Halaman

30 May 2011

Mat Roda-Roda ganti Mat Rempit

Oleh: Esah Abdullah


YB Haji Rozi Mamat bergambar kenangan selepas Majlis Penyampaian Hadiah Kuiz Tfm Belia di Jabatan Penyiaran Kawasan Timur, Bukit Pak Apil, Kuala Terengganu.

Kerajaan negeri akan mengatur pelbagai aktiviti khusus bagi penggemar lumba motor atau ‘Mat Rempit’ dalam usaha mengurangkan kegiatan lumba haram yang hangat diperkatakan masyarakat sekarang ini dan menukar gelaran Mat Rempit kepada ‘Mat Roda-Roda’.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Haji Rozi Mamat, berkata panggilan baru bagi Mat Rempit itu lebih lembut dan sesuai kepada golongan muda berkenaan dan meminta masyarakat juga memanggil mereka dengan nama baru itu.

“Bukan tujuan memujuk tapi untuk mendekati dan memahami kehendak dan perasaan mereka serta mengatasi kegiatan lumba haram yang menimbulkan banyak masalah kepada masyarakat hari ini,” katanya kepada pemberita pada majlis Penyampaian Hadiah Kuiz Tfm Belia di Jabatan Penyiaran Kawasan Timur, Bukit Pak Apil hari ini.

Hadir sama, Pengarah jabatan Belia dan Sukan Terengganu, Encik Abdul Aziz Abdul rahman dan Pengarah Jabatan Penyiaran Kawasan Timur, Dr. Nawiyah Che Lah.

Beliau berkata, setelah mengadakan pertemuan hati ke hati dengan ketua-ketua kumpulan berkenaan, golongan tersebut bukanlah mewakili mereka yang terjebak dengan gejala tidak sihat, sebaliknya bersikap hyper aktif.

Katanya, kumpulan ini menggelarkan mereka kumpulan 71, 99, 69 dan macam-macam serta mempunyai keahlian melebihi 5,000 orang.

Kerajaan negeri mengamalkan sikap bermesra dan mendekati golongan Mat Motor dan meminta masyarakat agar menukar gelaran Mat Rempit kepada Mat Roda-Roda kerana nama sedemikian agak kurang manis untuk golongan muda.

Ada antara mereka lepasan Politeknik dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) malah rata-rata mereka memiliki kelulusan SPM dan STPM.

“Dalam perbincangan, mereka sanggup memberi kerjasama dengan kerajaan untuk mengatasi masalah remaja dikalangan masyarakat hari ini serta bersetuju menyertai apa-apa program anjuran kerajaan negeri yang bersesuai dengan minat mereka,” katanya.

Sehubungan itu YB Haji Rozi meminta kumpulan berkenaan dapat mendaftar pertubuhan masing-masing secara sah bagi memudahkan kerajaan menyalurkan bantuan untuk melaksanakan aktiviti pada masa hadapan.




Penjawat awam perlu peka tuntutan semasa kerajaan – SUK

Oleh: Kamarudin Mat Akib


Komitmen semua penjawat awam amatlah diperlukan oleh kerajaan di dalam melaksanakan dasar yang dibuat kerajaan. - Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah, meminta penjawat awam supaya peka dengan tuntutan semasa kerajaan dalam usaha memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Beliau berkata, mereka perlu faham bahawa segala perancangan yang dilakukan kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, adalah selaras dengan kehendak pucuk pimpinan negeri.

“Komitmen semua penjawat awam amatlah diperlukan oleh kerajaan di dalam melaksanakan dasar yang dibuat kerajaan,” katanya ketika berucap merasmikan Program Jejak Pegawai Muda Negeri Terengganu di Sutera Beach Resort, Merang, malam tadi.

Program empat hari anjuran Terengganu Intergrity & Strategic Studies Institute (T-ISSI) itu dihadiri 97 peserta terdiri daripada pegawai tadbir negeri dan pegawai dari beberapa jabatan Persekutuan dan agensi kerajaan dari seluruh negeri.

Dato’ Haji Mazlan berkata, pelaksanaan dasar yang berkesan hendaklah diperkukuhkan dengan penilaian dan pemantauan berterusan, berlandaskan kepada matlamat untuk memenuhi kehendak rakyat dan ‘stakeholders’.


“Berdepan dengan kehendak rakyat yang semakin meningkat dan mencabar, kita hendaklah menerapkan budaya kerja yang “excessive” iaitu bekerja lebih dari sepatutnya dan juga bersikap mesra rakyat atau mesra pelanggan.”

