Halaman

24 April 2011

CIKGU SHUKRIMUN KALAHKAH USTAZ ABU BAKAR


Cikgu Shukrimun tewaskan Ustaz Abu Bakar Abdullah

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Tepoh, Ustaz Abu Bakar Abdullah seorang yang berpendidikan agama tidak lagi dipilih sebagai Yang Dipertua Pas Kawasan Kuala Nerus, sebaliknya digantikan oleh Cikgu Shukrimun Shamsuddin.
Pemilihan dalam Mesyuarat Agung PAS Kawasan Kuala Nerus kali ke-34 hari ini,semalam 23 April me`nyaksikan PAS kawasan tersebut mendapat Yang DiPertua (YDP) baru.

Cikgu Shukrimun Shamsuddin telah dipilih melalui undi sulit di kalangan ahli-ahli jawatankuasa yang dipilih.

Manakala Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal YB Dr Alias Razak dipilih sebagai TimbalanYDP dan Bekas ADUN Teuk Pasu Ustaz Ismail Mamat sebagai Naib YDP.

Bermakna kini, pimpinan Pas Kuala Nerus berpindah dari seorang ustaz (yang biasanya digelar ulamak) kepada guru.



TURUN PADANG TEMUI RAKYAT TERENGGANU (PTP)DATO' SRI NAJIB ULANGI NOSTALGIA AYAHANDA KE TERENGGANU





Catatan: Ruslan AR

Lawatan Program Turun Padang (PTP) YAB Perdana Menteri, Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak ke Kuala Terengganu/Kuala Nerus sebenarnya mengulangi nostalgia lalu, ayahanda beliau yang pernah turun padang menemui rakyat Terengganu.

Gambar di atas dengan jelas mengingatkan kita kepada peristiwa tersebut. Allahyarham Tun Abdul Razak Husien, Perdana Menteri Malaysia waktu itu (pertengahan tahun 1974) datang ke Kuala Terengganu/Kuala Nerus, disambut oleh Menteri Besar Terengganu waktu itu, Datuk Nik Hassan Abdul Rahman, Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu merangkap Ketua Umno Bahagian Kuala Nerus.

Kelihatan menyambut beliau (lihat gambar) juga ialah Ketua Pemuda Pas waktu itu Dato' Mustaffa Ali (sekarang Setiausaha Agung Pas).

Sesungguhnya Dato' Sri Mohd.Najib mengulangi murni amalan Allahyarham Tun Razak yang amat terbuka sifatnya, bersedia menerima dan menemui rakyat di mana sahaja, di bandar mahupun di desa.


Persekitaran bersih pikat pelancong

Oleh: Esah Abdullah


Terengganu memiliki pantai yang cantik dan terus mengekalkan Negeri Cantik Budaya Menarik. - Foto: Zul Putra.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said meminta masyarakat di negeri ini lebih bertanggung jawab dalam menjaga kebersihan persekitaran jika mahu mengekalkan identiti negeri cantik budaya menarik.

“Kebersihan perlu dititik-beratkan walau di mana kita berada lebih-lebih lagi di kawasan bandar, taman rekreasi dan juga tandas awam,” katanya di majlis Perasmian Mesyuarat Agung Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-wakil Rakyat Negeri Terengganu (Serikandi) di Dataran Marang, Marang, Terengganu.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang.

Hadir sama, Yang Dipertua Serikandi yang juga isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud dan Pegawai Pembangunan Parlimen Marang, Senator Dato’ Haji Abdul Rahman Bakar.

Menteri Besar berkata, setelah 15 tahun berlalu tiba giliran Serikandi menjadi tuan rumah bagi program tahunan kejohanan sukan badminton dan boling isteri wakil-wakil rakyat seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Serawak.

“Sebagai tuan rumah semestinya Serikandi mahu menjadi ‘host’ terbaik supaya tetamu yang datang dan pulang akan membawa seribu kenangan yang manis,” katanya.

Selain mengikuti program yang diatur, para isteri juga akan turut membuat lawatan ke tempat-tempat menarik dan bersejarah di negeri ini dan boleh menilai pembangunan yang sedang rancak di sekitar bandaraya ini.

