Halaman

16 May 2011

RM1.5 juta untuk pelajar matrikulasi dan diploma

Oleh: Aida Abd Rahman


Pelajar beratur mendapatkan bantuan persediaan YT ke IPT Peringkat Matrikulasi/Diploma Sesi 2011/2012, di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Terengganu. - Foto: Zul Putra.

Kerajaan negeri memperuntukkan RM1.5 juta kepada 2,482 pelajar seluruh Terengganu yang bakal melanjutkan pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi seluruh negara peringkat matrikulasi dan diploma bagi kemasukan pertama bulan ini.

Daripada jumlah berkenaan, seramai 1,407 pelajar yang mendapat bantuan persediaan menerusi Yayasan Terengganu (YT) itu, menerima RM500 seorang bagi mengikuti kursus matrikulasi, manakala selebihnya menerima RM750 setiap seorang bagi pengajian peringkat diploma.
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata kerajaan memperuntukkan RM703,500 bagi kursus matrikulasi dan sejumlah RM808,250 bagi program diploma yang melibatkan peruntukan keseluruhan RM1, 511,750.

“Jumlah ini tidak termasuk pelajar yang telah menyertai kursus atau memasuki asrama penuh. Asrama penuh dan sijil masing-masing akan mendapat RM500 seorang dan peringkat ijazah akan menerima RM1,000 seorang bagi kemasukan September ini.

“Ini juga tidak termasuk mereka yang menyambung pelajaran di Institusi Pengajian Tinggi Swasta kerana mereka perlu melapor diri (di IPTS) terlebih dahulu. Berdasarkan surat pengesahan lapor diri itu kita akan bayar,” katanya ketika sidang media selepas menyampaikan bantuan persediaan YT ke IPT Peringkat Matrikulasi/Diploma Sesi 2011/2012, di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, YB Dr A Rahman Mokhtar dan Pengarah Yayasan Terengganu, Haji Aziz Mamat.

Menteri Besar berkata, jumlah keseluruhan sebenar yang dibelanjakan kerajaan negeri bagi bantuan persediaan melanjutkan pelajaran belum muktamad berikutan bantuan kali ini hanya melibatkan matrikulasi dan diploma sahaja, tidak termasuk pelajar ke IPTS dan peringkat ijazah.

Dalam ucapannya sebelum itu, Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, kerajaan negeri sentiasa memberi sokongan dan dokongan yang terbaik kepada rakyat negeri ini terutama dalam aspek pendidikan.

Katanya, pelajar tidak harus menjadikan kemiskinan dan kesusahan hidup sebagai penghalang untuk menyambung pelajaran di menara gading dan mencapai cita-cita serta kejayaan pada masa depan.

“Pada hari ini, mereka yang hebat (dalam pelajaran) akan menang dan mengecap kejayaan serta mereka yang lemah akan terus gagal dan terpinggir dalam arus pembangunan. Bangsa yang berjaya adalah bangsa yang memiliki pendidikan yang tinggi,” katanya lagi.





ASDI mampu beri pulangan kompetitif kepada pelabur

Oleh: Esah Abdullah

Kerajaan negeri sentiasa berusaha membantu meningkatkan pelaburan rakyat di negeri ini melalui Amanah Saham Darul Iman (ASDI) agar mendapat pulangan pelaburan yang kompetitif berbanding tabung-tabung lain yang ada di pasaran.

“Pulangan yang kompetitif akan menjadi tarikan kepada pelabur dalam memilih tabung yang boleh memberi pulangan baik, “ kata Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Katanya, pencapaian ASDI juga dipantau berdasarkan prestasi indeks FBM Syariah Busra Malaysia dan aras indeks ini akan menentukan pencapaian ASDI seiring atau lebih baik dari pencapaian pasaran.

Menurutnya, pulangan yang dicapai ASDI ialah 23.16 petarus (2009) dan 19.28 peratus (2010) namun ketika dunia mengalami masalah ekonomi global (2008) pencapaian ASDI juga mengalami penurunan 31.64 peratus tetapi lebih baik dari penanda aras FBM Syariah yang merosot 41.34 peratus.

“Hasil dari usaha pencapaian pulangan ini, jumlah unit dalam edaran telah meningkat dari 376.4 juta (2006) kepada 407.7 juta pada masa ini,” katanya.

