Halaman

04 June 2011

Terengganu ungguli acara kanu

Oleh: Aida Abd Rahman


Emas Terengganu disumbangkan ratu kanu, Siti Rajiah Ali.

Terengganu mengungguli acara kanu yang dipertandingkan di Sukan Malaysia (Sukma) 2011 Kuala Lumpur dengan mengutip tiga emas dan dua perak daripada 6 pingat yang ditawarkan pada hari pertama temasya itu, semalam.

Emas Terengganu disumbangkan ratu kanu, Siti Rajiah Ali menerusi acara K1 ( W ) 1,000 meter dengan catatan masa 5.36 saat diikuti K2 ( W ) 1,000 meter , Nurul Farahim Wahab yang bergandingan dengan Noraishah Yahya yang melakukan catatan masa 5.06 saat.
Manakala emas ketiga pula menerusi Siti Rajiahi, Noraishah, Nurul Farahim dan Norazlina Tajuddin menerusi acara K-4 ( W ) 1,000 meter dengan catatan masa 4.40 saat.

Sementara itu, pingat perak pula melalui Mohamad Azman Ibrahim dan pasangannya Mohamad Syafwatudin Mohd. Azaha bagi acara K2 1,000 meter dengan catatan masa 4.18 saat. Pingat perak kedua melalui acara K4 ( L ) 1,000 meter gandingan Ahmad Faez Mahdi, Khairi Anuwar Mohd , Mohd Hanaffi Yusof serta Muhamad Azmi Ibrahim dengan catatan masa 3.54.

Selain kanu, atlet judo turut menyerlah apabila menghadiahkan dua gangsa di gelanggang Majlis Olimpik Malaysia melalui Yousuff Daniel Fauzi Cruz dan Mohd Shahril Hafiz Abdul Wahab serta Norsafrina Rahman yang berpasangan dengan Norhidayu Muliar pula melengkapkan pungutan pingat kedua berkenaan.

Bagi acara lawan pedang Epee ( L) yang digalas oleh Mohd Roslan bin Mohamed menggegarkan Gymnasium Majlis Sukan Negara Bukit Jalil dengan kedudukan pingat perak.

Syabas buat Kontinjen Terengganu kerana memulakan langkah yang gemilang dengan lapan pingat melibatkan 3 emas, 3 perak, 2 gangsa di hari pertama temasya Sukma Ke- 14.

Dalam perkembangan lain, cadangan pengelolaan Sukma 2011 dibentangkan di Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan pada 27 Mei 2010 dan bersetuju pengelolaan Sukma akan diadakan tiap-tiap tahun.

Majlis Sukan Negara dipertanggungjawabkan menganjurkan SUKMA pada tahun ganjil . Manakala temasya ditahun genap dianjurkan oleh negeri. Temasya Sukma ke-14 Kuala Lumpur disertai oleh 14 Kontinjen dari semua negeri. Sebanyak 19 acara sukan telah dipertandingkan melibatkan 3,336 atlet mengambil bahagian.






PENERBANGAN TERUS LTSM- BANDUNG, SUATU REALITI


Oleh: Ruslan Abdul Rahman-Pegarang Teganukita.







Usaha mendekatkan Bandung (Indonesia)- Kuala Terengganu, barangkali menjadikan ia 'bandar kembar' untuk tujuan pelancongan dan hubungan persaudaraan atas nama serumpun sebangsa diusahakan, suatu kreativiti memandang jauh ke hadapan Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said.

Bandung yang terletak di Jawa Barat adalah suatu kota budaya Melayu yang tersohor yang terletak di dataran tinggi, mempunyai udara yang sejuk dan maju sebagai destinasi pelancongan.

Pusat-pusat pengajian tinggi termasuk yang dibangunkan oleh swasta juga banyak di kota yang maju dengan bidang pertanian ini hingga dikenali juga sebagai 'kota pelajar'.

Dua hari lepas (2 Jun) Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said mengetuai rombongan penerbangan pertama Kuala Terengganu (Lapangan Terbang Sultan Mahmud)- Bandung yang akan menjadikan dua bandar ini semakin dekat melalui penerbangan terus ini.