“Kita ada pantai yang tercantik, santuari kelah dan taman burung di Tasik Kenyir, monumen sejarah dunia di Taman Tamadun Islam (TTI) Pulau Wan Man, industri songket serta pusat industri keropok lekor di Losong,” katanya.

Dato’ Seri Ahmad seterusnya menyarankan agar diperbanyakkan maklumat tempat-tempat menarik seperti billboard, pamphlet dan poster serta perlu sediakan pemandu pelancong yang pandai berinteraksi dan luas pengetahuan mengenai sejarah negeri.




Penduduk Tepoh bakal terima 40 unit rumah baru

Oleh: Suriati Ali


YB Haji Muhammad Ramli Nuh menjadi tetamu di Tfm.

Penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh bakal menerima 40 unit rumah baru di Kampung Padang Nenas bagi menempatkan mereka, terutama golongan berpendapatan rendah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Muhammad Ramli Nuh berkata, pembinaan rumah itu adalah hasil sumbangan kerajaan negeri bersama Affin Bank.

“Rumah yang bakal dibina itu dapat menambah bilangan Taman Perumahan sedia ada dan menariknya, keadaan rumah itu lebih selesa berbanding kediaman kos rendah yang dibina sekarang ini,” katanya ketika menjadi tetamu radio Terengganufm hari ini (24 April).

Katanya, penduduk yang bercadang menambak tanah bagi membina rumah baru dinasihatkan supaya prihatin dengan keadaan jiran dan kawasan sekeliling.

“Perkara itu perlu diambil serius kerana bimbang akan menimbulkan masalah banjir dan pelbagai kesulitan sekiranya tanah yang ditambak melebihi had.

“Sebagai masyarakat bertamadun, kita perlu buang sikap pentingkan diri sendiri kerana sudah tentu menimbulkan dendam masyarakat setempat sekiranya berlakunya banjir,” katanya.

YB Haji Muhammad Ramli, berkata terdapat 35 kampung di kawasan Tepoh memiliki Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) manakala hampir 23,000 penduduk layak mengundi pada pilihan raya akan datang.

“Kepadatan penduduk terutama di Gong Badak membuatkan harga tanah kawasan itu melambung tinggi sehingga mencecah RM70,000 bagi 500 meter persegi,” katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri akan berusaha menyelesaikan masalah banjir yang sering berlaku di beberapa lokasi di DUN Tepoh secepat mungkin.

“Beberapa pendekatan diambil termasuk lebih kerap membersih longkang dan sistem peparitan serta membina saluran laluan air lebih besar berbanding biasa,” katanya.




YPKT anjur program bersama pakar

Oleh: Suriati Ali

Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) mengambil inisiatif menganjurkan Program Pemantapan Hubungan Intim Suami Isteri secara berperingkat-peringkat di beberapa kawasan terpilih di negeri ini.

Pendekatan itu dilaksanakan selepas menyedari betapa pentingnya hubungan intim, komunikasi dan kasih sayang antara suami dan isteri, terutama selepas 10 tahun berkahwin.

Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat Bahagian Pembangunan Komuniti YPKT, Encik Syed Lizam Sukairi Syed Abu Bakar, program berilmu itu akan dikendali khas oleh Pakar Sakit Tuan terkenal, Dr Ismail Thamby bagi membincangkan pelbagai topik dan masalah yang biasa dialami dalam rumahtangga.

Katanya, setakat ini pakar berkenaan telah menyampaikan ceramah di Paka, Kuala Berang, Padang Midin dan akan diteruskan ke kawasan lain mengikut jadual yang ditetapkan.

“Pihaknya mensasarkan mereka yang sudah berumahtangga terutama warga emas mengikuti program ini di mana di peringkat usia itu mudah dan cenderung untuk mengalami masalah tentang hubungan dalaman dan luaran.

“Kita bukan menekankan kepada isu seksual semata-mata malah lebih luas termasuk bagaimana ingin mengekalkan kerukunan rumah tangga dan bagaimana memahami masalah pasangan,” katanya.