Katanya, syarikat pengurusan juga telah mengambil inisiatif menggalakkan kakitangannya mengambil kursus dan peperiksaan yang dikendalikan oleh Suruhanjaya Sekuriti bagi memastikan kecekapan dan kemahiran dalam mengurus dana yang diamanahkan.

“Kecekapan dan kemahiran inilah yang diharapkan akan dapat membuahkan prestasi dan pulangan yang lebih baik dari pasaran,” katanya.

Selain itu pihak pengurusan juga akan terus meningkatkan kesedaran dikalangan pelabur untuk terus melabur didalam instrument pelaburan Syariah seperti ASDI.





Jasa Guru Dihargai




Pasukan badminton Serikandi cemerlang

Oleh; Esah Abdullah

Pasukan badminton Persatuan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-wakil Rakyat Negeri Terengganu (Serikandi) mempamerkan kehebatan apabila menumpaskan Persatuan Kakitangan Wanita dan Isteri Pegawai (Petronita) Institut Teknologi Petroleum Petronas (Instep) petang semalam (15 Mei).

Isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud selaku kapten pasukan Serikandi beraksi cemerlang apabila berjaya mengalahkan pasukan lawan 9-0 dalam perlawanan persahabatan di Dewan Badminton Instep, Batu Rakit.

Pasukan Serikandi dibarisi Datin Haslina Abdul Rashid, To’ Puan Zaimah Abdul Aziz, Puan Hajah Azizah N. Omar, Puan Hajah Nik Aini Nik Soh, Puan Suhaiza Abdul Malik, Puan Fazliaton Ruhaizan Ramli, To’ Puan Wan Habsah, Datin Faziah, Puan Hajah Wan Nurul Huda Wan Yahya dan Puan Hajah Fauziah.

Pasukan Serikandi yang bermain dalam sembilan perlawanan (acara bergu)telah berjaya menundukkan pasukan lawan (Petronita)dalam perlawanan begitu mendebarkan bermula 5.15 petang dan berakhir tujuh malam.

To’ Puan Seri Norliza yang bertarung dalam dua perlawanan berpasangan dengan Puan Hajah Wan Nurul Huda, menang 21-15 dan 21-0 manakala perlawanan kedua berpasangan dengan Puan Hajah Nik Aini (isteri YB Haji Khazan Che Mat) 21-12 dan 21-10.

Serikandi sentiasa mengadakan perlawanan persahabatan bandminton dan boling bersama Badan Bukan Kerajaan (NGO) wanita di negeri ini dalam usaha mengeratkan hubungan silatulrahim serta mengekalkan perpaduan masyarakat setempat.

“Perlawanan ini sebagai batu loncatan dalam usaha persatuan mendekati masyarakat dan kemesraan yang terjalin antara dua pasukan begitu bermakna kerana kadang-kadang jadual yang padat mengiringi suami ke majlis rasmi membataskan pergerakan kami,” kata To’ Puan Seri Norliza.

Sehubungan itu katanya, Serikandi berusaha meluangkan masa untuk bersama anggota masyarakat di luar sana dengan cara santai begini di mana secara tidak langsung boleh menghilangkan tekanan ahli-ahli setelah penat mengurus suami dan anak-anak.

Pasukan Petronita yang diketuai Datin Mariam Hasan mengakui kehebatan pasukan Serikandi dalam sukan badminton dan mampu menundukkan pasukannya yang dibarisi pemain muda namun beliau gembira di atas kesudian Serikandi berkunjung ke Instep dan berharap ini bukan pertemuan pertama dan terakhir.




Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara




Ukom sentiasa bersama media

Oleh: Kamarudin Mat Akb dan Harun Hassan



Unit Komunikasi Negeri (Ukom) akan membantu media tempatan mendapatkan pelbagai maklumat semasa mengenai dasar-dasar dan program kerajaan negeri, bagi memastikan rakyat mendapat berita yang tepat mengenai kerajaan negeri.

Pengarah Ukom, Haji Shamsudin Sulong, berkata langkah ini selaras dengan penubuhan Ukom yang bertujuan menjadi penghubung antara kerajaan dengan rakyat dengan menyalurkan maklumat semasa mengenai aktiviti dan program yang dilaksanakan kerajaan kepada rakyat.

