Halaman

18 April 2011

Karnival candat sotong tarikan baru pelancongan

Oleh: Aida Abd Rahman

Karnival Candat Sotong Harian Metro 2011 menjadi antara aktiviti dalam kalendar pelancongan negeri yang dijangka mampu menarik penyertaan pelawat tempatan dan luar negeri ke Terengganu.

Program anjuran akhbar Harian Metro dengan kerjasama Kerajaan Terengganu bakal dijalankan di Pulau Warisan dan Ri-Yaz Heritage Maria Resort & Spa, Pulau Duyong, Kuala Terengganu, selama tiga hari bermula 29 April depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said, berkata karnival yang julung kali dilaksanakan itu menjadi medan bagi mempromosikan negeri ini serta membuka peluang perniagaan kepada penduduk setempat untuk menambah pendapatan.

“Aktiviti candat sotong sememangnya sinonim di Terengganu dan penganjuran karnival itu akan menjadi tarikan terbaru pelancong ke negeri ini. Malah, kita yakin jumlah pengunjung dan peserta akan meningkat menerusi pengajuran karnival ini.

“Tarikan pelancongan itu pula ditambah dengan faktor keadaan negara yang lebih stabil dan selamat berbanding beberapa negara lain yang sebelum ini menjadi destinasi tumpuan pelancong,” katanya selepas pembentangan kertas cadangan karnival itu di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Datuk Abdul Rahin berkata, pemilihan Kuala Terengganu sebagai lokasi karnival amat tepat seiring dengan kedudukan pantainya yang menghadap Laut China Selatan apatah lagi aktiviti mencandat sotong hanya boleh diadakan di Pantai Timur terutama Terengganu.

“Penganjuran karnival ini akan memberi impak positif kepada pelbagai lapisan masyarakat di negeri ini amnya dan Kuala Terengganu khasnya menerusi pembabitan pelbagai pihak,” katanya

Projek ternakan udang berjalan lancar

Oleh: Suriati Ali

Terengganu bakal menjadi pengeluar udang terbesar di Malaysia apabila projek ternakan udang membabitkan kawasan seluas 1,000 hektar di Kampung Nyatoh, Setiu dapat dipasarkan kelak.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, buat permulaan sebanyak 216 kolam membabitkan kawasan seluas 400 hektar akan diusahakan dalam tempoh terdekat, sebelum semua kolam terbabit beroperasi sepenuhnya.

Katanya, projek yang bakal mengubah ekonomi negeri dan memberi pendapatan kepada peserta itu berjalan mengikut jadual yang ditetapkan.

“Kerja –kerja terakhir menyiapkan kolam termasuk memasang kanvas khas sedang giat dijalankan oleh kontraktor dilantik. Oleh itu, pihak kami yakin, udang peringkat pertama boleh dilepaskan pada September ini.

“Udang yang diternak itu boleh mencapai tempoh matang selama empat bulan sebelum dapat dipasarkan secara meluas termasuk ke luar negara,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke kolam ternakan udang di kampung itu, baru-baru ini.

Menurutnya, lebih 1,500 peluang pekerjaan dapat ditawarkan kepada penduduk tempatan terutama di bawah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) apabila siap sepenuhnya kelak.

“Melalui projek ini, sudah tentu memberi manfaat kepada penduduk untuk menikmati kehidupan lebih selesa,” katanya.




Pameran 1Asean 1Jalinan dapat sambutan menggalakkan

Oleh: Suriati Ali

Kira-kira 50,000 pengunjung dijangka hadir sempena Pameran 1Asean 1Jalinan yang berlangsung selama 75 hari dan berakhir 30 Jun ini di Galeri Teksil & Foyer Muzium Negeri, Kuala Terengganu.

Pengarah Lembaga Muzium Negeri Terengganu, Haji Mohd Yusof Abdullah, berkata kehadiran pengunjung termasuk orang awam dan pelajar untuk mengetahui lebih mendalam tentang keunikan tekstil Asean sangat memuaskan walaupun baru sebulan dianjurkan.

Katanya, pameran tersebut cukup istimewa kerana semua tekstil yang dipamerkan adalah gabungan dari pelbagai negara Asean di mana mempunyai kecantikkan dan keunikan tersendiri.

“Orang ramai tidak perlu ke Jakarta, Filiphina atau Singapura untuk melihat hasil tekstil negara itu kerana semuanya terdapat di pameran 1Asean 1Jalinan anjuran LMNT dengan kerjasama Terengganu Institute Of Design Exxellence (TIDE).