Larian pesisir pantai acara baru Kapas-Marang Swimathon tahun depan

Oleh: Aida Abd Rahman


Datuk Abdul Rahin (kiri) ketika menyampaikan hadiah kepada pemenang Kapas-Marang International Swimathon 2011. - Foto: Harish Fadzillah.

Kerajaan negeri berhasrat menambah disiplin pertandingan `Kapas-Marang International Swimathon’ dengan acara larian sejauh kira-kira 50 kilometer, bermula dari Pantai Rantau Abang ke Pantai Kelulut, Marang, tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Keseniaan dan Warisan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said, berkata acara baru itu bertujuan memperkenal keindahan pantai Terengganu serta kelebihan negeri ini yang mempunyai pantai terpanjang di Malaysia, iaitu 244 kilometer.
“Pelepasan acara larian akan dilaksanakan serentak dengan program swimathon dari Pulau Kapas ke Pantai Kelulut, ” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Penutup Kapas-Marang International Swimathon 2011, di Pantai Kelulut, hari ini.



Hadir sama, Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia Terengganu, Encik Ahmad Fathil Abd Ghani; Pegawai Pembangunan Parlimen Marang, Senator Dato’ Abdul Rahman Bakar dan Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang, Nik Dir Nik Wan Ku.

Datuk Abdul Rahin berkata , kejohanan yang melibatkan dua acara yang dijalankan pada hari yang sama itu bakal menawarkan hadiah yang meningkat sekali ganda, berbanding kejohanan pada tahun ini yang mengumpul hadiah keseluruhan RM43,900.

“Hadiah mungkin dua kali ganda dan RM50,000 lagi kategori pantai. Tidak banyak negeri yang mengadakan larian atau marathon melalui pantai. Terengganu menjadi negeri yang menganjurkan larian paling jauh (50 km).

“Dari hari ke hari kita akan panjangkan lagi jarak dan mungkin buat satu rekod berlari di pesisiran pantai yang terjauh mungkin seperti endurance (kuda lasak) yang mencapai 160 kilometer,” katanya lagi.

Katanya, kerajaan negeri meminta semua pihak dan jabatan termasuk Majlis Perbandaran Dungun, Majlis Daerah Marang serta Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu bekerjasama mengembleng tenaga bagi memastikan penganjuran kejohanan pada tahun depan mampu menarik penyertaan lebih ramai serta mencapai hasrat penganjurannya.



Menurutnya, acara larian dijangka lebih mudah dan tidak sukar berbanding berenang merentasi lautan bergelora kerana umum mengetahui Laut China Selatan mempunyai pelbagai risiko kepada perenang jika tidak menitikberatkan aspek keselamatan.

“Perkara utama adalah memastikan keselamatan peserta ketika merentasi lautan dan kecemerlangan peserta pada kejohanan kali ini amat mengagumkan sekali,” katanya.

Sementara itu, sebanyak 20 peratus daripada 255 peserta pada kali ini melibatkan peserta asing termasuk dari Bosnia, Jerman, Hong Kong, Jepun, Rusia, Singapura, Afrika, Sepanyol, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Daripada jumlah itu, 191 peserta daripada 10 kategori yang dipertandingkan berjaya mengharungi dan menamatkan perlumbaan sejauh 6.5 kilometer dari Pulau Kapas menuju ke Pantai Peranginan Kelulut.





MBKT dan RAMD bekerjasama latih anggota penguatkuasa

Oleh: Esah Abdullah

Semua anggota bahagian penguat kuasa Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) akan mengikuti latihan fizikal untuk meningkatkan stamina di samping memupuk semangat patriotisme kalangan mereka.

“Latihan akan dijalankan dengan usahasama Batalion ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja Malaysia (RAMD) dalam usaha meningkatkan kecerdasan dan ketangkasan anggota penguatkuasa,” kata Datuk Bandar MBKT, Dato’ Haji Adzlan Mohd Dagang.