Potensi besar untuk pertukaran pelancong di antara dua bandar ini justeru ada persamaan yang rapat dua bandar ini dari resam budaya, pusat pendidikan, keindahan alam dan pertanian.

Kuala Terengganu dahulunya (abad ke 18) memanglah merupakan pusat dagang antarabangsa. Pada tahun 1719, seorang Inggeris Alexander Hamilton melaporkan keadaan Kuala Terengganu yang begitu pesat dengan perdagangan; kapal-kapal dagang dari Siam,Sambas, Kemboja terdapat di Kuala Terengganu selain Wangkang atau Jong orang-orang berbangsa Cina.

Terengganu adalah negeri pertanian yang juga maju dengan pelbagai pusat pendidikan dan sedang menuju ke arah industri pelancongan yang hebat.

Bandung pula dalam sejarahnya pernah dikenali sebagai "Paris di Jawa" kerana udara sejuk dan nyaman.

Justeru itu usaha menghubungkan dua bandar secara terus amatlah wajar, lebih-lebih lagi Terengganu yang juga sedang melalui proses menjadikan ia 'bandar pelancongan' dan kota Bandung yang sudah sekian lama ke hadapan di bidang itu boleh membantunya melalui pertukaran penerbangan ini.

"Dengan adanya penerbangan terus nanti, penduduk di Pantai Timur tidak lagi perlu ke Kuala Lumpur untuk ke Bandung," kata Dato' Seri Ahmad.

Sebaliknya juga pakej pelancongan itu juga pastinya juga melibatkan untuk pelancong yang datang dari Bandung ke Kuala Terengganu melalui penerbangan terus itu.

Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa Bandung adalah dekat di hati orang 'Terengganu' terutama dalam tragedi Natrah. Che Aminah yang berasal dari Kemaman bertemu Natrah di Bandung kerana Che Aminah berkahwin dengan seorang saudagar, Maarof Haji Abdul dari Kota Bandung itu.

Semasa pendudukan Jepun di Indonesia, askar Belanda, Petrus Hertogh (ayah Natrah) dipenjarakan oleh Jepun, lalu isterinya Adeline (ibu Natrah) berlindung di rumah nenek suami Che Aminah di Bandung itu. Di sanalah Che Aminah berkenalan dengan Adeline dan Natrah anaknya yang waktu itu baru berusia lima tahun.

Lantaran Che Aminah tidak mempunyai zuriat, termasuk dari beberapa perkahwinan sebelumnya, beliau lalu mengambil Natrah dengan persetujuan ibunya (Adeline) dan di bawa balik Kemaman; sehinggalah membawa peristiwa selanjutnya yang bersejarah
tentang isu agama dan perundangan.

Dato' Seri Ahmad yang berasal dari Kemaman amat dekat dengan peristiwa ini dan Bandung selepas ini akan menjadi terlalu dekat dengan Terengganu, termasuk Kemaman (Kampung Che Aminah dan Natrah).

Dato'Seri Ahmad berkata, kerajaan negeri akan melantik agen bagi mengendalikan tempahan bagi mereka yang ingin menggunakan perkhidmatan/pakej itu.

Difahamkan tempahan untuk penerbangan pertama penuh dan diberikan diskaun.

Pada masa ini syarikat tersebut akan mengadakan perkhidmatan itu dua kali seminggu bagi membolehkan juga pelancong dari Bandung datang melancong ke Terengganu.

Kata Dato' Seri Ahmad, perkhidmatan itu boleh dikerapkan sekiranya ia mendapat sambutan yang menggalakkan.











































Nelayan perlu pertahan kerajaan

Oleh; Esah Abdullah


Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Dato’ Haji Mohd Jidin Shafee.

Kerajaan menyediakan banyak bantuan dan sokongan kepada golongan nelayan di seluruh negara untuk meningkatkan sara hidup diri dan keluarga.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Dato’ Haji Mohd Jidin Shafee berkata, usaha kerajaan berterusan bagi memastikan golongan ini pelbagaikan sumber pendapatan dan tidak bergantung kepada aktiviti di laut saja.