Sehubungan itu, katanya, semua penjawat awam perlu memahami secara mendalam apa yang perlu dilakukan bagi mencapai matlamat pembuat dasar.

“Kita sebagai badan pelaksana dasar yang akan melaksanakan pelbagai program, tidak dapat lari daripada tanggungjawab dan akur kepada kehendak stakeholders, terutamanya rakyat.

“Berdepan dengan kehendak rakyat yang semakin meningkat dan mencabar, kita hendaklah menerapkan budaya kerja yang “excessive” iaitu bekerja lebih dari sepatutnya dan juga bersikap mesra rakyat atau mesra pelanggan,” ujar beliau.

Beliau turut meminta para penjawat awam supaya sentiasa memberikan khidmat yang menyenangkan dan memberi kepuasan kepada rakyat.

“Kepuasan hati rakyat adalah tanda aras utama kepada kejayaan sektor awam. Jika benar kita ingin berkhidmat untuk rakyat, kita perlu fahami setiap masalah, kekangan, kerumitan dan kesulitan yang dihadapi rakyat dengan mengamalkan konsep turun padang.

“Konsep turun padang dapat membantu kita untuk melihat dengan lebih dekat permasalahan yang dihadapi oleh rakyat sepertimana saranan pucuk pimpinan negeri,” ujarnya.

Kata beliau, penjawat awam perlu memahami denyut nadi rakyat dan berupaya menyelami keluh kesah kehidupan seharian mereka sebagaimana yang ditekankan oleh Menteri Besar Terengganu dalam agenda “Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan”.


Mendahulukan kepentingan rakyat

Oleh: Esah Abdullah


Di hadapan saya adalah barisan kakitangan yang saya anggap terbaik justeru tuan-tuan perlu menunjukkan contoh dan membudayakan budaya kerja yang cemerlang bukan sahaja memenuhi keperluan malah melebihi ekspektasi pelanggan. - YAB Dato' Seri Ahmad bin Said.

Lebih ramai yang memberi pandangan lebih bernas dan efektif keputusan yang akan dibuat justeru setiap keputusan itu menjurus kepada tujuan yang sama, iaitu melicinkan pentadbiran dan pelaksanaan serta mendahulukan kepentingan rakyat.

Demikian kata Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said kepada kira-kira 800 penjawat awam dari pelbagai peringkat dan agensi seluruh negeri dalam satu perhimpunan di Wisma Darul Iman baru-baru ini.

Katanya, sebagai pemimpin organisasi, ketua jabatan merupakan ketua kepada satu keluarga yang besar, maka harus memastikan orang bawahan kita dapat bekerja dalam suasana yang selesa.

“Setiap organisasi memerlukan kepimpinan yang terbaik serta sensitif kepada masalah kakitangannya dan berjaya memimpin warganya ke mercu kejayaan dengan bekerja sebagai satu pasukan,” katanya.

Tambahnya, era liberalisasi adalah satu persekitaran yang menuntut semua lebih bersifat pantas dalam membuat sebarang keputusan.

“Kita perlu menggunakan segala sumber yang ada dengan sebaik mungkin bagi memberi pulangan yang terbaik kepada rakyat,”katanya.

“Di hadapan saya adalah barisan kakitangan yang saya anggap terbaik justeru tuan-tuan perlu menunjukkan contoh dan membudayakan budaya kerja yang cemerlang bukan sahaja memenuhi keperluan malah melebihi ekspektasi pelanggan,” katanya.

Katanya, semua cabaran yang dipikul pentadbiran negeri dalam usaha memberikan kualiti perkhidmatan yang ulung kepada rakyat, ditadbir urus penjawat awam bagi menjawab segala persoalan dan cabaran yang dilontar oleh rakyat.

“Tradisi kerajaan yang memerintah tetap tidak berubah iaitu untuk membela rakyat sebagai agenda utama,” katanya..






