Halaman

21 May 2011

Jauhi sikap adu domba – Tengku Putera

Oleh: Aida Abd Rahman

Golongan veteran perlu singkirkan perasaan gemar mengadu domba perihal `orang muda’, sebaliknya sentiasa berprasangka baik serta selalu mendoakan mereka terhindar daripada perkara negatif.

Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang, berkata golongan di usia emas ini perlu mengamalkan sikap mudah mendekati serta memperturunkan ilmu dan pengalaman terutama dalam bidang politik kepada orang muda.

"Nyahkan perasaan suka adu domba orang muda. Kita orang tua mesti letak perasaan yang baik terhadap mereka. Malah, sebaik-baiknya kita mendoakan mereka supaya terhindar daripada gejala sosial, bersikap malas dan meletakkan azam supaya mereka mampu berjaya,” kata beliau ketika berucap sempena Majlis Mesra Veteran Umno Bahagian Hulu Terengganu Bersama pemimpin Tahun 2011, di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu, semalam.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said merasmikan majlis itu. Turut hadir Pengerusi Majlis Veteran Umno Negeri, Dato’ Yahya Hashim; Timbalan Ketua Bahagian, YB Haji Rozi Mamat; Ketua Pergerakan Wanita Perhubungan Negeri, Senator Datuk Hajah Fatimah Hamat.

Hadir sama, Ahli Parlimen Hulu Terengganu, YB Haji Mohd Nor Othman dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Berang, YB Haji Zawawi Ismail, ketua-ketua sayap parti serta Ahli Veteran Umno Bahagian Hulu Terengganu.

Beliau yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Terengganu juga mengingatkan semua pihak sentiasa menghargai jasa golongan veteran yang sudah banyak memperjuangkan nasib bangsa Melayu dan mempertahankan tanah air sehingga negara dapat mengecap pembangunan hari ini.

Katanya, tanpa golongan itu juga, golongan muda hari ini pasti tidak berupaya mendapat nikmat yang ada kini dan setiap perjuangan mereka menjadi azimat yang cukup berharga untuk dikenang serta dihargai sampai bila-bila.

“Walaupun berbeza usia, cabaran yang ditempuhi dalam mendepani kemajuan dan juga suasana politik hari ini tetap sama. Seharusnya strategi yang ada digunakan secara bijaksana supaya dapat mencapai kecemerlangan dan sesuai dengan kehendak semasa,” katanya lagi.





Belia perlu sertai program ilmiah elak tanggapan negatif masyarakat

Oleh: Suriati Ali

Penyertaan remaja atau belia dalam program berbentuk ilmiah dan kemasyarakatan mampu menangkis tanggapan segelintir masyarakat terhadap golongan itu di mana sebelum ini sering dicemuh menjadi penyumbang besar terhadap pelbagai gejala sosial dan kegiatan kurang sihat.

Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Dato’ Haji Jailani Ngah, berkata masyarakat tidak wajar memandang serong terhadap golongan belia berikutan masih ramai di antara mereka berhati mulia dan terpelajar.

“Apa yang membanggakan mampu mengharumkan nama negara dalam pelbagai aktiviti berfaedah, termasuk sukan, pidato dan sebagainya,”katanya kepada pemberita ketika bersama-sama menyertai gotong-royong sempena program Pendidikan Imam Muda 2011, di perkarangan masjid lama, Kampung Tok Jembal, Kuala Terengganu, semalam, (20 Mei).

Kira-kira 200 pelajar sekolah menengah dan penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT) Awam di kawasan Parlimen Kuala Nerus dan Setiu dipilih Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (Jheat) untuk mengikuti program selama tiga hari yang berakhir hari ini (21 Mei).

Program anjuran Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasa Jheat turut menampilkan bekas Juara Imam Muda Encik Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan yang kini menjadi idola masyarakat.

Muhammad Asyraf bukan saja menjadi pendorong kepada peserta untuk melakukan yang terbaik malah mengembirakan penduduk setempat terutama kanak-kanak yang hadir dalam program jelajah itu. Rata-rata mereka tidak melepaskan peluang untuk mengambil gambar, bersalaman dan berbual mesra.

