Timbalan Pengarah, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah(Risda), Dato’ Wan Mohamad Zuki Mohamad.
Pekebun kecil getah mampu menjana pendapatan sehingga RM2,500 sebulan hasil pelbagai sumber bersama ahli keluarga menjelang 2015.
Hasil kajian, setakat ini sudah ada pekebun kecil memperoleh pendapatan sekitar RM2,000 sebulan melalui aktiviti sampingan termasuk kraftangan dan produk makanan.
Menurut Timbalan Pengarah, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), Dato’ Wan Mohamad Zuki Mohamad, jumlah berkenaan termasuk sumbangan semua anggota keluarga, ibu dan juga anak-anak.
“Kita yakin sasaran berkenaan mampu dicapai yang disokong dengan pasaran getah sekarang begitu memberangsangkan,” katanya di majlis perasmian Kejohanan Futsal Generasi Muda Risda di Kuala Terengganu semalam.
Katanya, harga susu getah kini semakin pulih iaitu RM13.75 sekilogram (kilang) dan RM11.37 sekilogram (ladang) manakala harga getah skrap RM6.50 hingga RM7.00.
Menurutnya harga telah ditetapkan diperingkat nasional namun ia bergantung kepada mutu getah serta kos pengangkutan dan lokasi pemborong.
“Saya yakin harga getah terus meningkat pada masa akan datang berdasarkan permintaan dan jika harga boleh mencecah RM10 sekilogram ke atas, pekebun boleh menjana pendapatan lebih baik,” katanya.
Terdapat lebih 29,000 pekebun kecil di seluruh negeri yang mengusaha tanaman getah atau penoreh getah dan sebahagiannya turut menjalankan aktiviti sampingan lain untuk menambah pendapatan keluarga.