“Pameran ini menjadi wadah dalam penyaluran maklumat pada masyarakat menyelami pemikiran dan kreativiti serta menghargai keunikan dan keindahan warisan dari pelbagai negara.

Haji Mohd Yusof berkata, objektif pameran adalah memperlihatkan keunikan tekstil warisan tempatan dan negara Asean kepada masyarakat, mendidik generasi muda agar menghargai warisan tempatan dan luar selain memberi peluang kepada generasi menghayati dan membaca pemikiran masyarakat dahulu kala.

Acara sampingan yang diadakan ialah pertunjukan fesyen, demonstrasi tenunan songket, ikat pelangi, ikat limar dan celuk benang , bergerus, mencating batik, batik blok, cara memakai kain serta membuat cop batik.

Katanya, pameran yang menyasarkan pengunjung di kalangan penyelidik tempatan dan antarabngsa, pelajar institut pengajian tinggi, peminat dan pencinta seni budaya, pelajar sekolah, orang awam serta jabatan kerajaan dan bukan kerajan (NGO) turut diadakan bengkel serta jualan produk seperti songket, batik, sutera dan kraf.




Terengganu bakal jadi pengeluar utama tebu telur

Oleh: Aida Abd Rahman



Kerajaan negeri menyusun pelbagai perancangan dan kaedah rapi bagi memastikan Terengganu muncul antara negeri pengeluar utama tebu telur di negara ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Haji Asha'ari Idris, berkata bagi memastikan hasrat itu tercapai, kerajaan bakal melaksanakan projek penanaman yang berskala besar di Kampung Bukit Muntok, Setiu, pada tahun ini.

Katanya, kerja pembersihan tapak dalam fasa pertama seluas 12 hektar melibatkan peruntukan RM150,000 sudah selesai dan kini diikuti dengan kerja perparitan bagi membolehkan 30 peserta projek itu memulakan penanaman tidak lama lagi.

“Jika penanaman tebu telur ini sesuai dengan keadaan negeri ini, kita akan memperluaskan lagi kawasan penanamannya ke tempat-tempat lain,” katanya selepas melancarkan seminar peraturan, penggredan, pembungkusan dan pelabelan keluaran pertanian (peraturan 3P) bagi Zon Timur, di Hotel Permai Inn, Kuala Terengganu.

Haji Ashaari yakin penanaman tebu telur yang sebahagian besarnya bertujuan untuk membuat air tebu dan menjadi antara minuman popular di negara ini, mampu memberi pulangan lumayan kepada peserta memandangkan permintaan yang tinggi di pasaran tempatan dan juga luar negara.

Katanya, beberapa pegawai di Jabatan Pertanian Negeri Terengganu sudah ke Negeri Sembilan selaku pengeluar terbesar tebu telur, bagi melakukan penyelidikan dan melihat kaedah penanaman yang boleh dilaksanakan di negeri ini.



Berekreasi dan menyertai Nipah Cruise di Taman Rekreasi dan Jeti Tebing Tinggi, Seberang Takir



Nipah River Cruise bersama YB Ahmad Razif




Taman Rekreasi dan Jeti Tebing Tinggi, Seberang Takir akan dimajukan sebagai kawasan riadah, rekreasi dan 'nipah cruise' sebagai satu lagi daya tarikan pelancongan di Seberang Takir.

Taman dan jeti berkenaan yang terletak di hadapan Pejabat Pos Seberang Takir, kini menjadi kenyataan dan telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Seberang Takir, YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman, sebelah pagi tadi (18 April).

Jeti dan taman rekreasi itu disiapkan oleh Jabatan Kerja Raya(JKR) dengan kos RM290,000 yang akan dilengkapkan dengan pelbagai kemudahan aktiviti air dan 'nipah cruise'.


Jeti Tebing Tinggi yang baru siap di bina (depan Pejabat Pos Seb.Takir)

YB Ahmad Razif dalam ucapannya menyatakan 'nipah cruise' ini adalah menggunakan bot-bot 'fiber' yang sedia ada oleh pemiliknya di Seberang Takir untuk tujuan membawa
pelancong meneroka alur sungai hingga ke Hulu Takir.

Beliau berharap untuk fasa kedua, sebuah lagi jeti akan dibina bagi di Hulu Takir pula bagi memberi peluang peserta 'nipah cruise' melihat perusahaan membuat atap, nira dan pelbagai produk nipah, termasuk ternakan ketam nipah di Kampung Batin.



Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu masjid baru di hujung tanjung Seberang Takir akan dibina dan sebahagiannya akan berada di dalam air sebagai tarikan pelancong.