Dato’ Haji Jailani berkata, program ini cukup istimewa kerana setiap tingkah laku, kerjasama dan ketrampilan peserta sepanjang program akan diberi markah oleh juri berpengalaman sebelum diumumkan juara di akhir program.

“Sesiapa yang bergelar juara akan ditawarkan pekerjaan secara kontrak sama ada sebagai imam atau bertugas di jabatan kerajaan yang berkaitan selepas tamat pengajian kelak. Sekiranya, pemenang terdiri daripada pelajar pula, mereka dijanjikan biasiswa untuk menyambung pelajaran di mana-mana IPT,” katanya.

Projek perintis ini mampu melahirkan seorang imam dan pemimpin soleh di kalangan pelajar dan penuntut selain dapat mendidik mereka supaya menjadi insan cemerlang, berkaliber dan berilmu.




Didik anak elak terpengaruh gejala sosial

Oleh: Suriati Ali

Ibu bapa merupakan individu paling dekat untuk mendidik anak-anak terutama yang sudah meningkatkan dewasa atau belia supaya tidak leka dengan arus pemodenan.

Sekiranya kurang mendapat pendidikan dan kasih sayang, mudah bagi mereka mencari haluan lain serta terpengaruh dengan gejala negatif seperti merempit, penagihan dadah, mencuri, rogol dan sebagainya.

Imam Muda, Encik Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan berkata, dia mengakui belia hari ini terutama yang tinggal di kawasan bandar mudah terpengaruh dengan gejala tidak sihat sehingga kadang kala boleh mencemarkan maruah keluarga.




Katanya, masalah seperti ini perlu di pandang serius oleh semua pihak bagi mengelak berada di tahap serius. Pada masa sama, sewajar perlu diberi pujian kepada mana-mana agensi kerajaan, swasta dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang menganjur program berbentuk ilmiah.

“Saya percaya program seperti ini mampu menangkis sikap negatif masyarakat yang sering memandang serong terhadap golongan belia.

“Golongan muda sebenarnya cukup penting dalam masyarakat kita hari ini terutama untuk menaikkan imej negeri mahu pun Malaysia di mata dunia dalam pelbagai bidang,” katanya selepas Program Pendidikan Imam Muda program Pendidikan Imam Muda 2011, di perkarangan masjid lama, Kampung Tok Jembal, Kuala Terengganu, semalam, (20 Mei).

Seorang peserta Muhammad Muhaimi Abdul Malik, 25, yang juga penuntut Universiti Malaysia Terengganu, dia cukup bertuah kerana dipilih untuk menyertai program seumpama ini kerana banyak pengalaman dapat ditimba selain dapat mempelajari ilmu agama dengan mereka yang berpengalaman.

Katanya, dia berazam akan melakukan yang terbaik sepanjang mengikuti program tiga hari ini semata-mata ingin menambah ilmu di dada dan bukan hanya untuk bergelar juara .

“Pelbagai kenangan manis diperoleh dan paling tidak akan dilupakan sewaktu bersama-sama dengan juara imam muda abang Asyaraf menyertai aktiviti gotong royong, motivasi, suai kenal dan pelbagai program bersama masyarakat,” katanya.










Warga Setiu perlu pertahankan kemenangan

Oleh: Esah Abdullah



Ketua UMNO Bahagian Setiu, Dato’ Haji Mohd Jidin Shafee mengajak semua ahli parti mengukuhkan barisan demi pertahankan kemenangan yang sudah ada dalam genggaman agar tidak terlepas ke tangan orang lain.



“Ingatlah, kita perlu bersama kerana kekuatan akan menjelma apabila kita bersatu,” katanya ketika berucap di Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Setiu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ibrahim, Bandar Permaisuri, Setiu, semalam (20 Mei).

Persidangan perwakilan kali ke-23 itu telah dirasmikan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said. Hadir sama Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Dato’ Haji Tengku Putera Tengku Awang.

