Halaman

11 April 2011

Promosi Tesdec guna beca

Oleh: Suriati Ali

Kakitangan Kolej Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (Tesdec) turun padang bagi memberi pendedahan kepada orang ramai terutama pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia berhubung peluang pengajian di kolej berkenaan.

Pengurus Pembangunan Perniagaan dan Komunikasi Korporat Tesdec, Sheikh Nehmil Emir Alias, berkata sepuluh beca di Kuala Terengganu dipilih bagi menjayakan misi ini dan seterusnya mempromosi kepentingan dan nama kolej.

“Pihak kami percaya pendekatan mengadakan promosi melalui pengangkutan roda tiga ini memberi kesan mendalam dan secara menyeluruh kepada orang ramai kerana penarik kenderaan ini sering berkumpul di tempat-tempat awam yang sentiasa dipenuhi masyarakat pelbagai golongan.

“Apabila mereka berada di lokasi seperti Pasar Besar Kedai Payang, Bazar Warisan dan Taman Shah Bandar untuk menunggu pelanggan secara tidak langsung orang ramai akan membacanya,” katanya.

Katanya, pihaknya juga dalam perancangan bagi mendapatkan kerjasama pelbagai jenis pengangkutan awam lain termasuk teksi dan bas sebagai langkah menarik minat orang ramai mengikuti pelbagai program diploma dan sijil yang ditawarkan Tesdec.

“Pada masa sama, pihak kami dapat menjalankan tanggungjawab sosial dan kerja amal dengan menghulurkan sedikit sumbangan kewangan kepada penarik beca yang terpilih,” katanya.



Kompleks Sukan jana kecemerlangan atlet

Oleh: Esah Abdullah

Kompleks Sukan Tengku Muhammad Ismail, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang bernilai RM26 juta akan menjadi pencetus kepada kecemerlangan sukan serta melonjakkan bidang itu di persada dunia.

Naib Canselor UMT, Prof Dr Aziz Deraman, berkata penghasilan atlet yang unggul banyak dipengaruhi kemudahan fasiliti sukan serta memenuhi standard kebangsaan yang ditetapkan dan setiap kemudahan dimanfaatkan dengan optimum oleh para atlet.


“Segala kemudahan yang disediakan adalah khusus untuk kesejahteraan rakyat dan membantu dalam membudayakan sukan sabagai satu teras dalam kehidupan harian,” katanya ketika berucap di majlis Pemansyuran Kompleks Sukan Tengku Muhammad Ismail, petang semalam.

Kompleks Sukan Tengku Muhammad Ismail telah dimasyurkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja, Tengku Muhammad Ismail Ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin.

Prof Dr Aziz berkata, kompleks sukan ini merupakan sebuah makmal pengajaran sahsiah pelajar terbesar di UMT dengan kemudahan dewan tertutup, lima gelanggang badminton, squash (dua), pusat gimnasium dan pejabat pentadbiran Pusat Sukan dan Rekreasi.

“Kompleks ini juga mempunyai padang bola sepak, trek balapan olahraga sintetik, kolam renang bersaiz standard Olimpik dan kolam terjunan,” katanya.

Kemudahan lain disediakan di situ ialah sebuah astaka yang boleh memuatkan penonton dengan kapasiti 1,000 tempat duduk , bilik persalinan dan padang permainan seperti gelanggang tenis, bola keranjang, bola tampar, sepak takraw, bola jarring dan padang lawn bowl sintetik.

Katanya, projek pertama di kompleks ini adalah penganjuran Kejohanan Sukan Persatuan Badan-badan Berkanun (Sukanun) Peringkat Kebangsaan yang akan diadakan pada 7 hingga 14 Mei depan.

“Saya harap kemudahan ini dapat dimanfaatkan oleh semua pihak UMT dan juga komuniti setempat dengan perancangan aktiviti sukan yang berterusan,” katanya.