“Golongan nelayan perlu menyokong dan pertahan kerajaan hari ini agar nasib mereka terus terbela pada mada akan dating,” katanya, di Majlis Penyampaian Elaun Sara Hidup Nelayan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ahmad, Losong Kuala Terengganu.

Katanya, mereka dan keluarga boleh membabitkan diri dalam bidang lain di mana kerajaan banyak menyediakan peluang termasuk berniaga, mengusaha kraftangan dan makanan ringan.

Majlis berkenaan telah dirasmikan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato’ Seri Noh Omar. Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, YB Haji Ashaari Idris dan Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Katanya, terdapat lapan ribu nelayan yang tersenarai sebagai penerima bantuan sara hidup di negeri ini dan mereka adalah nelayan tradisional yang kebanyakkannya bergantung hidup pada laut semata-mata.

“Kita harap mereka dapat majukan diri dan keluarga dan rebut peluang yang kerajaan sediakan dengan saja bidang yang boleh mendatang hasil termasuk berniaga secara kecil-kecilan,” kata Ahli Parlimen Setiu.

Dato’ Mohd Jidin juga mengingatkan semua nelayan terus menyokong kepimpinan kerajaan sekarang yang sentiasa menyalurkan bantuan untuk memastikan golongan ini dapat menikmati kehidupan yang selesa.

“Kita perlu bersyukur dan berterima kasih kepada orang yang banyak membantu dan memberi pertolongan ketika kita dalam kesusahan, kerana selepas ini banyak lagi peluang yang akan diberi,” katanya.

Dalam majlis berkenaan, seramai 500 nelayan dari PNK Kuala Terengganu Selatan menerima elaun sara hidup RM200 seorang yang disampaikan oleh Dato’ Seri Noh Omar.






Terharu kecaknaan kerajaan

Oleh: Esah Abdullah

Saya sangat berterima kasih di atas kecaknaan pihak kerajaan memperkenalkan skim perlindungan insuran untuk golongan nelayan dalam usaha memastikan kebajikannya sentiasa terbela.

“Saya juga terharu dengan keputusan yang diumumkan kerajaan, akan memberi lesen sampan secara automatik kepada golongan nelayan tradisional untuk berdikari,” kata Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Terengganu (Penentu), Encik Mat Yasin Mohamad,50

Katanya, walau pun sebelum ini sesetengah nelayan telah menikmati skim perlindungan yang disediakan oleh Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nikmat) tapi dengan cara pemotongan elaun sara hidup ini memudahkan nelayan untuk mencarum.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato’ Seri Noh Omar telah mengumumkan akan menyediakan skim perlindungan insuran kepada nelayan di seluruh negara dengan cara pemotongan RM10 sebulan daripada RM200 elaun sara hidup mereka terima.

Menurut Encik Mat Yasin melalui pelbagai peluang yang disediakan pihak kerajaan golongan nelayan hari ini sudah dapat memulihkan keadaan ekonomi mereka.

“Saya sangat berterima kasih, di atas usaha kerajaan yang berterusan membantu golongan nelayan untuk keluar daripada kepompong kemiskinan termasuk menyediakan pelbagai program jaya diri bagi menjana pendapatan yang lebih baik,” katanya.

Kenyataan itu turut disokong Encik Abdul Rahman Mahmud, 67 dari Kampung Duyung Kelab Aya yang sudah menjadi nelayan sejak muda.

“Dalam usia sebegini, saya tidak lagi seaktif dulu turun ke laut tapi dengan adanya elaun sara hidup yang kerajaan beri, bolehlah beli keperluan harian.” katanya ketika ditemui di majlis Penyampaian Elaun Sara Hidup Nelayan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato’ Seri Noh Omar.

Encik Romainor Yusof, 40 dari Kampung Chendering juga menyatakan terima kasih kepada kerajaan yang sangat memahami kesusahan dan kesulitan golongan nelayan terutama bila tiba musim hujan.

“Elaun sara hidup dan skim perlindungan insuran yang diumumkan itu, kita tidak bimbang sangat mengenai nasib keluarga bila apa-apa berlaku kepada kita dikemudian hari,” katanya.