Katanya, pejuang UMNO jangan sekali-kali abaikan parti, kerana partilah yang menentukan kedudukkan kerajaan dan menzahirkan kemakmuran yang dikecapi hari ini.

“Sebagai ahli parti kita perlu berganding bersama untuk pertahankan apa yang kita miliki jangan sampai ia jatuh ke tangan orang lain,” kata Ahli Parlimen Setiu merangkap Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Dato’ Haji Mohd Jidin juga mengajak semua meneruskan agenda parti untuk raih kemenangan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Menjadi asam garam dalam politik bila berlaku pergeseran, bumi mana yang tidak ditimpa hujan dan lautan mana yang tidak bergelora, kepentingan parti tetap diutamakan,”katanya.

Dato’ Haji Mohd Jidin berkata, jentera parti bahagian Setiu sudah bersiap sedia untuk menghadapi PRU sama ada tahun ini atau tahun depan.



20 May 2011

Menangi hati rakyat

Oleh: Esah Abdullah



Pemimpin parti disaran sentiasa memantau dan mengambil tahu apa yang berlaku dalam masyarakat dengan membuat kunjungan lebih kerap untuk bertanya khabar kerana rakyat perlukan sentuhan pemimpin mereka.

“Kalau mahu menangi hati rakyat mestilah rajin bertemu mereka,” kata Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said di Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Setiu kali ke-23 di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ibrahim, Bandar Permaisuri, Setiu hari ini.


Hadir sama, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang; Ketua UMNO Bahagian merangkap Ahli Parlimen Setiu, YB Dato’ Haji Mohd Jidin Shafee; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permaisuri, merangkap Naib Ketua UMNO bahagian, YB Haji Abdul Halim Jusoh dan Adun Jabi, YB Haji Ramlan Ali.

Turut serta, Ketua Pergerakan Wanita UMNO bahagian, Hajah Wan Maznah Nong dan Ketua Pergerakan Puteri, Puan Rosnari Awang Ngah dan lebih 700 perwakilan daripada 150 cawangan dalam bahagian Setiu.

Katanya, berkhidmat dengan ikhlas dan jujur, jangan ada agenda tersembunyi kerana sebagai pemimpin ia menjadi contoh kepada orang yang dipimpin yang perlu mempunyai ketahanan diri serta tidak bersikap pendendam dengan sesiapa.

“ Sebagai orang politik, jangan mudah berkecil hati, jangan mudah ambil hati, jangan mudah makan hati serta jangan mudah membawa hati sebaliknya perlulah berhati-hati,” katanya.

Selain itu katanya, kerajaan sanggup berbelanja besar demi kesejahteraan masyarakat, menjaga kebajikan rakyat kerana golongan inilah yang jadi penentu barisan kepimpinan terus kekal untuk pertahankan kedaulatan bangsa dan agama.





Bantuan YT cetus semangat melangkah ke menara gading

Oleh: Aida Abd Rahman

Bantuan persediaan berupa wang tunai RM500 hingga RM1,000 yang disediakan kerajaan negeri kepada pelajar yang bakal menjejakkan kaki ke menara gading selepas mendapat keputusan yang baik dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menceriakan golongan itu, malah memberikan mereka lebih semangat untuk menyambung pengajian masing-masing.

Seorang pelajar, Farhana Najwa Mohd Akhir, 18, dari Taman Jaya Kijal, Kemaman berasa bertuah kerana menjadi salah seorang anak Terengganu yang mampu meraih pelbagai peluang dan bantuan yang disediakan kerajaan negeri.

“Saya rasa bertuah kerana kerajaan sentiasa bantu pelajar negeri ini dalam pelbagai aspek. Bantuan hari ini amat bermakna kerana dapat meringankan bebanan keluarga saya untuk menyediakan bajet bagi membeli pelbagai barangan sebagai persiapan sebelum memasuki pusat pengajian tinggi tidak lama lagi,” kata bakal penuntut Diploma Pengurusan Bank, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dungun.