Sokongan Tionghua berdepan PRU Ke-13

Oleh: Aida Abd Rahman



Masyarakat Tionghua di Terengganu diminta bersama-sama memberi sokongan kepada Barisan Nasional (BN) dengan semangat setiakawan serta membantu parti ini berdepan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata Terengganu tidak berdepan dengan masalah untuk mendapatkan sokongan kaum itu berbanding di Pantai Barat kerana hubungan yang rapat antara kaum serta persefahaman yang terjalin sekian lama itu mampu diteruskan.
“Saya harap pemimpin (Tionghua) yang berumur ini mampu memberi bimbingan dan peringatan kepada generasi muda yang bukan hanya kepada masyarakat Tionghua, malah Melayu juga yang terlibat dengan gejala tidak sihat seperti merempit. Oleh itu, persefahaman itu perlu bagi mengekalkan kestabilan negara dan parti kita,” katanya ketika sidang akhbar selepas merasmikan pembukaan bangunan Dewan Perhimpunan Tiong Hua Terengganu, di Jalan Bukit Kecil, Kuala Terengganu, semalam.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandar merangkap Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri , YB Toh Chin Yaw dan Presiden Persatuan Dewan perhimpunan Tiong Hua Terengganu, Foo Chee Wan.

Bangunan Perhimpunan Tiong Hua berkenaan yang dibina sejak tahun lalu dengan harga RM3.5 juta sumbangan kerajaan negeri kini mula beroperasi untuk kemudahan menggerakkan aktiviti masyarakat Cina.

Menteri Besar berkata, walaupun jumlah pengundi Cina di negeri ini adalah minoriti, namun peranan serta komitmen mereka sangat penting bagi membolehkan BN merampas kembali beberapa kerusi yang dimenangi parti pembangkang, khususnya di Parlimen Kuala Terengganu.

"Kita berharap masyarakat Tionghua di negeri ini khususnya di kawasan Parlimen Kuala Terengganu dapat mengembalikan sokongan kepada kerajan BN dan saya yakin mereka tidak ada masalah untuk berbuat demikian,” katanya lagi.

Beliau turut berharap kira-kira 9,000 pengundi Cina di negeri ini bersatu bagi memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada BN untuk memberi kemenangan pada PRU ke-13 akan datang selain bersama-sama mencorak kestabilan politik dan pembangunan di Terengganu.

Pada PRU ke-12 lalu, dalam Parlimen Kuala Terengganu hanya kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar dimenangi calon BN iaitu daripada parti MCA, manakala DUN Batu Buruk, DUN Wakaf Mempelam, DUN Ladang dan Parlimen Kuala Terengganu pula dimenangi oleh Pas.




Berita Gembira Untuk Penduduk Pulau Perhentian



KLIK GAMBAR DI ATAS. ^


PP Parlimen Kuala Terengganu lawat jurufoto Utusan Malaysia

Oleh: Aida Abd Rahman


Pegawai Pembangunan Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh meluangkan masa menziarahi jurufoto Utusan Malaysia, Azlan Bahrum.

Pegawai Pembangunan Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh meluangkan masa kira-kira 30 minit melawat jurufoto Utusan Malaysia, Azlan Bahrum yang menerima rawatan di Pusat Perubatan Pakar Kuala Terengganu (KTS), petang kelmarin.

Azlan yang diserang penyakit gout terlantar di KTS sejak 25 Mei lalu, pernah menjalani rawatan dan pembedahan kecil di lutut akibat penyakit itu di pusat pakar berkenaan, Januari tahun lalu.
Penyakit yang kembali menyerangnya itu menyebabkan jurufoto itu terpaksa menjalani pembedahan kali kedua dalam masa terdekat di sebuah hospital di luar Terengganu.

Turut mengiringi Dato’ Wan Ahmad Farid yang juga Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Presiden Kelab Wartawan Terengganu (Kawat), Encik Ayob Mamat dan beberapa Ahli Jawatankuasa Kawat serta rakan media massa daripada pelbagai agensi di Terengganu.

Dato’ Wan Ahmad Farid mengambil kesempatan bertanya khabar dan menyampaikan sumbangan peribadi beliau kepada Azlan.





SATU tanggung kerugian RM18 juta setahun

Oleh: Aida Abd Rahman



Kerugian kira-kira RM18 juta setahun terpaksa ditanggung Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) akibat kehilangan air yang berpunca daripada kes paip bocor dan pecah di seluruh negeri.

“Masalah paip pecah atau paip bocor itu antara lain disebabkan oleh usia paip yang terlalu lama dan bagi mengatasi masalah itu SATU mewujudkan pasukan khas bagi memantau kawasan-kawasan yang terlibat. Kita juga meminta kerjasama penduduk agar melaporkan kepada SATU jika ada sebarang kebocoran paip di kawasan kediaman mereka.
"Dengan adanya pasukan khas itu, kita sasarkan kehilangan air tak berakaun dapat dikurangkan kepada 35 peratus tahun ini," kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Za’abar Mohd Adib selepas merasmikan Hari Terbuka Loji Air SATU, di Hulu Terengganu, semalam.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif SATU, Haji Husain Embong.