03 June 2011

Nelayan kecil layak dapat lesen secara automatik

Oleh;Esah Abdullah



Mulai hari ini semua awak-awak (nelayan) di seluruh negara yang menerima elaun sara hidup dan memiliki sampan sendiri akan diberikan lesen sampan secara automatik.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato’ Seri Noh Omar berkata, urusan untuk memiliki lesen dipermudahkan bagi membolehkan mereka berdikari dan tidak selamanya bergantung kepada pihak lain.

“Nelayan yang ingin memohon lesen mesti membawa kad nelayan sebagai bukti mereka penerima elaun sara hidup dan kita akan lulus serta merta,” katanya kepada pemberita pada majlis Penyampaian Elaun Sara Hidup secara tunai kepada nelayan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ahmad, Losong, Kuala Terengganu semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, YB Haji Ashaari Idris, Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Dato’ Mohd Jidin Shafee dan Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Katanya, setakat ini terdapat 15,900 awak-awak di seluruh Negara sudah memiliki lesen sampan dan mampu menjana pendapatan yang lebih baik.

“Saya difahamkan terdapat lebih 400 awak-awak di negeri ini tidak mempunyai lesen sampan tetapi terpaksa keluar ke laut demi tuntutan kehidupan,” katanya.

Katanya, 90 peratus kalangan mereka ini memiliki kad nelayan dan menerima elaun sara hidup daripada kerajaan.





Kerajaan perkenal skim insuran untuk nelayan

Oleh; Esah Abdullah



Kerajaan bercadang mewujudkan skim perlindungan insuran kepada semua golongan nelayan yang aktif di seluruh Negara.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato’ Seri Noh Omar berkata, perkara ini baru dirancang dan pihak kerajaan akan cuba mendapatkan maklum balas daripada semua persatuan nelayan yang ada di setiap negeri.

“Sebelum laksanakan perkara ini, kita ingin tahu sama ada mendapat sokongan atau sebaliknya kerana ia membabitkan potongan elaun bulanan yang diterima di bawah skim elaun sara hidup,”.

Dato’ Seri Noh Omar berkata demikian kepada pemberita di majlis Penyampaian Bayaran Elaun Sara Hidup Nelayan daerah Kuala Terengganu secara tunai di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ahmad, Losong, Kuala Terengganu semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, YB Haji Ashaari Idris; Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), merangkap Ahli Parlimen Setiu, YB Haji Mohd Jidin Shafee dan Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Katanya, setiap nelayan menerima elaun sara hidup sebanyak RM200 sebulan dan potongan RM10 akan dikenakan untuk menyertai skim insuran ini bertujuan membantu ketika mereka berhadapan dengan musibah.

Menurutnya, skim perlindungan insuran dapat membantu meringankan beban para nelayan sama ada berlaku kemalangan, kecacatan kekal, masuk hospital, bencana alam, kematian atau menghidap penyakit kronik.

“Setakat ini kita sedang meneliti beberapa tawaran dari syarikat insuran dan akan dibawa ke Mesyuarat Kabinet, jika semuanya berjalan lancar kita akan jalankan selewat-lewatnya pada Ogos depan ,” katanya.




MB minta atlet, ibu bapa daftar sebagai pemilih

Oleh: Aida Abd Rahman



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said meminta supaya semua ibu bapa serta atlet Terengganu yang layak mengundi supaya segera mendaftar sebagai pemilih bagi menunaikan tanggungjawab masing-masing apabila tiba waktu pilihan raya.

“Kerajaan sudah menyediakan pelbagai insentif kepada atlet terutama mereka yang berjaya membuktikan kecemerlangan dalam sukan masing-masing.

“Kita bersedia memberi pengiktirafan dalam apa jua bidang terhadap anak Terengganu yang berjaya, namun apa yang lebih penting semua ibu bapa dan atlet perlulah mengundi kerajaan Barisan Nasional yang sentiasa mengiktiraf dan membangunkan sukan untuk kepentingan semua ini,” katanya ketika berucap di Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Terengganu Sukma Ke-14 Kuala Lumpur 2011, di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, malam kelmarin.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Haji Rozi Mamat.