"Rang-rang ikan sedia ada akan dibina dengan lebih baik dan di sana pelancong juga berpeluang melihat proses pembuatan ikan kering dan keropok secara tradisional,termasuk menumbuk ikan menggunakan lesung kayu dan 'menggentel' keropok" katanya.

Beliau yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri berkata, di hujung Takir itu adalah lokasi sejarah perlaksanaan hukum Islam dan sebab itulah suatu program 'Jejak Ulamak' melalui sungai (river cruise) akan dianjurkan oleh kerajaan negeri.

Katanya, ia akan bermula dari Istana Maziah, Taman Tamadun Islam,Tok Syeikh Duyong di Duyong Kecil, Paloh (Tokku Paloh) sehinggalah ke Pulau Manis.

Beliau juga memberitahu, sebuah lagi kawasan untuk menikmati masakan 'Ikan Celup Tepung' (ICT) akan dibina di kawasan pantai di Kampung Baru Seberang Takir, di belakang Pusat Latihan Perikanan, diperluaskan lagi dengan pelbagai produk perikanan.

"Kita mahu Seberang Takir yang maju dengan keropok dan pelbagai produk dari laut ini sebagai hub perikanan dengan kerjasama Jabatan Perikanan katanya.

MAKLUMAT PRODUK NIPAH:

Pokok Nipah yang berumur 5 tahun ke atas sahaja yang sesuai disadat (tapped) untuk
menghasilkan nira nipah.Kadar pengeluaran nira adalah bergantong kepada
persiapan awal sebelum hirisan dibuat seperti “ kaedah urutan tangkai bunga” yang
dibuat, sekiranya tidak dibuat dengan sempurna pengeluaran nira agak berkurangan.Nira nipah mempunyai khasiat dimana dipercayai jika diamalkan boleh menyembuhkan pengidap penyakit kencing manis darah tinggi serta menyejukan tubuh badan.. Selain daripada penghasilan nira nipah , daun nipah boleh dianyam untuk dijadikan atap dan juga dijadikan sebagai pembalut kuih tradisional (Gedong Chak), dibahagian tengah daun nipah bila diraut boleh dijadikan penyapu lidi. Di bahagian pucuk daun Nipah pula boleh dijadikan rokok (rokok daun nipah).Bunga nipah boleh dimakan begitu sahaja sebagai ulam atau dijadikan kerabu. Kelopak bunga menghasilkan aroma yang wangi bila dicampur kedalam teh.Buah nipah yang muda dapat dimakan yang dinamakan attap chee dan boleh dimakan bersama ais kacang ,laincikang dan sebagainya


Oleh:Ruslan AR, gambar: ehsan Utusan


Rakyat usah tertipu dengan sandiwara pemimpin pembangkang

Oleh: Pencari Keadilan


Sandiwara...mengaburi mata rakyat dengan pelbagai helah.

Rakyat Terengganu diingatkan supaya tidak tertipu dengan sandiwara pemimpin parti pembangkang, terutama sekali Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dato’ Seri Anwar Ibrahim, yang penuh dengan tipu helah untuk mengaburi mata masyarakat negara ini.

Sebaliknya, mereka dinasihatkan supaya mengamalkan sikap bersyukur di atas segala kurnia yang diberikan kepada mereka melalui kerajaan negeri pimpinan Barisan Nasional (BN), sesuai dengan tuntutan agama.

Melalui beberapa siri perjumpaan dengan penduduk tempatan dan pembahagian bantuan pakaian sekolah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, sepanjang minggu ini, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata rakyat boleh menilai sendiri apa yang dilakukan oleh para pemimpin BN untuk kesejahteraan mereka.

“Kerajaan beri macam-macam kepada rakyat, kita beri e-Book secara percuma, kita adakan Kelas Maya, kita beri biasiswa kepada pelajar cemerlang dan anak-anak yang masuk universiti kita beri wang pendahuluan untuk membeli kelengkapan masuk ke universiti.

“Tetapi apa yang pemimpin pembangkang beri kepada anak-anak kita ? Yang ada cuma mereka menjadi tukang hasut supaya anak-anak kita yang ada di luar negara membenci pemimpin kerajaan,” ujar beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri.

Menurut beliau, ada pelajar Terengganu yang sedang belajar di luar negara terkandas dalam pelajaran akibat dihasut pemimpin pembangkang hingga mereka lebih berminat dalam politik daripada belajar.

Katanya, Dato’ Seri Anwar tidak melakukan apa-apa untuk membantu pelajar, sebaliknya lebih terkenal dengan segala kegiatan tidak bermoral.

