Halaman

10 June 2011

YIT terjemah kitab tersohor untuk rujukan guru agama

Oleh: Aida Abd Rahman


Haji Md Kamaru Al-Amin Ismail


Yayasan Islam Terengganu (YIT) mengambil inisiatif menterjemahkan Kitab Matla’ Al-Badrain, sebuah kitab yang terkenal dan telah lama diguna pakai sebagai bahan pengajian, pembelajaran serta rujukan bukan sahaja di Malaysia malah di nusantara.

Kitab berkenaan membawa maksud `tempat terbit dua bulan purnama dan tempat berhimpun dua laut'.

Pengarahnya, Haji Md Kamaru Al-Amin Ismail, berkata dua tahun lalu YIT telah melakukan penyelidikan dengan fokus utama menyiapkan Kitab Matla’ Al-Badrain dan Kitab Tauhid Aqi’datu Na’jin yang bertujuan untuk memudahkan kefahaman dalam penggunaan pengajaran dan pembelajaran di kalangan guru agama di Terengganu.

Sehubungan itu, YIT melantik enam pensyarah daripada Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) untuk menyiapkan penyelidikan berkenaan yang terdiri daripada Dr Abd Manam Mohamad, Prof Madya Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi, Dr. Daud Ismail, Ustaz Talib Abdul Rahman, Ustaz Abdul Halim Awang @ Sulong dan Ustaz Mohd Fadzhil Mustafa.

“Sempena majlis pelancaran kita itu, YIT mengambil kesempatan untuk mengadakan Kursus Medotologi Pengajaran Kitab Matla’ Al-Badrain yang akan disampaikan oleh Ustaz Abdul Halim Awang yang juga bekas Timbalan Mufti Negeri,” katanya ketika berucap sempena pelancaran kitab Matla’ al-Badrain Wa Majma’ al-Bahrain dan tujuh buku terbitan YIT dengan kerjasama Kerajaan Terengganu, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Majlis pelancaran disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat. Turut hadir, Timbalan Pengerusi nya, YB Haji Muhammad Ramli Nuh.

Selain daripada Kitab Matla’ Al-Badrain ini, YIT juga akan melancarkan tujuh buah buku terbaru termasuk Asas Tamadun & Ciri-ciri Khusus Islam Dalam Membangunkan Tamadun Umat (penulis, Dr. Asming Yusof Yalawae Al-Fathani).

46 Cerita-cerita Teladan Cina (Goh Ying Soon & Dr. Azman Che Mat); 40 Panduan Merealisasikan Keluarga Bahagia, Sehari Dalam Kehidupan Seorang Muslim dan Perisai Perlindungan (Ustaz Ahmad Abdul Rashid); Ziarah Menurut Islam dan Rukhsoh (Kelonggaran Dalam Islam) (Allahyarham W. Mohd Salimi Wan Sulong).

“Kami berharap kitab-kitab dan buku-buku yang diterbitkan dan dilancarkan pada hari ini dapat menambahkan lagi khazanah ilmu kepada masyarakat,” katanya lagi.