Halaman

06 June 2011

UKOM anjur Forum Rakyat

Oleh: Azwa Shamsuddin (pelatih UPM)

Orang ramai terutama penduduk sekitar Kuala Terengganu dijemput menghadiri Forum Rakyat yang akan diadakan di Kampung Tok Jiring, Kuala Terengganu, kira-kira jam 9 malam pada 17 Jun ini.

Forum itu dijangka membincangkan tajuk 1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan serta Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan Negeri Terengganu.

Ahli-ahli panel yang hadir terdiri daripada Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Tepoh, YB Ustaz Muhammad Ramli Nuh; penceramah bebas, Haji Ruslan Kassim; Pengarah Unit Komunikasi Negeri (Ukom), Haji Shamsuddin Sulong dan Pegawai Agama Pejabat Menteri Besar Terengganu, Ustaz Kamalrudin Omar.

Timbalan Pengarah Ukom, Encik Ruslan Abdul Rahman, berkata kira-kira 1,000 penduduk dijangka menghadiri forum itu yang dianjurkan bersama Jawatankuasa Peti Undi Kampung Tok Jiring.

“Kita akan menayangkan beberapa rakaman video tentang hala tuju kerajaan negeri di samping siri pembohongan yang dilakukan oleh pemimpin pembangkang,” katanya.

Orang ramai yang hadir diberi peluang untuk mengemukakan pertanyaan kepada ahli panel yang hadir. Soalan yang diajukan dijawab secara bergilir-gilir.

Encik Ruslan berkata, forum sama akan diteruskan secara bersiri di beberapa daerah dan kawasan Parlimen lain mengikut jadual yang ditetapkan.


Pelancong ambil peluang bercuti di Terengganu

Foto dan berita: Suriati Ali



Pelancong luar Terengganu dan pengunjung tempatan mengambil kesempatan menghabiskan waktu cuti sekolah bersama keluarga dengan mengunjungi beberapa lokasi menarik di Terengganu.

Antara destinasi yang menjadi tumpuan termasuk, Pantai Batu Buruk, Taman Shahbandar, Muzium Negeri Terengganu, Taman Tamadun Islam (TTI), Kuala Terengganu; Taman Reakreasi dan Mini Zoo Bukit Takal, Kemaman dan beberapa pulau di negeri ini.

Pihak berkaitan turut menganjurkan pelbagai program seperti Fiesta Waterfront di Taman Shahbandar, Karnival Juala Murah di Pantai Batu Buruk dan Pesta Buku di Pusat Dagangan Terengganu Jalan Hiliran, Kuala Terengganu semata-mata menarik minat pengunjung.

Tinjauan Teganukita di Pasar Besar Kedai Payang, Taman Shahbandar dan Batu Buruk mendapati orang ramai terpaksa berhimpit ketika ingin membeli barangan dan produk yang mereka minati.

Kebanyakan pelawat dari Kedah, Melaka, Johor, Pahang dan Selangor itu membeli pakaian, rantai kunci dan pelbagai produk yang mempunyai indentiti Terengganu untuk dihadiahkan kepada saudara dan dijadikan sebagai dikenang-kenangan.

Pengunjung dari Melaka, Puan Zaiton Zainudin, 38, gembira dapat berkunjung ke Terengganu bersama-sama keluarga kerana terdapat pelbagai kemudahan dan destinasi menarik yang boleh dilawati.

Katanya, destinasi paling menarik adalah TTI dan Pantai Batu Buruk yang sememangnya menjadi lokasi pilihan bagi pengunjung setiap kali mengunjungi Terengganu.

“Tempoh tiga hari dua malam yang diambil untuk bercuti di negeri ini tidak cukup buat kami sekeluarga kerana banyak lagi destinasi lain belum sempat dilawati termasuk Tasik Kenyir, Hulu Terengganu dan Pulau Redang, Setiu.