Beliau berkata, kerajaan tidak meminta apa-apa balasan daripada ibu bapa dan atlet kecuali mereka membantu kerajaan BN apabila tiba waktu pilihan raya dengan memilih kerajaan yang sudah terbukti sentiasa menjaga kebajikan dan memberi penghargaan kepada golongan itu.

Menteri Besar turut meminta keluarga serta ibu bapa atlet sentiasa memberi sokongan moral kepada anak-anak mereka supaya mereka lebih bersemangat dan mampu menguasai acara yang disertai sekaligus menyumbang pingat buat negeri.

“Sokongan keluarga penting dan saya percaya kejayaan atlet negeri ini dalam pelbagai bidang sukan juga berpunca daripada sokongan tidak berbelah bahagi keluarga masing-masing yang memberi semangat untuk mereka cemerlang,” katanya.

Kontinjen Terengganu mensasarkan 27 emas, 18 perak dan 12 gangsa menerusi penyertaan dalam 17 acara termasuk basikal (trek), bina badan, bola baling, judo, kanu, lawan pedang dan mendayung.

Seramai 214 atlet melibatkan 119 lelaki dan selebihnya wanita akan mempertahankan misi Terengganu yang turun dengan moto `Terengganu Hanelang’ untuk mengekalkan kejuaraan buat kali ketiga berturut-turut selepas menjuarai Sukma Terengganu 2008 dan Sukma Melaka 2010 yang lalu.





Atlet perlu contohi kepahlawanan Megat Panji Alam

Oleh: Aida Abd Rahman

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said mahu supaya semua atlet yang membawa maruah Terengganu dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) Ke-14 Kuala Lumpur 2 hingga 12 Jun ini mencontohi kepahlawanan `Megat Panji Alam’ dalam diri masing-masing supaya tidak gentar ketika bertempur dengan lawan.

“Sukma Ke-13 Melaka Terengganu kekal juara untuk kali kedua. Sekaligus membuktikan kontinjen kita bukanlah jaguh kampung yang hanya mampu menang di halaman sendiri (Sukma Terengganu Ke-12 2008).
“Saya masih ingat ketika Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam datang ke Terengganu tahun lalu dan mengatakan juara Sukma Ke-13 akan jadi milik Hang Tuah, tetapi saya secara berseloroh mengatakan Megat Panji Alam tidak takut kepada Hang Tuah,” katanya sempena Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Terengganu Sukma Ke-14 Kuala Lumpur 2011, di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, malam kelmarin.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Haji Rozi Mamat.

Menurutnya, kehebatan Megat Panji Alam dari segi ilmu persilatan tidak boleh dipertikaikan lagi, namun pahlawan terbilang kelahiran Terengganu itu ditikam dari belakang akibat tipu daya musuh yang bersembunyi di sebalik pintu untuk menewaskannya.

Katanya, atlet Terengganu harus menjadikan sejarah itu sebagai teladan dan mencetus semangat dalam diri supaya tidak takut dan gentar ketika berdepan dengan pihak lawan.

“Saya merayu kepada semua atlet kita supaya ketepikan perasaan takut, gentar dan berjuanglah hingga titisan darah yang terakhir,” katanya lagi.

Kontinjen Terengganu mensasarkan 27 emas, 18 perak dan 12 gangsa menerusi penyertaan dalam 17 acara termasuk basikal (trek), bina badan, bola baling, judo, kanu, lawan pedang dan mendayung.

Seramai 214 atlet melibatkan 119 lelaki dan selebihnya wanita akan mempertahankan misi Terengganu yang turun dengan moto `Terengganu Hanelang’ untuk mengekalkan kejuaraan buat kali ketiga berturut-turut selepas menjuarai Sukma Terengganu 2008 dan Sukma Melaka 2010 yang lalu.







Peniaga PBKP tidak menang tangan layan pelanggan

Oleh: Suriati Ali



Ratusan peniaga Pasar Besar Kedai Payang (PBKP), Kuala Terengganu tersenyum lebar setiap kali tiba musim cuti persekolahan berikutan mendapat keuntungan berganda berbanding hari biasa.