Bagi Mohd Ramsyamjani Mohd Lazim, 18, dari Rhu Rendang, Marang, bakal mengikuti Diploma Sains UiTM Kampus Chendering, Kuala Terengganu pula bersyukur dengan bantuan kerajaan negeri kepada golongan pelajar seperti mereka.

Kata bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Sheikh Abdul Malek, Kuala Terengganu yang mendapat 6A 3B 1C dalam SPM lalu, bantuan itu amat wajar dan selari dengan kepimpinan kerajaan negeri yang sentiasa mementingkan kebajikan dan keperluan rakyat terutama dalam sektor pelajaran.

“Bantuan ini cukup bernilai buat kami dan kami lebih bersemangat untuk melangkah ke menara gading serta belajar dengan gigih dalam pelajaran supaya mampu mencapai hasrat dan cita-cita kami kelak,” katanya lagi.

Sementara bekas pelajar SMK Badrul Alam Shah, Kemaman, Zamira Zanilabidin, 18, turut berkongsi kegembiraan mendapat wang bantuan persediaan itu dan berhasrat menggunakan wang itu bagi membeli barangan yang penting untuk ke Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Kedah, beberapa hari lagi.

Anak kepada pekerja ladang di Seri Bandi, Kemasik, Zanilabdin Mohamad, itu menganggap bantuan itu dapat menampung perbelanjaannya sebelum ke UTM nanti, sekaligus dapat membantu meringankan beban bapanya yang hanya bekerja buruh.

“Syukur dengan apa yang diterima ini. Saya akan belajar dengan lebih tekun dan mungkin kejayaan yang diraih apabila bergelar graduan nanti membolehkan saya menikmati insentif dan ganjaran yang disediakan kerajaan,” kata bakal penuntut Diploma Sains Kuantatif itu lagi.

Kerajaan negeri menerusi Yayasan Terengganu memperuntukkan RM1.5 juta kepada 2,482 pelajar seluruh Terengganu yang bakal melanjutkan pelajaran peringkat matrikulasi dan diploma di Institusi Pengajian Tinggi Awam seluruh negara.

Daripada jumlah itu, seramai 1,407 pelajar menerima RM500 seorang bagi mengikuti kursus matrikulasi, manakala selebihnya menerima RM750 setiap seorang bagi pengajian peringkat diploma.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata kerajaan memperuntukkan RM703,500 bagi kursus matrikulasi dan sejumlah RM808,250 bagi program diploma yang melibatkan peruntukan keseluruhan RM1, 511,750.

“Jumlah ini tidak termasuk pelajar yang telah menyertai kursus atau memasuki asrama penuh. Asrama penuh dan sijil masing-masing akan mendapat RM500 seorang dan peringkat ijazah akan menerima RM1,000 seorang bagi kemasukan September ini.

“Ini juga tidak termasuk mereka yang menyambung pelajaran di Institusi Pengajian Tinggi Swasta kerana mereka perlu melapor diri (di IPTS) terlebih dahulu. Berdasarkan surat pengesahan lapor diri itu kita akan bayar,” katanya ketika sidang media selepas menyampaikan bantuan persediaan YT ke IPT Peringkat Matrikulasi/Diploma Sesi 2011/2012, di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Terengganu, baru-baru ini.







19 May 2011

Terengganu sedia bas untuk penyokong

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Harun Hassan



Terengganu akan menyediakan kemudan bas kepada para penyokong yang akan menyaksikan pertandingan akhir Piala FA antara pasukan negeri ini dengan Kelantan, pada 11 Jun depan.

Menteri Besar, Dato’ Haji Ahmad Said, berkata beliau akan meminta semua wakil rakyat supaya menyediakan bas untuk membawa penyokong masing-masing menyaksikan pertandingan akhir piala FA dan memberi sokongan kepada pasukan ‘Penyu’.

“Bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, kita akan sediakan 15 buah bas bagi tujuan ini,” katanya kepada wartawan pada sidang media selepas pelancaran Hari Belia Negara peringkat negeri Terengganu di padang Astaka Kuala Berang, petang ini.

