Halaman

08 June 2011

Hadiah utama TMGI lebih lumayan

Oleh: Suriati Ali



Kerajaan negeri berpuas hati dengan sambutan pemain Kejohanan Golf Kejohanan Terengganu Masters Golf Invitational (TMGI) yang berlangsung selama lima hari dan berakhir petang semalam (7 Jun) di Kuala Terengganu Golf Resort, Tok Jembal.

Berdasarkan sambutan yang menggalakkan itu, mendorong pihak penganjur menaikkan hadiah utama kepada RM30,000 untuk kejohanan akan datang berbanding RM23,000 pada tahun ini.

TMGI anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama Persatuan Golf Terengganu menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM150,000 kepada pemenang.

Seramai 144 pemain menyertai kejohanan kali ke enam ini, termasuk 88 peserta tempatan, peserta luar negara (35 orang) dan amatur pula 20 orang.

R. Nachimuthu dari Malaysia berjaya mengondol juara kategori profesional TMGI dan layak membawa pulang wang tunai RM23,000. Manakala bagi juara kategori amatur pula dimenangi, adik Zal Hasni Norsabaruddin,16.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, YB Datuk Haji Rahin Mohd Said, berkata kerajaan negeri berusaha menjadikan TMGI sebagai acara tahunan yang berprestij dan terkenal di kalangan peminat golf tempatan dan luar negara.

Katanya, pihaknya bersetuju menambahkan jumlah hadiah utama kepada RM30,000 untuk TMGI akan datang bertujuan menarik lebih ramai pemain profesional.

“Bantuan lain turut diusahakan termasuk membaiki saliran air yang terdapat di padang golf di mana sebelum ini sering digenangi air.

“Langkah itu cukup penting bagi menghalang air hujan bertakung terutama apabila tiba musim tengkujuh. Peruntukan bagi tujuan ini masih dalam perbincangan,” katanya.