Rata-rata mereka tidak menang tangan melayan pelanggan tempatan dan luar Terengganu yang mengunjungi lot kedai masing-masing bagi mendapatkan pelbagai jenis barangan seperti batik, sutera, songket dan makanan tradisional Terengganu

Tinjauan pemberita Teganukita di PBKP mendapati kebanyakan pengunjung yang datang dari pelbagai negeri ghairah membeli produk Terengganu untuk di bawa pulang ke tempat asal masing-masing.

Tidak ketinggalan, barangan tembaga, rantai kunci penyu dan baju-T bertulisan Terengganu turut menjadi pilihan mereka sebagai tanda kenang-kenangan dan cenderamata kepada saudara serta rakan-rakan.

Setiap pelanggan terpaksa berhimpit ketika ingin membeli dan melalui lorong yang mengasingkan peniaga kerana terlalu ramai pelanggan yang berurusan sepanjang minggu itu.

Peniaga batik, Encik Basir Nasir, 41, berkata cuti persekolahan dan cuti umum adalah bonus bagi dia serta rakan niaga lain kerana mendapat keuntungan lebih berbanding hari biasa.

Katanya, dia mengambil kesempatan menjual batik Terengganu secara lelong iaitu 11 helai dengan harga RM100 dan pelbagai jenis barangan lain secara murah.

“Cara berkenaan mampu menarik minat pelanggan untuk mengunjungi lot kedai saya dan rata-ratanya memuji kecantikan batik Terengganu,” katanya.

Pengunjung dari Kedah, Encik Firdaus Ahmad Tarmizi, 34, berkata cukup berbaloi dia dan keluarga mengambil kesempatan menghabiskan masa cuti sekolah di Terengganu kerana pelbagai tempat menarik dapat dilawati.

Katanya, dia tidak melepaskan peluang membeli pelbagai jenis makanan tradisional Terengganu, batik dan sutera kerana di negerinya barangan berkenaan sukar diperolehi.

“Jika ada peluang, kami akan mengunjungi kembali Terengganu untuk melawat beberapa destinasi menarik lain seperti Tasik Kenyir, Hulu Terengganu dan Pulau Redang.

“Cuti kali ini, kami hanya sempat mengunjungi lokasi sekitar Kuala Terengganu saja, iaitu Taman Tamadun Islam, Pantai Batu Buruk dan Pulau Warisan,” katanya ketika ditemui PBKB, hari ini (3 Jun).




02 June 2011

Masyarakat Terengganu mula minat membaca

Oleh: Suriati Ali


Puan Hajah Nor Akmal Abdul Fatah

Masyarakat Terengganu terutama golongan belia kini `celik ilmu’ dan mempunyai kesedaran tinggi terhadap pentingnya pendidikan dan membaca.

Berdasarkan perangkaan, Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) menerima peningkatan jumlah pengunjung yang memberangsangkan pada setiap tahun.

Dalam tempoh lima tahun iaitu 2006, PPAT menerima seramai 609,247 bilangan pengunjung, 2007 (805,278), 2008 (1,037,934), 2009 (1,155,205) dan 2010 pula kira-kira 1,200,049 pengunjung pelbagai peringkat umur.

Pengarah PPAT, Puan Hajah Nor Akmal Abdul Fatah, berkata pihaknya bangga dengan peningkatan jumlah pengunjung dan terbukti promosi dan program yang dianjurkan PPAT setiap tahun mendapat sambutan daripada orang ramai.

“Apa yang membanggakan, golongan belia paling ramai mengunjungi PPAT dengan pelbagai tujuan antaranya membaca dan menghadiri program,” katanya ketika dihubungi pemberita Teganukita.

Menurut Puan Hajah Nor Akmal, sebanyak 107 perpustakaan diwujudkan di negeri ini sebagai langkah menarik minat orang ramai supaya celik ilmu dan mendalami betapa pentingnya pendidikan, selain memudahkan masyarakat mendapat maklumat terkini.

“Daripada jumlah itu, perpustakaan desa paling banyak ditubuhkan iaitu 88 buah, perpustakaan daerah (6), perpustakaan bergerak (11) dan perpustakaan pekan serta pusat masing-masing sebuah,” katanya.