Terengganu layak ke pertandingan akhir Piala FA untuk menentang satu lagi pasukan dari Pantai Timur, Kelantan setelah menewaskan pasukan jiran, Pahang pada kedua-dua pertandingan separuh akhir.

Menteri Besar berkata, pihaknya berharap penonton negeri ini akan memenuhi stadium yang akan dipilih sebagai gelanggang akhir pertandingan tersebut.



Dua gelanggang futsal baru setiap DUN

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Harun Hassan




Kerajaan negeri akan membina dua buah gelanggang baru futsal bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terengganu untuk kemudahan golongan belia beriadah.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata pada masa ini oleh dikatakan setiap DUN sudah ada gelanggang futsal yang didirikan kerajaan bagi tujuan yang sama.

“Matlamat kerajaan setiap peti undi akan ada satu futsal untuk golongan belia bersukan,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Hari Belia Negara Peringkat Negeri Terengganu di Padang Astaka Kuala Berang, petang ini.

Hadir sama Yang Dipertua DUN Terengganu, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Rozi Mamat; Ahli Parlimen Hulu Terengganu, YB Haji Mohd Noor Othman; Adun Jabi, YB Ramlan Ali dan Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Wan Mohamad Wan Ibrahim.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, gelanggang tersebut yang berharga antara RM100,000 hingga RM150,000 setiap satu akan dibina dalam tempoh terdekat ini.

Dalam perkembangan lain, beliau meminta pemimpin persatuan belia di negeri ini supaya merancang aktiviti yang berfaedah untuk golongan belia.



Nenek aktif politik sejak 1957 penerima Anugerah Jasamu Dikenang

Oleh: Aida Abd Rahman



Seorang nenek kepada enam cucu ini aktif bergelumang dengan dunia politik sejak 53 tahun yang lalu, malahan menyandang jawatan Ketua Wanita Umno Cawangan Pulau Bahagia bermula 1960 hingga kini.

Atas tiket itu, Hajah Gayah Ismail, 72, dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir menerima pengiktirafan Anugerah Jasamu Dikenang bersama 20 veteran Umno yang lain sempena Majlis Mesra Veteran Umno bahagian Hulu Terengganu Bersama Pemimpin Tahun 2011, di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang merangkap Setiusaha Perhubungan Umno Negeri; pengerusi Majlis Veteran Umno Negeri, Dato’ Yahya Hashim; Timbalan Ketua Bahagian, YB Haji Rozi Mamat; Ketua Pergerakan Wanita Perhubungan Negeri, Senator Datuk Hajah Fatimah Hamat.

hadir sama, Ahli Parlimen Hulu Terengganu, YB Haji Mohd Nor Othman dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Berang, YB Haji Zawawi Ismail, ketua-ketua sayap parti serta Ahli Veteran Umno Bahagian Hulu Terengganu.

Hajah Gayah yang juga Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian (1996-2001) berkata, jawatan Ketua Wanita Cawangan yang kekal disandang beliau sehingga kini pernah beberapa kali dicabar ketika proses pemilihan pemimpin cawangan, bagaimanapun ahli Umno di kampungnya lebih yakin terhadap kepimpinan yang ditunjukkan beliau sehingga jawatan itu tidak pernah bertukar tangan.

“Saya mengamalkan budaya mesra dan sentiasa mendekati generasi muda dan bersama-sama turun padang memberikan komitmen dalam apa jua program parti dan kemasyarakatan tanpa mengira siapa pihak penganjurnya.

“Segala tindakan saya dalam parti juga benar-benar ikhlas kerana mahu membantu bangsa Melayu dan memartabatkan agama serta tanah air selaras dengan perjuangan Umno,” katanya.

Seorang lagi penerima anugerah itu, Haji Ismail Ali, 83, dari kampung Temir, DUN Telemong pula amat berbangga kerana dapat menjadi antara individu yang mempertahankan parti keramat itu sejak era sebelum negara mencapai kemerdekaan lagi.