“Pada masa akan datang kami bercadang mengambil cuti panjang untuk melepaskan hasrat melawat destanasi itu,” katanya.

Encik Kamaruddin Idrus berasal dari Selangor, berkata dia dan keluarga datang ke Terengganu kerana dua tujuan iaitu menghadiri majlis perkahwinan saudara dan bercuti.

Katanya, dari Merang dia terpaksa melalui kesesakan lalu lintas lebih satu jam sebelum tiba ke PBKP dan Taman Shahbandar untuk membeli-belah dan bersiar-siar.


Atlet Terengganu ungguli acara judo SUKMA

Atlet judo Terengganu menguasai gelanggang pada hari terakhir acara judo semalam pada temasya Sukan Malaysia ke-14, apabila merangkul enam daripada lapan emas yang dipertandingkan.

Penaung Persatuan Judo Terengganu, YB Haji Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar, berkata kejayaan itu melepasi sasaran tiga emas yang ditetapkan oleh persatuan tersebut.

"Ini merupakan rahmat daripada Tuhan dan berkat kesungguhan atlet judo Terengganu. Kejayaan ini juga hasil perancangan awal kerajaan negeri yang telah memulakan program pembangunan judo sejak 2006," katanya kepada pemberita di Dewan Majlis Olimpik Malaysia, semalam.

Terengganu memenangi emas menerusi Syaiful Rizal Ahmad Zaidi dalam acara lelaki atas 90kg dan lelaki bawah 90kg oleh Farish Farhan Badri.

Atlet wanita skuad itu turut mempamerkan pencapaian cemerlang apabila membolot semua pingat emas yang ditawarkan bagi kategori wanita.

Nor Asnida Abdul Razak membawa pulang emas bagi acara atas 70kg, Nor Izzatul Fazlia Mat Tahir (bawah 70kg), Norsafrina Rahman (bawah 63kg) dan Nik Norlydiawati Nik Azman (bawah 57kg).

Sarawak membawa pulang satu emas hasil persembahan bertenaga Brenton Sim menerusi acara lelaki bawah 81kg manakala Pulau Pinang meraih satu emas dalam acara lelaki bawah 73kg oleh Ooi Aik Tong.

Kerajaan BN sedia kongsi susah senang

Oleh: Esah Abdullah

Kerajaan Barisan Nasional (BN) sedia berkongsi susah senang khususnya dengan golongan nelayan dalam usaha meningkatkan taraf hidup golongan itu bagi menyediakan banyak peluang kepada mereka untuk membabitkan diri di bidang lain, di samping mencari rezeki di laut.

Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata, elaun sara hidup yang diperkenalkan kerajaan membuktikan ia sentiasa mencari jalan memperbaiki taraf hidup golongan miskin.

“Kehidupan golongan petani dan nelayan sentiasa dekat dan mendapat perhatian kita,” katanya ketika berucap di majlis penyampaian Bantuan Sara Hidup Nelayan Kuala Terengganu Selatan, di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Losong, Kuala Terengganu.

Katanya, pelbagai bantuan disalurkan termasuk bantuan pukat, enjin bot, subsidi minyak dan bantuan sara hidup dan pemberian ini tidak termasuk pampas an harta benda yang musnah ketika ditimpa musibah.

“Mana nak cari kerajaan yang cakna begini, pusing seluruh dunia pun tuan-tuan tidak akan jumpa seperti apa yang dilakukan oleh pucuk pimpinan kita ,” katanya di hadapan lebih 500 nelayan yang membanjiri dewan SMK Losong.

Dato’ Wan Ahmad Farid merupakan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu turut mengingatkan nelayan supaya tidak lupa berterima kasih kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) yang tidak memilih bulu ketika memberi bantuan.

“Kita perlu kekalkan kerajaan memerintah hari ini agar segala bentuk bantuan terus terus diterima oleh tuan-tuan dan sokong BN dalam pilihanraya akan datang ,” katanya.





