Halaman

09 June 2011

Cabaran BOTR 2011 lebih besar.

Oleh: Esah Abdullah



Kerajaan negeri menganjurkan pertandingan Boat On The Road (BOTR) dalam usaha mempromosi Tasik Kenyir secara besar-besaran sebelum ianya diistiharkan secara sah sebagai sebuah pulau bebas cukai pada 2012.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, program kali kedua ini berlangsung selama tiga hari bermula 24 hingga 26 Jun depan di Tasik Kenyir dengan menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM107.500.

Pertandingan anjuran bersama kerajaan negeri dan Media Prima Berhad membabitkan TV3, TV8, TV9 dan Berita Harian, menarik kaki pancing seluruh negara dan peserta dari Indonesia dan Singapura dijangka turut serta.

BOTR 2011 ini diadakan lebih besar dengan penyertaan 800 orang yang menggunakan bot pancing sendiri menaiki 200 kenderaan 4X4 dan berlepas dari tiga penjuru iaitu Sri Pentas di Damansara, Lenggong di Perak dan Kemaman, Terengganu.

“Seperti tahun lalu, kita mengulangi tawaran hadiah wang tunai RM20,000 kepada pemancing yang berjaya menaikkan ikan naga (Arapaima Gigas) yang dipercayai mendiami tasik berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco di Wisma Darul Iman semalam.

Katanya, tahun lalu kerajaan menawarkan hadiah RM10,000 kepada peserta jika berjaya membawa naik ikan berkenaan tetapi gagal dilunaskan oleh 200 pemancing yang menyertai pertandingan.

“Tahun ini, hadiah ditambah sekali ganda di samping sembilan jenis ikan lain yang ditetapkan pihak penganjur iaitu sebarau, siakap, kelah, kaloi, temoleh, baung, toman, belida dan patin,” katanya.

Selain memancing, turut diadakan beberapa acara sampingan termasuk sukan air dan demontrasi perlumbaan bot F1 yang diketuai seorang bekas pelumba wanita F1 dunia, Kay Marshall.

Orang ramai yang berminat dipelawa menyertai pertandingan di samping berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah seperti motosikal, barangan elektrik dan banyak lagi yang disediakan pihak penganjur.