Halaman

11 June 2011

MPMK jalin hubungan dua negeri

Oleh: Suriati Ali

Usaha Kerajaan Terengganu dan Melaka menganjurkan Minggu Pesta Makanan dan Kebudayaan (MPMK) bukan saja mampu mengukuhkan lagi hubungan antara kedua-dua negeri malah dapat meningkatkan jumlah pelancong sedia ada.

MPMK yang berlangsung selama seminggu dan berakhir 16 Jun ini di Primula Beach Hotel, Kuala Terengganu mempromosi lebih 30 jenis makanan tradisional Melaka.
Antaranya dodol, cencaluk, tapai, otak-otak, asam pedas ikan pari, buah Melaka, lempeng kelapa dan bunga pudak.

Terengganu pula akan mengadakan kunjungan balas dengan mempromosi pelbagai jenis keenakan makanan dan keunikan budayanya bermula 24 Jun hingga 30 Jun ini di Hotel Seri Malaysia Melaka.



Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, Dato’ Rahin Mohd Said, berkata aktiviti seumpama ini bukan saja mampu mempromosikan makanan yang terdapat di negeri masing-masing kepada masyarakat luar malah meningkatkan sumber pendapatan golongan Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

Katanya, hubungan akrab ini sewajarnya dikekalkan kerana Terengganu dan Melaka saling memerlukan terutama dalam aspek memajukan bidang pelancongan.

“Kami memuji langkah kerajaan Melaka yang berjaya dalam sektor pelancongan di mana jumlah pelancong tempatan dan luar negara sentiasa meningkat setiap tahun.

“Oleh itu pihak berkaitan disaran mencontohi pendekatan yang dilaksanakan Melaka supaya Terengganu berada seiring dengan negeri itu selain mendapat jumlah pelancong yang membanggakan pada setiap tahun.

Beliau berkata demikian ketika berucap di pesta MPMK, di Primula Beach Hotel, malam tadi (10 Jun).

Hadir sama Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia Negeri Terengganu, Encik Ahmad Fathil Abd Ghani dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaanb dan Warisan Melaka, YB Chua Kheng Hwa.

YB Chua Kheng Hwa, berkata lebih 14,000 pelancong Terengganu telah mengunjungi Melaka sepanjang lima bulan pertama tahun ini.

“Melaka sememangnya terkenal dengan asset sejarah dan budaya, tidak ketinggalan juga terkenal dengan pelbagai jenis masakan terutama asam pedas,” katanya.