemanusiaan ini akan membantu dalam menangani gejala sosial yang berlaku dalam masyarakat yang berpunca daripada keruntuhan moral.

Beliau yang mengadaka perjumpaan dengan jawatankuasa MCPE cawangan Terengganu baru-baru ini turut menyarankan kegunaan facebook kerana ia satu konsep popular dan terbukti berkesan dalam membantu pencegahan jenayah dengan mewujudkan komunikasi dua hala antara MCPF dan orang ramai.