10 April 2011

Kompleks Sukan Tengku Muhammad Ismail di Mansyurkan

Oleh: Esah Abdullah


DYMM Pemangku Raja, Tengku Muhammad Ismail Ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan meletakkan kunci simbolik mengisytiharkan pemansyuran Kompleks Sukan Tengku Muhammad Ismail , Universiti Malaysia Terengganu (UMT). - Foto: Syed Abdul Rahman.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja, Tengku Muhammad Ismail Ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat mengisytiharkan pemansyuran Kompleks Sukan Tengku Muhammad Ismail , Universiti Malaysia Terengganu (UMT) hari ini (10 April).

Turut mengiringi keberangkatan baginda, Ahli Majlis Perwakilan Pemangku Raja, Yang Teramat Mulia Tengku Sri Bendahara Raja dan Tengku Sri Laksamana Raja.

Hadir sama Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said dan isteri To’ Puan Seri Norliza Mahmud; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang; Setiausaha Kerajaan, Dato’ Mazlan Ngah dan Pengerusi Lembaga Pengarah UMT. Tan Sri Dr. Zaharudin Idrus.



Sehubungan itu, pengabadian nama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja pada kompleks sukan tersebut bakal mencetus semangat baru di kalangan mahasiswa, kakitangan UMT dan juga masyarakat setempat.



Kompleks Sukan Tengku Muhammad Ismail juga bakal menjadi tumpuan mengumpul atlet tempatan dan seluruh negara apabila UMT menjadi tuan rumah pada Kejohanan Sukan Badan-badan Berkanun Peringkat Kebangsaan Mei depan.

Sesungguhnya pemasyuran ini juga akan membuka lembaran baru kepada kakitangan Pusat Sukan dan Rekreasi untuk lebih berdaya saing demi mencapai visi dan misi universiti dalam melahirkan modal insan berpengetahuan, bersahsiah mulia serta menyumbang untuk kebaikan ummah seluruhnya.






Terengganu lancarkan Program Imam Muda Mei ini

Oleh: Aida Abd Rahman

Terengganu menjadi negeri kedua melaksanakan Program Pendidikan Imam Muda (PIM) 2011 sebagai platform mencari pelapis di kalangan imam dan menyelesaikan masalah kekurangan golongan pemimpin agama itu dalam masyarakat, yang bakal dilancarkan di Universiti Malaysia Terengganu pada 20 hingga 21 Mei ini.

Program pertama dilancarkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak, di Pekan, Pahang, tahun lalu. Kali ini program dianjurkan Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama penuh Kerajaan Terengganu menerusi portfolio jawatankuasa pelajaran negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Haji Ahmad Razif Abd Rahman, berkata tujuan utama program adalah melahirkan lebih ramai golongan pelajar dan belia yang boleh dilatih menjadi imam dan pemimpin masyarakat yang serba boleh.

“Ia juga menjadi medan melahirkan bakal imam muda yang berilmu, berketerampilan, berkemahiran dan berkebolehan hingga mampu menjadi model kepada generasi belia lain secara teori dan amali.

“Kerajaan negeri optimis dengan usaha yang dijalankan di seluruh negara itu. Malah, Terengganu selaku negeri kedua, akan memastikan lebih ramai golongan imam muda mampu diketengahkan dalam masyarakat kita kelak,”katanya selepas merasmikan satu majlis di Kampung Gong Badak, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Beliau berkata, pihaknya mensasarkan 200 pelajar berusia 15 tahun ke atas termasuk belia dan penuntut IPT dari seluruh Terengganu akan menyertai program yang akan mengenal pasti bakat golongan itu, yang bukan hanya berketrampilan sebagai pelajar, tetapi memiliki ketokohan dan kepimpinan sebagai imam.

“Masalah untuk mencari imam muda amat ketara. Kita berharap ini menjadi landasan terbaik bagi mencungkil bakat dan membantu menyelesaikan masalah ketandusan golongan imam pelapis. Satu panel atau institut khas dilantik bagi memilih peserta yang layak diketengahkan sebagai imam muda,” katanya.

Haji Ahmad Razif, berkata juara Program Imam Muda musim pertama terbitan TV9, saudara Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan dijemput bagi mengendalikan program itu dengan pendekatan dan pengisian yang ditetapkan oleh Jabatan Perdana Menteri.