Rumah pangsa beri keselesaan penduduk pulau

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Pengumuman kerajaan negeri untuk membina rumah pangsa di Pulau Perhentian, amat melegakan sebahagian besar penduduk pulau tersebut.

Apa tidaknya, sebahagian besar penduduk di pulau itu yang bilangannya kini lebih 1,000 orang terpaksa tinggal berhimpit-himpit di dalam rumah mereka.

Sudahlah jarak antara sebuah rumah dengan sebuah rumah terlalu rapat, di dalam rumah mereka terpaksa berkongsi antara tiga hingga empat buah keluarga dalam satu rumah yang tidak sebesar mana pun.

Disebabkan masalah tempat tinggal yang begitu meruncing, penghuni pulau tersebut terpaksa tinggal bersesak-sesak di dalam rumah keluarga mereka.

Bagaimanapun, lawatan kerja sehari Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, ke pulau yang menjadi antara lokasi pelancongan utama di Terengganu itu bakal merubah keadaan keluarga tersebut.

Selepas dimaklumkan mengenai masalah penduduk tersebut dan beliau sendiri melihat keadaan itu, Menteri Besar mengumumkan kerajaan negeri akan membina rumah pangsa empat tingkat mengandungi 150 unit di pulau berkenaan.

Kawasan tanah seluas lima setengah ekar sudah dikenal pasti bagi tujuan itu dan pembinaan rumah pangsa yang dianggarkan bernilai RM50 juta itu akan dimulakan secepat mungkin.

Beliau berharap apabila projek tersebut siap kelak, masalah kesesakan penduduk di dalam rumah dapat diatasi.

Sempena lawatan sulung ke pulau itu juga, Dato’ Seri Ahmad turut meluluskan pembinaan sebuah gelanggang futsal berhampiran jeti ke Pulau Perhentian bagi kegunaan golongan belia.

Beliau turut meluluskan peruntukan RM300,000 bagi membolehkan bekalan air diambil dari kawasan mata air yang dikenali air berani oleh penduduk tempatan pulau itu.

Seperti lawatannya ke tempat lain, Menteri Besar turut mengingatkan penduduk tempatan pesanan penaja.

“Kerajaan dah beri macam-macam kepada rakyat. Kita tidak minta rakyat buat kerja berat, tetapi satu je yang kita mitak. Undilah Barisan Nasional bila tiba pilihan raya,” ujarnya.

Syarikat Vietnam minat majukan Pulau Bidong

Oleh: Kamarudin Mat Akib


Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, Dato’ Rahin Mohd Said.

Sebuah syarikat dari Vietnam berminat untuk memajukan Pulau Bidong sebagai kawasan pelancongan, terutama bagi mereka yang meminati kesan-kesan peninggalan sejarah.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, Dato’ Rahin Mohd Said, berkata kerajaan negeri sedia menimbang permohonan syarikat tersebut sebagai salah satu usaha ‘mengembalikan’ kegemilangan Pulau Bidong.



“Sebelum ini Pulau Bidong terkenal di seluruh dunia sebagai kawasan penempatan pelarian dari negara Vietnam,” katanya ketika ditemui kelmarin.

Pulau Bidong mula menjadi penempatan ‘Orang Hanyut’ yang merupakan pelarian dari negara Vietnam akibat kezaliman pemerintahan negera tersebut.

Sejak 1978 hingga 1991 lebih daripada 250,000 orang, termasuk kanak-kanak ditempatkan di pulau tersebut sementara menunggu negara ketiga mengambil mereka bagi memberi perlindungan tempat tinggal.

Sebelum ini, kerajaan negeri memutuskan untuk memajukan pulau tersebut sebagai salah satu destinasi pelancongan tetapi pada masa yang sama, ia mahu mengekalkan keadaan semula jadi sekitar kawasan tersebut.

Pada masa ini terdapat banyak bangunan berunsur sejarah peninggalan masyarakat Vietnam, termasuk bangunan tempat tinggal, sekolah dan pelbagai tugu yang dibina mereka.