“Sebab itulah kita (Ukom) sentiasa mengadakan program-program seperti bicara media, retreat media, pemimpin di Terengganu Fm dan jelajah media bagi memberi peluang pemimpin kerajaan bertemu dengan media dan menyampaikan maklumat mengenai portfolio mereka kepada media,” katanya ketika berucap pada majlis Retreat Media 2011 di Pulau Kapas, malam tadi.

Sehubungan itu, katanya, Ukom akan mewujudkan hubungan secara ‘inter-person’ dengan pihak media bagi membantu memartabatkan lagi pentadbiran negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Dato’ Haji Ahmad Said.

“Kita mahu memastikan kerajaan yang mentadbir urus negeri ini diterima oleh rakyat dalam bentuk negatif dan positif serta sentiasa memberi sokongan kepada pemimpin dalam apa jua keadaan,” katanya.




Kerajaan bangga PM bantu promosi candat sotong

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Harun Hassan




Kesudian Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak, ‘turun padang’ mempromosikan program mencandat sotong di Terengganu, menjadi daya tarikan kepada banyak pihak bagi menganjurkan acara tersebut pada masa depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, YB Datuk Haji Abdul Rahin Mohd Said, berkata kerajan negeri cukup berbesar hati apabila pemimpin nombor satu negara turut melapangkan masa membantu kerajaan negeri mempromosikan pogram mencandat sotong.

“Kerajaan negeri yakin selepas ini banyak pihak akan sama-sama membantu mempromosikan program mencadat sotong selepas menyedari ia juga mendapat perhatian Perdana Menteri, bagi menarik pelancong ke Terengganu,” katanya pada sidang media sempena Program Retreat Media 2011 di Pulau Kapas, malam tadi.

Sebelum itu, beliau turut menikmati makanan malam berupa barbeku hasil laut, bersama-sama kira-kira 20 wartawan dan jurugambar tempatan.

Perdana Menteri menyempurnakan acara pelepasan peserta mencandat sotong di Pulau Duyong sempena Program Turun Padang beliau akhir bulan lalu.

Datuk Haji Abdul Rahin berkata, acara mencandat sotong yang bermula bulan Mac merupakan program permulaan pelancongan di negeri ini pada setiap tahun.

Sehubungan itu, katanya, ia perlu dipertingkatkan bagi menarik lebih ramai pelancong pada masa depan.



15 May 2011

25 wartawan, jurugambar sertai Retreat Media 2011

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Harun Hassan




Seramai 25 wartawan dan jurugambar mewakili pelbagai organisasi media menyertai Program Retreat Media 2011 di Pulau Kapas, anjuran Unit Komunikasi Negeri Terengganu (Ukom).

Program tersebut yang turut disertai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Rahin Said, bermula pukul 8.30 pagi di mana rombongan media dibawa ke jeti Marang, menaiki bas yang disediakan pihak penganjur.



Pengarah Ukom, Haji Shamsuddin Sulong dan Timbalannya, Encik Ruslan Abd Rahman serta Presiden Kelab Wartawan Terengganu (Kawat), Ayob Mamat, hadir sama.



Selepas tiba di Pulau Kapas, para peserta program menyertai acara sukaneka yang melibatkan permainan bola tampar dan acara bola beracun serta rebut kerusi.



Pada sebelah malam ini mereka akan dibawa mencandat sotong di sekitar Pulau Kapas di mana lapan kategori dipertandingkan bagi merebut hadiah yang disediakan pihak penganjur.

Selepas mencandat diadakan sesi interaksi antara media dengan Datuk Abd Rahin dan Pengarah Ukom.