Sembilan lokasi taman laut bakal dibuka semula

Oleh: Aida Abd Rahman

Penutupan sembilan lokasi menyelam di taman laut beberapa pulau akibat masalah kelunturan karang sejak Jun tahun lalu, dijangka akan berakhir dan dibuka semula kepada pelawat tidak lama lagi.

Jabatan Taman Laut Malaysia akan memaklumkan perkembangan itu kepada Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar bagi menentukan masa yang paling sesuai bagi membukanya kelak.
Ketua Pengarah Jabatan Taman Laut Malaysia, Dr Sukarno Wagiman berkata kawasan itu ditutup berpunca daripada keadaan batu karang yang teruk terjejas disebabkan perubahan suhu air laut dan masalah itu didapati hampir pulih antara 90 hingga 100 peratus.

"Mengikut pemantauan, kami dapati keadaan air laut yang bertambah baik membolehkan pemulihan karang mencapai sehingga 90 dan 100 peratus," katanya dalam sidang media selepas melancarkan Program Khidmat Sosial Korporat Bank Rakyat melabuhkan tiga tukun mesin Pengeluaran Wang Automatik (ATM) dan pembersihan pantai di Taman Laut Pulau Perhentian, Besut, semalam.
Turut hadir ialah Ketua Wilayah Timur Bank Rakyat, Encik Berhanuddin Che Abdullah.

Antara sembilan lokasi menyelam yang ditutup di negeri ini ialah Pulau Perhentian, Pulau Redang, Pulau Tenggol selain beberapa lokasi di Pahang dan Kedah.

Dalam pada itu, Dr Sukarno berkata penerimaan pihak-pihak yang mempunyai kepentingan berhubung penutupan kawasan itu terutama pengendali pelancong memberi kerjasama yang amat memberangsangkan.

Katanya, ada yang turut mengemukakan pelbagai cadangan seperti menutup lokasi selaman secara berkala untuk memulihkan batu karang.

Pada majlis itu Bank Rakyat dan sebuah syarikat swasta Dorken Reef Resources yang terlibat dalam penyelidikan serta pembuatan tukun seramik menyumbang 75 unit tukun seramik dan beberapa komponen lain pada mesin itu untuk dijadikan tukun tiruan.



Pesta buku beri manfaat, tawaran diskaun harga -pelajar

Oleh: Aida Abd Rahman


Pelajar memilih bahan bacaan ilmiah yang dijual dengan tawaran diskaun sehingga 70 peratus. - Foto: Syed Abdul Rahman.

Rata-rata pengunjung program Pesta Buku Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 2011 Peringkat Negeri Terengganu berasa bertuah kerana berpeluang mendapatkan pelbagai bahan bacaan ilmiah di bawah satu bumbung yang diadakan di Sekolah Menengah Teknik, Jalan Lapangan Terbang, Kuala Terengganu.

Program julung kali yang didakan tiga hari sejak semalam menawarkan lebih 10,000 bahan penerbitan DBP termasuk majalah, bahan bacaan umum kanak-kanak, kamus DBP, novel dan cerpen dijual dengan tawaran diskaun sehingga 70 peratus.
Selain itu, pelbagai aktiviti menarik turut disediakan kepada pengunjung seperti pertandingan seni khat, pertandingan mewarna, bercerita dan program bengkel majalah dalam kelas.

Seorang pelajar Tingkatan Enam SM Teknik, Zalina Awang, berkata peluang mengunjungi pesta buku yan diadakan di sekolahnya itu tidak dilepaskan begitu saja, memandangkan pelbagai manfaat boleh diperolehi terutama kepada golongan pelajar sepertinya.

“Saya seronok, selain dapat jumpa kawan-kawan, kami juga dapat membeli buku ilmiah untuk rujukan kami di kelas. Saya juga tidak melepaskan peluang mendapatkan kamus DBP yang dijual dengan kadar diskaun yang mungkin tidak dapat ditemui dengan harga istimewa itu di mana-mana kedai,” katanya.