Dato’ Rahin berkata, pihaknya akan mengkaji cadangan syarikat tersebut dengan mengambil kira pelbagai aspek sebelum sebarang keuputusan dibuat.


Kakitangan Ukom perlu laksana amanah dan tanggungjawab

Oleh: Suriati Ali



Kakitangan Unit Komunikasi Negeri (Ukom) diminta supaya melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada mereka sebaik mungkin walaupun ketika ketiadaan pengarah atau ketua unit masing-masing.

Pengarah Ukom, Haji Shamsuddin Sulong, berkata buat masa terdekat ini beliau berpuas hati dengan tugasan yang dilaksanakan kakitangan terutama yang terlibat dengan liputan program rasmi kerajaan negeri.

“Apabila tanggungjawab yang diamanahkan berjalan dengan sempurna dan `comel’, barulah saya tidak sakit kepala memikirkannya jika terdapat pegawai atasan menyoal perkara berkaitan,” katanya ketika memberi tazkirah sempena Perhimpunan Bulanan Kakitangan, di perkarangan bangunan Ukom, Jalan Pejabat, Kuala Terengganu, pagi ini.



Perhimpunan yang diadakan pada setiap awal bulan itu bertujuan memberi motivasi kepada kakitangan terutama berkaitan amalan harian dan tanggungjawab yang wajib dilaksanakan sebagai pejawat awam dan umat Islam.

Haji Shamsuddin turut menyentuh soal kebahagiaan di dunia dan akhirat dengan memberitahu sekiranya seseorang itu inginkan kebahagiaan, mereka perlu melaksanakan perintah Allah S.W.T dan tidak boleh sama kali mengingkarinya.

Paling penting, seseorang umat Islam itu perlu menunaikan solat lima waktu dan pelbagai ibadat lain yang boleh memberi ketenangan dan kelapangan jiwa, sesuai dengan tuntutan agama.


05 June 2011

Terengganu tuai emas , melonjak tangga teratas

Oleh: Aida Abd Rahman


Ketua Kontinjen Sukma Terengganu 2011, Dato' Haji Wan Ahamad Wan Muda menyampaikan insentif kepada atlet Terengganu yang berjaya menuai pingat.

Terengganu terus menuai emas untuk memastikan sasaran bergelar juara keseluruhan buat kali ketiga berturut-turut pada temasya Sukan Malaysia Ke-14 Kuala Lumpur menjadi milik kontinjen itu, hampir menjadi kenyataan walaupun temasya baru memasuki hari ketiga.

Daripada kedudukan di tangga kedua semalam, Terengganu melonjak memintas Johor dengan kutipan 20 emas, empat perak dan tujuh gangsa untuk berada di takhta utama senarai kontinjen hari ini.



Kontinjen Terengganu sebelum ini di belakang Johor dengan berkongsi sembilan emas dan hanya membezakan dengan dua pingat perak.Sementara pingat gangsa masing-masing dengan enam (Terengganu) dan satu (Johor).

Dengan jumlah kutipan 31 pingat, Terengganu jauh meninggalkan kontinjen di tangga kedua, Johor dengan pungutan 25 pingat keseluruhan melibatkan 11 emas, 10 perak dan empat gangsa.

Manakala Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur masing-masing kekal di kedudukan ketiga dan keempat.

Judo antara acara yang menyumbang pingat terbanyak buat Terengganu sehingga mampu melonjak ke tangga teratas dengan kutipan enam emas dan satu gangsa.

Menurut pengurus judo, Encik Ali Tengah, pasukan judo terbukti mengatasi sasaran awal untuk mengutip tiga emas, apabila berjaya meneruskan rentak penguasaan pada hari ketiga pertandingan itu dengan membaham enam emas dan satu gangsa.

