Seakan tiada saingan, skuad basikal Terengganu terus menunjukkan penguasaan dalam acara berbasikal apabila melabuh tirai dengan pungutan empat pingat emas sepanjang empat hari kejohanan di Velodrom Cheras, Kuala Lumpur, semalam.
Mengiringi Terengganu yang turut berkongsi empat emas adalah skuad basikal Perlis.
Satu daripada empat pingat pada hari terakhir menyaksikan pelumba keirin wanita Terengganu, Ummi Hamimah Muhamad berjaya merangkul johan selepas menamatkan perlumbaan dengan kepantasan 15.020 saat, mendahului 0.05 s di depan pemenang pingat perak, Ju Pha Som Net dari Perlis. Sementara gangsa milik Nurul Sakinah Abd Karim, 15.281s.
Ju Pha turut mendominasi acara 500m Ujian Masa Akhir dengan catatan 39.515 saat untuk mengenepikan Lauretta Eva Adrian dari Sabah yang ketinggalan 0.574s serta gangsa dimiliki Nurul Ahmar Badeuzzaman 40.474s.
“Saya puas hati dengan kemenangan ini tetapi terkilan sedikit dengan kekalahan di tangan Terengganu pada acara Keirin.
“Strategi saya tidak menjadi kerana pasukan Terengganu mempunyai dua pelumba dan mereka buat strategi dengan gunakan salah seorang sebagai penghalang untuk seorang lagi berada di hadapan,” kata Jhu Pa.
Berikutan itu, kontinjen Perlis menghantar bantahan kepada komisar dalam acara Keirin tapi ditolak kerana tidak melanggar peraturan.
“Strategi saya dan Zahraa (Anuawar) menjadi namun semasa hampir penamat, saya menjadi kelam-kabut dan rasakan kayuhan menjadi menggeletar kerana ternampak kelibat tayar Ju Pha.
“Dia memang laju kerana saya lihat semasa awal dia bermula di kedudukan kedua terakhir. Saya bernasib baik dapat sampai dulu ke garisan penamat,” kata Ummi Hamimah.
Pada saingan 1km Ujian Masa akhir Lelaki menyaksikan Muhammad Elmi Jumari berjaya meraih emas pertama dan emas ketiga kontinjen Selangor dalam acara berbasikal trek.
Elmi, 21 membuat kayuhan pantas 1:09.854s menewaskan peserta Melaka, Muhd Arfy Qhairant Amran dengan perbezaan masa 0.273 saat dan gangsa milik pelumba Pahang, Ahmad Fakrullah Alias, 1:10.148s.
Turut mencuri tumpuan adalah pelumba Melaka, Muhd Arfy Qhairant Amran menepati ramalan menjuarai acara Keirin Lelaki dengan masa 11.222 saat untuk mengatasi saingan peserta Johor, Mohamad Fakhruddin Daud dengan 0.006 saat dan pelumba Kedah di tempat ketiga, 11.279s.