Menyentuh isu video seks pemimpin pembangkang itu yang sedang hangat diperkatakan, Menteri Besar mengulas hanya dua cara Anwar boleh membersihkan namanya jika benar dia tidak bersalah.

“Pertama, Anwar mesti melakukan sumpah laknat bahawa beliau tidak pernah terlibat dalam perbuatan liwat dan melakukan hubungan seks dengan pelacur seperti yang didedah dalam video seks tersebut.

“Kedua, beliau perlu menyerahkan DNA secara sukarela kepada pihak berkuasa untuk membuktikan kebenarannya,” ujar beliau.

Bagaimanapun, hingga kini pemimpin pembangkang itu tidak melakukan kedua-dua perkara tersebut dengan pelbagai alasan, termasuk kononnya pihak polis akan menipu dalam soal menentukan DNA beliau.

“Inilah antara sandiwara yang dilakukan oleh pemimpin parti pembangkang dan rakyat tidak perlu percaya lagi kepada mereka yang suka berdolak-dalik,” tegas Menteri Besar.

Sehubungan itu, beliau mahu rakyat berterima kasih kepada pemimpin kerajaan dan menyokong kerajaan yang ada sekarang ini supaya BN menang dalam pilihan raya umum akan datang.



Talong dan Seri tarikan baru ke mini zoo Bukit Takal

Oleh: Kamarudin Mat Akib


Dato' Seri Haji Ahmad dan rombongan memberi makan kepada anak gajah di Mini Zoo Bukit Takal, Kemaman. - Foto: Syed Abdul Rahman.

Dua ekor anak gajah – Talong dan Seri – menjadi daya tarikan terbaru kepada pengunjung Taman Rekreasi dan Mini Zoo Bukit Takal, Kemaman.

Kedua-dua haiwan liar berkenaan yang kini telah dijinakkan, ditempatkan di mini zoo tersebut sejak pagi semalam dan kini dalam proses menyesuaikan diri dengan persekitaran baru.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang sedang dalam lawatan kerja di daerah itu semalam, turut meluangkan masa lebih sejam untuk ‘bermain-main’ dengan dua ekor haiwan tersebut.

Talong merupakan anak gajah jantan yang baru berusia setahun setengah manakala Seri anak gajah betina berusia empat tahun.



Dua gajah tersebut sebelum ini ditangkap di kawasan hutan berasingan di negeri ini dan dibawa ke Pusat Santuari Gajah Sungai Ketiar.

Haiwan berkenaan kini sudah jinak setelah hampir setahun ditempatkan dan dilatih di pusat berkenaan oleh kakitangan Jabatan Perhilitan Negeri Terengganu.

Kedu-dua haiwan berkenaan ditempatkan di satu kawasan berhampiran dua ekor harimau di dalam zoo tersebut.



Ancaman baru dalam arus teknologi ICT

Oleh; Esah Abdullah

Pelbagai cabaran dan ancaman baru mula muncul di dalam kepesatan arus teknologi ICT seperti pencerobohan siber terhadap sistem kawalan, kod bahaya, kecurian identiti, penipuan dan sebagainya.

“Contoh terbaru ialah kemunculan senjata siber yang dikenali sebagai ‘stuxnet’ telah mengemparkan dunia,” kata Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Dato’ Haji Wan Ahamad Wan Muda ketika merasmikan majlis penutup Seminar Pengurusan Keselamatan Sasaran Penting Zon Pantai Timur, di Wisma Darul Iman semalam.

Hadir sama, Ketua Polis Terengganu, Dato’ Jamshah Mustafa; Ahli-ahli Jawatankuasa Pusat Sasaran Penting (JPSP); Ahli-ahli Jawatankuasa Sasaran Penting Negeri (JSPN) Kelantan, Terengganu dan Pahang serta pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri dan Persekutuan.

Katanya, perlu ada satu mekanisma dan pendekatan yang boleh menghalang sebarang bentuk ancaman dari segi kebocoran maklumat, ketirisan dokumen serta perlanggaran keselamatan teknologi maklumat dan komunikasi terutama ketika mengendalikan hasil keluaran di sasaran penting.

Justeru itu katanya, semua pemilik dan penghuni sasaran penting perlu bersiap sedia, mengkaji dan mengemas kini pelan kontijen masing-masing bagi menangani bencana seumpamanya.

“Saya harap semua pihak dapat mengambil langkah proaktif dengan melapor segera kepada JSPN dan JPSP sekiranya berlaku sebarang kerosakan peralatan, pemendapan tanah dan sebagainya,” katanya.