Datuk Za’abar berkata, ketika ini SATU menyalurkan 97 peratus bekalan air bersih di seluruh Terengganu kepada 283,000 pengguna melibatkan 14 buah loji dan dikenakan bayaran 52 sen bagi satu liter kiub berbanding kos memproses air sebanyak 59 sen satu liter kiub.

"Caj dikenakan kepada penduduk sangat rendah berbanding kos memproses air bersih dan sudah sampai masanya kajian untuk tarif baru dibuat memandangkan kos memproses air semakin meningkat," katanya.

Menurutnya, antara komponen kos utama memproses air ialah bekalan elektrik dan bahan kimia masing-masing melibatkan jumlah RM30 juta dan RM3.8 juta pada tahun lepas.

Katanya, pihak SATU turut memberi lebih tumpuan kepada kawasan yang kritikal seperti di Kemaman iaitu di kawasan perindustrian Teluk Kalong bagi menyediakan bekalan air kepada pelabur yang akan membuka kilang di situ.

Selain itu juga, tumpuan juga akan dilakukan di Kuala Nerus memandangkan pembangunan yang pesat sedang berlaku di kawsan itu selain keadaan paip-paip yang sedia ada sudah usang dan sering mengalami kebocoran.

“Kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan senbanyak RM2 juta bagi memulakan kajian pembinaan loji rawatan air yang baru di Kuala Nerus dan Kemaman untuk meningkatkan keselesaan pengguna di kedua-dua kawasan itu kelak,” katanya lagi.





INGAT PESANAN PENAJA – MB

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Setiap kali berucap di khalayak ramai Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Haji Ahmad Said, tidak akan sekali-kali lupa menyampaikan pesanan penaja – “UNDILAH BARISAN NASIONAL BILA TIBA PILIHAN RAYA”.

Itulah tagline beliau dan pesanan ringkas tersebut amat mudah diingati setiap hadirin yang datang ke majlis beliau yang diadakan di segenap pelosok negeri.

“Kerajaan sudah bagi kita macam-macam. Dari keperluan anak-anak sekolah hinggalah bantuan hari raya. Semua kerajaan bagi kepada rakyat,” kata Menteri Besar.

Melanjutkan bicara, pemimpin berjiwa rakyat itu sering berkata kerajaan tidak pernah minta rakyat untuk melakukan kerja-kerja berat.

“Kita tidak minta rakyat menebas atau buat macam-macam kerja berat. Cuma satu yang kerajaan minta iaitu bila tiba pilihan raya undilah Barisan Nasional (BN),” kata Menteri Besar yang biasanya akan diiringi dengan tepukan gemuruh hadirin.

Dato’ Seri Ahmad menegaskan adalah tidak wajar jika rakyat menentang kerajaan sedangkan pada masa yang sama mereka menikmati segala kemudahan yang disediakan oleh kerajaan.

Itulah Menteri Besar Terengganu, beliau tidak akan jemu-jemu merayu kepada rakyat untuk terus menyokong dan mendokong Kerajaan BN kerana tidak rela negeri ini jatuh ke tangan pembangkang.

Beliau tidak mahu negeri ini mengalami zaman gerhana sekali lagi seperti yang berlaku pada 1999 hingga 2004 iaitu ketika Pas memerintah Terengganu.

Pemimpin berjiwa rakyat yang pernah mengalami jatuh bangun dalam politik itu, mahu memastikan kesinambungan perjuangan pemimpin Umno dan hasrat pemimpinya untuk terus menabur bakti kepada rakyat sepanjang zaman, tercapai.

29 May 2011

Memecut kecemerlangan pendidikan

Oleh; Esah Abdullah


“Saya harap semua rakan sepejuangan bersama mengalas agenda melestarikan pendidikan terbilang menerusi penghayatan keagamaan, budaya kerja integriti dan budaya kerja berprestasi tinggi.” - Pengarah Pelajaran Terengganu, Encik Razali Daud.

“Marilah sama-sama kita memecut kecemerlangan pendidikan seterusnya meletakkan Terengganu di barisan hadapan dalam peta kejayaan pendidikan negara,”.

Pengarah Pelajaran Terengganu, Encik Razali Daud melaungkan hasrat berkenaan di majlis sambutan Hari Guru Ke-40 peringkat negeri di Dewan Utama Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Dungun yang membawa tema ‘Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara’.