Pelajar Sekolah Menengah Imtiaz Besut, Muhammad Ridzwan Kamaruddin, 15, pula berasa bertuah kerana terpilih di kalangan pelajar sekolahnya bagi menyertai pesta buku itu, walaupun jarak lokasi itu agak jauh dari sekolahnya.

“Kami dari Besut sanggup datang kerana banyak faedah kami perolehi dari sini. Kalau rakan-rakan yang tinggal di sekitar Kuala Terengganu dan berdekatan tapak pesta ini tidak mengambil peluang ke sini, pasti amat merugikan.

“Saya mahu mendapatkan buku rujukan sebagai persiapan menghadapi peperiksaan Penilaian Menengah Rendah tidak lama lagi. Lagipun, himpunan buku-buku ilmiah di sini ditawarkan dengan kadar harga diskaun dan pasti mampu dibeli golongan pelajar seperti kami,” katanya.



DBP sasar pelajar tinggal jauh dari bandar

Oleh: Aida Abd Rahman


Majlis perasmian Pesta Buku DBP 2011 peringkat negeri Terengganu di SM Teknik Jalan Lapangan Terbang, Kuala Terengganu. - Foto: Syed Abdul Rahman.

Sambutan pengunjung yang amat menggalakkan dalam program Pesta Buku Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 2011 Peringkat Negeri Terengganu membuka jalan kepada penganjur bagi melaksanakan program kedua pada penghujung tahun ini untuk memberi peluang kepada pelajar yang tinggal jauh dari bandar Kuala Terengganu turut serta dalam pesta buku DBP kelak.

Program julung kali yang dilaksanakan di Sekolah Menengah (SM) Teknik Jalan Lapangan Terbang, Kuala Terengganu dijangka menarik penyertaan lebih 10,000 pelajar dan guru dari seluruh Terengganu khususnya dari Kuala Terengganu, Marang dan Setiu.
Pengerusi Pesta Buku DBP 2011, Datuk Abdul Ghani Ngah, berkata pihak DBP dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) dan Dawama Sdn Bhd akan melebar luaskan program itu bagi memberi manfaat yang lebih menyeluruh kepada pelajar dan guru yang tinggal di kawasan jauh dari Daerah Kuala Terengganu khususnya di Kemaman.

“Kita akan mengenal pasti lokasi yang strategik dan tempatnya nanti mungkin di mana-mana sekolah kerana terdapat kemudahan pengangkutan untuk memastikan ia mudah dikunjungi,” katanya selepas merasmikan program itu, di SM Teknik, Lapangan Terbang, hari ini.

Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah Bahasa Melayu, Che Soh Che Muda. Beliau merasmikan program mewakili Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Haji Ahmad Razif Abd Rahman, selain mewakili Pengarah JPNT, Encik Razali Daud.

Lebih 10,000 penerbitan DBP termasuk majalah, bahan bacaan umum kanak-kanak, kamus, novel dan cerpen dijual dengan tawaran diskaun sehingga 70 peratus di pesta yang berlangsung tiga hari bermula semalam itu.

Selain itu, pelbagai aktiviti menarik turut disediakan kepada pengunjung seperti pertandingan seni khat, pertandingan mewarna, bercerita dan program bengkel majalah dalam kelas.

Datuk Abdul Ghani yang juga Pengerusi Eksekutif Dawama Sdn Bhd berkata, berbanding syarikat penerbitan lain, Dawama hanya menawarkan naskhah buku berkualiti terbitan DBP dan percaya buku-buku popular dan bermutu ini akan sentiasa mendapat sambutan hangat para pembaca.



Sementara itu beliau juga tidak menafikan kesan daripada pengaruh medium baru bahan bacaan menerusi internet turut menjejaskan penggunaan buku fizikal pada masa kini. Bagaimanapun, ia tidak membantutkan usaha penulisan dan tetap menggalakkan kemunculan penulis baru yang mampu mengembangkan lagi dunia sastera dan bahasa ibunda kita.

“DBP khusus ditugaskan oleh Kementerian Pelajaran terutama dalam membangun membina bahasa dan menyebar luas ilmu melalui penulisan bermutu, di samping mencetak dan mengedar buku teks untuk keperluan pelajar dari peringkat pra sekolah hingga menengah tinggi.