Dato’ Haji Wan Ahamad turut berharap agar lima koridor pembangunan yang dilancarkan oleh mantan Perdana Menteri, antaranya Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) membabitkan tiga negeri di Pantai Timur ini bekerjasama menangani dalam pengurusan keselamatan.

“Semua yang terbabit dapat membantu memberi khidmat nasihat berdasarkan kepakaran teknikal dari aspek keselamatan perlindungan dan membantu menjayakan Program Tranformasi Ekonomi (ETP) Negara,” katanya.







17 April 2011

Inap Desa dinaik taraf

Oleh: Esah Abdullah

Pembangunan infrastruktur, kursus kepada pengusaha Inap Desa (ID) dan lawatan ke luar Terengganu antara penambahbaikan yang akan dilaksanakan kerajaan dalam usaha menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke negeri ini.

“Di samping keindahan alam semula jadi, penyediaan tempat penginapan yang selesa serta layanan mesra mampu menyumbang ke arah peningkatan pelancong,” kata Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia , Negeri Terengganu, Encik Ahmad Fathil Abdul Ghani.

Katanya kementerian telah menyediakan peruntukan untuk menaik taraf enam kawasan ID di negeri ini yang berdaftar di bawah Kementerian Pelancongan antaranya di Teluk Ketapang, Felda Selasih, Rhu Sepuluh dan Pasir Raja.

Katanya, pihaknya memberi penekanan terhadap industri ini kerana fungsinya turut menyumbang kepada peningkatan jumlah pelancong di mana tahun lalu telah mencatat pertambahan sehingga 44.13 peratus.

Selain itu katanya, pelancong domestik menunjukkan peningkatan ketara dengan pertambahan sebanyak 68 peratus tahun lalu berbanding tahun sebelumnya manakala pelancong asing sedikit menurun sebanyak 15 peratus.

Tambah Encik Ahmad Fathil, bagi mencapai matlamat meningkatkan 25 peratus lagi jumlah pelancong tahun ini, pihaknya akan melipatgandakan usaha dan promosi dalam dan luar negeri.

“Langkah tersebut termasuk membawa masuk lebih ramai pelancong dari Brunei dan Korea di mana pelancong dari negara berkenaan lebih gemar tinggal di ID,” katanya kepada Teganukita.

Menurutnya, tahun lalu pelancong asing yang banyak memberi sumbangan terhadap sektor pelancongan adalah dari negara Indonesia, Singapura, Sepanyol, Amerika Syarikat dan Belanda.

“Sasaran kita tahun ini pelancong asing lebih ramai berkunjung ke Terengganu dimana hasil kaji selidik mereka amat tertarik dengan pelbagai aktiviti tradisional serta terpesona dengan keindahan alam semula jadi yang terdapat di sini,” katanya.





Kos RM400 ribu baik pulih asrama terbakar


Oleh: Suriati Ali dan Hazwan Roslee


Kerajaan negeri meluluskan peruntukan RM400,000 bagi membaik pulih bangunan asrama Sekolah Menengah Agama Alfalah Kemaman yang terbakar dalam satu kejadian baru-baru ini.

Berita gembira itu diumumkan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said ketika hadir merasmikan Majlis Permaufakatan Ibubapa Pelajar Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Penyampaian Hadiah Kecemerlangan Akademik 2010 di sekolah itu, petang semalam (16 April).

Lebih 500 tetamu termasuk ibu bapa dan pelajar hadir di majlis tahunan itu.

Anugerah pelajar cemerlang bagi tingkatan satu, tingkatan dua dan tingkatan empat, pelajar cemerlang PMR dan SPM 2010 turut disampaikan kepada mereka yang berjaya.

Manakala kos untuk laluan berbumbung menuju ke surau dan menaiktaraf padang bola sekolah seperti yang diminta pihak pentadbiran akan diumum selepas Pejabat Daerah Kemaman dan Majlis Perbandaran Kemaman hadir membuat tinjaun.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata masyarakat terutama pelajar perlu mempelajari sekurang-kurang empat bahasa sebagai persediaan menempuh alam pekerjaan.

Katanya, jika mereka mampu menguasai pelbagai bahasa, mudah bagi mereka memperoleh pekerjaan selain tidak mudah tertipu dengan bangsa asing.

“Pendidikan cukup penting kerana mampu mengubah corak kehidupan dan ekonomi rakyat supaya dapat hidup lebih selesa.

“Saya selalu menyarankan kepada masyarakat hari ini supaya menuntut ilmu daripada buaian sehingga ke liang lahad sekiranya ingin menjadi bangsa bertamadun dan berjaya,” katanya.