Katanya, usaha begini diharap mampu menjadi pemangkin dalam meningkatkan prestasi kakitangan terutama di jabatan penguatkuasaan dalam melaksanakan tugas yang mencabar ketika melakukan operasi.

“Kecerdasan yang ditonjolkan anggota Batalion RAMD membuktikan semangat kerja berpasukan yang tinggi dan perlu dicontohi semua lapisan masyarakat,” katanya selepas merasmikan majlis Penutup Pameran dan Pertunjukan Tentera sempena sambutan ulang tahun ke-35 batalion berkenaan di Dataran Syahbandar, Kuala Terengganu semalam.

Hadir sama, Pegawai Pemerintah Batalion ke-18 RAMD, Leftenan Kolonel Nasharuddin Mohamad dan Penolongnya, Mejar Fauzi Khamis.

Katanya, cadangan ini akan dibawa ke mesyuarat jawatankuasa peringkat negeri dalam memerangi isu-isu berkaitan termasuk penyalahguanaan dadah di negeri ini.

Sehubungan itu, pelbagai pengisian sempena sambutan yang berlangsung selama tiga hari, antaranya memberi pendedahan kepada golongan belia berkait bidang ketenteraan serta menarik minat mereka untuk menyertainya.




Umno mula gempur Manir, Bukit Tunggal

Dalam ucapan di majlis penyerahan tugas Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, yang diadakan di Putrajaya, Dato’ Seri Ahmad Said berikrar untuk memastikan Umno terus kukuh di Terengganu, sambil berusaha merampas semula beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dikuasai parti pembangkang, pada pilihan raya umum akan datang.

Menteri Besar yang diberi mandat untuk mengetuai Umno Terengganu dan mengambil alih jawatan itu daripada Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang memegang jawatan tersebut sejak April 2009, secara berkias berkata:

"Walaupun ada pepatah mengatakan bahawa 'indah khabar dari rupa' tetapi apa yang berlaku di Terengganu adalah 'indah rupa dari khabar'.

"Maknanya Umno Terengganu taklah seburuk yang digambarkan oleh orang dan saya bersedia melakukan apa sahaja demi kemenangan Barisan Nasional," kata beliau.

Bagi menunjukkan kesungguhan untuk merampas semula kerusi yang dimenangi parti pembangkang, Menteri Besar dalam ucapannya ketika merasmikan persidangan berkelompok Umno cawangan, Pergerakan Pemuda dan Wanita Bahagian Kemaman, mengumumkan Umno akan menggempur dua kerusi DUN yang diwakili Pas iaitu Manir dan Bukit Tunggal.

Sesungguhnya kehadiran Presiden Umno yang juga Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak, di dua kawasan itu yang diwakili Pas Sabtu depan, merupakan acara ‘letak kerja’ dalam usaha Umno menggempur kawasan tersebut.

Selepas ini, pelbagai tindakan susulan bakal dilakukan pemimpin Umno Terengganu untuk memenangi semula hati penduduk di kawasan berkenaan, seterusnya memastikan ia kembali semula ke pangkuan Umno pada pilihan raya umum akan datang.

Jika diteliti sejarah lampau, kedua-dua kawasan tersebut bukanlah kubu kuat Pas kerana beberapa pemimpin Umno pernah menang di kawasan berkenaan.

Kawasan Manir kini diwakili pemimpin Pas, Dato’ Haji Harun Taib manakala Bukit Tunggal dimenangi Dr Haji Alias Razak. Kedua-dua wakil rakyat tersebut pernah tewas kepada calon Barisan Nasional (BN) di kawasan yang sama dalam pilihan raya sebelum ini.

Dalam erti kata lain, mereka bukanlah ‘kebal’ dan tidak boleh dikalahkan oleh calon lain pada pilihan raya umum akan datang.

Dengan usaha gigih pemimpin Umno dan BN, diikuti sokongan kuat daripada penduduk di kawasan tersebut, peluang BN memenangi semula kawasan tersebut amat cerah dan jika ini berlaku mereka boleh ‘menghadiahkan’ kawasan itu kepada Presiden parti yang bekerja keras untuk menguatkan semula Kerajaan BN di seluruh negara.





