Halaman

09 June 2011

Tindakan disiplin kepada penjawat awam teroka tanah haram

Oleh: Esah Abdullah



Semua penjawat awam di negeri ini diminta supaya tidak menyertai aktiviti penerokaan tanah haram atau bakal berdepan dengan tindakan disiplin (tatatertib), denda atau penjara.

“Orang ramai diingatkan tidak menceroboh tanah kerajaan dan bagi penjawat awam mereka boleh dikenakan tindakan disiplin jika terbabit,” kata Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Darul Iman semalam.

Sehubungan itu, Setiausaha Kerajaan telah mengeluarkan pekeliling kepada semua penjawat awam supaya tidak mengambil bahagian dalam aktiviti tersebut.

Menurut Dato’ Seri Haji Ahmad, jika sabit kesalahan mereka boleh didenda RM10,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali.

Katanya, aktiviti penerokaan tanah haram banyak berlaku di kawasan sempadan seperti di Besut namun ia agak terkawal dan penguatkuasaan sentiasa memantau keadaand an berharap selepas ini tidak ada lagi kes penerokaan tanah haram yang baru.

Kerajaan juga menerima 155,302 permohon bagi menukar hak milik sementara kepada hak milik kekal di seluruh negeri dan daripada jumlah berkenaan 118,396 telah selesai diproses dan masih berbaki 36,906.

Menurut Menteri Besar, sehingga permohonan tanah haram ditutup pada 31 disember 2006 kerajaan menerima 9,916 permohonan dan pencapaian penyelesaian adalah 97.73 peratus, kini hanya 225 kes belum selesai dan akan selesai dalam sedikit masa lagi.

“Daerah paling banyak berbaki kes tanah haram ialah daerah Marang (40 kes) dan Hulu Terengganu (58 kes) manakala Besut (5), Dungun (6), Kuala Terengganu (3) dan Kemaman (2),” katanya.

Katanya,setiap kali mesyuarat exco diadakan (setiap minggu) 90 peratus agenda berkaitan dengan urusan tanah haram, pemilikan tanah, pertukaran hak milik dan lain-lain yang berkait dengan tanah.

“Saya sangat berpuas hati dengan pencapaian setakat ini dalam urusan menyelesaikan permohonan tanah haram dan urusan lain berkait dengan permohonan tanah,” katanya.