Bekas imam Kampung Temir itu berkata, walaupun pemimpin bersilih ganti, dia tetap akan terus memberi sokongan yang padu kepada parti dan tidak lupa memberi pandangan berguna kepada generasi muda supaya terus memperjuangkan Umno yang sudah banyak berjasa kepada agama, bangsa dan juga negara.

“Umno sudah banyak berjasa kepada anak bangsa dan negara. Jangan pula anak muda kita merosakkan parti yang sudah lebih 60 tahun membela nasib kita semua ini,” kata bapa kepada tujuh anak yang mula aktif dalam parti sejak 1963 sehingga kini itu.

Sementara Haji Sulaiman Jusoh, 87, dari Kampung Pelandan DUN Telemong pula menyanjungi pengiktirafan yang diterima daripada pemimpin negeri yang membuktikan generasi kepimpinan hari ini tidak melupakan golongan terdahulu sepertinya.

“Terima kasih kerana generasi pemimpin yang ada kini masih tidak melupakan orang lama seperti kita. Walaupun pemberian ini tidak seberapa, ia sudah cukup besar dan amat bermakna kepada golongan veteran yang masih setia menyokong segala kegiatan yang mengangkat martabat parti,” kata bekas AJK Umno Cawangan Pelandan itu.


Kontraktor disaran guna teknologi pembinaan moden

Oleh: Suriati Ali


Dato' Seri Haji Ahmad Said mencuba alatan yang dipamerkan pada Terengganu Trade Fair 2011 di Pusat Dagangan Terengganu. - Foto: Zul Putra.

Kontraktor disaran supaya melabur dan berusaha untuk menggunakan teknologi pembinaan terkini dan tidak bergantung selamanya kepada tenaga buruh yang murah.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, penggiat industri pembinaan terutama kontraktor sering kali tersepit di antara penggunaan buruh yang murah berbanding penggunaan teknologi yang menuntut kos yang lebih tinggi.

Bagaimanapun katanya, secara realitinya, kontraktor sebenarnya dapat mengurangkan penggunaan buruh dan mengaplikasikan penggunaan teknologi secara beransur-ansur.

“Ini kerana penggunaan teknologi dengan penggunaan buruh sekaligus dapat menuntut peningkatan kos secara mendadak. Pengurangan buruh dalam industri pembinaan bukan sesuatu yang boleh direalisasikan secara sekelip mata dan memerlukan masa untuk diguna pakai.

“Bagaimanapun, penggunaan teknologi ini juga perlu bagi menghadapi cabaran pada masa depan. Bermula pada tahun 2015, pasaran industri pembinaan di rantau ASEAN akan diliberalisasikan di bawah perjanjian AFAS (Asean Frameworks Agreement on Services), yang mana mengikut perjanjian ini, para kontraktor di rantau ASEAN bebas menawarkan perkhidmatan pembinaan di negara-negara ASEAN, termasuklah Malaysia,” katanya.

Sehubungan itu katanya, para kontraktor haruslah bersedia dengan melengkapkan diri masing-masing dengan keupayaan yang sewajarnya.

Katanya, kontraktor perlu menilai keistimewaan dan kelebihan yang dapat ditawarkan berbanding dengan kontraktor lain bagi mendapatkan projek.

“Ketika ini, kita sering bersaing diantara kontraktor tempatan bagi membida sesuatu projek. Maka bagaimanakah sekiranya saingan di masa hadapan jika turut melibatkan kontraktor asing. Daripada sudut positif, liberalisasi ini juga membukapeluang para kontraktor untuk menerokai pasaran serantau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian sempena Terengganu Trade Fair 2011 dan Program Seminar anjuran Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia CIDB Terengganu di Pusat Dagangan Terengganu di sini, semalam.



Penganjuran seminar itu merupakan sebahagian langkah kerajaan melalui CIDB bagi mengukuhkan serta menyebarkan maklumat terkini berkenaan perkembangan terbaru terhadap peraturan dan prosedur kerja di tapak pembinaan.

Ia juga berfungsi sebagai platform bagi mengumpulkan penggiat industri di bawah platform yang sama dan bertukar pandangan serta pendapat dalam meningkatkan kelancaran pelaksanaan projek.