“Alhamdulillah, berkat kesungguhan, disiplin dan komitmen semua atlet, judo telah meledak satu keputusan yang di luar jangkaan. Kami berharap kejayaan ini akan berterusan dan terus membantu Terengganu untuk gah sebagai kuasa sukan negara,” katanya lagi.




Tenis pecah kemarau pingat

Oleh: Aida Abd Rahman



Kontinjen Terengganu memecah kemarau pingat selama 26 tahun dengan menggondol pingat gangsa dalam acara tenis selepas tewas kepada Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2-1 pada temasya Sukan Malaysia Ke-14 Kuala Lumpur, semalam.

“Acara berpasukan lelaki telah menunjukkan prestasi yang baik selepas menang pada hari kedua perlawanan, walaupun kami tidak meletakkan sebarang pingat. Alhamdulillah pingat gangsa diraih,” kata jurulatih kontinjen Terengganu, Encik Shukur Saad.

Sementara itu, empat lagi pungutan emas disumbangkan oleh kanu melalui acara 500m K1 (W) Siti Rajiah Ali catatan masa 02.30 saat; acara 500m K2 (L) Muhammad Azman Ibrahim, Muhamad Syafwatudin Muhamad Azaha dan acara 01.57s, 500m K2(W) gandingan Nurul Farahim Wahab, Noraishah Yahya dengan kepantasan 02.26s.

Sementara emas keempat melalui acara 500m K4(W) yang disumbangkan Adibah Nor Azaha, Siti Rajiah, Norazlina dan Nurul Farahim dengan catatan 02.13s.

Norhidayu Muliar menggapai emas kelima pada hari ini bagi acara judo diikuti lumba basikal 3 kilometer Team Persuit (W) akhir , gandingan Nur Ain Mahmud, Ummi Hamimah Mohamad, Zahraa Anuawar dengan catatan masa 04.13s.



Satu Pingat Perak diraih pada hari ini melalui lumba Basikal 10KM Scratch Race Akhir (W), Zahraa bt Anuawar dengan catatan 18.04s diikuti 15km Scratch Race akhir (L) Sofian Nabil Omar Bakri catatan 22.23s pingat gangsa.

Ketua Kontinjen Terengganu , Dato` Haji Wan Ahamad Wan Muda mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur kerana membenarkan lima pelumba Terengganu beraksi semula setelah penyertaan dibatalkan.

Pasukan Kanu mencapai dua lagi pingat gangsa melalui acara 500m K1 (L) dan 500m K4(L). Jumlah pencapaian pingat pada hari ini 6 Emas, 1 Perak dan 3 gangsa.






Kekerapan aktiviti pikat pelancong

Oleh; Esah Abdullah


YB Datuk Haji Abdul Rahin Mohd Said.

Kerajaan negeri mensasarkan satu juta pelancong ke negeri ini dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, YB Datuk Haji Abdul Rahin Mohd Said berkata, sasaran ini berdasarkan kekerapan penganjuran aktiviti yang diadakan disertai cuaca yang baik.


“Program mencandat sotong dan Festival Kenyir 2011 yang berlangsung baru-baru ini berjaya menarik ribuan pengunjung,” katanya di majlis penyampaian hadiah Pertandingan Golf Pro AM (GPAM) di Kelab Golf, Tok Jembal, Kuala Terengganu semalam.

Katanya, sepanjang tahun lalu, seramai 2.8 juta pelancong dari dalam dan luar negeri telah berkunjung ke negeri ini.

“Kita akan meningkatkan promosi pada masa-masa akan datang melalui acara-acara besar bersesuai dengan tagline ‘Comel’ yang baru diperkenalkan,” katanya.

Selain itu katanya, kerajaan bercadang menganjurkan Endurance Challenge dalam acara Junior World Endurance Sport yang mampu menarik pengemar sukan berkuda dari seluruh negara.

Datuk Haji Abdul Rahin kemudiannya telah menyampaikan hadiah kepada para pemenang pertandingan GPAM kali ke-6 yang dimeriahkan dengan 33 penyertaan.