Terengganu bangkit untuk mara ke final Piala FA

Oleh: Aida Abd Rahman

Bersandarkan kebangkitan yang ditunjukkan pemain ketika menentang Pahang selepas ketinggalan dua gol pada separuh akhir yang pertama malam kelmarin, tidak mustahil buat skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim mengulangi kemenangan di laman sendiri, esok seterusnya melangkah ke final Piala FA.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu, Dato’ Che Mat Jusoh, berkata pihaknya tidak mahu mendabik dada dan terlalu yakin Terengganu bakal ke final Piala FA 2011 memandangkan resam bola sepak merupakan sesuatu perlawanan yang sukar dijangka biarpun pemain menunjukkan permainan yang baik sepanjang 90 minit persaingan.
“Saya tidak boleh meletakkan keyakinan seratus peratus memandangkan bola itu bulat, apa saja boleh berlaku. Bagaimanapun bersandarkan keadaan yag berlaku semalam dan kelebihan pemain dalam pasukan, saya berasa Insya-Allah, pasukan Terengganu boleh terus mara (ke final),” katanya ketika mengulas mengenai pencapaian Terengganu selepas memenangi perlawanan separuh akhir di Stadium Darul Makmur, malam kelmarin.

Beliau ditemui ketika mengiringi Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad dalam Program Sehari Bersama Menteri Besar Terengganu di Dewan Undangan Negeri Batu Buruk, di Pantai Chendering, semalam.

Terengganu berjaya mengatasi lawan yang berkelebihan dua gol pada separuh masa pertama, hasil tiga jaringan yang hadir dalam tempoh masa 27 minit terakhir perlawanan, bagi memastikan pasukan Penyu mengatasi Pahang, 3-1.

Mengulas kemenangan itu, Dato’ Che Mat berkata, suntikan semangat yang diberikan ketika waktu rehat selepas pasukan ketinggalan dua gol memberi keyakinan kepada pasukan untuk beraksi dengan lebih baik dan menampilkan kekuatan sebenar.

“Semasa rehat separuh masa kedua, kita memberi suntikan semangat bahawa pasukan kita lebih baik daripada lawan dan kita perlu buktikan kemampuan dan kehebatan kita memenangi perlawanan di tempat lawan ini,” katanya

Malah, Terengganu juga memiliki kelebihan apabila lima pemain pasukan itu terpilih menyertai skuad Kebangsaan dan inya perlu dimanfaatkan dengan sebaik mungkin dengan meneruskan prestasi terbaik bagi membuktikan bahawa pemilihan mereka sebagai pemain negara tepat.

Lima pemain yang disenaraikan termasuk Mohd Ashaari Shamsuddin, Mohd Sharbinee Allawee Ramli, Ismail Faruqi, Zubir Azmi dan Helmi Ramli.

Beliau berkata, pemain diberikan rehat secukupnya sejurus perlawanan malam itu (di Pahang) dan hanya keluar memanaskan badan petang semalam serta menjalani latihan pada awal pagi ini, selain memberi peluang mereka meluangkan masa bersama keluarga sebelum menjelangnya perlawanan penentuan malam esok.

Dato’ Che Mat juga menasihatkan penonton lebih berdisiplin, tidak menimbulkan provokasi dan menjaga tingkah laku sepanjang menyaksikan perlawanan akan datang bagi mengelak insiden yang memalukan dan perkara tidak diingini berlaku.




Hanya lima hotel ada Sijil Pengesahan Halal

Oleh; Esah Abdullah

Jabatan hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) melalui Unit Pengurusan Halal Bahagian Penyelidikan hanya mengeluarkan Sijil Pengesahan Halal (SPH) kepada lima buah hotel di daerah Kuala Terengganu dan tiada permohonan yang diterima dari daerah lain.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat berkata, SPH juga turut dikeluarkan kepada tujuh buah resort di seluruh negeri.

Katanya, antara resort berkenaan tiga dari Kuala Terengganu dan masing-masing satu di daerah Kemaman, Besut, Dungun dan Setiu manakala Hulu Terengganu dan Marang tidak ada permohonan yang diterima.

“Bagi restoran pula hanya dua sahaja yang memilik SPH iaitu di Kuala Terengganu dan Kemaman,” katanya kepada Teganukita.

Katanya, umat Islam diingat supaya berhati-hati memilih kedai makan dan tidak mengunjungi restoran yang tidak memiliki SPH kerana kebersihannya adalah diragui.

“Dalam keadaan hari ini banyak restoran dan kedai makan yang menyediakan pelbagai menu pilihan keluarga, namun sebagai orang Islam kita perlu berhati-hati membuat pilihan,” katanya.