Pelajar politeknik, IPT berpeluang sambung Ijazah Sarjana Muda di TATiUC

Oleh: Aida Abd Rahman

Pelajar lepasan politeknik serta Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Awam Swasta (IPTS) kini memiliki peluang yang luas untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Ijazah Sarjana Muda yang berkonsepkan kemahiran di Kolej Universiti Tati (TATiUC).

TATiUC mengamalkan konsep 70 peratus praktikal dalam sistem pembelajaran di peringkat Ijazah Sarjana Muda yang ditawarkan kolej universiti berkenaan.
Rektornya, Dr Mohd Rozailan Mamat, berkata TATiUC mensasarkan kemasukan lebih 900 penuntut bagi kemasukan Julai ini dengan menawarkan 32 kursus kepada pelajar lepasaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Katanya, TATiUC mencatat rekod kemasukan tertinggi pada tahun allau dengan 780 penuntut yang mendaftar menerusi pelbagai bidang dan kursus yang ditawarkan sekaligus mampu mencapai hasrat menjadi universiti penuh menjelang 2015.

“TATiuc juga ini dalam perancangan membina kampus kedua di bangunan Pusat Pupuk Semangat dengan kapasiti 500 penuntut selain menambah prasarana sedia ada di kampus utama.

“Selain itu, kemudahan perpustakaan yang dapat memuatkan lebih 1,000 penuntut dan pusat sukan bagi meningkatkan pembangunan warga TATiUC juga akan dibangunkan,” katanya.

Pada masa yang sama, TATiUC meningkatkan usaha untuk muncul antara peneraju dalam melahirkan teknorat berkemahiran tinggi dan berketerampilan dalam pelbagai displin kejuruteraan.

Katanya, satu langkah yang besar tahun ini ialah dengan rancangan menawarkan kursus berkaitan lokomotif yang pertama seumpamanya di rantau ini.





Terengganu mahu kekal juara dalam Sukma

Oleh: Suriati Ali


Pasukan juara bergambar dengan Menteri Besar selepas majlis penyampaian hadiah. - Foto: Harish Fadzillah.

Terengganu bersedia menghadapi temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-14, Kuala Lumpur dengan meraih kejuaraan buat kali ketiga berturut-turut pada pada 2 hingga 12 Jun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Haji Rozi Mamat, berkata pasukan Terengganu mensasarkan 48 pingat keseluruhan dengan 24 emas, 15 perak dan sembilan gangsa.

“Semua pihak yang terlibat terutama atlet dan pengurus sukan digesa melakukan yang terbaik bagi mengekalkan kejuaraan seperti yang pernah dicapai sebelum ini.



“Selain itu mereka perlu melakukan perubahan kepada kaedah dan mekanisme penyediaan atlet yang lebih baik, mampan dan lebih meyakinkan untuk mengulangi kejayaan itu,” katanya ketika berucap di Kejohanan Futsal Piala YAB Menteri Besar 2011, di Sport Planet, Gong Badak, Kuala Terengganu, petang tadi (23 April).

Menteri Besar Dato' Seri Haji Ahmad Said hadir menyampaikan hadiah kepada semua pemenang.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, Haji Khazan Che Mat dan pemimpin setempat.

Sebanyak 16 pasukan dengan penglibatan 1,280 peserta menyertai kejohanan anjuran Pemuda, Puteri Umno dan Kelab Remaja Terengganu.

Kejohanan itu mampu menyemai semangat kerjasama antara peserta, melahirkan belia aktif bersukan dan mampu menjauhkan diri anak-anak muda daripada gejala tidak bermoral.



Pasukan Menteri Besar dan Kelab Wartawan Terengganu turut beraksi dalam kejohanan itu sebagai gimik perasmian.

Haji Rozi turut memberitahu, mereka diingatkan jangan sesekali berasa selesa dengan kejayaan lalu tanpa melakukan apa-apa tindakan ke arah memastikan kejayaan tersebut berulang dengan lebih cemerlang.