Pengumuman kerajaan negeri untuk membina rumah pangsa di Pulau Perhentian, amat melegakan sebahagian besar penduduk pulau tersebut.
Apa tidaknya, sebahagian besar penduduk di pulau itu yang bilangannya kini lebih 1,000 orang terpaksa tinggal berhimpit-himpit di dalam rumah mereka.
Sudahlah jarak antara sebuah rumah dengan sebuah rumah terlalu rapat, di dalam rumah mereka terpaksa berkongsi antara tiga hingga empat buah keluarga dalam satu rumah yang tidak sebesar mana pun.
Disebabkan masalah tempat tinggal yang begitu meruncing, penghuni pulau tersebut terpaksa tinggal bersesak-sesak di dalam rumah keluarga mereka.
Bagaimanapun, lawatan kerja sehari Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, ke pulau yang menjadi antara lokasi pelancongan utama di Terengganu itu bakal merubah keadaan keluarga tersebut.
Selepas dimaklumkan mengenai masalah penduduk tersebut dan beliau sendiri melihat keadaan itu, Menteri Besar mengumumkan kerajaan negeri akan membina rumah pangsa empat tingkat mengandungi 150 unit di pulau berkenaan.
Kawasan tanah seluas lima setengah ekar sudah dikenal pasti bagi tujuan itu dan pembinaan rumah pangsa yang dianggarkan bernilai RM50 juta itu akan dimulakan secepat mungkin.
Beliau berharap apabila projek tersebut siap kelak, masalah kesesakan penduduk di dalam rumah dapat diatasi.
Sempena lawatan sulung ke pulau itu juga, Dato’ Seri Ahmad turut meluluskan pembinaan sebuah gelanggang futsal berhampiran jeti ke Pulau Perhentian bagi kegunaan golongan belia.
Beliau turut meluluskan peruntukan RM300,000 bagi membolehkan bekalan air diambil dari kawasan mata air yang dikenali air berani oleh penduduk tempatan pulau itu.
Seperti lawatannya ke tempat lain, Menteri Besar turut mengingatkan penduduk tempatan pesanan penaja.
“Kerajaan dah beri macam-macam kepada rakyat. Kita tidak minta rakyat buat kerja berat, tetapi satu je yang kita mitak. Undilah Barisan Nasional bila tiba pilihan raya,” ujarnya.