“Warga guru hari ini menjadi sebutan apabila kejayaan demi kejayaan telah diraih anak-anak kita dalam peperiksaan awam sekaligus melonjakkan peranan seorang pendidik,” katanya.

Katanya, pengorbanan warga guru yang penuh dedikasi menjadi sandaran kejayaan bagi pelajar untuk membangunkan modal insan dan kelangsungan keterbilangan pendidikan negeri menjadi kebanggaan seluruh masyarakat.

“Saya harap semua rakan sepejuangan bersama mengalas agenda melestarikan pendidikan terbilang menerusi penghayatan keagamaan, budaya kerja integriti dan budaya kerja berprestasi tinggi,” katanya.

Katanya, pencapaian hasil berganda, serentak emmasyarakatkan guru dan murid sebagai pemangkin dan pelengkap bagi memastikan pendidikan sentiasa berada di tangga teratas.

“Bersama-sama kita mengangkat tinggi kecemerlangan pendidikan dalam usaha merealisasikan agenda Terengganu Negeri Anjung Ilmu,” katanya.




Kerajaan tunai janji bina Dewan Perhimpunan Tiong Hua

Oleh: Aida Abd Rahman


Ini merupakan hadiah kerajaan Barisan Nasional kepada masyarakat Tiong Hua.

Kerajaan Terengganu menunaikan janji kepada masyarakat Tionghua sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu dua tahun lalu untuk membina sebuah Dewan Perhimpunan Bangunan Tiong Hua bagi kegunaan mesyuarat dan pergerakan aktiviti masyarakat itu.

Bangunan empat tingkat berharga RM3.3 juta, di Jalan Bukit kecil, Kuala Terengganu itu mula dibangunkan sejak tahun lalu selepas majlis pecah tanah disempurnakan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said pada 2009.

Malah, pada tahun lalu kerajaan negeri turut bersetuju mewartakan tanah bersebelahan bangunan itu sebagai rizab jalan Persekutuan di bawah Seksyen 62, Kanun Tanah Negara 1965 bagi menyediakan kemudahan parkir untuk kemudahan pengunjung bangunan itu.

“Ini merupakan hadiah kerajaan Barisan Nasional kepada masyarakat Tionghua sempena Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu 2009.

“Walaupun kita kalah (pada pilihan raya itu), kita berharap selepas ini masyarakat Tionghua dapat membantu calon -calon kita (Barisan Nasional) untuk memenangkan kembali Parlimen Kuala Terengganu dan Dewan Undangan Negeri yang kita ada,” katanya ketika sidang akhbar selepas merasmikan pembukaan bangunan itu, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, YB Toh Chin Yaw dan Presiden Persatuan Dewan perhimpunan Tiong Hua Terengganu, Foo Chee Wan.

Menteri Besar berkata, kerajaan negeri akan menyalurkan lebih banyak lagi bantuan kepada masyarakat itu termasuk membina dewan di Sekolah Menengah Kebangsaan Chung Hwa Wei Sin.

Katanya, satu lagi bantuan yang akan diberikan dalam tempoh terdekat melibatkan sebuah lagi sekolah menengah jenis Cina. Bagaimanapun, peruntukan itu hanya dapat diluluskan sebaik sahaja Kerajaan Terengganu mendapat sejumlah baki wang royalti daripada Kerajaan Pusat pada September ini.

“Terdapat satu lagi Sekolah Menengah Chung Hwa Wei Sin yang belum kita serahkan bantuan. Tunggu, mungkin September ini duit (royalti) kita sampai kita akan serahkan. Sebab dua tahun lalu, kita tidak menerima peruntukan yang mencukupi, kerana itulah kita terpaksa menangguhkannya terlebih dahulu," katanya lagi.


YAB Dato' Seri Ahmad bin Said bersalam dengan mantan Menteri Besar, Dato' Seri Amar Diraja Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad.

Untuk rekod, mantan Menteri Besar, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad meluluskan satu lot tanah untuk mendirikan bangunan itu pada 1996, bagaimanapun projek berkenaan tertangguh selepas peralihan kerajaan ketika Pilihan Raya Umum ke-10 yang lalu.

Bagi meneruskan projek itu, Dato’ Seri Haji Ahmad kemudiannya meluluskan peruntukan RM3.3 juta pada 2009 dan kemudahan itu dibangunkan sejak tahun lalu serta siap sepenuhnya dalam tempoh setahun kemudian.