“Jadi misi dan tugas rasmi ini memiliki kepentingan dan fungsi yang tersendiri yang tidak memberi impak secara terus dengan prestasi jualan buku DBP yang diuruskan oleh Dawama ini,” katanya.

Katanya, DBP tidak berdepan dengan persaingan secara langsung dengan penerbit buku lain di negara ini kerana kekal dengan fungsi asas DBP yang menerbitkan buku bagi tujuan pembangunan negeri selari dengan kaedah sistem kokurikulum yang didasari oleh kerajaan.




Lebuh Raya Pantai Timur - LPT Fasa 2



Masalah sosial tanggungjawab bersama

Oleh: Esah Abdullah

Sikap ambil cakna di kalangan masyarakat kampung dapat membantu menyelesaikan masalah yang berbangkit terutama penyakit sosial dan penyalahgunaan dadah yang amat membimbangkan.

“Dengan adanya campur tangan anggota masyarakat sekeliling, sekurang-kurangnya dapat membendung perkara yang tidak diingini itu berleluasa,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permaisuri, YB Abdul Halim Jusoh.

Katanya, membasmi penyakit dadah adalah tanggung jawab bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Kawasan Rukun Tetangga (KRT, Ikatan Relawan Rakyat (RELA). persatuan belia dan organisasi dalam kampung masing-masing.

“Kumpulan inilah yang menjadi mata dan telinga kerajaan dan jika ada berlaku gejala yang tidak sihat laporkan segera kepada anggota polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada Teganukita.

YB Abdul Halim, turut mengingatkan anggota masyarakat tidak bertindak sendiri ketika menyelesaikan sebarang masalah yang berbangkit sebaliknya serahkan kepada pihak bertanggungjawab.

“Saya tidak mahu sebarang campur tangan tanpa dirujuk kepada pihak berwajib akan menimbulkan masalah yang lebih besar dan tercetus pergaduhan,” katanya.

Beliau seterusnya mengingatkan orang ramai agar berhati-hati menerima tetamu yang tidak dikenali kerana mungkin ada agenda yang tersembunyi.

“Beringat sebelum kena kerana banyak kes yang kita baca di surat khabar, khususnya golongan remaja mudah terpedaya dengan janji manis individu yang baru dikenali melalui pertemuan singkat dan juga teman face book, akhirnya kita yang terjerat,” katanya.




Golongan miskin dapat rumah

Oleh: Esah Abdullah

Kerajaan tidak pernah pinggirkan golongan miskin dan sentiasa menghulur pelbagai bantuan termasuk input pertanian, ternakan dan juga rumah kediaman.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Alor Limbat, YB Alias Abdullah berkata, anggota masyarakat yang miskin dan miskin tegar sentiasa dibantu agar mereka dapat meneruskan kehidupan seperti insan lain yang lebih bernasib baik.

“Kita akan beri bantuan kepada golongan miskin tegar, warga emas dan ibu tunggal yang mempunyai anak sekolah,” katanya kepada Teganukita.

Sebaliknya kata YB Alias jika mereka masih sihat dan mampu bekerja, bantuan berbentuk barangan dan keperluan untuk berniaga dan jika minat bertani kerajaan sediakan baja dan benih untuk diusahakan.

“Apa saja keperluan yang bersesuai dengan individu terbabit akan diberikan dan yang penting mereka mampu berdikari dan memberi kehidupan yang sempurna kepada keluarga masing-masing,” katanya.

Tambah YB Alias setiap tahun tidak kurang 40 buah bina baru dan baiki rumah diperuntukkan setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memastikan semua rakyat dapat rumah kediaman yang selesa.

Katanya, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) hendaklah sentiasa membuat bacian mana-mana penduduk di bawah jagaan masing-masing yang layak menerima bantuan.

“Dengan berbuat demikian, usaha menyampaikan sumbangan berjalan lancar kerana senarai penerima sentiasa berada dalam pengetahuan JKKK,” katanya.